Ketahui Tips Haruman Tahan Lama, Sembur Di Pergelangan Tangan Kemudian Gosok-gosok Bukan Cara Betul

JANGAN ambil mudah tentang sesuatu perkara, itulah pesan dan nasihat orang tua-tua yang sewajarnya tidak diabaikan.

Begitu juga dalam pemakaian haruman atau minyak wangi, walaupun nampak ringkas iaitu dengan cara membuat semburan ke tubuh, ia sebenarnya lebih dari apa yang anda sangkakan.

Biasanya, dengan beberapa semburan ke tubuh atau pakaian, kita menganggap ia sudah selesai.

Kali ini, kami nak kongsi lima tip pemakaian minyak wangi atau perfume kepada anda.

1. Cara Semburan

Menurut pembuat minyak wangi kelahiran Perancis dan Armenia, Francis Kurkdjian, teknik menyembur haruman pada pergelangan tangan disifatkan sebagai kaedah yang salah dan teruk.

Biasalah kita ni, sembur di pergelangan tangan, lepas tu gosok-gosok pula.

Pemilihan haruman haruslah bersesuaian dengan personaliti si pemakai.

Menurut Francis, tak perlu buat macam tu pun malah katanya, sembur sahaja secara biasa kerana ia membuatkan haruman kekal lebih lama.

Iya ke? Tak taulah kalau korang malas nak percaya tapi kalau nak tahu Francis tu bukan sekadar buat minyak wangi, malah haruman ciptaannya juga selalu menang anugerah.

Tambahnya lagi, apabila kita sembur dan gosok-gosok, kulit kita akan menghasilkan haba dan ia boleh mengubah bau asal.

2. Sembur terus ke kulit

Kebanyakan kita suka sangat sembur
perfume pada pakaian. Ada kalanya, sebelum pakai baju lagi dah mula sembur. Kononnya untuk menambah keharuman.

Menurut Francis, anda sepatutnya menyembur perfume di bahagian kulit yang terdedah kepada udara seperti leher, belakang siku dan pergelangan tangan.

Sebaiknya, beli haruman bersaiz kecil kerana ia tidak sesuai disimpan lama.

3. Jangan lupa pada rambut

Untuk mengekalkan haruman, anda juga boleh membuat semburan di bahagian rambut.

Namun, anda juga perlu berwaspada.

Awas katanya, kalau kawasan tu panas, tak perlulah sembur di rambut kerana peluh akan menghasilkan minyak semula jadi di kulit sehingga boleh 'membunuh' bau minyak wangi.

4. Kaedah simpanan minyak wangi

Kata pakar, tak elok simpan perfume lama-lama.

Malah, cara simpanan juga memberi kesan terhadap ketahanan haruman.

Boleh disembur pada rambut, tapi bukan pada setiap masa.

Sebaiknya, perfume perlulah disimpan di kawasan yang mengikut suhu bilik.

5. Lebih kecil lebih baik

Oksigen merupakan musuh utama kepada minyak wangi dan ia berupaya menurunkan skala haruman.

Malah, jika lama terdedah kepada oksigen, ia boleh memberi kesan terhadap perfume anda.

Jadi, lebih baik beli haruman dalam botol kecil sahaja.

Saiz botol yang disyorkan adalah 2.4 milimeter atau 1.2 milimeter. - TheJakartaPost.

Band Seventeen Dibadai Tsunami Banten Ketika Konsert

Pemain bass kumpulan pop rock negara jiran, Seventeen, M Awal Purbani atau Bani, terkorban dalam bencana tsunami yang melanda Banten, Indonesia pada malam Sabtu 22 Disember 2018, lapor media di Indonesia.

Vokalis Seventeen, Ifan berkata selain Bani, pengurus jelajah konsert mereka yang bernama Oki Wijaya juga meninggal dunia.

Difahamkan Seventeen sedang membuat persembahan di Tanjung Lesung Beach Resort, Banten, ketika gelombang tsunami membadai lokasi tersebut sekitar jam 9.33 malam, pada waktu Indonesia Barat.

"Kami kehilangan bassis kami, Bani, sama road manager kami Oki."

"Minta ikhlas doanya juga buat Bani sama Mas Oki. Terima kasih, assalamualaikum," katanya pada hantaran di Instragram.

Seventeen telah menghasilkan beberapa album, antaranya iaitu Bintang Terpilih (1999), Sweet Seventeen (2005), Lelaki Hebat (2008), Dunia Yang Indah (2011) & Sang Juara (2013). -mkini

Meghan Didakwa Pakai Cincin 'Evil Eye' Untuk Lindungi Diri Dari Pandangan Jahat

DUCHESS of Sussex dilihat memiliki cincin baharu yang melindunginya daripada pandangan jahat.

Cincin emas berbentuk 'evil eye' bernilai £ 250 (RM1,319) itu direka mengikut Hamsa, iaitu lambang 'tangan Tuhan' purba yang kelihatan seperti bentuk tangan terbuka dengan mata di telapak tangan.

Meghan, 37, menghadiri majlis makan tengahari Krismas Istana pada Selasa sewaktu namanya terpalit dengan kontroversi didakwa bermasam muka dengan Duchess of Cambridge, berbalah dengan kakitangannya kerana disifatkan terlalu cerewet dan hubungan dingin dengan bapanya Thomas yang mendakwa dia semakin menjauhkan diri.

Puteri itu memakai cincin baharu tersebut pada minggu ini ketika melawat rumah jagaan di West London.

Ia adalah barangan kemas Kismet oleh Milka dan dikatakan membawa kebahagiaan, tuah, kesihatan dan nasib baik.

Seorang peminat kerabat diraja berkata: "Ini adalah Hamsa, perlindungan daripada pandangan jahat."

Sementara itu, seorang sumber istana menambah: "Meghan bersifat rohani. Dia percaya dia perlu mengambil masa untuk melaraskannya dengan perasaan. Ia adalah masa yang sukar."

"Mungkin dia percaya cincin itu akan membantunya menenangkan diri."

'Evil eye' adalah sumpahan atau legenda yang dipercayai dihantar oleh silauan cahaya jahat yang biasanya tidak disedari oleh seseorang.

Kebanyakan budaya percaya bahawa pandangan jahat akan menyebabkan kemalangan atau kecederaan kepada seseorang.

Oleh itu, penggunaan azimat dipercayai adalah untuk melindungi mereka. - Mirror UK

Gambar Pertama Selena Gomez Selepas Jalani Rawatan Kemurungan

PENYANYI Selena Gomez dilihat dalam keadaan gembira selepas sudah pulih daripada menerima rawatan di pusat psikiatri baru-baru ini.

Menurut laporan E News!, peminat teruja melihat foto Selena tersenyum bersama rakan-rakannya ketika meluncur dan bermain salji di Big Bear, Calif.

Foto tersebut merupakan kali pertama Selena muncul selepas menjalani rawatan kemurungan sejak September lalu.

"Dia kini dalam keadaan yang lebih baik. Selena rasa lebih segar dan tenang sahaja," kata sumber terdekat.

Penyanyi lagu Back To You ini dimasukkan ke pusat psikiatri disebabkan masalah kemurungan selepas mendapat berita bekas kekasihnya, Justin Bieber sudah berkahwin dengan model terkenal. -mstar

Mahligai Aliff Syukri Tersenarai Dalam Portal Hartanah Mewah Antarabangsa!

SEBUAH portal hartanah mewah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Home of The Rich memaparkan mahligai Datuk Seri Aliff Syukri di laman Instagram rasminya pada Rabu.

Instagram @homeoftherich itu memuat naik dua gambar kediaman mewah jutawan kosmetik itu yang menunjukkan Aliff Syukri berdiri di depan gerbang masuk utama dan sebuah lagi gambar beliau di tangga di bahagian dalam rumahnya.

Portal yang mempunyai lebih 273,000 pengikut di laman Instagram tersebut memaparkan gambar-gambar kediaman mewah dari seluruh dunia untuk dijadikan sebagai inspirasi.

Bagaimanapun, terdapat netizen yang tidak berpuas hati dengan posting tersebut dan mendakwa kekayaan yang dipamerkan Aliff Syukri diwarisi daripada ibu bapanya.

"Dia gemar menunjuk-nunjuk kekayaannya yang ditinggalkan oleh ibu bapanya dan ditangkap oleh polis kerana mengelak bayaran cukai jalan," tulis @nick_leesy.

Bagaimanapun, pengguna akaun @guns_and_bullet mempertahankan usahawan berkenaan dan berkata, "Tidak. Kekayaannya bukanlah diwarisi daripada ibu bapanya kerana bapa beliau adalah seorang pengawal keselamatan."

Komen tersebut mendapat perhatian Aliff Syukri yang ternyata kecewa dengan dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

Aliff Syukri pada Khamis memuat naik paparan skrin komen tersebut dan meluahkan rasa sedih dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan kejayaannya.

"Sedih dengan perangai orang Malaysia yang jenis macam ni.

"Bila rumah saya diletakkan antara rumah terhebat oleh laman @homeoftherich, antara rumah yang menjadi perhatian dunia.

"Saya rasa bangga sebab rumah tu hasil usaha saya sendiri bukan rompak duit kalian, tapi ada juga 'bawang-bawang' Malaysia ni yang mendengki.

"Komen saya tinggalkan bapa sendiri sebab malu (dia) pengawal keselamatan la, kaya duit mak bapak la, tak bayar cukai la, sampai ke sana busuk hati, sempat nak kutuk sana sini gigih mencari," luahnya.

Jutawan berusia 31 tahun itu membina Aliff Syukri Palace yang mempunyai 30 bilik tidur termasuk surau, gim dan bilik kebal di Kota Damansara meraih perhatian media pada April 2018 lalu.

Kos pembinaan rumah dengan rekaan Royal Modern Classic itu bagaimanapun tidak didedahkan oleh beliau. -mstar

Ronaldo Bakal Jual Rumah Agam Di Manchester

CRISTIANO RONALDO telah mengiklankan rumah agam miliknya di Manchester untuk dijual.

Iklan itu mampu membunuh harapan peminatnya untuk melihat dia kembali ke Old Trafford.

Penyerang Juventus tersebut dipercayai telah membeli rumah mewah berkenaan di Cheshire pada 2006 ketika berada di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson.

Rumah yang kini berada di pasaran pada harga £ 3.25 juta (RM17.19 juta) itu dilengkapi lima bilik tidur, kolam renang besar, bilik mandi air panas dan wap, gimnasium, pawagam dan bilik permainan.

Sekiranya Ronaldo berjaya menjual rumahnya, dia mungkin akan mengalami kerugian kerana harga hartanah itu bernilai £ 3.85 juta (RM20.36 juta) ketika dia membelinya lebih sedekad lalu.

Ini bukan kali pertama bintang berusia 33 tahun tersebut cuba menjualnya.

Penyerang itu dipercayai telah mengiklankan rumah mewah berkenaan pada 2009 ketika ingin meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid.

Bagaimanapun, rumah agam tersebut dibiarkan tanpa didiami sesiapa.

Luke Shaw menyewa kediaman itu daripada Ronaldo selepas dia menyertai United pada 2014.

Menurut laporan Sun, pemain bek kiri terbabit membayar sewa £7,000 (RM37,000) sebulan kepada Ronaldo.

Iklan hartanah itu dijumpai di kawasan elit Alderley Edge iaitu lokasi di mana kebanyakan pemain bola sepak tinggal.

Kini, Ronaldo memiliki rumah di Itali selepas berpindah ke kelab Juventus. - Daily Mail

'Nama Saya Bukan Muhammad Sajjad'

Usahawan kosmetik, Nur Sajat tampil memberi penjelasan berhubung kekecohan mengenai pendedahan namanya ketika dihadapkan ke mahkamah membabitkan kesalahan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Nur Sajat berkata, laporan media yang menyebut nama beliau sebagai Muhammad Sajjad Kamaruzzaman adalah tidak benar.

"Bukan, tak betul. Nama saya bukan Muhammad Sajjad tapi nama penuh saya Sajat Kamaruzzaman.

"Nama dalam IC (kad pengenalan) hanya S... A... J... A... T... Kamaruzaman. Tak ada Muhammad pun," katanya ketika dihubungi pada tengah hari Khamis.

Mengenai Nur Sajat, ahli perniagaan berusia 33 tahun itu berkata, ia sekadar nama panggilan di laman sosialnya seperti Instagram dan penggunaan nama syarikat miliknya.

Dalam pada itu, Nur Sajat mempertikaikan laporan media yang hanya menyebut namanya saja sedangkan kes GST tersebut membabitkan syarikat kosmetiknya.

"Kes tersebut antara syarikat saya dengan mahkamah dan Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), kenapa mereka (media) tak sebut nama syarikat saya?

"Okay, saya tahu (nama disebut) sebab saya adalah selebriti dan ramai mengenali saya, tetapi mereka sebut nama saya pun salah," katanya.

Malah beliau mendakwa membawa kad pengenalannya ke mahkamah pada Rabu.

"Kan kad pengenalan tu penting. Saya biasanya tak bawa IC bila ke luar negara, sebab saya bawa pasport," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga mengusahakan perniagaan emas meminta masyarakat terutama netizen tidak berterusan membuat tuduhan atau melemparkan kata-kata yang mengaibkan sebelum mendapatkan sumber sahih terlebih dahulu.

Ditanya adakah beliau sedia menunjukkan kad pengenalannya bagi mendedahkan nama sebenar kepada umum tanpa mendedahkan butiran lain pada dokumen pengenalan tersebut, Nur Sajat berkata, tiada sebab mustahak untuk beliau berbuat demikian.

"Kenapa saya kena tunjuk IC semata-mata nak puaskan hati mereka. Nanti orang salah guna, sekarang ni dah makin ramai scammer (penipu), jadi saya perlu lebih berwaspada.

"Kad pengenalan adalah dokumen pengenalan peribadi, kenapa kena tunjuk kat orang ramai? Jadi, hormatilah privasi saya," katanya sambil menambah akan mendapatkan khidmat nasihat peguamnya sekiranya terdapat isu yang boleh menjejaskan reputasinya sebagai usahawan.

Pada Rabu, Nur Sajat didenda RM2,700 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Mengikut semua pertuduhan, Nur Sajat didakwa gagal mengemukakan penyata perniagaan kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia mengikut cara yang ditetapkan sepanjang 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015, 1 Oktober 2015 hingga 31 Disember 2015 dan 1 Januari 2016 hingga 31 Mac 2016.

Nur Sajat didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, Petaling Jaya, antara 22 Oktober 2015 hingga 16 Jun 2016.

Beliau dihukum mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kastam, Noor Asyikin Md Rodhi sementara ahli perniagaan itu tidak diwakili peguam. -mstar

5 Perkahwinan Personaliti Tumpuan 2018

Tahun 2018 hampir melabuhkan tirai, bakal meninggalkan kenangan pahit manis dalam dunia hiburan tanah air.

Berikut kami rangkumkan 5 perkahwinan selebriti terkenal di Malaysia.

1. Wedding of The Year, SM Faliq dan Chryseis Tan

PERNIKAHAN antara dua pewaris empayar perniagaan terbesar di negara ini iaitu SM Faliq Nasimuddin dan Chryseis Tan pada 2 Februari lalu menjadi antara perkahwinan yang paling mendapat perhatian ramai.

Pasangan ini disatukan dalam sebuah majlis tertutup di resort di Bukit Tinggi di Bentong, Pahang.

Faliq merupakan anak keempat kepada pengasas Naza Group, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin manakala Chryseis pula adalah anak sulung kepada Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang juga pengasas Berjaya Group.

Pasangan sepadan yang dikatakan mula berkawan ketika belajar di sekolah antarabangsa itu dilaporkan bertunang pada 2 Julai lalu apabila jejaka berusia 33 tahun itu melamar Chryseis, 30, ketika mereka berdua bercuti di Marrakesh.

Faliq merupakan Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Naza TTDI Sdn Bhd sementara Chryseis yang berkelulusan Ijazah Seni Liberal Kajian Antarabangsa di Universiti Waseda, Tokyo merupakan Ketua Pengawai Eksekutif Berjaya Times Square.

2. Pelamin viral Yunalis Zarai dan Adam Sinclair

Majlis pernikahan antara penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna dan Adam Yousof Mohamed Sinclair, yang diadakan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang pada 26 Januari 2018 telah menarik perhatian ramai.

Menerusi gambar yang dikongsi, majlis pernikahan itu bertemakan dalam taman dengan berlatarbelakangkan hutan semula jadi.

Selepas majlis pernikahan mereka diadakan, ramai pengusaha butik perkahwinan berkongsi bahawa ramai yang mahu mendapatkan hiasan pelamin seperti yang dibuat oleh Yuna.

3. Cristina Suzanne nikah rahsia

Pelakon berdarah kacukan Cristina Suzzane Stockstill telah mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan sudah bernikah pada 31 Mac 2018.

Berita gembira itu diumumkan sendiri pelakon berusia 33 tahun ini menerusi akaun Instagramnya.

Difahamkan suami Cristina dikenali sebagai M Faiz Zakaria yang berasal dari Johor.

4. Datuk Adi Putra nikah semula

Selepas 10 bulan mengumumkan sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan kedua-dua bekas isterinya, pelakon Datuk Adi Putra mengejutkan ramai apabila mengumumkan sudah kembali menikahi bekas isterinya, Aida Yusof pada 18 Januari lalu.

Menerusi dua keping foto bersama Aida yang dimuat naik, Adi mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan jodoh mereka.

Adi dan Zuhaidah berkahwin buat kali pertama pada 14 April 2006 dan namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata sebaliknya mempunyai anak angkat.

Pelakon itu kemudiannya berpoligami selepas menikahi Norshahida Dzolkifly, 34, pada 20 Jun 2016.

5. Datuk A. Aida pilih lelaki muda

Biarpun berdepan dengan kecaman dan pandangan serong segelintir netizen yang melihat aktor Ariff Aziz menikahi penerbit Datuk A. Aida kerana wang, namun ia tidak menghalang pasangan ini untuk disatukan pada 21 Julai lalu.

Dengan dua kali lafaz nikah, A. Aida akhirnya bergelar isteri kepada Ariff Aziz hanya selepas tiga bulan menjalinkan hubungan cinta.

Pasangan itu berkenalan sejak tiga tahun lalu ketika Ariff bekerjasama dalam projek drama di bawah produksi A. Aida namun ketika itu hubungan mereka sekadar profesional dan hanya mula rapat sejak tiga bulan lalu.

Ia adalah perkahwinan keempat buat A. Aida dan pertama kali untuk Ariff.

Zizie Ezette Bakal Timang Anak Perempuan

Pelakon, Zizie Ezette mengumumkan bakal menimang cahaya mata perempuan pada Mac depan.

Berita gembira tersebut dimaklumkan sendiri oleh Zizie Ezette yang juga merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, di Instagramnya.

"GIRL. See u in March my sweet lil angel," tulisnya ringkas.

Zizie dan suami berkahwin pada pada 2009. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan anak kembar lelaki, Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette pada tahun lalu.

Selain itu, mereka turut mempunyai dua lagi anak angkat iaitu Nayla Nurjenna, 3, dan Aaric Zayn Izette, setahun. -sinar online

Sufi Rashid Rasmi Bertunang

Penyanyi, Sufi Rashid, 27, selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan wanita pilihannya di Senawang, Negeri Sembilan.

Penyanyi popular Aku Sanggup dan Nurulain Md Yusof sepakat mengikat tali pertunangan mereka selama setahun dan akan melangsungkan majlis pernikahan pada Disember 2019.

Dalam majlis istimewa yang dihadiri kaum keluarga dan rakan-rakan terdekat menyaksikan dulang hantaran enam berbalas tujuh.

Dalam masa sama, Sufi menerusi akaun Instagramnya memuat naik status berbentuk puisi.

"Wahai tunangku, Saya memilih awak. Dan saya akan tetap terus berkali-kali memilih awak. Tanpa henti, tanpa rasa ragu, dalam nadi.

Saya akan tetap selalu memilih awak. Saya berharapkan doa dan sokongan untuk destinasi kita ke alam perkahwinan," coret Sufi.

Terdahulu, bibit cinta pasangan tunang ini bermula sekitar akhir tahun 2016. -sinar online

Kaka Azraff Selamat Bertunang

"SAYA akan umumkan nanti," ujar Kaka Azraff yang dikatakan sudah bertunang di kediaman lelaki pilihan hatinya, Adam Azriff, berkata buat masa ini dia lebih suka mengunci mulut

"Okay, cuba teka? Saya akan umumkan di Instagram kepada semua orang. Cuma buat masa ini demi menghormati pihak lain saya tak boleh berikan kenyataan lagi.

"Saya janji akan umumkan bila sampai masanya nanti. Maaf sangat sebab kena hormat. Bila tu tak tahu lagi, saya takkan sorok.

"Apa yang saya letak di Instagram itulah sebenarnya," ujar Kaka jujur. -sinar online

Pekin Ibrahim Dan Mona Allen Selamat Bernikah?

PELAKON Pekin Ibrahim dikatakan telah melangsungkan pernikahannya dengan bintang drama Monalisa, Mona Allen, menyaksikan beberapa keping gambar pasangan selebriti ini dalam persalinan pengantin, selain papan tanda yang tertera nama mereka telah tersebar.

Meski tiada kenyataan yag dikeluarkan oleh mereka berdua, rakan artis dan peminat mula mengucapkan tahniah dan meluahkan rasa gembira dengan berita tersebut. Tidak kurang terkejut dan bertanyakan tentang kesahihah berita tersebut.

Bagaimanapun, Amyza Aznan menerusi laman Instagramnya secara terbuka turut mengucapkan selamat pengantin baharu kepada Pekin dan Mona.

“Selamat pengantin baru buat anak Cik Gayah (Amyza), Mona Alle dan suami, @pekin7words (Pekin Ibrahim).

“Semoga berkekalan hingga ke jannah. Amin,” tulisnya pada sekeping gambarnya bersama Mona.

Terdahulu sebelum ini Pekin yang kini bergiat aktif sebagai penerbit filem pernah menyatakan hasratnya untuk tidak menghebahkan tentang tarikh pernikahannya kerana menganggap ia merupakan momen peribadi buatnya dan pasangan. -sinar online

Mayat Artis Terkenal Hong Kong Ditemui Hampir Reput Di Pangsapuri

BEKAS artis terkenal TVB, Yammie Lam Kit-ying ditemui maut di pangsapurinya di Stanley, Hong Kong.

Memetik laporan South China Morning Post, seorang pegawai kanan polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui tanpa sebarang kesan luka itu sebagai Lam, berusia 55 tahun.

Katanya, mayat mula mereput itu ditemui di tandas pangsapuri berkenaan terletak di Leung Ma House di Ma Hang Estate.

Cukup terkenal kerana kecantikannya, nama Lam mula masyhur lewat 1980-an selepas muncul dalam siri TV seperti Looking Back in Anger dan The Greed Man yang turut dibintangi Adam Cheng Siu-chow dan Sean Lau Ching-wan.

Sementara itu, seorang kawan Lam, bernama Lui, yang melawatnya pada malam Jumaat minggu lalu dan terhidu bau busuk dari flat dan menelefon polis pada jam 12.28 pagi apbila panggilannya tidak dijawab.

“Kami turut menemui rekod panggilan telefon Lam pada hari sama, menunjukkan beliau mungkin mati sejak dua hari lalu (selepas ditemui),” kata sumber polis.

Polis kini cuba menghubungi keluarga Lam.

Melalui siasatan awal mendapati, tiada sebab yang mencurigakan di sebalik kematiannya.

Populariti Lam merudum selepas terbabit dalam kemalangan pada 1998 yang mengakibatkan kecederaan serius pada tangan dan lehernya.

Beliau turut dilaporkan mengalami masalah mental dan diisytihar muflis pada 2006 sehingga terpaksa hidup dengan mengharapkan bantuan kewangan.

Pada 2013, industri seni Hong Kong sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan Lam yang mendakwa pernah dirogol dua peneraju utama industri hiburan tempatan berdekad lalu.

Namun, nama penyerang terbabit tidak didedahkan. -astroawani

Siti Nurhaliza Terima Anugerah Tourism Icon Award (Selebriti) 2018

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mendapat Anugerah Tourism Icon kategori Selebriti pada malam Anugerah Emas Malaysia Tourisan Council (MTC).
Majlis yang berlangsung di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan itu menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah menyerahkan plak penghargaan kepada pelantun Anta Permana itu.

“Alhamdulillah di atas penghargaan yang diberikan.

“Terima kasih MTC kerana memberi kepercayaan kepada saya bagi Anugerah Tourism Icon kategori Selebriti tahun ini,” tulis Siti pada sekeping gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Malam Anugerah Emas MTC ini merupakan satu acara tahunan yang memberi penghargaan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. -kosmo