POPULARITI drama bersiri Jangan Benci Cintaku nampaknya meninggalkan impak cukup besar bukan sahaja dalam kalangan peminat tetapi pelakon utamanya, Saharul Ridzwan.
Saharul menerusi Instagram memberitahu pada Jumaat lalu dia didatangi oleh seorang makcik yang tiba-tiba menepuk belakangnya gara-gara marahkan karakternya sebagai Shah dalam drama itu.
"Terkejut saya tiba-tiba makcik tu tepuk (macam Husna tumbuk Shah). Tergelak seorang-seorang pula lepas tu," tulisnya pada kapsyen video yang dimuat naiknya.
Menerusi video itu pula, Saharul menjelaskan dia adalah Saharul Ridzwan dan bukannya Shah dan secara bergurau meminta agar dia tidak dipukul hanya kerana penonton bencikan wataknya.
"Hai, sebenarnya saya buat video ini sebab nak bagitahu yang saya ini Saharul Ridzwan bukan Shah. Kalau kat dalam drama tu ya, saya Shah.
"Tapi janganlah kat luar sampai nak pukul saya, makcik-macik yang marah betul kat saya tu. Kesianlah kat saya," katanya.
Jangan Benci Cintaku turut menggandingkan Saharul dengan Zahirah Macwilson, Niena Baharun, Luqman Hafidz, Izzue Islam, Amelia Henderson, Daler Yusuf, Esma Dainal dan Azizah Mahzan.
Ia sedang ditayangkan menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Khamis, 7 malam di TV3.
Sementara itu, pengikut Saharul memberitahu kejadian yang menimpanya itu membuktikan lakonannya dan barisan pelakon lain menjadi dan meninggalkan kesan.
Malah ramai mendoakan agar Jangan Benci Cintaku akan menjadi titik tolak kepada karier Saharul untuk kembali berkembang selepas ini. -mstar
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon