Video ucapan arwah bapa mengundang sebak kepada hadirin yang hadir ke majlis persandingan kali kedua cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob dan isteri, Datin Azrene Ahmad yang berlangsung di Lanai Tamu Event Hall, Damansara Perdana.
Video itu merupakan ucapan arwah Datuk Yaakob Muhammad ketika majlis persandingan Fazley dan Azrene yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2005.
Kata Fazley, ucapan tersebut menjadi penanda kepada beliau dan isteri serta keluarga untuk melupakan segala kisah sedih yang berlaku 13 tahun lalu.
“Kami bersyukur kerana berjaya merealisasikan amanat arwah bapa supaya kami bersanding semula jika tiba masanya.
“Jadi pada malam ini saya mohon kepada semua termasuk rakan media untuk sama-sama melupakan segala kisah sedih 13 tahun lalu.
“Semua orang tahu apa yang telah kami lalui dahulu. Jadi pada malam ini, kami mahu buku baharu dan menjalani kehidupan sekarang sebaik-baiknya,” kata Fazley sebak ketika memberi ucapan.
Majlis yang dihadiri seramai 350 tetamu itu juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.
Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 7 November 2005.
Sepanjang 13 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz, 7, dan Alayna Selma yang kini berusia setahun. -kosmo
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon