Jika bercakap soal jodoh, pasti banyak kisah yang kita dengar tentang betapa aneh dan uniknya ia berlaku kerana perkara itu adalah antara rahsia Allah paling besar.
Buat pelakon yang kini bergelar penerbit tersohor, Datuk Zaidah Awang atau nama komersialnya, A. Aida, pasti jodohnya kali ini paling tidak terduga.
Wanita berusia 47 tahun ini hanya melalui fasa bercinta selama tiga bulan sebelum dia dan suami, pelakon baharu, Wan Izma Ariff Abd. Aziz atau Ariff Aziz, 29, mengambil keputusan bernikah pada tanggal 21 Julai lalu di Dorset Hotel, Grand Subang.
Saat ditemui selepas selesai majlis pernikahan pada malam tersebut, dia memberitahu, inilah kali pertama dirinya merasakan suasana pernikahan yang sebenar ketika berkahwin.
Ironinya, ini adalah pernikahan keempat A.Aida selepas kegagalan rumah tangga bersama Ameng Spring dan dua orang bekas suami beranggota polis yang menyaksikan kali terakhir perceraiannya terjadi pada tahun 2013.
A. Aida dan Ariff selamat dinikahkan oleh Imam 2 Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Ustaz Mohammad Mran Nasohah dengan dua kali lafaz.
Pengantin lelaki memberikan mas kahwin RM300, wang hantaran RM20,000 berserta tiga dulang hantaran berbalas lima oleh pengantin perempuan.
“Pastinya saya berasa sangat bersyukur, lega dan bahagia apabila semuanya berjalan lancar serta kami berdua sah bergelar suami isteri biarpun ia berlaku dalam jangka masa yang agak pantas.
“Saya sangat gembira pada malam ini kerana majlis berjalan mengikut cita rasa dan keinginan saya.
"Inilah pertama kali saya beria-ia merancang pernikahan sendiri dan berasa seronok seperti tidak pernah melaluinya sebelum ini,” ujarnya sambil memaut erat lengan sasa si suami.
Lali
Adat manusia, yang terkurang jadi umpatan mana yang lebih jadi sindiran.
Buat pasangan mempelai, tidak mudah untuk mereka menjadi kalis makian saat menuju ke jenjang pelamin terutama selepas berita lamaran Ariff menjadi tular sekitar dua minggu lalu.
Saat bertanya apakah kekuatan A. Aida memekakkan telinga dengan kata-kata kurang enak hanya kerana dia bernikah dengan lelaki jauh lebih muda, wanita itu hanya memberitahu, sudah lumrah dunia sebagai anak seni.
Pasca menempuh kehidupan sebagai pelakon kemudian penerbit sejak lebih 20 tahun menjadikan ibu kepada Wan Az Aleesa, 21, Wan Azevanatassha, 16, tahun dan Muhammad Rahul, 10, itu berkata, dia sudah lali dan masak dengan situasi tersebut.
“Mana yang lebih baik, kahwin dengan anak teruna atau rampas suami orang?
"Sekurang-kurangnya saya tidak menyakitkan hati sesiapa,” padat jawapan yang diberikan oleh anak kelahiran Terengganu itu sambil tersenyum sinis.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu, antara sebab lain pintu hatinya terbuka untuk Ariff adalah kerana kemampuan suaminya itu mengubah dia menjadi muslimah lebih baik.
Buktinya, bermula pada malam pernikahan, A. Aida mengesahkan bakal meneruskan imej berhijab yang dipakainya sebagai menghormati permintaan Ariff yang mahu dia tampil sedemikian.
“Hati saya memang masih berbelah-bahagi untuk bertudung tetapi saya sudah bertanya kepada seorang ustaz tentang perasaan ini. Ustaz memberitahu, pahala menurut permintaan suami lebih tinggi daripada keinginan saya yang belum sepenuhnya itu.
“Jujur saya beritahu, bukan mudah untuk mengubah wanita keras kepala seperti saya, namun Ariff berjaya lakukannya jadi saya yakin, dia jodoh terbaik buat saya untuk masa ini,” terangnya panjang lebar.
Tumpang
Sementara itu, bagi Ariff, pelakon baharu yang mula mencipta nama menerusi drama seperti Misteri Wan Peah dan Isteri Untuk Diiktiraf itu, niat memperisterikan A. Aida bukanlah suatu tindakan yang mempunyai maksud tersirat.
Biarpun terdapat segelintir pandangan skeptikal tentang keterbukaannya memilih wanita yang lebih berusia dan berharta sebagai suri hidup sebagai jalan mudah untuk menapak dalam industri, Ariff menafikan hal tersebut.
Katanya, dia bukan seorang lelaki tidak berpelajaran, sebaliknya dia mempunyai segulung ijazah dalam bidang Multimedia serta mempunyai perniagaan sendiri sebelum mencuba nasib sebagai pelakon yang seterusnya menjadi titik perkenalan dia dan isteri.
“Senang untuk orang menganggap apa sahaja apabila saya bernikah dengan A. Aida, namun hanya Allah sahaja yang tahu keikhlasan saya mencintai dia.
“Dia seorang wanita yang cantiknya datang dari dalam dan bukan sekadar luaran. Usianya yang lebih tua menjadikan dia matang, mengajar saya banyak perkara tentang perhubungan dan ia saya anggap sebagai satu kelebihan, bukan kelemahan,” tegasnya.
Tambahnya lagi, jika dia mahu mengambil kesempatan ke atas segala kelebihan yang dimiliki isterinya termasuk kemewahan, pastinya sudah lama dia berbuat demikian.
Sementelah, dia telah mengenali isterinya seawal melangkah ke dalam industri hiburan pada 2015.
“Saya pernah bertunang, namun ia terputus di tengah jalan. Selepas itu baru hubungan saya dan A. Aida menjadi rapat serta terbit rasa cinta.
“Apa yang terjadi (hubungan) bukan dirancang atau dipaksa, namun terjadi secara semula jadi kerana Allah itu sebaik-baik perancang,” katanya menutup perbualan. -kosmo
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon