Nurul Zayanti Gadis Melayu Pertama di Top 20 Miss Universe New Zealand

“Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada memikat.”

Bait lirik lagu berjudul Gadis Melayu yang dipopularkan oleh penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Jamal Abdillah itu ditujukan khas buat wanita Melayu.

Ia ditulis sebagai mengiktiraf kedudukan gadis Melayu dengan mengagungkan karakteristik feminin yang cukup mempesonakan.

Menariknya, kecantikan yang dimiliki seseorang gadis Melayu itu bukan calang-calang sebaliknya ia telah ditagih di peringkat global khususnya bagi masyarakat di New Zealand.

Gadis kelahiran Ampang, Selangor, Nurul Zayanti Shamsul, 20, membuka mata seluruh dunia apabila dia tersenarai dalam Top 20 Miss Universe New Zealand 2018 baru-baru ini.

Lebih membanggakan, buat pertama kali dalam sejarah, Nurul Zayanti merupakan satu-satunya peserta berhijab dari Malaysia yang berentap dalam pertandingan itu yang akan diadakan pada 4 Ogos nanti.

Begitu pun, terpilih sebagai peserta dalam pertandingan ratu cantik tersebut tidak pernah sedikit pun terlintas dalam fikiran pelajar jurusan psikologi dengan pengkhususan Dasar Sosial di Universiti Waikato itu.

Nurul Zayanti yang mesra disapa Nurul memberitahu, menyertai pertandingan tersebut sudah menjadi impiannya sejak kecil lebih-lebih lagi melihat beberapa pertandingan ratu cantik dunia menerusi kaca televisyen.

“Sejujurnya, saya sentiasa berfikiran optimistik demi mencapai sesuatu yang saya inginkan.

“Setelah menghantar butiran menerusi e-mel dan melakukan beberapa sesi temuramah, saya akhirnya disenarai pendek dalam Miss Universe New Zealand 2018 selang beberapa minggu kemudian.

Kenalan baharu

“Ketika itu, saya benar-benar tidak sangka malah terkejut apabila dapat pergi sejauh ini kerana persaingan itu disertai ramai lagi calon yang berpotensi besar,” jelasnya yang telah berhijrah ke New Zealand sejak umur lima tahun lagi.

Kongsi anak sulung daripada tiga beradik itu, menyertai program tersebut merupakan pengalaman yang sangat berharga buat dirinya.

Hal ini kerana Nurul dapat melakukan aktiviti menyeronokkan bersama kenalan baharu malah merantau ke negara lain seperti Thailand sebagai rangka promosi.

Ketika berada di Thailand selama 10 hari, Nurul menikmati momen wacana harmoni dalam kapal pesiaran, menyaksikan persembahan muzikal dan sarkas bersama peserta lain.

Sejak diumumkan menjadi peserta Top 20 dalam pertandingan tersebut, nama Nurul kian melonjak naik sehingga mendapat perhatian media antarabangsa dan tempatan.

Kisahnya sebagai seorang wanita berhijab menyertai pertandingan ratu cantik itu hangat diperkatakan bukan sahaja di Malaysia, malah di negara Asia Barat lain termasuk di Mexico.

Boleh dikatakan, jadual harian Nurul semakin padat dipenuhi agenda temuramah dan sesi penggambaran selain melayan peminatnya menerusi laman media sosial.

Bertitik tolak daripada situlah ujian demi ujian perlu dilaluinya lebih-lebih lagi dari segi pengurusan masa kerana pada hari kebiasaan, figura tersebut masih lagi terikat dengan jadual seorang mahasiswa biasa yang menuntut pelbagai jenis tugasan kursus.

Karakter individu

Malah difahamkan, sebelum Nurul dan peserta lain diterbangkan ke Thailand, gadis tersebut masih lagi perlu bertungkus- lumus menyiapkan tugasan kursus pengajian dan mengulang kaji pelajaran bagi menduduki peperiksaan akhir semester.

Nurul menyifatkan Miss Universe New Zealand 2018 merupakan pertandingan yang cukup istimewa.

Pada hematnya, pertandingan Miss Universe New Zealand 2018 bukan sekadar pencarian ratu cantik yang tipikal semata-mata.

Malah, kategori pakaian renang yang sinonim dengan pertandingan ratu cantik telah disingkirkan pada tahun 2012 lagi bagi menjadikan pertandingan itu lebih moden dan inklusif.

“Pertandingan ini berpaksikan karakter individu dan kemampuan untuk menjayakan cabaran keusahawanan demi melaksanakan kebajikan membantu golongan yang memerlukan.

“Secara peribadi, saya tidak akan menyertai pertandingan ini sekiranya bertentangan dengan nilai atau moral sebagai seorang Muslim.

“Saya juga bebas untuk menggayakan apa sahaja busana dengan gaya berhijab sepanjang sesi penggambaran kempen,” katanya yang tidak pernah berhadapan sebarang masalah disebabkan berhijab sepanjang berada di New Zealand.

Selain itu, Nurul juga tidak menghadapi sebarang masalah khususnya berkaitan sensitiviti agama sepanjang menyertai pertandingan tersebut.

Hal ini kerana pihak penganjur cukup teliti dan prihatin dengan menyediakan kemudahan yang mesra untuk peserta beragama Islam.

Kata Nurul, ketika berada di Thailand, pihak penganjur turut menyediakan makanan yang halal untuk dinikmatinya.

Bercerita mengenai persiapan untuk berdiri di pentas akhir Miss Universe New Zealand bersama 19 lagi peserta lain pada 4 Ogos ini di Auckland, New Zealand, Nurul hanya mahu memastikan dirinya cukup bersedia dari segi mental dan spiritual.

Hal ini kerana perhatian yang diberikan terhadapnya sepanjang pertandingan tersebut sangat menggunung dan pastinya Nurul membawa harapan seluruh wanita berhijab di seluruh dunia.

Pendorong

Ia semestinya menjadi pendorong buat gadis berdarah Indonesia itu untuk terus maju dan lebih yakin untuk merebut gelaran ratu cantik Miss Universe New Zealand seterusnya.

Menjadikan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan penyanyi Yuna sebagai inspirasi, Nurul berharap penyertaannya dalam pertandingan itu dapat memecah tembok sempadan yang sering menjadi halangan kepada wanita bertudung untuk mencapai impian mereka.

Selain itu, gadis yang gemar berpuisi pada masa lapang itu juga mahu menjadikan penyertaan di dalam pertandingan Miss Universe New Zealand sebagai platform untuk melebarkan sayapnya dalam aktiviti kebajikan dengan lebih berkesan.

“Usah takut untuk mencuba sesuatu yang baharu sebaliknya harus sentiasa optimistik kerana jalan itu akan sentiasa terbuka bagi mereka yang mahu berkerja keras untuk mencapai kejayaan.

“Peluang itu tidak selalu datang kepada kita. Jadi, sentiasa lakukan yang terbaik dalam apa jua yang diceburi kerana pada akhirnya, kebahagiaan itulah yang kita cari selama ini,” kongsinya.

Nurul Zayanti Shamsul, 20, mahu pecah tembok stereotaip imej Islam dan ideologi kecantikan wanita menerusi penyertaannya di pentas Miss Universe New Zealand 2018. -kosmo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon