'Sudut Populariti, Mungkin Jauhlah Nak Menang' - Aeril Zafrel

PELAKON Aeril Zafrel tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya apabila pertama kali berjaya menggenggam anugerah yang mengiktiraf bakatnya dalam dunia lakonan.

Anugerah Telenovela 2018 yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Konvensyen Centre (KLCC) pada Sabtu telah menyaksikan Aeril diangkat sebagai Pelakon Lelaki Telenovela Terbaik.

Menurut Aeril, sebelum ini namanya hanya tersenarai di peringkat pencalonan sahaja, dan tidak pernah memenangi sebarang anugerah.

Namun menerusi kelainan karakter yang dibawakan menerusi drama Mandatori yang juga merupakan karya adaptasi daripada novel tulisan Ramlee Awang, terbitan Alaf 21 (Grup Buku Karangkraf), tuah menyebelahi Aeril.

“Alhamdulillah setelah bertahun-tahun dalam industri, dapat juga memegang anugerah yang mengiktiraf lakonan saya.

“Sebelum asyik tercalon saja, untuk menang tu jauh sekali. Tapi kali ini diizinkan Tuhan untuk saya memenangi anugerah ni.

“Saya rasa mungkin menerusi kelainan karakter saya dalam telenovela Mandatori ini membuatkan juri nampak sesuatu yang mereka fikir perlu diangkat,” ujarnya kepada Sinar Online sebaik sahaja majlis Anugerah Telenovela 2018 melabuhkan tirai.

Tambah Aeril, biarpun kemenangan ini di luar jangkaannya, namun melihat kepada kualiti karya yang ditampilkan dalam Mandatori, dia yakin Mandatori akan dinilai dengan sebaiknya.

“Kalau nak diukur dari sudut populariti, mungkin jauhlah kami nak menang. Namun apabila penilaiannya dari pihak juri, kami dapat merasai peluang itu ada.

“Alhamdulillah pada malam ini team Mandatori diangkat dan diiktiraf menerusi beberapa kategori yang membuatkan kami semua merasa bangga dan berbaloi dengan segala usaha yang dicurahkan untuk merealisasikan karya ini,” kata Aeril yang bakal muncul degan drama terbaharu, Jibril tidak lama lagi. -sinar online

Kematian Pendaki Malaysia Di Gunung Rinjani Satu Kehilangan Besar

Kematian seorang wanita rakyat Malaysia, Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter di Pulau Lombok hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan yang amat besar.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan, Siti Nur Iesmawida adalah salah seorang kakitangan di Miraj Academy, Ampang serta merupakan Sukarelawan Belia Berkemahiran di MBM.

“Beliau merupakan seorang pejuang yang mempunyai hati yang ikhlas dalam membantu memberikan peluang kedua kepada golongan muda yang tercicir dalam bidang akademik.

“Siti Nur Iesmawida merupakan seorang kakitangan yang berdedikasi dan kehilangan beliau adalah sesuatu yang akan ditangisi serta diratapi terutamanya oleh mereka yang telah dibantunya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, negara digemparkan dengan berita kematian seorang wanita rakyat Malaysia dalam kejadian gempa bumi yang berlaku di Gunung Rinjani dekat Lombok, Indonesia.

Menurut Mohammad Rizan, beliau difahamkan, sewaktu kejadian, Siti Nur Iesmawida bersama 17 lagi pendaki dari Malaysia berada di dalam sebuah inap desa di kaki Gunung Rinjani setelah menyempurnakan pendakian di gunung yang menjadi tumpuan pendaki dari seluruh dunia itu.

“Bagaimanapun, sewaktu Siti Nur Iesmawida sedang menggunakan tandas, telah berlaku satu gegaran berukuran 6.3 pada skala Richter yang mengakibatkan dia ditimpa runtuhan bangunan.

“Terdapat beberapa orang lagi pendaki rakyat Malaysia yang cedera namun bilangannya belum dapat dipastikan dan kami masih menantikan maklumat terbaharu daripada pihak kedutaan,” jelas beliau. -kosmo

Abhishek Dan Aishwarya Bertengkar Di Lapangan Terbang

AKTOR Abishek Bachchan membidas laporan mendakwa berlaku pertengkaran antara dia dan isteri, Aishwarya Rai sebaik mereka tiba di Mumbai, India selepas pulang bercuti.

Perkara itu diluahkannya menerusi satu muat naik status di Twitter miliknya.

“Tolong berhenti berkongsi cerita tak benar,” tulisnya seperti dilapor portal Hindustan Times.

Terdahulu, satu video memaparkan pasangan itu bertengkar di lapangan terbang.

Difahamkan, Aishwarya cuba menghalang anaknya, Aaradhya, 7, memegang tangan Abhishek sebelum bapanya berlalu pergi. -kosmo

Aliff Aziz Dan Daiyan Trisha Jaga Batas Pergaulan

DUA nama ini, Aliff Aziz dan Daiyan Trisha masing-masing belum pernah disatukan dalam mana-mana karya biarpun kedua-duanya sudah bertapak dalam industri hiburan tanah air untuk tempoh beberapa tahun lalu.

Apa yang pasti, kedua-dua mereka yang disatukan buat julung-julung kalinya dalam drama bersiri Sejuta Rasa Buat Adelia selaku hero dan heroin menambah satu lagi catatan baharu dalam portfolio kerjaya yang diceburinya selama ini.

Menariknya, baik Aliff mahupun Daiyan, mereka ini mempunyai satu persamaan yang cukup jelas.

Barangkali ada yang perasan bahawa kedua-duanya mula memperkenalkan diri mereka dalam dunia seni sebagai penyanyi terlebih dahulu sebelum masing-masing mencuba nasib untuk terjun dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, siapa sangka pada hari ini mereka berjaya membuktikan bakat dan kemampuan yang ada dalam diri masing-masing selepas satu demi satu karya mereka menghias kaca televisyen.

Justeru, apabila berada di hadapan kamera, baik Aliff atau Daiyan, sebolehnya mereka cuba berikan yang terbaik.

Sungguhpun begitu, babak mesra mereka dalam naskhah arahan Eyra Rahman itu membuatkan ada pihak yang berasa kurang senang.

Terutamanya apabila nama Aliff disebut-sebut kembali. Adegan mesra dalam lakonan membuatkan cerita kontroversi lama yang pernah terpalit dengan dirinya membabitkan gandingan pelakon heroin tahun sudah masih lagi bersisa dalam benak banyak orang di luar sana.

Lebih profesional

Bagi Aliff sendiri, dia sedar akan kewujudan cakap-cakap orang yang masih skeptikal dengan dirinya.

Bagaimanapun, jejaka berusia 27 tahun itu menerima hal itu seadanya. Dia akur bahawa dirinya tidak akan pernah boleh memuaskan hati semua pihak, terutamanya bagi yang sudah punya persepsi yang negatif terhadapnya.

“Saya sedar dengan apa yang orang katakan (babak mesra). Bagaimanapun, kami sebagai pelakon perlu menterjemahkan sebuah jalan cerita bersifat fiksyen ini secara langsung kepada orang di luar sana.

"Jadi, saya sebagai pelakon hanyalah seperti kanvas untuk sampaikan watak saya itu agar diperlihatkan kepada orang di luar sana.

"Lagipun, ia bukanlah sesuatu yang benar-benar terjadi. Hanyalah satu fantasi.

“Rasanya ada sahaja pelakon lain yang lakukan (babak mesra), tetapi tidak menerima komen negatif. Barangkali ada yang tidak senang dengan kisah lampau saya sebelum ini.

"Apapun sebagai pelakon, saya mempertaruhkan seluruh jiwa, hati dan masa yang ada untuk sumbangkan sesuatu demi menghiburkan orang ramai,” cerita anak kelahiran Singapura itu ketika ditemui dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Kongsi Aliff lagi, apa yang lebih penting, dia perlu bersifat profesional dalam setiap hasil kerjanya.

Begitu juga yang diharapkan kepada pasangan gandingannya dalam apa jua karya.

"Paling utama, katanya, dia tahu ada batas-batas yang perlu dipatuhinya.

“Netizen dan penonton adalah golongan yang menjadikan siapa saya hari ini sebagai anak seni.

"Komen-komen mereka itu penting, cuma saya tidak mahu terlalu terperinci dalam memikirkannya. Bimbang nanti diri sendiri yang akan tertekan.

“Asalkan apa yang kita buat itu mengikut panduan dan arahan seperti yang diminta pengarah, pada saya okey sahaja.

"Lagipun saya tidak boleh kawal apa yang orang ingin katakan,” cerita bapa kepada Ayden Adrean yang kini sudah berumur satu tahun itu.

Kongsi Aliff, dia juga selesa dan senang apabila dapat bekerjasama dengan Daiyan buat pertama kali.

“Saya memang kenal dia sebagai penyanyi sebelum ini. Cuma kami baru pertama kali bergandingan sama. Dia seorang yang peramah dan suka bergurau.

"Jadi, secara tidak langsung mudah untuk wujudkan keserasian apabila di hadapan kamera.

“Saya tidak kisah sekiranya heroin saya mempunyai pandangan atau skeptikal terhadap saya, tetapi apabila menyentuh hal kerja, perlulah dilaksanakan secara profesional sahaja.

"Saya tak boleh nak tukar persepsi dan pandangan orang terhadap saya,” ceritanya yang mengakui merancang untuk melebarkan karier seni dalam dunia pengarahan pula satu hari nanti.

Elak cinta lokasi

Bagi Daiyan sendiri pula, dia mengakui satu pengalaman baharu buatnya apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Aliff buat pertama kali.

Biarpun sedar akan kisah kontroversi yang pernah mengaitkan gandingan heronya itu, pelakon dan penyanyi berusia 25 tahun itu tidak pernah meletakkan hal tersebut sebagai satu halangan untuk dirinya mengekspresikan bakat yang ada pada dirinya.

“Sewaktu menerima tawaran berlakon drama ini, saya tidak tahu pun siapa hero yang bakal digandingkan. Tertanya-tanya juga.

"Selepas dimaklumkan akan bekerja dengan Aliff, saya okey sahaja walaupun tahu mengenai kontroversi pasal dirinya.

"Apapun, saya perlu bersikap adil kepada pasangan pelakon saya.

“Dia pun profesional dengan kerjanya. Bahkan masa babak pertama kami berlakon di hutan lagi kami sudah mula menunjukkan keserasian.

"Sebolehnya saya pun mahu gandingan saya selesa dan kami anggap sebagai kawan,” kata pemilik nama sebenar Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu.

Menurut Daiyan, tidak adil sekiranya dia cuba meletakkan satu jurang pemisah kepada mana-mana gandingan heronya dalam sesuatu naskhah.

Baginya, tindakan itu hanya membuka ruang kepada penghasilan sebuah hasil kerja yang tidak berkualiti.

“Kalau awal-awal lagi kita sudah letakkan jurang, susahlah nak berlakon sama.

"Lagipun, siapa saya nak menghukum orang (kerana cerita lama). Dalam drama pun kami perlu jadi karakter masing-masing.

"Jadi penting ada keserasian dan selesa jika ingin terus bekerja dalam satu pasukan,” kongsinya.

Jelas pelakon filem Busker ini, sebolehnya dia cuba elak daripada berlakunya cinta lokasi.

"Bahkan, dalam drama Sejuta Rasa Buat Adelia yang disiarkan menerusi saluran Astro Ria itu, dia bersyukur kerana status Aliff yang sudah berumah tangga.

“Jadi, tidak adalah cerita-cerita kononnya cinta lokasi itu wujud antara kami. Kalau pasangan bujang mungkin netizen pun cuba untuk padankan kami.

"Lebih seronok, saya dengan Aliff banyak bergaduh di set penggambaran ada lah,” selorohnya.

Ditanya kesukaran berlakon dengan hero berstatus suami orang, kata Daiyan, dia tidak melihat status itu sebagai satu halangan.

“Kalau tak okey, tak mungkin saya terima dari awal. Selepas berlakon dengan Aliff, saya rasa okey sahaja.

“Orang mungkin bimbang melihat saya melebih-lebih dalam lakonan.

Bagaimanapun, penonton yang bijak pasti boleh bezakan hal tersebut. Lagipun kami di set seperti sebuah keluarga,” katanya yang kini mahu berehat seketika selepas 65 hari menjalani penggambaran drama itu.

Sungguhpun begitu, menurut Daiyan, dia tetap punya batas tertentu dalam melakonkan satu-satu babak.

“Dalam apa jua yang kita lakukan mesti ada batasannya. Kalau adegan lebih-lebih pun saya tidak mahu lakukannya,” katanya yang merancang untuk menghasilkan sebuah album dalam bahasa Inggeris pula selepas ini. -kosmo

Katy Perry Tertekan Kerana Album

PENYANYI Katy Perry mengakui dirinya pernah mengalami tekanan dan sakit hati gara-gara penjualan albumnya yang keempat, Witness kurang memberangsangkan.

Wanita cantik berusia 34 tahun itu membuat pengakuan tersebut kepada sebuah majalah Vogue Australia baru-baru ini.

“Saya mengalami depresi dan sakit hati pada tahun lalu kerana saya berharap album berkenaan mendapat sambutan.

“Namun sayang, reaksi orang ramai tidak seperti yang saya harapkan,” ujarnya seperti dipetik portal Kapanlagi.com.

Pada Jun tahun lalu, Katy melancarkan album, Witness. Album ini hanya dijual sebanyak 180,000 cetakan dalam penjualan minggu pertama.

Ia dilihat merosot berbanding album Prism yang laku sebanyak 286,000 cetakan pada tempoh yang sama pada tahun 2013. -kosmo

'Jangan Sampai Nak Pukul Saya' - Saharul Ridzwan

POPULARITI drama bersiri Jangan Benci Cintaku nampaknya meninggalkan impak cukup besar bukan sahaja dalam kalangan peminat tetapi pelakon utamanya, Saharul Ridzwan.

Saharul menerusi Instagram memberitahu pada Jumaat lalu dia didatangi oleh seorang makcik yang tiba-tiba menepuk belakangnya gara-gara marahkan karakternya sebagai Shah dalam drama itu.

"Terkejut saya tiba-tiba makcik tu tepuk (macam Husna tumbuk Shah). Tergelak seorang-seorang pula lepas tu," tulisnya pada kapsyen video yang dimuat naiknya.

Menerusi video itu pula, Saharul menjelaskan dia adalah Saharul Ridzwan dan bukannya Shah dan secara bergurau meminta agar dia tidak dipukul hanya kerana penonton bencikan wataknya.

"Hai, sebenarnya saya buat video ini sebab nak bagitahu yang saya ini Saharul Ridzwan bukan Shah. Kalau kat dalam drama tu ya, saya Shah.

"Tapi janganlah kat luar sampai nak pukul saya, makcik-macik yang marah betul kat saya tu. Kesianlah kat saya," katanya.

Jangan Benci Cintaku turut menggandingkan Saharul dengan Zahirah Macwilson, Niena Baharun, Luqman Hafidz, Izzue Islam, Amelia Henderson, Daler Yusuf, Esma Dainal dan Azizah Mahzan.

Ia sedang ditayangkan menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, 7 malam di TV3.

Sementara itu, pengikut Saharul memberitahu kejadian yang menimpanya itu membuktikan lakonannya dan barisan pelakon lain menjadi dan meninggalkan kesan.

Malah ramai mendoakan agar Jangan Benci Cintaku akan menjadi titik tolak kepada karier Saharul untuk kembali berkembang selepas ini. -mstar

Doktor Pelatih Dakwa Jadi Mangsa Gangguan Seksual Ketua Jabatan

Ketika tempoh kerja syif yang panjang di hospital hampir tamat, seorang doktor pelatih Michelle (bukan nama sebenar) diberitahu bahawa ketua jabatannya ingin bertemu dengannya atas sebab berkaitan kerja.

Namun hakikatnya, ketua jabatannya itu mempunyai niat tersembunyi.

"Dia kemudian merangkul saya dan mula membuka butang baju serta mencium bibir saya.

"Dia kata dia mahu memberikan saya 'restu'. Saya menolaknya dan berlari keluar dari bilik tersebut.

"Saya terkejut dan tertekan. Syaa menangis dan berasa jijik," kata gadis berusia 27 tahun itu.

Namun insiden itu bukanlah kes terpencil.

Michelle berkata sepanjang tugasnya, doktor tersebut telah menyentuhnya sesuka hati selain pernah meminta dia menemaninya keluar minum.

"Dia akan memberitahu saya untuk minum hampir semua minuman yang dipesannya dan akan cuba meramas payu dara saya selepas saya mabuk sedikit.

"Dia juga meminta saya untuk menghantarnya ke rumah jadi kami boleh teruskan tapi saya selalu mencari alasan," katanya yang mendakwa doktor itu mengajaknya keluar minum sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Doktor pelatih itu berkata dia tertekan untuk memenuhi permintaan doktor terbabit kerana dia mengugut untuk menggagalkannya jika tidak melakukan apa yang disuruh.

"Dia beritahu saya dan yang lain bahawa terdapat komponen bukan akademik untuk ujian kami dan jika kami tidak mematuhi arahannya, kami akan gagal," katanya.

Michelle membuat laporan polis pada Oktober lalu, namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil.

Michelle merupakan salah seorang daripada beberapa doktor pelatih yang menjadi mangsa gangguan seksual dan ugutan lelaki tersebut yang juga Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital di Lemah Klang.

Pemangsa seksual menyasarkan doktor pelatih wanita muda yang tidak berdaya untuk melawan permintaannya.

The Star menghubungi semua mangsa yang mahu cerita mereka didengari.

Seorang lagi doktor pelatih berkata ketua jabatan itu tidak berhenti-henti melakukan gangguan seksual terhadapnya sepanjang enam bulan ditugaskan di hospital tersebut.

"Apabila dia bosan, dia akan memanggil saya ke pejabatnya untuk bercakap tentang seks," katanya.

Satu insiden buruk yang terbuku di fikirannya berlaku semasa aktiviti senaman fizikal di hospital tersebut.

Gadis itu berkata ketua jabatan tersebut meraba payu daranya ketika dia sedang melakukan senaman.

Malah gadis itu mendakwa doktor tersebut turut pergi ke kediamannya dan menghantar gambar kepadanya melalui WhatsApp.

Dia turut bersetuju dengan Michelle bahawa doktor terbabit biasanya akan meminta doktor pelatih untuk minum bersamanya.

Malah doktor itu akan cuba membuatkan doktor pelatih mabuk ketika mereka keluar bersama.

Seorang pegawai perubatan berusia 32 tahun yang berkhidmat di hospital lain berkata ketua jabatan itu akan sentiasa menyalahkan mangsa.

"Satu hari dia ajak saya keluar minum dan saya tidak dapat menolak permintaannya itu. Saya mabuk sedikit dan dia beritahu saya supaya menghantarnya pulang ke rumah.

"Keesokan paginya, saya merasa tidak selesa dan dia menuduh saya pula cuba merayu dan menciumnya.

"Saya takut ia akan memusnahkan karier saya jadi saya enggan cakap banyak.

"Ramai di antara kami belajar bersungguh-sungguh untuk lulus tempoh latihan, jadi kami tidak mahu membahayakan masa depan kami," katanya. -mstar

Kim Ah Joong Disiasat Selepas Langgar Penunggang Motosikal

PELAKON Kim Ah Joong disiasat polis selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera.

Allkpop melaporkan ketika kejadian pada 22 Julai lalu, Ah Joong gagal memberhentikan kenderaannya ketika lampus isyarat merah sebelum merempuh sebuah motosikal yang melintas.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan terpaksa dibawa ke hospital.

Balai Polis Gangnam di Seoul dalam satu kenyataan berkata, Ah Joong bukan memandu dibawah pengaruh alkohol dan atas dasar itu dia disiasat.

Ah Joong yang mengakui kesilapannya memberi kerjasama kepada pihak polis dan hadir ke balai berkenaan untuk disiasat pada 27 Julai lalu. -mstar

Akhirnya Beyonce Kongsi Gambar Anak Kembar

SETAHUN selepas melahirkan sepasang bayi kembar, penyanyi terkenal Beyonce akhirnya memuat naik gambar anak-anaknya untuk tatapan peminat di Twitter.

Daily Mail melaporkan foto berkenaan diambil ketika penyanyi itu bersama keluarganya sedang bercuti di Eropah baru-baru ini.

Perkongsian itu mengejutkan peminatnya kerana Beyonce jarang berkongsi mengenai keluarganya di media sosial kerana ia adalah perkara peribadi untuknya.

Menerusi gambar itu, Beyonce dilihat sedang memangku pasangan kembar itu, Rumi dan Sir.

Beyonce dan suami, Jay-Z turut mempunyai seorang anak perempuan, Blue Ivy Carter yang kini berusia enam tahun. -mstar

Fattah Amin Dan Fazura Menang Besar Di Anugerah Telenovela 2018

Pasangan pelakon Nur Fazura dan Fattah Amin membuat kejutan apabila membolot kesemua trofi menerusi kategori popular Anugerah Telenovela 2018 yang diadakan di Plenary Hall Convention Centre (KLCC) pada malam Sabtu.

Dua drama lakonan pasangan suami-isteri itu, Hero Seorang Cinderella dan Wanita Terindah masing-masing membawa pulang trofi menerusi kategori Novel Popular dan Telefilem Popular.

Mereka juga menyapu bersih anugerah Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Telefilem Popular dan Pelakon Wanita Telefilem Popular.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak hadir pada acara itu.

Sementara itu, aktres Emma Maembong dianugerahkan sebagai Ratu Telenovela Serba Dinamik 2018 untuk tahun kedua berturut-turut.

Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 26, turut memenangi anugerah Pelakon Serba Dinamik dan Komited 2018 menerusi Awak Suka Saya Tak dan filem Kimchi Untuk Awak.

Pada malam kemuncak anugerah tersebut, sebanyak 43 kategori dipertandingkan melibatkan 32 drama atau telenovela, empat telefilem dan lima filem popular yang diangkat daripada novel atau karya yang dibukukan.

Manakala pelakon yang membintangi filem Kau Yang Satu, Izara Aishah menerima anugerah Pelakon Wanita Filem Terbaik dan manakala pelakon Jalil Hamid memenangi sebagai Pelakon Lelaki Filem Terbaik.

Pelakan Aeril Zafrel dan Siti Saleha memenangi anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Telenovela Terbaik menerusi drama bersiri Mandotori yang turut dinobatkan sebagai Telenovela Terbaik.

Anugerah Tokoh Lagenda yang terdiri daripada Primadona Telenovela diberikan pada pelakon Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Datuk Abdul Rahim Mohd Razali pula diberikan trofi Seniman Lagenda selain produser, Othman Hafsham serta dan Datuk Rosnani Jamil menerima anugerah Tokoh Seniman dan Seniwati.

Anugerah Telenovela 2018 dihoskan oleh Cody Tan dan Natasha Charmaine.

Malam gilang-gemilang itu dihiburkan dengan persembahan daripada Asfan, Ippo Hafiz, Firman Hyper Act dan Neera Azizi.

Berikut adalah senarai penuh pemenang Anugerah Telenovela 2018;

Ratu Telenovela Serba Dinamik - Emma Maembong

1. Kategori Popular

Novel Popular - Wanita Terindah.
Telenovela Popular - Hero Seorang Cinderella.
Telefilem/Filem Popular - Wanita Terindah.
Pelakon Lelaki Telenovela Popular - Fattah Amin.
Pelakon Wanita Telenovela Popular - Nur Fazura.
Pelakon Lelaki Telefilem/Filem Popular - Fattah Amin.
Pelakon Wanita Telefilem/Filem Popular - Nur Fazura.

2. Kategori Terbaik

Novel Adaptasi Terbaik - Dia (Terbitan Karyaseni Sdn Bhd).
Novelis Terbaik - Syamnuriezmil (Perempuan Paling Bahagia).
Novel Terbaik - Perempuan Paling Bahagia.
Telenovela Terbaik - Mandatori.
Pelakon Lelaki Telenovela Terbaik - Aeril Zafrel.
Pelakon Wanita Telenovela Terbaik - Siti Saleha.
Pengarah Telenovela Terbaik - Razaisyam Rashid.
Penulis Skrip Telenovela Terbaik - Alfie Palermo, Yasmin Yaacob, Na’a Murad, Khairul Nizam Ablah, Ashraf Zain, Shamaine Othman, Adib Zaini dan Aziz Salim.
Penerbit Novel Terbaik - Terbitan Karyaseni Sdn Bhd.
Lagu Tema Telenovela Terbaik - Bahagia Kasihmu (Ippo Hafiz).
Filem Terbaik - Tombirou: Penunggu Rimba.
Pelakon Lelaki Filem Terbaik - Jalil Hamid.
Pelakon Wanita Filem Terbaik - Izara Aishah.
Pengarah Filem Terbaik - Seth Larney.
Penulis Skrip Filem Terbaik - Yasmin Yaakob & Choong Chi Ren.
Lagu OST Filem Terbaik - Ribut Hati (Aina, Tombirou: Penunggu Rimba).
Telefilem Terbaik - Srengenge.
Pengarah Telefilem Terbaik - Mahuddin Ibrahim.
Penulis Skrip Telefilem Terbaik - Wan Mahani Wan Hassan.
Pelakon Kanak-Kanak Telenovela Terbaik - Nik Adam Mika.
Pelakon Kanak-Kanak Filem Terbaik - Mohd Arif Abdullah (Jibam).
Pelakon Kanak-Kanak Telefilem Terbaik - Zara Sophia.
Pelakon Veteran Filem Terbaik - Bohari Ibrahim.
Lakonan Sokongan Mantap - Zarynn Min
Pelakon Serba Dinamik dan Komited - Emma Maembong.
Stesen Penyiar Telenovela Prolifik - Astro.
Penerbit Telenovela Prolifik - Global Station.
Peneraju Penulisan Skrip Adaptasi Novel ke Telenovela - Rozie Ashid.

3. Anugerah Khas

Primadona Telenovela - Fauziah Datuk Ahmad Daud.
Seniman Lagenda - Datuk Abdul Rahim Mohd Razali.
Tokoh Seniman - Othman Hafsham.
Tokoh Seniwati - Datuk Rosnani Jamil.
Tokoh Industri Kreatif - Bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Datuk Kamil Othman.

Aiman Tino Komen Beli Barangan Tiruan

PENYANYI Aiman Tino menjelaskan isu golongan selebriti menggunakan barangan berjenama tiruan tidak sepatutnya diperbesarkan.

Aiman, 20, berkata, tidak semua selebriti mampu membeli barangan mewah yang rata-rata mencecah ribuan ringgit untuk digunakan sebagai pakaian atau aksesori harian.

"Sebenarnya ia bukan satu isu yang perlu diperbesarkan kerana pada saya normal bagi selebriti atau orang biasa nak bergaya mengikut trend semasa.

"Mungkin ada yang tak berkemampuan akan beli barangan tiruan. Seperti saya, nak pakai barangan itu pun tak lama.

Sebuah akaun Instagram yang mendedahkan selebriti menggayakan barangan tiruan.

"Jadi rasa membazir pula nak beli yang asli tambahan pula harganya sangat mahal," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Sebelum ini, kecoh apabila ada sebuah akaun Instagram yang mendedahkan beberapa selebriti tempatan menggayakan jenama tiruan dan memuat naik di laman sosial mereka.

Selain Aiman, antara selebriti yang didakwa menggayakan barangan tiruan ialah Fathia Latiff, Ismail Izzani, Emma Maembong, Zoey Rahman, Janna Nick, Fara Mandoza, Haqiem Rusli dan Ara Johari.

Mengulas mengenai kewujudan akaun Instagram tersebut, Aiman memberitahu dia tidak terkesan dengan pendedahan yang dibuat kerana yakin peminat memahami situasi selebriti sepertinya.

"Saya tak kisah sebab akaun itu buka aib orang, jadi biar dia tanggung sendiri dosa itu.

"Saya tahu ada yang sokong dan memahami situasi sebagai selebriti. Mungkin mereka juga ada yang pakai barang lokal seperti kami," katanya.

Pemerhatian dilakukan pemilik akaun @streetwearbustamy berpandukan beberapa kriteria yang terdapat pada barangan jenama original dan yang digayakan beberapa selebriti tempatan.

Menurut akaun tersebut mengayakan barang-barang tiruan boleh dianggap sebagai menyokong jenayah hak cipta.

Antara barangan yang digayakan seleberiti tempatan ialah daripada jenama Gucci, Supreme, Balanciaga, Adidas dan Louis Vuitton. -mstar

'Ramai Cuba Tiru Aksi 'Lucah' Kak KM, Tapi Tak Jadi!' - Normah Damanhuri

KERAP tampil dengan aksi ghairah di laman instagram, pengasas produk kecantikan iaitu Liana Rosli atau popular dengan panggilan Kak KM menerima kecaman netizen.

Menurut ibunya yang juga merupakan pelakon veteran, Normah Damanhuri, 64, aksi yang dilakukan oleh Liana itu merupakan antara strategi pemasaran produk.

Ujarnya lagi, video yang dihasilkan Liana itu terbukti berjaya menarik ramai peminat dan pembeli.

"Itu cara dia mempromosikan produk dan video yang dihasilkan turut disukai ramai sehingga menjadikan dia popular.

"Saya tengok ramai yang cuba buat macam dia, tapi tak jadi," katanya kepada mStar Online.

Pelakon drama Misteri Wan Peah ini ditemui pada majlis pelancaran jamu Mutyara di WowKL, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Normah mengakui ada memberi teguran kepada usahawan tersebut berhubung isu ini.

"Kalau ada benda yang melampau kita tegur dan syukur mereka dengar cakap ibu.

"Yang tak tahu perangai sebenar dia, boleh datang kenal dia dahulu baru tahu macam mana.

"Dia seorang yang sentiasa ceria, peramah, baik hati dan ikhlas dalam pekerjaan," ujarnya. -mstar

Umie Aida Izinkan Suami Kahwin Lain

Pelakon Datin Seri Umie Aida mendedahkan dia memberi keizinan kepada suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk berkahwin lain.

Umie, 45, berkata suaminya terkejut dengan keputusan yang dibuatnya sebaik sahaja bangun daripada tidur pada pagi Sabtu.

"Pagi ni me (saya) bangun tidur, tiba-tiba me cakap dekat abang (suami). Jangan buat perkara tak elok. Kalau nak terus kahwin. Me izinkan.

"Terkejut beruk abang. Dia cakap me merepek," tulis Umie menerusi laman sosial miliknya.

Pelakon filem Dukun ini juga menyedari dirinya bukanlah seorang isteri yang sempurna.

Umie memuat naik status pendedahan tersebut menerusi laman Instagramnya.

Namun, Umie tidak tahu mengapa dan sebab utama dia berkata sedemikian kepada suaminya.

"Me cakap me tahu me bukan isteri yang sempurna. Hmmm... Entahlah... kenapa dan mengapa me boleh cakap begitu.

"Tapi yes ... Me izinkan dan me nak abang tahu itu. Mood gerhana bulan kot," katanya.

Rata-rata pengikutnya di laman sosial mendoakan rumah tangga Umie dan suami kekal hingga jannah biarpun dilanda dugaan.

Malah, ada juga segelintir netizen yang mengaitkan status tersebut dengan watak Husna menerusi drama Jangan Benci Cintaku.

"Saya doakan akak kekal ke jannah dengan abang sebab awak berdua sokong satu sama lain.

"Wow. Insya-Allah dapat payung emas. Fenomena Husna ada di mana-mana. Bahaya ni.

"Jangan cari nahas, dapat madu macam Husna dalam drama tu nanti nahas...," komen beberapa pengikutnya.

Umie dan Khairuddin Abu Hassan bernikah di Mekah pada Mac 2010. -mstar

Neffos Malaysia Memperkenalkan Telefon Pintar Mampu Milik

Jenama baru meningkat naik di Malaysia Iaitu Neffos yang dibawah naungan syarikat TP-link telah hadir dengan tiga model telefon pintar mampu milik.

Antara tiga model itu ialah Neffos X9, Neffos C9 dan Neffos C9A untuk pasaran Malaysia.

Neffos X9 Ia didatangkan dengan paparan skrin FullView bersaiz 5.99 inci dengan resolusi HD+ 1440×720 dan nisbah 18:9.

Untuk spekfikasi pula ia menggunakan CPU empat teras MediaTek MTK6750 bersama-sama dengan pilihan memori dan storan RAM 3GB, 32GB ataupun RAM 4GB , 64GB.

Dari segi sistem operasi pula, telefon ini dilengkapi dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo. Storan pula boleh disokong sehingga 128GB jika menggunakan kad microSD.

Sistem dwi-kamera 13MP + 5MP f/2.0 di bahagian belakang yang juga mempunyai sistem pemfokusan Phase Detect Autofocus (PDAF) yang menjanjikan gambar-gambar yang tajam dan kamera hadapan menggunakan 8MP.

Untuk bateri ia didatangkan dengan saiz bersaiz 3060mAH berserta sambungan USB-C dengan pengecasan 5V2A.

Malangnya telefon ini tidak dilengkapi audio jack.

Selain model Neffos X9, pihak Neffos Malaysia juga turut memperkenalkan dua buah telefon pintar yang hadir harga sangat murah iaitu model C9 dan C9A.

Kedua-dua model ini dilengkapi dengan spesifikasi dalaman yang sama hanya perbezaan pada saiz sahaja yang mana Neffos C9 dilengkapi dengan skrin bersaiz 5.99 inci dan Neffos C9A pula didatangkan dengan skrin bersaiz 5.49 inci.

Model ini dilengkapi dengan paparan FullView pada resolusi HD+ 1440×720, CPU MediaTek MT6739, kamera pandang belakang bersaiz 13MP dan memori sebanyak 2GB dan juga storan 16GB ia disokong penggunaan kad microSD.

Neffos Malaysia juga mengumumkan harga untuk setiap model ini.

Bagi model X9 ia dijual dengan harga serendah RM599.

Manakala Model C9 RM429 dan Neffos C9 akan mula dijual pada penghujung bulan Ogos pada harga RM499. -thevocket

Huawei Bakal Memperkenalkan Smartphone Boleh Lipat

Buat anda yang mengikuti perkembangan teknologi pastinya anda cukup tahu dengan syarikat Huawei yang cukup gemar dalam mengeluarkan inovasi serta eksperimen terbaru yang berjaya menarik perhatian ramai.

Jika sebelum ini syarikat ini berjaya menghasilkan kerjasama bersama Leica serta memperkenalkan smartphone dengan pengenalan tiga kamera pada bahagian belakang, kini Huawei dalam usaha untuk mengeluarkan sebuah smartphone boleh lipat.

Membawakan ciri retro pada model terbaru ini, Huawei mengatakan model terbaru ini bakal diperkenalkan seawal 2019 sebelum Samsung yang turut mempunyai pelan yang sama melancarnya.

Difahamkan penawaran smartphone boleh lipat ini dibuat setelah Huawei mampu menawarkan smartphone dengan penggunaan paparan OLED fleksibel.

Walaubagaimanapun, berdasarkan sumber awal model terbaru ini bakal ditawarkan dengan harga yang tinggi dimana model premium bakal ditawarkan dengan harga mencecah
RM8,000.

Adakah telefon boleh lipat bakal menjadi trend semula? -thevocket

David Beckham Dibayar RM1.22 Juta Untuk Setiap Gambar ‘Sponsored’ Di Instagram

Pasti ada di antara anda yang tertanya-tanya berapakah bayaran yang diterima oleh para selebriti untuk setiap post berbayar di Instagram mereka.

David Beckham dinobatkan sebagai bintang sukan British yang menerima bayaran paling lumayan daripada post berbayar di laman sosial tersebut.

Menurut senarai Instagram Rich List 2018 oleh Hopper, David Beckham berada pada kedudukan ke-12 selepas Khloe Kardashian dengan bayaran sebanyak $300,000 (RM1.22 juta) untuk satu gambar yang ditaja.

Pemilihan bekas pemain bola tersebut memiliki lebih 49 juta pengikut untuk mempromosikan produk amatlah berbaloi dengan bayaran yang diberi.

Setakat ini lagenda bola sepak itu telah mempromosikan jenama-jenama besar seperti TUDOR Watch, adidas, PES2019 dan banyak lagi. -thevocket

Jangan Tertipu Akaun Palsu Instagram Anuar Zain

PIHAK pengurusan kepada penyanyi terkenal Anuar Zain, Anuar Zain Network, memohon agar peminat berwaspada dengan kewujudan akaun Instagram palsu yang menggunakan identiti penyanyi itu.

Hebahan tersebut disampaikan menerusi salah sebuah entri terbaru di laman Instagram Anuar Zain Network.

"Assalamualaikum dan Hello Semua. Pihak Anuar Zain Network ingin memaklumkan bahawa akaun anuarzainprivatenetwork adalah akaun Instagram palsu.

"Diharap anda dapat membantu membuat report di Instagram tersebut supaya tidak ada yang terpedaya dengan maklumat dari akaun palsu tersebut.

"Kami dahului dengan ucapan terima kasih," tulisnya. -astroawani

Manusia Tertua Dunia Meninggal Pada Usia 117 Tahun

Wanita berusia 117 tahun yang dinobat sebagai manusia tertua dunia telah meninggal dunia.

Chiyo Miyako menghembuskan nafas terakhirnya pada Ahad di kediamannya di Kanagawa, selatan bandaraya ini.

Miyako yang lahir pada 2 Mei 1901 menjadi manusia tertua pada April selepas Nabi Tajima dari Pulau Kikai di selatan Jepun meninggal dunia juga pada usia 117 tahun.

Ahli keluarga Miyako memanggilnya 'dewi' dan sentiasa mengenangnya sebagai seorang yang peramah dan penyabar.

Perkara itu turut dicatat dalam Rekod Dunia Guinness yang mengiktiraf gelaran yang disandangnya itu.

Miyako gemar menulis kaligrafi, selain menjamah sushi serta belut.

Setakat ini, penyandang gelaran yang dikosongkan Miyako belum dapat diputuskan lagi.

Besar kemungkinan ia menjadi milik seorang lagi warga Jepun dari Fukuoka, Kane Tanaka yang berusia 115 tahun.

Selain itu, lelaki paling tua dunia juga rakyat Jepun, Masazo Nonaka yang menetap di Hokkaido dan kini berusia 113 tahun. -AP

Fathia Latiff, Emma Maembong, Janna Nick, Aiman Tino Antara Artis Pakai Jenama Tiruan

SEBUAH akaun Instagram mendedahkan beberapa selebriti menggayakan barangan jenama tiruan ketika menghadiri majlis dan menerusi foto yang dimuat naik di laman sosial mereka.

Pemerhatian dilakukan pemilik akaun @streetwearbustamy berpandukan beberapa kriteria yang terdapat pada barangan jenama original dan yang digayakan beberapa selebriti tempatan.

Antara selebriti yang didakwa menggayakan barangan tiruan ialah Fathia Latiff, Ismail Izzani, Emma Maembong, Aiman Tino, Zoey Rahman, Janna Nick, Fara Mandoza, Haqiem Rusli dan Ara Johari.

Ia dikesan menerusi gambar yang mereka rakamkan menerusi foto outfit of the day (OOTD).

Akaun dedah artis pakai barang tiruan
Menurut akaun tersebut mengayakan barang-barang tiruan boleh dianggap sebagai menyokong jenayah hak cipta.

"Sebagai selebriti perkara ini tidak seharusnya berlaku. Sila didik diri sendiri tentang menyalahgunakan harta intelektual.

"Menyokong produk palsu adalah tidak beretika dan menyalahgunakan harta intelek. Sila didik diri sendiri, kita tidak mengutuk, tetapi masalah ini menjadi trend dalam masyarakat kita," menurut status di akaun berkenaan.

Antara moto akaun itu juga ialah 'barang palsu adalah untuk orang-orang palsu'.
Awal dan Asad dikesan gayakan jenama original.

Antara barangan yang digayakan seleberiti tempatan ialah daripada jenama Gucci, Supreme, Balanciaga, Adidas dan Louis Vuitton.

Segelintir selebriti mengayakan jenama tiruan itu sebagai previu berbayar untuk perniagaan yang menjual barangan tiruan.

"Review berbayar tidak salah tapi sebagai selebriti yang tunjukkan sokongan kepada jualan barangan tiruan dan penyalahgunaan hak cipta itu salah.

"Ini adalah pengajaran,bila orang tiru hasil kerja kau, kau bising," ujarnya.

Selain itu, akaun tersebut turut mengesan beberapa selebriti yang mengayakan barangan original seperti Awal Ashaari, Asad Motawh, Hael Husaini, Nabila Razali dan Sharifah Sakinah. -mstar

Fazley Yaakob Dan Isteri Naik Pelamin November Depan

PENYANYI dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob yang sebelum ini pernah meluahkan hasrat bersanding semula dengan isterinya Datin Azrene Soraya Abdul Aziz akan mengotakan janji itu pada November depan.

Fazley berkata, dia mahu melakukan majlis tersebut secara sederhana dengan menjemput rakan-rakan yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinannya 12 tahun lalu.

“InsyaAllah perancangannya bulan November depan kerana kami bernikah pada 7 November, mungkin dalam minggu itu. Persiapan sudah dirancang atas kertas cuma belum secara fizikal.

“Tapi ia bergantung juga kepada jadual saya dan isteri serta selesaikan urusan anak-anak dulu,” ujarnya kepada mStar Online pada Khamis.

Fazley menunjukkan beberapa hidangan istimewa di Restoran Mamanda.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran restoran Mamanda Kuala Lumpur yang bertempat di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur.

Fazley dan Azrene berkahwin pada 2007 dan perkahwinan itu penuh kontroversi apabila ibu Azreen iaitu Datin Seri Rosmah Mansor tidak merestuinya.

Azrena adalah anak Rosmah, hasil perkahwinan dengan suami terdahulu iaitu Abdul Aziz Nong Chik.

Fazley berkata, dia mahu melaksanakan majlis tersebut secara sederhana bagi meraikan ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan media yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan lalu.

Katanya, hasrat tersebut merupakan janji yang pernah dibuat kepada arwah bapanya.

Fazley melancarkan Restoran Mamanda pada Khamis.

“Dulu saya jemput 100 orang media ke majlis itu tapi lapan orang sahaja yang datang, malah ada yang datang itu diberhentikan kerja.

“Ada rakan media yang hubungi saya minta maaf tak dapat datang dan ketika itu mereka minta saya buat lagi majlis jika ada rezeki untuk mereka datang.

“Selain itu juga pesanan arwah ayah saya sebelum dia meninggal,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga pula, Fazley berkata, dia tidak merancang untuk menamba cahaya dalam masa terdekat.

Petugas media yang hadir turut diberi peluang mencuba menyediakan hidangan istimewa Restoran Mamanda.

“Buat masa ini tutup kedai dahulu, cukup empat orang dan kami mahu fokus membesarkan mereka terlebih dahulu,” ujarnya.

Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8, Ahmad Firudz Shah, 6 dan Alayna Selma yang kini berusia tujuh bulan.

Sementara itu, bercerita tentang Mamanda, Fazley berkata, restoran itu sudah dibuka kepada umum sejak setahun lalu.

Mamanda menawarkan makanan Melayu Nusantara dengan harga berpatutan.

“Pengunjung boleh merasai suasana mewah istana Melayu sewaktu berada di situ sambil menikmati hidangan Melayu Nusantara ala Diraja,” ujarnya. -mstar

Priyanka Chopra Dan Nick Jonas Bertunang Selepas Dua Bulan Bercinta

PELAKON terkenal Bollywood Priyanka Chopra dilaporkan sudah mengikat tali pertunangan dengan teman lelakinya, penyanyi Nick Jonas hanya selepas dua bulan bercinta.

People melaporkan pasangan itu bertunang pada hari jadi ke-36 Priyanka minggu lalu ketika mereka bercuti di London.

"Mereka berdua kelihatan sangat gembira.

"Keluarga Nick sangat gembira dengan berita itu dan teruja untuk pasangan itu.

"Nick benar-benar jatuh cinta dan serius untuk berkahwin dengan aktres itu," kata sumber terdekat pasangan itu.

Bagaimanapun wakil kedua-dua artis itu enggan mengulas mengenai perkembangan terbaharu itu.

Nick, 25, dan Priyanka mula berpacaran sejak Mei lalu dan sejak kebelakangan ini mereka sering dilihat menghabiskan masa bersama termasuk makan malam romantik di New York selain menghadiri konsert bersama-sama.

Malah Priyanka sudah pun bertemu dengan keluarga Nick ketika perkahwinan sepupunya pada Jun lalu.

Pasangan itu kemudiannya ke India untuk bertemu dengan ibu Priyanka dan penyanyi itu diterima baik oleh keluarga aktres itu. -mstar

Peminat Zahirah@Feeqa Luah Perasaan Gara-gara Drama 'Jangan Benci Cintaku'

PELAKON cantik, Zahirah Macwilson mendedahkan ada sesetengah penonton drama bersiri Jangan Benci Cintaku menghantar Direct Message (DM) dan meluahkan perasaan serta nasib mereka yang hampir sama seperti watak lakonannya, Feeqa.

Menurut selebriti berusia 23 tahun ini, ada juga di antaranya yang meminta nasihat mengenai perhubungan mereka kepadanya dan dia cuba nemberi sokongan sebaik mungkin.

“Saya tak sangka drama itu akan mendapat sambutan dan trending di media sosial.

“Ramai yang DM di Instagram dan memberitahu terkesan dengan watak yang saya bawa, malah ada yang kongsi kisah mereka yang hampir sama dengan watak yang saya bawakan.

"Mana yang meluahkan perasaan itu saya hanya memberi sokongan moral kepadanya dan yang minta nasihat itu saya cuba beri pandangan sebaik mungkin.

"Realitinya saya sendiri rasa tak kuat bila berada di tempat Feeqa dan tak rasa boleh jadi macam watak Feeqa dalam dunia sebenar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk penjagaan wajah Meeracle di Hotel Le Meridien.

Menerusi drama Jangan Benci Cintaku, Zahirah bergandingan dengan Saharul Ridzwan dan ia disiarkan di saluran TV3 menerusi slot Akasia.

Sementara itu, berkongsi mengenai pelantikannya sebagai duta Meeracle, Zahirah mengakui ada rasa skeptikal pada produk kecantikan tempatan.

Jelasnya, dia tidak membuat keputusan melulu untuk menerima, sebaliknya menggunakan produk tersebut terlebih dahulu bagi melihat keberkesanannya.

“Saya sangat teliti dengan apa yang saya kongsi dengan peminat, kalau tidak berkesan, saya tak akan terima tawaran untuk jadi duta.

"Tapi selepas dicuba ternyata produk ini bagus dan itu antara sebab utama saya menerimanya," katanya. -sinar online

Aliff Syukri Kecewa Kereta Ferrari Meletup

JUTAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengakui dia masih berasa kecewa atas apa yang telah berlaku pada petang, semalam.

Kereta mewah Aliff Syukri jenis Ferrari meletup di kilometer 39.5 Lebuh Raya Kesas dari Persiaran Kewajipan menghala ke Plaza Tol Sunway.

Dalam perkembangan terkini menerusi Instagram Live akaun milik Aliff tampil meluahkan perasaannya apabila dikecam oleh netizen yang mengikuti IG Live itu.

"Memang saya tengah kecewa tapi saya tak boleh terus bersedih dan saya harus kuat serta cekal dengan apa yang telah berlaku.

"Anda pun janganlah kutuk dan kecam saya. Kereta dah meletup tak ada rezeki.

"Apapun saya kena teruskan bekerja sebab ada isteri dan anak-anak nak sara hidup mereka," luahnya.

Meski berdepan dengan kecaman, ada juga segelintir yang memberikan kata-kata semangat kepadanya. -sinar online

'Biarkan Mereka Terus Melalak' - Wak Doyok

PERSONALITI fesyen Wak Doyok berkata dia dalam proses mencari jalan penyelesaian terbaik membabitkan dirinya dengan bekas 'pembantu peribadi (PA)' iaitu Asyraff Mazlan.

Wak Doyok atau nama sebenar Mohd Azwan Md Nor, 39, turut menjelaskan apa yang berlaku di antara mereka bukanlah gimik atau lakonan untuk melariskan produk.

"Sebenarnya saya tak boleh komen banyak tentang hal ini kerana ia masih dalam siasatan kes dan perlu mendapatkan penjelasan daripada peguam terlebih dahulu.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak membalas sebarang komen, biarkan mereka terus melalak kerana apa yang saya buat ini merupakan tindakan yang betul.

"Isu ini menyebabkan saya menerima tekanan hebat di sosial media sehingga orang menuduh saya menipu dan ingin saya tegaskan ini bukan gimik, ia benar-benar terjadi.

"Saya hanya memberitahu perkara yang benar iaitu dia bukan lagi PA saya, tapi pihak sana yang melatah menunjukkan pelbagai bukti dan keluarkan dokumen sulit syarikat," katanya kepada mStar Online.

Wak Doyok ditemui pada majlis pelancaran ketika ditemui pada majlis pelancaran jamu Mutyara di WowKL, Kuala Lumpur pada Rabu.

Awal bulan ini, nama Wak Doyok menjadi perbualan hangat netizen apabila dia dituduh menipu dengan menganggap Asyraff sebagai pembantu peribadi sedangkan lelaki itu merupakan pemegang saham terbesar di bawah jenama Wak Doyok.

Ini Sebab Awi Rafael Pilih 17 Mac Nikahi Atikah Suhaime

PENYANYI Awi Rafael atau nama sebenarnya Mohammad Nabawi Ewan Gunawan Rafael, 32, bakal berkahwin dengan tunangnya, aktres Atikah Suhaime pada 17 Mac tahun hadapan.

Menurut Awi, tarikh itu dipilih bersempena hari ulang tahun kelahiran Atikah.

"Atikah lahir pada 15 Mac, tetapi tarikh itu jatuh pada hari bekerja, jadi kami buat keputusan untuk berkahwin pada 17 Mac yang jatuh pada hari minggu.

"Insya-Allah, kami akan adakan majlis resepsi di Singapura sementara majlis di Kuala Lumpur masih lagi dalam perancangan.

"Alhamdulillah, setakat ini semuanya telah berjalan dengan lancar, doakan yang baik-baik buat kami berdua," kata Awi.

Awi ditemui di majlis kejutan sambutan hari jadinya yang ke-32 bertempat di Suka Sucre Bistro, Cheras. -astroawani

Bakat Tak Dihargai, Aliff Syukri Mahu Menyanyi Di Luar Negara

USAHAWAN kosmetik yang bergelar penyanyi, Datuk Seri Aliff Syukri mahu mengembangkan bakat nyanyiannya di luar negara.

Menerusi salah sebuah entri di laman Instagram miliknya, Aliff memuat naik paparan skrin soalan yang ditanyakan netizen di ruangan Ask Me Question.

"Apa lagi bisnes yang bakal Datuk akan buat?" tanya soalan terbabit.

Menjawab soalan itu, Aliff berhasrat untuk mewarnai industri nyanyian di luar Malaysia.

"Menyanyi di luar negara sebab di Malaysia bakat saya tak dihargai, dan membangunkan lot rumah banglo," jawab Aliff.

Isteri Aliff, Datin Seri Nur Shahida sempat meninggalkan komen di entri tersebut.
"Saya hargai lah bakat terendam tu," seloroh Shahida.

Sebelum ini, Aliff pernah tampil dengan single Abang Nak Tegur dan menjadi penyanyi undangan dalam single Nur Sajat, Makhluk Penggoda. -astroawani

Wanita Maut Dipatuk Ular Online

Hasrat seorang wanita di China untuk membuat wain ular tradisional tidak kesampaian selepas dia dipatuk reptilia itu yang dibelinya daripada portal membeli belah dalam talian.

Mangsa berusia 21 tahun dari wilayah Shaanxi itu meninggal dunia Selasa lalu, lapan hari selepas dia dipatuk spesies banded krait tersebut.

Agensi berita Xinhua melaporkan wanita itu membeli ular tersebut daripada seorang penjual di wilayah Guangdong menerusi platform e-dagang, Zhuanzhuan.

"Ibunya memberitahu, dia mahu membuat wain ubat tradisional dengan merendamkan ular terbabit dalam campuran alkohol. Minuman itu dikatakan boleh menyegarkan badan.

Selepas insiden itu, ular terbabit dikatakan terlepas, namun ia dijumpai semula berhampiran kediaman wanita itu," jelas laporan itu lagi.

Difahamkan, platform dalam talian melarang jual beli hidupan liar. -AFP

Berkat Cinta Tiga Bulan A. Aida dan Ariff

Jika bercakap soal jodoh, pasti banyak kisah yang kita dengar tentang betapa aneh dan uniknya ia berlaku kerana perkara itu adalah antara rahsia Allah paling besar.

Buat pelakon yang kini bergelar penerbit tersohor, Datuk Zaidah Awang atau nama komersialnya, A. Aida, pasti jodohnya kali ini paling tidak terduga.

Wanita berusia 47 tahun ini hanya melalui fasa bercinta selama tiga bulan sebelum dia dan suami, pelakon baharu, Wan Izma Ariff Abd. Aziz atau Ariff Aziz, 29, mengambil keputusan bernikah pada tanggal 21 Julai lalu di Dorset Hotel, Grand Subang.

Saat ditemui selepas selesai majlis pernikahan pada malam tersebut, dia memberitahu, inilah kali pertama dirinya merasakan suasana pernikahan yang sebenar ketika berkahwin.

Ironinya, ini adalah pernikahan keempat A.Aida selepas kegagalan rumah tangga bersama Ameng Spring dan dua orang bekas suami beranggota polis yang menyaksikan kali terakhir perceraiannya terjadi pada tahun 2013.

A. Aida dan Ariff selamat dinikahkan oleh Imam 2 Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Ustaz Mohammad Mran Nasohah dengan dua kali lafaz.

Pengantin lelaki memberikan mas kahwin RM300, wang hantaran RM20,000 berserta tiga dulang hantaran berbalas lima oleh pengantin perempuan.

“Pastinya saya berasa sangat bersyukur, lega dan bahagia apabila semuanya berjalan lancar serta kami berdua sah bergelar suami isteri biarpun ia berlaku dalam jangka masa yang agak pantas.

“Saya sangat gembira pada malam ini kerana majlis berjalan mengikut cita rasa dan keinginan saya.

"Inilah pertama kali saya beria-ia merancang pernikahan sendiri dan berasa seronok seperti tidak pernah melaluinya sebelum ini,” ujarnya sambil memaut erat lengan sasa si suami.

Lali

Adat manusia, yang terkurang jadi umpatan mana yang lebih jadi sindiran.

Buat pasangan mempelai, tidak mudah untuk mereka menjadi kalis makian saat menuju ke jenjang pelamin terutama selepas berita lamaran Ariff menjadi tular sekitar dua minggu lalu.

Saat bertanya apakah kekuatan A. Aida memekakkan telinga dengan kata-kata kurang enak hanya kerana dia bernikah dengan lelaki jauh lebih muda, wanita itu hanya memberitahu, sudah lumrah dunia sebagai anak seni.

Pasca menempuh kehidupan sebagai pelakon kemudian penerbit sejak lebih 20 tahun menjadikan ibu kepada Wan Az Aleesa, 21, Wan Azevanatassha, 16, tahun dan Muhammad Rahul, 10, itu berkata, dia sudah lali dan masak dengan situasi tersebut.

“Mana yang lebih baik, kahwin dengan anak teruna atau rampas suami orang?

"Sekurang-kurangnya saya tidak menyakitkan hati sesiapa,” padat jawapan yang diberikan oleh anak kelahiran Terengganu itu sambil tersenyum sinis.

Dalam pada itu, dia turut memberitahu, antara sebab lain pintu hatinya terbuka untuk Ariff adalah kerana kemampuan suaminya itu mengubah dia menjadi muslimah lebih baik.

Buktinya, bermula pada malam pernikahan, A. Aida mengesahkan bakal meneruskan imej berhijab yang dipakainya sebagai menghormati permintaan Ariff yang mahu dia tampil sedemikian.

“Hati saya memang masih berbelah-bahagi untuk bertudung tetapi saya sudah bertanya kepada seorang ustaz tentang perasaan ini. Ustaz memberitahu, pahala menurut permintaan suami lebih tinggi daripada keinginan saya yang belum sepenuhnya itu.

“Jujur saya beritahu, bukan mudah untuk mengubah wanita keras kepala seperti saya, namun Ariff berjaya lakukannya jadi saya yakin, dia jodoh terbaik buat saya untuk masa ini,” terangnya panjang lebar.

Tumpang

Sementara itu, bagi Ariff, pelakon baharu yang mula mencipta nama menerusi drama seperti Misteri Wan Peah dan Isteri Untuk Diiktiraf itu, niat memperisterikan A. Aida bukanlah suatu tindakan yang mempunyai maksud tersirat.

Biarpun terdapat segelintir pandangan skeptikal tentang keterbukaannya memilih wanita yang lebih berusia dan berharta sebagai suri hidup sebagai jalan mudah untuk menapak dalam industri, Ariff menafikan hal tersebut.

Katanya, dia bukan seorang lelaki tidak berpelajaran, sebaliknya dia mempunyai segulung ijazah dalam bidang Multimedia serta mempunyai perniagaan sendiri sebelum mencuba nasib sebagai pelakon yang seterusnya menjadi titik perkenalan dia dan isteri.

“Senang untuk orang menganggap apa sahaja apabila saya bernikah dengan A. Aida, namun hanya Allah sahaja yang tahu keikhlasan saya mencintai dia.

“Dia seorang wanita yang cantiknya datang dari dalam dan bukan sekadar luaran. Usianya yang lebih tua menjadikan dia matang, mengajar saya banyak perkara tentang perhubungan dan ia saya anggap sebagai satu kelebihan, bukan kelemahan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, jika dia mahu mengambil kesempatan ke atas segala kelebihan yang dimiliki isterinya termasuk kemewahan, pastinya sudah lama dia berbuat demikian.

Sementelah, dia telah mengenali isterinya seawal melangkah ke dalam industri hiburan pada 2015.

“Saya pernah bertunang, namun ia terputus di tengah jalan. Selepas itu baru hubungan saya dan A. Aida menjadi rapat serta terbit rasa cinta.

“Apa yang terjadi (hubungan) bukan dirancang atau dipaksa, namun terjadi secara semula jadi kerana Allah itu sebaik-baik perancang,” katanya menutup perbualan. -kosmo

Nurul Zayanti Gadis Melayu Pertama di Top 20 Miss Universe New Zealand

“Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada memikat.”

Bait lirik lagu berjudul Gadis Melayu yang dipopularkan oleh penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Jamal Abdillah itu ditujukan khas buat wanita Melayu.

Ia ditulis sebagai mengiktiraf kedudukan gadis Melayu dengan mengagungkan karakteristik feminin yang cukup mempesonakan.

Menariknya, kecantikan yang dimiliki seseorang gadis Melayu itu bukan calang-calang sebaliknya ia telah ditagih di peringkat global khususnya bagi masyarakat di New Zealand.

Gadis kelahiran Ampang, Selangor, Nurul Zayanti Shamsul, 20, membuka mata seluruh dunia apabila dia tersenarai dalam Top 20 Miss Universe New Zealand 2018 baru-baru ini.

Lebih membanggakan, buat pertama kali dalam sejarah, Nurul Zayanti merupakan satu-satunya peserta berhijab dari Malaysia yang berentap dalam pertandingan itu yang akan diadakan pada 4 Ogos nanti.

Begitu pun, terpilih sebagai peserta dalam pertandingan ratu cantik tersebut tidak pernah sedikit pun terlintas dalam fikiran pelajar jurusan psikologi dengan pengkhususan Dasar Sosial di Universiti Waikato itu.

Nurul Zayanti yang mesra disapa Nurul memberitahu, menyertai pertandingan tersebut sudah menjadi impiannya sejak kecil lebih-lebih lagi melihat beberapa pertandingan ratu cantik dunia menerusi kaca televisyen.

“Sejujurnya, saya sentiasa berfikiran optimistik demi mencapai sesuatu yang saya inginkan.

“Setelah menghantar butiran menerusi e-mel dan melakukan beberapa sesi temuramah, saya akhirnya disenarai pendek dalam Miss Universe New Zealand 2018 selang beberapa minggu kemudian.

Kenalan baharu

“Ketika itu, saya benar-benar tidak sangka malah terkejut apabila dapat pergi sejauh ini kerana persaingan itu disertai ramai lagi calon yang berpotensi besar,” jelasnya yang telah berhijrah ke New Zealand sejak umur lima tahun lagi.

Kongsi anak sulung daripada tiga beradik itu, menyertai program tersebut merupakan pengalaman yang sangat berharga buat dirinya.

Hal ini kerana Nurul dapat melakukan aktiviti menyeronokkan bersama kenalan baharu malah merantau ke negara lain seperti Thailand sebagai rangka promosi.

Ketika berada di Thailand selama 10 hari, Nurul menikmati momen wacana harmoni dalam kapal pesiaran, menyaksikan persembahan muzikal dan sarkas bersama peserta lain.

Sejak diumumkan menjadi peserta Top 20 dalam pertandingan tersebut, nama Nurul kian melonjak naik sehingga mendapat perhatian media antarabangsa dan tempatan.

Kisahnya sebagai seorang wanita berhijab menyertai pertandingan ratu cantik itu hangat diperkatakan bukan sahaja di Malaysia, malah di negara Asia Barat lain termasuk di Mexico.

Boleh dikatakan, jadual harian Nurul semakin padat dipenuhi agenda temuramah dan sesi penggambaran selain melayan peminatnya menerusi laman media sosial.

Bertitik tolak daripada situlah ujian demi ujian perlu dilaluinya lebih-lebih lagi dari segi pengurusan masa kerana pada hari kebiasaan, figura tersebut masih lagi terikat dengan jadual seorang mahasiswa biasa yang menuntut pelbagai jenis tugasan kursus.

Karakter individu

Malah difahamkan, sebelum Nurul dan peserta lain diterbangkan ke Thailand, gadis tersebut masih lagi perlu bertungkus- lumus menyiapkan tugasan kursus pengajian dan mengulang kaji pelajaran bagi menduduki peperiksaan akhir semester.

Nurul menyifatkan Miss Universe New Zealand 2018 merupakan pertandingan yang cukup istimewa.

Pada hematnya, pertandingan Miss Universe New Zealand 2018 bukan sekadar pencarian ratu cantik yang tipikal semata-mata.

Malah, kategori pakaian renang yang sinonim dengan pertandingan ratu cantik telah disingkirkan pada tahun 2012 lagi bagi menjadikan pertandingan itu lebih moden dan inklusif.

“Pertandingan ini berpaksikan karakter individu dan kemampuan untuk menjayakan cabaran keusahawanan demi melaksanakan kebajikan membantu golongan yang memerlukan.

“Secara peribadi, saya tidak akan menyertai pertandingan ini sekiranya bertentangan dengan nilai atau moral sebagai seorang Muslim.

“Saya juga bebas untuk menggayakan apa sahaja busana dengan gaya berhijab sepanjang sesi penggambaran kempen,” katanya yang tidak pernah berhadapan sebarang masalah disebabkan berhijab sepanjang berada di New Zealand.

Selain itu, Nurul juga tidak menghadapi sebarang masalah khususnya berkaitan sensitiviti agama sepanjang menyertai pertandingan tersebut.

Hal ini kerana pihak penganjur cukup teliti dan prihatin dengan menyediakan kemudahan yang mesra untuk peserta beragama Islam.

Kata Nurul, ketika berada di Thailand, pihak penganjur turut menyediakan makanan yang halal untuk dinikmatinya.

Bercerita mengenai persiapan untuk berdiri di pentas akhir Miss Universe New Zealand bersama 19 lagi peserta lain pada 4 Ogos ini di Auckland, New Zealand, Nurul hanya mahu memastikan dirinya cukup bersedia dari segi mental dan spiritual.

Hal ini kerana perhatian yang diberikan terhadapnya sepanjang pertandingan tersebut sangat menggunung dan pastinya Nurul membawa harapan seluruh wanita berhijab di seluruh dunia.

Pendorong

Ia semestinya menjadi pendorong buat gadis berdarah Indonesia itu untuk terus maju dan lebih yakin untuk merebut gelaran ratu cantik Miss Universe New Zealand seterusnya.

Menjadikan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan penyanyi Yuna sebagai inspirasi, Nurul berharap penyertaannya dalam pertandingan itu dapat memecah tembok sempadan yang sering menjadi halangan kepada wanita bertudung untuk mencapai impian mereka.

Selain itu, gadis yang gemar berpuisi pada masa lapang itu juga mahu menjadikan penyertaan di dalam pertandingan Miss Universe New Zealand sebagai platform untuk melebarkan sayapnya dalam aktiviti kebajikan dengan lebih berkesan.

“Usah takut untuk mencuba sesuatu yang baharu sebaliknya harus sentiasa optimistik kerana jalan itu akan sentiasa terbuka bagi mereka yang mahu berkerja keras untuk mencapai kejayaan.

“Peluang itu tidak selalu datang kepada kita. Jadi, sentiasa lakukan yang terbaik dalam apa jua yang diceburi kerana pada akhirnya, kebahagiaan itulah yang kita cari selama ini,” kongsinya.

Nurul Zayanti Shamsul, 20, mahu pecah tembok stereotaip imej Islam dan ideologi kecantikan wanita menerusi penyertaannya di pentas Miss Universe New Zealand 2018. -kosmo

'Kalau Ada Rezeki, Jodoh Akan Kahwin Juga' - Fasha Sandha

PELAKON Fasha Sandha dan Aidil Aziz masih berteka teki tentang arah tuju hubungan mereka berdua.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha binti Hassan bagaimanapun menegaskan statusnya kini single but not available.

"Masih terlalu awal untuk kami nak buka banyak perkara kerana kami hanya go with the flow.

"Lain orang lain caranya, kami berkawan dahulu dan kenal kedua belah keluarga dahulu," kata Fasha kepada mStar Online.

Fasha dan Aidil ditemui ketika hadir pada majlis pernikahan Datuk A. Aida dan Ariff Aziz di Hotel Dorsett Grand di sini, pada malam Sabtu.

Gosip kononnya Aidil dan Fasha menjalinkan hubungan ‘istimewa’ mula hangat diperkatakan selepas mereka sering dilihat bersama kebelakangan ini. -mstar

'I love you sayang' ucapan romantis A. Aida buat Suami

PRODUSER terkenal, Datuk A. Aida akhirnya sah bergelar isteri kepada pelakon Ariff Aziz selepas menjalinkan hubungan cinta selama tiga bulan.

Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis sederhana tetapi meriah kira-kira pukul 8.55 malam di Hotel Dorsett Grand di sini, malam Sabtu yang turut dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan teman rapat serta media.

A. Aida atau Zaidah Awang, 47, dan Ariff dinikahkan oleh Imam 2 Masjid Darul Ehsan Subang Jaya, Mohammad Imran Nasohah.

Ariff, 29, menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin kepada pengantin perempuan manakala wang hantaran sebanyak RM20,000. -mstar

Lindsay Lohan Ambil Anak Angkat Dari Syria

PELAKON Lindsay Lohan sudah bersedia untuk mengambil anak angkat pertamanya yang berasal dari Syria.

Menurut sumber, selebriti berusia 32 tahun ini telah banyak terlibat dalam aktiviti kemanusiaan di Syria dan Turki.

"Saya akan mengambil anak angkat yang pertama memandangkan saya telah banyak meluangkan masa di Syria dan juga Turki.

"Tujuan saya kerana ingin menyelamatkan mereka dan merancang untuk mempunyai dua atau empat anak.

"Tetapi saya masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga," ujar Lindsay.

Sebelum ini, Lindsay pernah digosipkan memeluk agama Islam, namun khabar angin itu belum disahkan kebenarannya sehingga kini. -mstar

Wanita Tabur Fitnah Terhadap Sharifah Sakinah Dan Memey Mohon Maaf

INDIVIDU yang mahu dikenali sebagai Mia Haidy tampil membuat permohonan maaf terhadap salah faham sehingga tercetus kontroversi menuduh suami pelakon Sharifah Sakinah berlaku curang.

Mia yang menghantar maklumat tentang perkara tersebut memberitahu dia tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap rumah tangga aktres berkenaan.

"Saya minta maaf Sahrifah Sakinah dan Memey, ini semua salah faham, jujur saya tiada niat jahat kerana kalau saya berniat jahat dari awal saya dah bertanya di publik dan terus menuduh.

"Saya tanya elok-elok secara privasi, mungkin dia rasa saya busybody, ia memberi pengajaran kepada saya juga," ujarnya kepada mStar Online pada Ahad.

Paparan skrin yang dimuat naik Sakinah pada Jumaat.

Sharifah Sakinah pada Jumaat memuat naik paparan skrin mesej peribadi yang diterima daripada sebuah akaun yang menuduh suaminya mempunyai hubungan dengan seorang wanita.

Pelakon berkenaan turut memberi amaran kepada orang luar agar tidak mencampuri urusan rumah tangganya.

Sementara itu, Mia berkata, dia tidak menuduh sebaliknya hanya memberi maklumat dan berharap pelakon itu menyiasat sendiri perkara berkenaan.

"Saya mengikuti IG pramugari itu dan selalu nampak dia post gambar teman lelakinya secara tidak jelas.

"Saya minta maaf sekali lagi kepada kedua-dua mereka yang terkesan dengan perkara tersebut," ujarnya.

Pada Sabtu, seorang wanita dikenali sebagai Memey membuat penjelasan bahawa kekasihnya bukanlah suami kepada aktres berkenaan.

Dia juga kesal apabila hal peribadi yang dirahsiakan daripada umum menjadi bahan fitnah.

Sakinah dan suaminya, Aliff Adha, 29, yang juga seorang juruterbang mendirikan rumah tangga pada Mac 2015.

Pasangan ini menimang cahaya mata yang kini berusia setahun. -mstar

Restoran Chef Wan Kitchen di Esplanade Singapura Ditutup, Tukang Masak 'Take Tahu Memasak'

SETELAH setahun beroperasi, restoran Chef Wan’s Kitchen di Esplanade, Singapura telahpun ditutup kepada umum.

Menurut laporan sebuah portal di sana, premis tersebut tidak lagi beroperasi, malah ketika tinjauan dilakukan pada minggu itu, pemilik meletakkan notis berbunyi “closed for business’ sebagai makluman kepada pelanggan mereka.

Chef Wan ketika dihubungi portal berkenaan mengesahkan tentang penutupan restoran disebabkan beberapa perkara yang berada di luar kawalannya.

“Saya tidak katakan tukang masak Singapura bagus atau tidak.

"Namun chef-chef yang bekerja di situ tidak menghasilkan masakan mengikuti resipi-resipi saya.

“Pergi bandingkan lontong saya dengan lontong dia atau nasi lemak saya dengan nasi lemak dia, cukuplah.

"Berbuih-buih cakap berhari-hari hantar gambar, hari-hari buat macam-macam,” luahnya.

Dalam masa yang sama, selebriti chef popular ini turut tidak menolak kemungkinan faktor dia jarang berada di sana kerana sibuk dengan urusan di Kuala Lumpur juga mungkin antara penyebab situasi tersebut berlaku.

“Saya tidak tahu, tapi mungkin juga,” katanya.

Bagaimanapun Chef Wan mengakui lega setelah mengambil keputusan untuk menutup operasi restoran tersebut.

“Lega. Kalau boleh nak sedekah pisang kat masjid. Jadi tak payah pening kepala.

"Tak payah tengok macam mana chef-chef Singapura itu nak kena maki hamun siang malam pun tak buat jugak.

“Sedangkan saya buat di Mandarin Oriental Hotel KL hari-hari. 800 orang saya sajikan semua hari-hari tidak ada masalah pun,” luahnya.

Difahamkan Chef Wan’s Kitchen yang dibuka pada Julai 2017 itu merupakan kerjasama Chef Wan dengan rakan kongsi di Singapura. -sinar online

Qtrex, Aplikasi Jejak Lokasi Anak

ISU keselamatan membabitkan kanak-kanak sering kali menjadi kebimbangan ibu bapa, terutamanya dalam dunia semasa yang semakin mencabar.

Malah setiap masa, kita dihidangkan dengan pelbagai kes kehilangan kanak-kanak dan jenayah melibatkan golongan ini sehingga membimbangkan masyarakat.

Pantauan semata-mata tidak mencukupi memandangkan mereka mudah terdedah dengan pelbagai risiko terutamanya ketika berada di persekitaran luar.

Bagi menangani kebimbangan golongan ibu bapa ini, Alvina Solution tampil dengan evolusi terkini, menggunakan aplikasi di telefon bimbit sebagai penjejak di mana lokasi anak berada.

Gabungan kesihatan dan keselamatan
Menurut Pengasasnya, Siti Salbiah Md Othman,35, idea menghasilkan aplikasi Q-Trex merupakan usahasama dengan rakan kongsi yang juga Pakar IT berpengalaman, Mohd Ridzman Azzahari, 34.

Katanya, ia sebahagian daripada kempen jenayah siber yang dijalankan oleh Mohd Ridzman di sekolah seluruh negara dengan mengabungkan soal kesihatan dan keselamatan.

“Alvina mengeluarkan produk nutrisi, dikenali Q-Harit’Z. Ia merupakan makanan tambahan terbaik yang dapat membantu anak-anak dalam proses perkembangan fizikal dan minda.

“Jadi kita gabungkan kedua-duanya, Q-Haritz sebagai kesihatan dan Q-Trex sebagai keselamatan pada setiap kempen jenayah siber yang dijalankan,” ujarnya.

Salbiah berkata, inisiatif yang digerakkannya itu sebagai galakkan kepada masyarakat dan ibu bapa di luar untuk lebih waspada dan prihatin mengenai keselamatan anak-anak mereka.

“Dengan setiap pembelian Q-Harit’Z, ibu bapa boleh menikmati aplikasi Q Trex ini secara percuma sahaja,” katanya sambil menambah aplikasi ini boleh dimuat turun hanya melalui PlayStore pada ketika ini.

Bagaimanapun, aplikasi ini boleh dibeli berasingan pada harga RM30 sahaja dan wang itu akan digunakan semula bagi membiayai program jenayah siber di sekolah.

“Buat masa ini kita sedang menunggu kelulusan daripada App Store pula. Jika tiada halangan, kita akan pasarkan aplikasi ini dengan lebih meluas,” katanya.

Tambahnya, menjadi satu keperluan pada masa ini untuk ibu bapa terutamanya yang sibuk bekerja dan tiada masa dengan anak-anak mendapatkan aplikasi ini.

“Fokus kita adalah soal keselamatan anak-anak. Sekurang-kurangnya ia satu pelaburan oleh ibu bapa bagi menghindar anak-anak daripada jenayah dan terlibat dengan aktiviti luar yang tidak sihat,” katanya.

Mudah digunakan

Menjelaskan mengenai aplikasi Q-Trex, Mohd Ridzman berkata, ia dibangunkan sebagai pengesan lokasi di telefon pintar untuk ibu bapa memantau keselamatan anak-anak.

Ujarnya, telefon bimbit menjadi keperluan dewasa ini dan kebanyakkan daripada ibu bapa menyediakannya untuk kemudahan anak-anak.

“Ada ketikanya anak-anak akan memaklumkan ke mana mereka pergi dan sebagai ibu bapa kita meletakkan kepercayaan kepada mereka.

“Tetapi ada kalanya mereka akan pulang lewat mahupun ke lokasi lain tanpa makluman dan itu membimbangkan ibu bapa. Jadi aplikasi ini membantu ibu bapa untuk pantau ke mana lokasi anak-anak berada,” katanya.

Menurut Mohd Ridzman, aplikasi itu mudah digunakan dan sebaik sahaja di muat turun, ke mana sahaja anak-anak berada lokasi mereka akan dikemas kini setiap minit, walaupun berada di dalam bangunan.

“Selain telefon bimbit ibu bapa, aplikasi ini perlu dimuat turun ke telefon bimbit anak-anak. Tetapi aplikasi itu tersembunyi tanpa pengetahuan anak dan tidak boleh dipadam begitu sahaja,” katanya.

Ujar Mohd Rifdzman, penggunaannya sangat mudah untuk ibu bapa dan boleh digunakan bagi memantau sekurang-kurangnya 10 telefon bimbit anak-anak.

“Katakanlah ibu bapa ini mempunyai anak yang ramai, jadi dia boleh memuat turun aplikasi ini di setiap telefon bimbit anak-anaknya untuk pantauan,” katanya.

SOS ketika kecemasan

Menjelaskan lanjut, Mohd Ridzman berkata, pihaknya kini dalam fasa kedua melancarkan SOS dalam aplikasi Q-Trex tersebut.

Katanya, SOS dalam aplikasi itu berfungsi bagi membantu pemilik telefon bimbit ketika kecemasan tanpa perlu membuat panggilan ke 999.

“Kini dalam fasa kedua sebelum ia boleh dilancarkan. Apabila berlaku kecemasan ketika berseorangan, pengguna hanya perlu menekan butang di telefon bimbit sebanyak tiga kali.

“Secara automatik, lokasi itu akan dihantar ke telefon bimbit ibu bapa menyatakan anda dalam kecemasan.

"Selain itu, SOS ini juga merekod paras bateri telefon bimbit dan rakaman perbualan juga boleh diketahui.

“Ia bukan sahaja membantu anak-anak tetapi boleh diperluaskan untuk kegunaan banyak pihak,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Mohd Ridzman mahu masyarakat membuka mata terhadap jenayah siber, yang boleh menyebabkan kanak-kanak terlibat.

“Apa punca kanak-kanak boleh terlibat dengan jenayah siber? Ia disebabkan oleh ibu bapa sendiri.

"Pendedahan terlalu awal terhadap teknologi, memberikan kesan tidak bagus mengenai perkembangan mereka.

“Meskipun tidak boleh dielakkan, sekurang-kurangnya pantauan terhadap aktiviti telefon bimbit anak-anak perlu dilakukan.

“Maka, pemantauan oleh ibu bapa ini boleh dilakukan sedari awal, sedari anak-anak mula mempunyai telefon bimbit,” ujarnya. -sinar online

Syura Nafi Buat Pembedahan Plastik Untuk Mungilkan Bibir

PENYANYI Syura Badron menafikan dia ada melakukan pembedahan pada bibirnya seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Bagaimanapun Syura nama sebenarnya Zuraidah Badron, 33, menjelaskan dia menggunakan produk lips plumper untuk mungilkan bibirnya.

"Saya tak pernah melakukan sebarang pembedahan plastik pada diri dan tak pernah melakukan suntikan di bibir.

"Kalau ikutkan, bibir saya sememangnya tebal bahagian bawah. Saya akui ada memakai produk untuk mungilkan bibir.

"Produk lips plumper tu saya gunakan dalam 30 saat sebelum memakai gincu dan menjadikan bibir saya lebih tebal," kata Syura kepada mStar Online.

Syura diminta mengulas mengenai gosip di sebuah akhbar tempatan mengatakan dia seperti membuat pembedahan pada bibirnya untuk kelihatan mungil.

Menerusi laporan tersebut, agak mustahil perbezaan bentuk bibirnya disebabkan proses kurus yang dilaluinya kini atau kesan khas solekan.

Tambah Syura, dia tidak akan melakukan sesuatu atau memakai produk yang akan membahayakan dirinya.

"Saya memang suka mencuba sesuatu yang baru untuk cantikkan diri. Tapi sebelum cuba produk itu, saya akan pastikan ia tidak membahayakan diri.

"Takkan la saya nak buat pembedahan plastik yang boleh memudaratkan diri saya sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, bekas peserta program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ini akui pernah dituduh mengambil dadah disebabkan keadaan badannya semakin kurus.

Menurut Syura, dia sudah lali dengan tuduhan tersebut dan tidak kisah dengan gosip sebegitu selagi ia tidak menjatuhkan maruahnya.

"Sebelum ini pun ada macam-macam orang kata pasal saya. Ada yang kata saya kurus sebab ambil dadah.

"Sedangkan saya tak pernah ikut jalan mudah untuk dapatkan sesuatu. Saya sendiri tidak sedar diet yang saya lakukan ni sampai boleh jadi kurus seperti sekarang.

"Tapi saya tak kisahlah gosip-gosip fasal saya. Janji tidak sampai menjatuhkan maruah saya," katanya.

Syura berjaya menurunkan berat badannya kepada 48 kilogram daripada 60 kilogram dengan mengikut cara diet yang betul. -sinar online

Khalid Salleh Meninggal Dunia Pada Usia 70 Tahun

PELAKON dan penggiat seni terkenal, Khalid Salleh, 70, dilaporkan telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Ampang Puteri, sekitar 3 petang tadi.

Menurut laporan Astro Awani, berita tersebut disahkan sendiri oleh anak lelaki Allahyarham, Israr Khalid.

Dalam masa yang sama, Facebook milik Allahyarham juga mula dihujani dengan ucapan takziah dan doa di atas pemergiaannya.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Taman Kosas, Ampang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas Ampang pada hari ini.

Allahyarham Khalid atau lebih mesra disapa sebagai Wak Khalid pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 43 di Taipei pada tahun 1998 menerusi filem Jogho.

Pengiktirafan itu menjadikan Allahyarham sebagai pelakon lelaki kedua selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjaya memenangi katagori itu.

Allahyarham yang merupakan penulis buku berjudul Melayu Hilang di Dunia juga merupakan aktivis teater yang cukup disegani ramai.

Antaranya ialah Monolog Juala Ubat.

Wany Hasrita Peserta Pertandingan Toyota Gazoo Racing

JIKA melihat kepada lenggok gaya gadis bernama Wany Hasrita ini, pasti ramai yang bersetuju jika dia diklasifikasikan sebagai gadis yang sopan santun dan berbudi bahasa.

Namun dalam nampak gaya sopan dan berbudi bahasa itu, empunya diri sebenarnya sukakan aktiviti sukan yang lasak dan ekstrem.

Atas faktor itu juga, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran daripada UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) bagi pertandingan Toyota Gazoo Racing musim kedua.

"Faktor utama saya menerima adalah untuk challenge inner strength, di mana adakah saya boleh menhadapi situasi tidak dijangka dalam perlawanan.

"Saya tak rasa saya seorang yang lemah lembut, tapi lebih kepada berbudi bahasa.

"Ibu saya memang seorang yang lemah lembut tapi saya tak mengikuti sikap ibu saya yang itu.

"Walaupun nampak saya lemah lembut, saya sebenarnya seorang yang sukakan sukan extreme dan saya suka mencuba jika diberi peluang.

"Jadi bila pihak UMW tawarkan, saya memang tak berfikir panjang untuk terima sebab saya lihat ia juga peluang untuk saya belajar menjadi pemandu yang baik," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah gadis berusia 26 tahun ini, dia juga sering memandu dan gemarkan gaya pemanduan yang laju, bagaimanapun tidak menafikan pemanduan sebegitu agak bahaya sekiranya seseorang itu tidak cekap memandu.

"Saya sedar memandu di trek dan jalan raya adalah dua situasi yang berbeza tapi memandu di trek juga ada peraturan dan jika tidak mengikuti peraturan, kita akan didenda.

"Buat masa ini saya belum dapat membayangkan lagi bagaimana suasana perlumbaan di trek, mungkin selepas perlumbaan pertama nanti baru saya tahu bagaimana feel yang sebenar dan debarannya.

"Tapi apa yang boleh saya katakan, saya memang teruja untuk memasuki trek dan tak sabar nak berlumba dengan selebriti lain yang menyertai," ujarnya.

Selain Wany, antara selebriti lain yang turut menyertai Toyota Gazoo Racing adalah Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan Nabil Ahmad, termasuk empat lagi selebriti dari musim pertama kembali untuk musim kedua iaitu Janna Nick, Diana Danielle, Shawn Lee dan Syukri Yahaya.

Semua perlumbaan itu akan diadakan di lokasi berbeza, dan untuk pertama kali ia akan berlangsung di Pantai Timur, bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 2-4 Ogos.

Ini diikuti pula oleh perlumbaan di MAEPS Serdang pada 19-21 Oktober; Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 22-24 Februari 2019 dan berakhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 12-14 April 2019.

Fokus nyanyian

Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, Wany berkata, dia akan tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi.

Katanya single keenam ini masih mengekalkan komposer dan penulis lirik Menahan Rindu iaitu Gouffran dan Ibnu.

"Apa yang boleh saya katakan single baru ini rentaknya masih moden namun tetap mengekalkan lenggok Wany Hasrita," ujarnya.

Ditanya tidakkah dia bercadang untuk melebarkan kerjaya dalam cabang berbeza, Wany berkata, dia tidak merancang untuk terlibat secara serius dalam bidang lakonan selepas cuba untuk berlakon dalam telefilem Tergantung Rindu bersama Haqiem Rusli dan Tajul, baru-baru ini.

"Saya sedar kemampuan saya dan kalau boleh saya mahu fokus kepada nyanyian sahaja. Bagi saya tidak bermakna kita fokus pada satu bidang sahaja, populariti kita tidak akan naik.

"Lakonan bukan passion saya dan kalau saya nak buat sesuatu, saya lebih suka buat sebab itu passion saya.

"Apa yang penting kita tahu susun kerjaya untuk orang lebih aware tentang perkembangan kita," jelasnya. -sinar online