Aliff Aziz Dan Daiyan Trisha Jaga Batas Pergaulan

DUA nama ini, Aliff Aziz dan Daiyan Trisha masing-masing belum pernah disatukan dalam mana-mana karya biarpun kedua-duanya sudah bertapak dalam industri hiburan tanah air untuk tempoh beberapa tahun lalu.

Apa yang pasti, kedua-dua mereka yang disatukan buat julung-julung kalinya dalam drama bersiri Sejuta Rasa Buat Adelia selaku hero dan heroin menambah satu lagi catatan baharu dalam portfolio kerjaya yang diceburinya selama ini.

Menariknya, baik Aliff mahupun Daiyan, mereka ini mempunyai satu persamaan yang cukup jelas.

Barangkali ada yang perasan bahawa kedua-duanya mula memperkenalkan diri mereka dalam dunia seni sebagai penyanyi terlebih dahulu sebelum masing-masing mencuba nasib untuk terjun dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, siapa sangka pada hari ini mereka berjaya membuktikan bakat dan kemampuan yang ada dalam diri masing-masing selepas satu demi satu karya mereka menghias kaca televisyen.

Justeru, apabila berada di hadapan kamera, baik Aliff atau Daiyan, sebolehnya mereka cuba berikan yang terbaik.

Sungguhpun begitu, babak mesra mereka dalam naskhah arahan Eyra Rahman itu membuatkan ada pihak yang berasa kurang senang.

Terutamanya apabila nama Aliff disebut-sebut kembali. Adegan mesra dalam lakonan membuatkan cerita kontroversi lama yang pernah terpalit dengan dirinya membabitkan gandingan pelakon heroin tahun sudah masih lagi bersisa dalam benak banyak orang di luar sana.

Lebih profesional

Bagi Aliff sendiri, dia sedar akan kewujudan cakap-cakap orang yang masih skeptikal dengan dirinya.

Bagaimanapun, jejaka berusia 27 tahun itu menerima hal itu seadanya. Dia akur bahawa dirinya tidak akan pernah boleh memuaskan hati semua pihak, terutamanya bagi yang sudah punya persepsi yang negatif terhadapnya.

“Saya sedar dengan apa yang orang katakan (babak mesra). Bagaimanapun, kami sebagai pelakon perlu menterjemahkan sebuah jalan cerita bersifat fiksyen ini secara langsung kepada orang di luar sana.

"Jadi, saya sebagai pelakon hanyalah seperti kanvas untuk sampaikan watak saya itu agar diperlihatkan kepada orang di luar sana.

"Lagipun, ia bukanlah sesuatu yang benar-benar terjadi. Hanyalah satu fantasi.

“Rasanya ada sahaja pelakon lain yang lakukan (babak mesra), tetapi tidak menerima komen negatif. Barangkali ada yang tidak senang dengan kisah lampau saya sebelum ini.

"Apapun sebagai pelakon, saya mempertaruhkan seluruh jiwa, hati dan masa yang ada untuk sumbangkan sesuatu demi menghiburkan orang ramai,” cerita anak kelahiran Singapura itu ketika ditemui dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Kongsi Aliff lagi, apa yang lebih penting, dia perlu bersifat profesional dalam setiap hasil kerjanya.

Begitu juga yang diharapkan kepada pasangan gandingannya dalam apa jua karya.

"Paling utama, katanya, dia tahu ada batas-batas yang perlu dipatuhinya.

“Netizen dan penonton adalah golongan yang menjadikan siapa saya hari ini sebagai anak seni.

"Komen-komen mereka itu penting, cuma saya tidak mahu terlalu terperinci dalam memikirkannya. Bimbang nanti diri sendiri yang akan tertekan.

“Asalkan apa yang kita buat itu mengikut panduan dan arahan seperti yang diminta pengarah, pada saya okey sahaja.

"Lagipun saya tidak boleh kawal apa yang orang ingin katakan,” cerita bapa kepada Ayden Adrean yang kini sudah berumur satu tahun itu.

Kongsi Aliff, dia juga selesa dan senang apabila dapat bekerjasama dengan Daiyan buat pertama kali.

“Saya memang kenal dia sebagai penyanyi sebelum ini. Cuma kami baru pertama kali bergandingan sama. Dia seorang yang peramah dan suka bergurau.

"Jadi, secara tidak langsung mudah untuk wujudkan keserasian apabila di hadapan kamera.

“Saya tidak kisah sekiranya heroin saya mempunyai pandangan atau skeptikal terhadap saya, tetapi apabila menyentuh hal kerja, perlulah dilaksanakan secara profesional sahaja.

"Saya tak boleh nak tukar persepsi dan pandangan orang terhadap saya,” ceritanya yang mengakui merancang untuk melebarkan karier seni dalam dunia pengarahan pula satu hari nanti.

Elak cinta lokasi

Bagi Daiyan sendiri pula, dia mengakui satu pengalaman baharu buatnya apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Aliff buat pertama kali.

Biarpun sedar akan kisah kontroversi yang pernah mengaitkan gandingan heronya itu, pelakon dan penyanyi berusia 25 tahun itu tidak pernah meletakkan hal tersebut sebagai satu halangan untuk dirinya mengekspresikan bakat yang ada pada dirinya.

“Sewaktu menerima tawaran berlakon drama ini, saya tidak tahu pun siapa hero yang bakal digandingkan. Tertanya-tanya juga.

"Selepas dimaklumkan akan bekerja dengan Aliff, saya okey sahaja walaupun tahu mengenai kontroversi pasal dirinya.

"Apapun, saya perlu bersikap adil kepada pasangan pelakon saya.

“Dia pun profesional dengan kerjanya. Bahkan masa babak pertama kami berlakon di hutan lagi kami sudah mula menunjukkan keserasian.

"Sebolehnya saya pun mahu gandingan saya selesa dan kami anggap sebagai kawan,” kata pemilik nama sebenar Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu.

Menurut Daiyan, tidak adil sekiranya dia cuba meletakkan satu jurang pemisah kepada mana-mana gandingan heronya dalam sesuatu naskhah.

Baginya, tindakan itu hanya membuka ruang kepada penghasilan sebuah hasil kerja yang tidak berkualiti.

“Kalau awal-awal lagi kita sudah letakkan jurang, susahlah nak berlakon sama.

"Lagipun, siapa saya nak menghukum orang (kerana cerita lama). Dalam drama pun kami perlu jadi karakter masing-masing.

"Jadi penting ada keserasian dan selesa jika ingin terus bekerja dalam satu pasukan,” kongsinya.

Jelas pelakon filem Busker ini, sebolehnya dia cuba elak daripada berlakunya cinta lokasi.

"Bahkan, dalam drama Sejuta Rasa Buat Adelia yang disiarkan menerusi saluran Astro Ria itu, dia bersyukur kerana status Aliff yang sudah berumah tangga.

“Jadi, tidak adalah cerita-cerita kononnya cinta lokasi itu wujud antara kami. Kalau pasangan bujang mungkin netizen pun cuba untuk padankan kami.

"Lebih seronok, saya dengan Aliff banyak bergaduh di set penggambaran ada lah,” selorohnya.

Ditanya kesukaran berlakon dengan hero berstatus suami orang, kata Daiyan, dia tidak melihat status itu sebagai satu halangan.

“Kalau tak okey, tak mungkin saya terima dari awal. Selepas berlakon dengan Aliff, saya rasa okey sahaja.

“Orang mungkin bimbang melihat saya melebih-lebih dalam lakonan.

Bagaimanapun, penonton yang bijak pasti boleh bezakan hal tersebut. Lagipun kami di set seperti sebuah keluarga,” katanya yang kini mahu berehat seketika selepas 65 hari menjalani penggambaran drama itu.

Sungguhpun begitu, menurut Daiyan, dia tetap punya batas tertentu dalam melakonkan satu-satu babak.

“Dalam apa jua yang kita lakukan mesti ada batasannya. Kalau adegan lebih-lebih pun saya tidak mahu lakukannya,” katanya yang merancang untuk menghasilkan sebuah album dalam bahasa Inggeris pula selepas ini. -kosmo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon