5 Hari Tayang, Polis Evo 2 Kutip Lebih RM10 Juta

Filem aksi terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM TBK, Polis Evo 2 terus melakar sejarah apabila mencatat lebih RM10 juta selepas lima hari ditayangkan di 146 buah pawagam seluruh negara dan Brunei.

Sekali gus kutipan berkenaan meletakkan filem lakonan gandingan Shaheizy Sam dan Zizan Razak selaku teraju utama menduduki tangga teratas carta naskhah pecah panggung di pawagam tempatan ketika ini.

Polis Evo 2 turut dibintangi barisan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Hasnul Rahmat, Hairul Azreen, Sofi Jikan dan aktres Indonesia, Raline Shah.

Selain Brunei, Polis Evo 2 turut menembusi pawagam negara Singapura dengan tayangan awal pada 23, 24 dan 25 November lalu sebelum diluncurkan secara rasmi pada 29 November ini.

Terdahulu, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM 3.5 juta pada hari pembukaannya pada 22 November lalu.

Ia sekali gus memadam rekod kutipan tertinggi pada tayangan hari pembukaan yang dipegang filem seram arahan Syamsul Yusof, Munafik 2 yang mengutip sebanyak RM2.05 juta. -kosmo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon