Showing posts with label Berita hiburan. Show all posts
Showing posts with label Berita hiburan. Show all posts

Remy Dan Mira Masih Canggung Sebagai 'Suami Isteri'

PERSIS pasangan suami isteri, demikian gelagat Mira Filzah dan Remy Ishak ketika menidurkan 'cahaya mata' mereka, Ayden Mikael yang berusia lapan bulan di set penggambaran Pujaan Hati Kand a (PHK).

Ayden Mikael merupakan pelakon paling junior yang membawa watak sebagai Rizqy iaitu anak jagaan kepada Megat Danish (Remy) dan Tiara (Mira) dalam drama PHK.

Tangisan kecil Ayden telah membuatkan Mira dan Remy tidak senang duduk tatkala kru produksi mempersiapkan set penggambaran untuk episod terakhir drama berkenaan.

Sesekali kedengaran suara Remy mengalunkan selawat sambil mendakap erat Ayden pada dada bidangnya, manakala Mira kelihatan mengibas Ayden supaya lena seketika.

Bergandingan buat kali kedua selepas drama Lelaki Kiriman Tuhan, Mira dan Remy kembali disatukan dalam drama 28 episod berjudul PHK di slot Akasia , TV3.

Kemesraan dan keserasian antara mereka jelas kelihatan, tidak dibuat-buat hanya untuk menjayakan watak dalam drama PHK.

Mungkin kerana itu drama yang diadaptasi daripada novel judul sama nukilan Aulia Iman telah mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton.

Mesra memanggil Remy sebagai abang, Mira terlebih dahulu membuka sisi berbeza Remy sepanjang tiga bulan mereka berkampung di set penggambaran drama berkenaan di sekitar Lembah Klang dan Perak.

“Abang (panggilan untuk Remy) mesra dengan kanak-kanak. Ayden pun suka kalau bersama dia, malah pada awal penggambaran, Ayden lebih rapat dengan abang.

“Saya pula sedikit canggung dengan kanak-kanak,” dedahnya sambil diselangi gelak manja.

Cabaran

Menjayakan watak sebagai Tiara iaitu seorang pelajar universiti yang akhirnya bekerja sebagai pengasuh akibat kekangan kewangan dalam drama berkenaan memberi pengalaman baharu buat Mira.

Tanpa berselindung, Mira memberitahu, cabaran utama baginya adalah menjalinkan hubungan mesra dengan Ayden supaya dapat menzahirkan watak ibu dan pengasuh yang sempurna di layar skrin.

“Ayden dalam drama ini membawa watak sebagai Rizqy. Dia merupakan penggerak plot PHK, selain konflik antara Tiara dan Megat Danish.

“Saya perlu mengendalikan bayi di depan kamera dengan baik supaya penonton percaya bahawa saya seorang pengasuh. Saya tidak mahu hasil lakonan kelihatan pelik,” terangnya.

Kembali bekerjasama sebagai heroin di sisi Remy, Mira semakin selesa untuk bekerjasama dengan lelaki berkulit sawo matang itu.

Mira juga menyifatkan Remy sebagai pelakon senior yang bertoleransi dan mempunyai pendirian diri yang utuh.

“Saya selesa bekerja dengan Remy. Dia tahu apa yang diinginkan dan sampaikan dengan cara tersendiri.

"Kadangkala terdapat beberapa babak yang dia sendiri minta untuk dilakonkan semula selagi tidak mencapai kualiti yang diinginkan,” kongsinya.

Drama terbitan produksi Mache All Star United Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Eoon Shuhaini itu mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Kajian

Mengulas mengenai jangkaan peminat dan kehendak novel tersebut secara umum, Remy yang merupakan penerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017, menyifatkan karakter Megat Danish perlu digarap dengan cara tersendiri.

Menurut Remy, sebelum bersetuju untuk membawa watak Megat Danish, dia terlebih dahulu membaca keseluruhan novel berkenaan dengan teliti.

“Sebelum menerima tanggungjawab, saya telah membaca novel tersebut.

"Selepas habis membaca, saya tidak sabar mahu menghidupkan watak Megat Danish.

“Saya berbincang dengan penerbit dan pengarah tentang pembawaan watak yang diinginkan.

"Alhamdulillah, mereka memberi kebebasan kepada saya untuk mencorakkan watak Megat Danish dengan cara sendiri,” jelasnya.

Mengharapkan lakonannya memuaskan hati penggemar novel PHK , Remy berkata, sebahagian daripada identiti watak berkenaan dizahirkan atas kapasiti berkarya.

Kebebasan yang diberikan pengarah digunakan sebaiknya untuk berimaginasi memainkan watak utama dalam drama tersebut.

“Saya gemar berimaginasi. Oleh kerana itu, saya tertarik untuk melakonkan watak Megat Danish. Saya ingin memastikan Megat Danish mempunyai identiti yang tersendiri,” ujarnya.

Beraksi di samping Mira yang merupakan seorang wanita berhijab, Remy sedar terdapat batasan yang perlu dijaga meskipun atas tiket lakonan.

Biarpun begitu, pelakon filem Rise: Ini Kalilah itu tidak menganggap pelakon wanita berhijab sebagai satu beban dan halangan untuk berkarya.

“Saya faham pendirian Mira dan kita sentiasa berbincang. Bagaimanapun, terdapat beberapa babak yang memerlukan kita bersentuhan, tetapi ada kaedahnya.

“Sebagai contoh, untuk menjayakan babak seorang suami yang sedang memujuk isteri, saya tidak boleh memujuk dengan tangan berada di dalam poket.

"Mungkin kita boleh pegang pada bahagian berlapik dengan keizinan pelakon berkenaan,” jelasnya.

Selesai berbicara tentang drama PHK, kedua-dua pelakon tersebut disoal pula tentang perancangan karier pada 2019.

Selepas muncul dengan karya Pulang pada tahun lalu, Remy kembali ke layar perak pada 2019 menerusi filem The Legend Of Pontianak bersama dengan aktres Fazura. Selain itu, Remy juga telah selesai menjalani penggambaran sebuah filem bersama Zul Ariffin.

“Tahun ini saya bakal muncul dengan filem The Legend Of Pontianak , kemudian disusuli filem kedua bersama Zul Ariffin,” katanya.

Selepas tayangan kedua-dua filem berkenaan Remy mendedahkan dia mahu berehat seketika daripada karier lakonan.

Sementara itu, kalendar seni Mira pada tahun ini akan dipenuhi dengan penggambaran drama termasuklah slot mega drama yang akan ditayangkan di Astro.

Ketika suasana tanah air dipanaskan oleh warkah ‘kekanda adinda’ dari Cordova nukilan Datuk Seri Dr. Mujahid khas untuk Nurul Izzah Anwar yang melarat bagaikan epidemik, drama Pujaan Hati Kanda gandingan ‘kekanda’ Remy Ishak dan ‘adinda’ Mira Filzah pantas meraih sambutan. -kosmo

Elfira Loy Diijabkabul Pagi 1 Januari 2019

PELAKON terkenal, Elfira Loy dan pasangannya, Khairol Faris Anuar selamat diijabkabulkan di pagi hari pertama tahun baharu 2019.

Pasangan merpati dua sejoli itu bergelar suami isteri selepas mengikat tali pertunangan pada September lalu.

Dalam entri terbaharu di laman Instagram peribadinya sekitar setengah jam lalu, Elfira memuat naik foto beserta kapsyen bertulis 'Álhamdulillah'.

Tiada sebarang info lanjut mengenai majlis pernikahan itu yang dikongsi dengan peminat-peminatnya.

Entri Elfira mengenai majlis akad nikahnya itu turut menarik perhatian sebilangan selebriti yang mengambil kesempatan mengucapkan tahniah pada pelakon itu dan suaminya.

Antaranya pelakon dan penerbit Datuk Ziela Jalil yang mengucapkan tahniah kepada Elfira.

Tidak ketinggalan turut berkongsi kegembiraan itu ialah pelakon Sherry Ibrahim, Izzue Islam, Nabila Razali dan ramai lagi.

Difahamkan, selain majlis akad nikah yang berlangsung pagi tadi, pasangan itu juga bakal melangsungkan lima resepsi sepanjang bulan Januari.

Selain nikah, majlis resepsi pasangan itu akan dilangsungkan pada setiap hujung minggu bermula minggu ini.

Elfira juga memilih busana perkahwinan daripada beberapa pereka terkenal tempatan yang pernah berkerjasama dengannya sebelum ini.

Selain Rizman Ruzaini, beberapa pereka fesyen lain yang dimaksudkan pernah menghasilkan gaun perkahwinan selebriti tempatan terkenal sebelum ini seperti Anzalna Nasir, Sharnaaz Ahmad dan Stacy.

Tahniah buat Elfira dan suami.

5 Perkahwinan Personaliti Tumpuan 2018

Tahun 2018 hampir melabuhkan tirai, bakal meninggalkan kenangan pahit manis dalam dunia hiburan tanah air.

Berikut kami rangkumkan 5 perkahwinan selebriti terkenal di Malaysia.

1. Wedding of The Year, SM Faliq dan Chryseis Tan

PERNIKAHAN antara dua pewaris empayar perniagaan terbesar di negara ini iaitu SM Faliq Nasimuddin dan Chryseis Tan pada 2 Februari lalu menjadi antara perkahwinan yang paling mendapat perhatian ramai.

Pasangan ini disatukan dalam sebuah majlis tertutup di resort di Bukit Tinggi di Bentong, Pahang.

Faliq merupakan anak keempat kepada pengasas Naza Group, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin manakala Chryseis pula adalah anak sulung kepada Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang juga pengasas Berjaya Group.

Pasangan sepadan yang dikatakan mula berkawan ketika belajar di sekolah antarabangsa itu dilaporkan bertunang pada 2 Julai lalu apabila jejaka berusia 33 tahun itu melamar Chryseis, 30, ketika mereka berdua bercuti di Marrakesh.

Faliq merupakan Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Naza TTDI Sdn Bhd sementara Chryseis yang berkelulusan Ijazah Seni Liberal Kajian Antarabangsa di Universiti Waseda, Tokyo merupakan Ketua Pengawai Eksekutif Berjaya Times Square.

2. Pelamin viral Yunalis Zarai dan Adam Sinclair

Majlis pernikahan antara penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna dan Adam Yousof Mohamed Sinclair, yang diadakan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang pada 26 Januari 2018 telah menarik perhatian ramai.

Menerusi gambar yang dikongsi, majlis pernikahan itu bertemakan dalam taman dengan berlatarbelakangkan hutan semula jadi.

Selepas majlis pernikahan mereka diadakan, ramai pengusaha butik perkahwinan berkongsi bahawa ramai yang mahu mendapatkan hiasan pelamin seperti yang dibuat oleh Yuna.

3. Cristina Suzanne nikah rahsia

Pelakon berdarah kacukan Cristina Suzzane Stockstill telah mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan sudah bernikah pada 31 Mac 2018.

Berita gembira itu diumumkan sendiri pelakon berusia 33 tahun ini menerusi akaun Instagramnya.

Difahamkan suami Cristina dikenali sebagai M Faiz Zakaria yang berasal dari Johor.

4. Datuk Adi Putra nikah semula

Selepas 10 bulan mengumumkan sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan kedua-dua bekas isterinya, pelakon Datuk Adi Putra mengejutkan ramai apabila mengumumkan sudah kembali menikahi bekas isterinya, Aida Yusof pada 18 Januari lalu.

Menerusi dua keping foto bersama Aida yang dimuat naik, Adi mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan jodoh mereka.

Adi dan Zuhaidah berkahwin buat kali pertama pada 14 April 2006 dan namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata sebaliknya mempunyai anak angkat.

Pelakon itu kemudiannya berpoligami selepas menikahi Norshahida Dzolkifly, 34, pada 20 Jun 2016.

5. Datuk A. Aida pilih lelaki muda

Biarpun berdepan dengan kecaman dan pandangan serong segelintir netizen yang melihat aktor Ariff Aziz menikahi penerbit Datuk A. Aida kerana wang, namun ia tidak menghalang pasangan ini untuk disatukan pada 21 Julai lalu.

Dengan dua kali lafaz nikah, A. Aida akhirnya bergelar isteri kepada Ariff Aziz hanya selepas tiga bulan menjalinkan hubungan cinta.

Pasangan itu berkenalan sejak tiga tahun lalu ketika Ariff bekerjasama dalam projek drama di bawah produksi A. Aida namun ketika itu hubungan mereka sekadar profesional dan hanya mula rapat sejak tiga bulan lalu.

Ia adalah perkahwinan keempat buat A. Aida dan pertama kali untuk Ariff.

Zizie Ezette Bakal Timang Anak Perempuan

Pelakon, Zizie Ezette mengumumkan bakal menimang cahaya mata perempuan pada Mac depan.

Berita gembira tersebut dimaklumkan sendiri oleh Zizie Ezette yang juga merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, di Instagramnya.

"GIRL. See u in March my sweet lil angel," tulisnya ringkas.

Zizie dan suami berkahwin pada pada 2009. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan anak kembar lelaki, Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette pada tahun lalu.

Selain itu, mereka turut mempunyai dua lagi anak angkat iaitu Nayla Nurjenna, 3, dan Aaric Zayn Izette, setahun. -sinar online

Sufi Rashid Rasmi Bertunang

Penyanyi, Sufi Rashid, 27, selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan wanita pilihannya di Senawang, Negeri Sembilan.

Penyanyi popular Aku Sanggup dan Nurulain Md Yusof sepakat mengikat tali pertunangan mereka selama setahun dan akan melangsungkan majlis pernikahan pada Disember 2019.

Dalam majlis istimewa yang dihadiri kaum keluarga dan rakan-rakan terdekat menyaksikan dulang hantaran enam berbalas tujuh.

Dalam masa sama, Sufi menerusi akaun Instagramnya memuat naik status berbentuk puisi.

"Wahai tunangku, Saya memilih awak. Dan saya akan tetap terus berkali-kali memilih awak. Tanpa henti, tanpa rasa ragu, dalam nadi.

Saya akan tetap selalu memilih awak. Saya berharapkan doa dan sokongan untuk destinasi kita ke alam perkahwinan," coret Sufi.

Terdahulu, bibit cinta pasangan tunang ini bermula sekitar akhir tahun 2016. -sinar online

Kaka Azraff Selamat Bertunang

"SAYA akan umumkan nanti," ujar Kaka Azraff yang dikatakan sudah bertunang di kediaman lelaki pilihan hatinya, Adam Azriff, berkata buat masa ini dia lebih suka mengunci mulut

"Okay, cuba teka? Saya akan umumkan di Instagram kepada semua orang. Cuma buat masa ini demi menghormati pihak lain saya tak boleh berikan kenyataan lagi.

"Saya janji akan umumkan bila sampai masanya nanti. Maaf sangat sebab kena hormat. Bila tu tak tahu lagi, saya takkan sorok.

"Apa yang saya letak di Instagram itulah sebenarnya," ujar Kaka jujur. -sinar online

Pekin Ibrahim Dan Mona Allen Selamat Bernikah?

PELAKON Pekin Ibrahim dikatakan telah melangsungkan pernikahannya dengan bintang drama Monalisa, Mona Allen, menyaksikan beberapa keping gambar pasangan selebriti ini dalam persalinan pengantin, selain papan tanda yang tertera nama mereka telah tersebar.

Meski tiada kenyataan yag dikeluarkan oleh mereka berdua, rakan artis dan peminat mula mengucapkan tahniah dan meluahkan rasa gembira dengan berita tersebut. Tidak kurang terkejut dan bertanyakan tentang kesahihah berita tersebut.

Bagaimanapun, Amyza Aznan menerusi laman Instagramnya secara terbuka turut mengucapkan selamat pengantin baharu kepada Pekin dan Mona.

“Selamat pengantin baru buat anak Cik Gayah (Amyza), Mona Alle dan suami, @pekin7words (Pekin Ibrahim).

“Semoga berkekalan hingga ke jannah. Amin,” tulisnya pada sekeping gambarnya bersama Mona.

Terdahulu sebelum ini Pekin yang kini bergiat aktif sebagai penerbit filem pernah menyatakan hasratnya untuk tidak menghebahkan tentang tarikh pernikahannya kerana menganggap ia merupakan momen peribadi buatnya dan pasangan. -sinar online

Siti Nurhaliza Pernah Padam Foto Aafiyah di IG

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan pernah memadam foto anaknya, Siti Aafiyah yang telah dimuat naik di akaun Instagram (IG) selepas suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa merasakan ia tidak sesuai untuk dikongsikan.

Menurut Siti, dia perlu meminta pandangan dan izin suaminya terlebih dahulu sebelum berkongsi foto atau video Aafiyah di laman sosial.

“Sebenarnya, dulu pernahlah sekali saya padam gambar yang dah dikongsikan di Instagram kerana suami kata tak berapa sesuai untuk dikongsi.

“Jadi sebelum kongsi foto atau video Aafiyah, saya akan tunjuk pada Datuk K dahulu dan minta pandangannya, sama ada sesuai atau tidak.

“Kalau Datuk K rasa tak sesuai, dia akan beritahu dan tidak mengizinkannya untuk dimuat naik,” katanya kepada Gempak.

Siti ditemui ketika pelancaran SimplySiti Di Hati 2018 yang diadakan di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pelantun lagu Anta Permana itu berkata, dia dan suami tidak mahu Aafiyah terlalu diketengahkan dan didedahkan kepada umum.

“Saya dan suami tidak pernah terfikir untuk mengetengahkan Aafiyah kepada umum kerana dia pun masih kecil lagi.

“Sebab itu, buat masa ini tiada lagi akaun Instagram peribadi untuknya.

“Setakat ini, kami rasa tak perlu, tapi saya tak berani nak kata akan datang bagaimana,” katanya lagi.

Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac lalu selepas pasangan itu menanti 11 tahun untuk menimang cahaya mata. -astroawani

5 Hari Tayang, Polis Evo 2 Kutip Lebih RM10 Juta

Filem aksi terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM TBK, Polis Evo 2 terus melakar sejarah apabila mencatat lebih RM10 juta selepas lima hari ditayangkan di 146 buah pawagam seluruh negara dan Brunei.

Sekali gus kutipan berkenaan meletakkan filem lakonan gandingan Shaheizy Sam dan Zizan Razak selaku teraju utama menduduki tangga teratas carta naskhah pecah panggung di pawagam tempatan ketika ini.

Polis Evo 2 turut dibintangi barisan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Hasnul Rahmat, Hairul Azreen, Sofi Jikan dan aktres Indonesia, Raline Shah.

Selain Brunei, Polis Evo 2 turut menembusi pawagam negara Singapura dengan tayangan awal pada 23, 24 dan 25 November lalu sebelum diluncurkan secara rasmi pada 29 November ini.

Terdahulu, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM 3.5 juta pada hari pembukaannya pada 22 November lalu.

Ia sekali gus memadam rekod kutipan tertinggi pada tayangan hari pembukaan yang dipegang filem seram arahan Syamsul Yusof, Munafik 2 yang mengutip sebanyak RM2.05 juta. -kosmo

Video Ucapan Arwah Bapa Undang Sebak Majlis Persandingan Kedua Fazley Dan Isteri

Video ucapan arwah bapa mengundang sebak kepada hadirin yang hadir ke majlis persandingan kali kedua cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob dan isteri, Datin Azrene Ahmad yang berlangsung di Lanai Tamu Event Hall, Damansara Perdana.

Video itu merupakan ucapan arwah Datuk Yaakob Muhammad ketika majlis persandingan Fazley dan Azrene yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2005.

Kata Fazley, ucapan tersebut menjadi penanda kepada beliau dan isteri serta keluarga untuk melupakan segala kisah sedih yang berlaku 13 tahun lalu.

“Kami bersyukur kerana berjaya merealisasikan amanat arwah bapa supaya kami bersanding semula jika tiba masanya.

“Jadi pada malam ini saya mohon kepada semua termasuk rakan media untuk sama-sama melupakan segala kisah sedih 13 tahun lalu.

“Semua orang tahu apa yang telah kami lalui dahulu. Jadi pada malam ini, kami mahu buku baharu dan menjalani kehidupan sekarang sebaik-baiknya,” kata Fazley sebak ketika memberi ucapan.

Majlis yang dihadiri seramai 350 tetamu itu juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 7 November 2005.

Sepanjang 13 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz, 7, dan Alayna Selma yang kini berusia setahun. -kosmo