Showing posts with label Artis Tempatan. Show all posts
Showing posts with label Artis Tempatan. Show all posts

Senarai Konsert Yang Pernah Diadakan Siti Nurhaliza

"KAN ku kejar pelangi, walau hadir sementara.."

Itu antara bait lirik lagu Engkau Bagai Permata yang menjadi lagu pembukaan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk konsert Live Bersama Siti Nurhaliza pada tahun 1999.

Ini merupakan konsert solonya yang pertama selepas berjaya menjuarai Bintang HMI empat tahun sebelum itu.

Konsert tersebut telah berlangsung dengan jayanya dan diterima dengan baik oleh pengkritik serta beliau dipuji kerana vokal dan persembahannya yang mantap.

Sempena ulang tahun kelahiran ke-40 penyanyi kesayangan ramai itu dan juga konsert jelajah beliau yang akan bermula bulan depan, kami kongsikan senarai konsert yang pernah diadakan biduanita kesayangan ramai ini:

Selamat Ulang tahun ke-40 Buat Siti Nurhaliza!

Ratu Pop Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan menyambut hari jadinya yang ke-40.

Penyanyi pop yang menerima pelbagai anugerah itu merupakan penyanyi Malaysia yang paling berjaya, menerima lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa dan membuat persembahan dalam lebih 50 konsert sepanjang penglibatan beliau selama 23 tahun dalam industri muzik.

Pada masa ini, beliau tersenarai sebagai salah seorang artis Malaysia yang terkaya, paling berpengaruh, menerima paling banyak anugerah dan menghasilkan paling banyak single.

Siti Nurhaliza juga ialah salah seorang artis Malaysia yang laris. Jualan album beliau sahaja menyumbang kepada 10 peratus jumlah jualan album di Malaysia pada 2001.

Setakat ini jualan album beliau mencecah lebih enam juta unit.

Biarpun mencapai banyak kejayaan, penyanyi "Anta Permana" itu berkata tiada apa lagi yang dihajatkan beliau selain daripada kesihatan yang baik dan mampu untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

"Lagipun, saya sudah menerima hadiah yang paling berharga, anak perempuan saya, Siti Aafiyah," katanya sebagaimana dipetik dalam satu laporan akhbar baru-baru ini.

Siti Nurhaliza dan ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menikah pada 21 Ogos, 2006 dan Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac tahun lepas.

Selepas lebih setahun berehat untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, Siti Nurhaliza akan kembali beraksi untuk peminatnya pada tahun ini.

Ikon muzik itu akan mengadakan persembahan di empat negara - Indonesia (21 Feb), Singapura (2 Mac), Malaysia (16 Mac) dan England (22 April).

Penyanyi sensasi itu akan membuat persembahan di Royal Albert Hall yang ternama di London pada 22 April nanti, yang merupakan persembahan kedua beliau di venue yang tersohor itu.

Kali pertama Siti Nurhaliza membuat persembahan di London ialah pada 2005 sempena ulang tahun sedekad penglibatan beliau dalam industri muzik, menjadikan beliau artis ketiga Asia yang menghiburkan peminat di Royal Albert Hall.

"Konsert ini akan memberikan kelainan, terima kasih kepada peminat setia, 'Sitizoners' dan peminat yang menanti saya kembali," kata beliau dalam satu sidang media baru-baru ini untuk mengumumkan konsert jelajah beliau, "Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour'.

Bersempena konsert jelajah itu, satu dokumentari berjudul "They Call Me Siti: One Woman, Two Decades of Music, Ten Thousand Miles" akan ditayangkan di layar perak.

Penerbit Eksekutif Shiraz Project, Shirazdeen Karim yang akan mempromosikan Siti Nurhaliza sebagai Ratu Muzik telah memperuntukkan lebih RM10 juta bagi tujuan itu, menjadikannya mungkin konsert jelajah yang mempunyai belanjawan tertinggi bagi mana-mana penyanyi Malaysia.

Tiket untuk konsert di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini berharga RM1,295 (termasuk berjumpa dan beramah mesra), RM495, RM355, RM255, RM155 dan RM105 boleh didapati di myticket.asia.

Saat Terbahagia Izreen Azminda

Awan mendung yang berarak dalam kehidupan pelakon Izreen Azminda nampaknya kini telah diganti dengan pelangi apabila dia disahkan hamil buah cinta pertamanya bersama suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, yang dikahwini pada 8 Ogos 2017.

Menyifatkan ia sebagai kurniaan terindah dalam perkahwinannya, Izreen yang kini hamil tiga bulan bersyukur kerana berpeluang kembali melalui pengalaman hamil selepas kali terakhir mengalaminya enam tahun lalu.

“Sebaik disahkan usia kehamilan mencecah sebulan pada November lalu, saya terkejut dan amat gembira. Hal ini adalah kerana saya sememangnya memasang impian untuk memiliki anak lagi.

“Suami dan anak-anak juga gembira. Kehamilan ini merupakan hadiah paling istimewa bukan sahaja untuk saya, tetapi seluruh keluarga,” kata Izreen membuka bicara ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun begitu kehamilannya kali ini amat berbeza dengan yang pertama dahulu. Menurut wanita berusia 34 tahun itu, kali ini, tahap kesihatannya merosot dan kerap mengalami pendarahan.

“Kehamilan pertama dahulu saya masih boleh bekerja sehingga kandungan mencecah empat bulan. Kehamilan kali ini berbeza kerana saya cepat berasa penat dan tidak boleh berdiri terlalu lama.

“Saya juga kerap alami pendarahan, rasa mual yang melampau dan pening kepala. Sebab itu, saya lebih banyak berehat di rumah dan tidak akan keluar rumah jika tiada urusan penting,” kongsi Izreen.

Tanpa berselindung Izreen mengakui, dia mengidam mendapat anak perempuan kerana sudah memiliki seorang anak lelaki, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin.

Sementara, suami Izreen, Ude, 31, juga telah memiliki dua orang anak lelaki iaitu Arish Muqri, empat tahun dan Ariq Muqri, dua tahun, hasil perkahwinan terdahulunya dengan Intan Liana Saleh.

“Buat masa ini, saya masih belum mengetahui jantina bayi, tetapi kalau boleh mahu menimang anak perempuan pula selepas memiliki anak lelaki.

"Namun, jika Allah kurniakan anak lelaki juga saya tidak kisah, memadai anak yang bakal lahir kelak sihat dan sempurna,” ungkap Izreen.

Rezeki

Sejak mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu dan menjadi bahan kontroversi sehingga menjadi antara pelakon wanita yang paling dibenci khalayak, Izreen ‘direhatkan’ daripada muncul di televisyen.

Bagaimanapun sebaik disahkan hamil, tawaran lakonan kembali datang mencurah-curah seperti dahulu.

Namun, demi kesihatan dan keselamatan kandungan, Izreen terpaksa menolak kesemua tawaran tersebut.

“Saya mengaku sebelum ini memang saya direhatkan oleh stesen televisyen kerana terpalit dengan kontroversi

"Mungkin rezeki anak, tawaran lakonan mula datang kembali sejak Oktober tahun lalu.

“Malangnya semua tawaran tersebut adalah untuk membintangi drama rantaian yang memerlukan komitmen tinggi.

"Saya terpaksa menolak kesemua tawaran berkenaan kerana tahap kesihatan yang tidak berapa baik.

“Saya juga tidak mahu menyusahkan pihak produksi dan orang lain andai menerima tawaran tersebut. Jika ada rezeki selepas bersalin, saya akan kembali berlakon semula,” tutur Izreen.

Tambah pelakon drama Tanggang Ayu itu, dia mahu membintangi sebuah karya yang memberi impak jika membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan selepas bersalin pada Julai depan.

“Saya mahu sebuah karya yang benar-benar memberi impak kerana sudah lama tidak berlakon. Oleh itu, saya mahu karya yang bukan sahaja memberi impak kepada penonton, tetapi turut mencabar saya sebagai pelakon,” kata penerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013.

Cinta

Ditebak soalan, kemungkinan timbul sebarang penyesalan di hatinya apabila karier lakonan yang dibina selama 12 tahun terhenti begitu sahaja demi sebuah perkahwinan.

Tanpa berfikir panjang, Izreen segera menjawab, dia sesekali tidak pernah menyesal dengan jalan hidup yang dipilihnya ketika ini kerana dia berasa cukup bahagia.

Andai boleh diundurkan waktu, Izreen akan tetap memilih jalan dan lelaki yang sama untuk menjadi suaminya.

“Tipulah jika saya kata tidak terkilan. Saya sayang dengan karier lakonan yang dibina selama 12 tahun.

"Saya menjadikan lakonan sebagai karier bukan untuk kejar glamor, sebaliknya demi kelangsungan hidup.

"Saya bermula daripada bawah sebagai pelakon tambahan.

“Namun, saya sanggup melepaskan karier seni untuk berkahwin kerana benar-benar mencintai suami. Mungkin dia orang biasa dan tidak kaya, tetapi saya tidak pernah menyesal.

“Saya bersyukur apabila ditimpa kontroversi, sebagai suami dia tidak pernah lari atau menyalahkan saya atas apa yang berlaku.

"Sebaliknya, kami melalui semua dugaan dan cabaran bersama. Dia juga tidak menyesal berkahwin dengan saya meskipun dihina satu Malaysia, daripada situ saya melihat keikhlasannya,” ujar Izreen.

Biarpun perkahwinannya bersama Ude menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, Izreen yakin aturan Allah tidak pernah salah. Baginya, setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah.

Allah memberi bahagia yang dicarinya selama ini, tetapi dalam masa sama menarik rezekinya sebagai pelakon buat sementara waktu.

Melihat dengan jelas apa yang berlaku dalam kehidupannya, tegas Izreen, mungkin itu merupakan ‘bayaran’ yang perlu ditanggung atas kekilafannya dahulu.

“Saya sentiasa berdoa agar diberi kebahagiaan. Allah mendengar doa saya dan beri bahagia yang dipinta, tetapi menarik karier seni. Mungkin ini merupakan cara Allah untuk membawa saya kembali dekat dengan-Nya.

“Sebelum ini kerana terlalu sibuk bekerja saya terlupa dan tiada masa untuk dekat dengan Allah.

"Saya memandang positif semua yang berlaku, walaupun perit, tetapi ia menjadikan saya manusia yang lebih baik,” luah Izreen.

Sebelum mengakhiri bicara, Izreen mengharapkan kehadiran tahun 2019 akan memberi lebih kemanisan dalam kehidupan keluarganya.

"Selain itu, dia juga berharap khalayak menutup buku tentang semua kisah silamnya.

“Saya harapkan sempena tahun baru ini, semua orang boleh tutup buku lama, tidak perlu diungkit kisah lalu.

"Jika ada kesalahan yang saya lakukan jangan mengambil kerja Allah dengan menjatuhkan hukum.

"Biarlah Allah yang tentukan kerana terdapat hikmah sebalik apa yang berlaku,” katanya menutup bicara.

Pelakon Izreen Azminda kini berada dalam fasa terbahagia kehidupannya apabila hamil tiga bulan selepas setahun lebih mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid. -kosmo

Mahligai Aliff Syukri Tersenarai Dalam Portal Hartanah Mewah Antarabangsa!

SEBUAH portal hartanah mewah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Home of The Rich memaparkan mahligai Datuk Seri Aliff Syukri di laman Instagram rasminya pada Rabu.

Instagram @homeoftherich itu memuat naik dua gambar kediaman mewah jutawan kosmetik itu yang menunjukkan Aliff Syukri berdiri di depan gerbang masuk utama dan sebuah lagi gambar beliau di tangga di bahagian dalam rumahnya.

Portal yang mempunyai lebih 273,000 pengikut di laman Instagram tersebut memaparkan gambar-gambar kediaman mewah dari seluruh dunia untuk dijadikan sebagai inspirasi.

Bagaimanapun, terdapat netizen yang tidak berpuas hati dengan posting tersebut dan mendakwa kekayaan yang dipamerkan Aliff Syukri diwarisi daripada ibu bapanya.

"Dia gemar menunjuk-nunjuk kekayaannya yang ditinggalkan oleh ibu bapanya dan ditangkap oleh polis kerana mengelak bayaran cukai jalan," tulis @nick_leesy.

Bagaimanapun, pengguna akaun @guns_and_bullet mempertahankan usahawan berkenaan dan berkata, "Tidak. Kekayaannya bukanlah diwarisi daripada ibu bapanya kerana bapa beliau adalah seorang pengawal keselamatan."

Komen tersebut mendapat perhatian Aliff Syukri yang ternyata kecewa dengan dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.

Aliff Syukri pada Khamis memuat naik paparan skrin komen tersebut dan meluahkan rasa sedih dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan kejayaannya.

"Sedih dengan perangai orang Malaysia yang jenis macam ni.

"Bila rumah saya diletakkan antara rumah terhebat oleh laman @homeoftherich, antara rumah yang menjadi perhatian dunia.

"Saya rasa bangga sebab rumah tu hasil usaha saya sendiri bukan rompak duit kalian, tapi ada juga 'bawang-bawang' Malaysia ni yang mendengki.

"Komen saya tinggalkan bapa sendiri sebab malu (dia) pengawal keselamatan la, kaya duit mak bapak la, tak bayar cukai la, sampai ke sana busuk hati, sempat nak kutuk sana sini gigih mencari," luahnya.

Jutawan berusia 31 tahun itu membina Aliff Syukri Palace yang mempunyai 30 bilik tidur termasuk surau, gim dan bilik kebal di Kota Damansara meraih perhatian media pada April 2018 lalu.

Kos pembinaan rumah dengan rekaan Royal Modern Classic itu bagaimanapun tidak didedahkan oleh beliau. -mstar

Siti Nurhaliza Terima Anugerah Tourism Icon Award (Selebriti) 2018

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mendapat Anugerah Tourism Icon kategori Selebriti pada malam Anugerah Emas Malaysia Tourisan Council (MTC).
Majlis yang berlangsung di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan itu menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah menyerahkan plak penghargaan kepada pelantun Anta Permana itu.

“Alhamdulillah di atas penghargaan yang diberikan.

“Terima kasih MTC kerana memberi kepercayaan kepada saya bagi Anugerah Tourism Icon kategori Selebriti tahun ini,” tulis Siti pada sekeping gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Malam Anugerah Emas MTC ini merupakan satu acara tahunan yang memberi penghargaan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. -kosmo

Zahirah Macwilson Digelar Angelina Jolie Malaysia?

PELAKON, Zahirah Macwilcon memberitahu akhirnya dia berjaya keluar dari zon drama apabila mendapat tawaran berlakon filem.

Menurut anak kepada pelakon terkenal Zainol Macwilson, dia bakal muncul menerusi filem aksi komedi arahan pengarah Ghaz Abu Bakar tahun hadapan.

Pelakon berusia 23 tahun itu berharap agar lakonannya itu nanti diterima baik oleh penonton.

"Hari pertama, babak pertama, filem aksi pertama. Terima kasih kerana percayakan saya untuk memainkan peranan watak yang saya impikan. Perkenalkan, Bulan.

"InsyaALLAH harap segalanya berjalan dengan lancar. Tak sabar nak buat babak berlawan! Saya harap anda semua akan terhibur dengan kemunculan aksi komedi itu nanti!," coretnya di Instagram.

Menariknya di ruang komen, selain dibanjiri dengan ucapan tahniah ada juga warganet turut menyamakannya seperti pelakon antarabangsa, iaitu Angelina Jolie menerusi filem Lara Croft: Tomb Raider. -sinar online

Ziana Zain Mohon Naaf Hina Mahkamah

Penyanyi Ziana Zain memohon maaf kepada Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah menghina mahkamah (contempt of court) ekoran mengeluarkan kenyataan berhubung kes penderaan anaknya melibatkan bekas suami, Armin Zaharin kepada media.

Ziana dalam permohonan maafnya memberitahu dia tidak berniat untuk menghina mahkamah selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Terima kasih atas peluang diberikan kepada saya. Saya tidak berniat untuk menghina mahkamah dan kenyataan dikeluarkan lebih kepada personal matter (hal peribadi) saya. Saya memohon maaf kepada mahkamah.

“Saya juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, yang ditemani adiknya, penyanyi Anuar Zain membuat permohonan maaf itu di hadapan Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Raja Noor Adilla dalam keputusannya menerima permohonan dibuat pihak pemohon iaitu Armin terhadap penghina (Ziana) selepas mendapati wujud keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan menerima permohonan maaf dibuat penghina dengan satu amaran selain tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes yang sedang berlangsung.

Ziana diwakili peguam Lokman Mazlan manakala Armin diwakili oleh Mohd Amir Farid Mohd Nawawi. Bagaimanapun Armin tidak hadir pada sebutan kes itu.

Menurut fakta kes, Ziana didakwa mengeluarkan kenyataan menerusi beberapa sidang media selain temu bual dalam majalah Intrend keluaran Jun 2018 berhubung pendakwaan kes dera terhadap Armin yang sedang berlangsung di mahkamah.

Penyanyi lagu Anggapanmu itu didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis kerana menyentuh perwatakan subjek dalam pendakwaan yang boleh mencemarkan nama pemohon.

Armin menerusi peguamnya membuat permohonan itu pada Julai 2018.

Sebelum ini Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk pengurusan kes.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana dan Armin berkahwin pada 9 Mei 1998 namun mereka bercerai pada 12 Julai lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. -mstar

Julia Farhana Hormati Privasi Keluarga

PELAKON, Julia Farhana mengakui dia tidak begitu terbuka untuk berkongsi atau mendedahkan mengenai ahli keluarganya di media sosial.

Menurut Julia Farhana Marin, 24, dia menghormati privasi keluarganya agar tidak diganggu oleh orang awam mahupun netizen.

"Pernah ada sekali kejadian di mana adik perempuan saya ditahan apabila mengetahui kakak dia seorang pelakon, jadi dia rasa agak menjengkelkan.

"Bila kami keluar bersama pun, hanya ke lokasi yang private sahaja sebab mereka tak suka jadi perhatian ramai ataupun diganggu," ujarnya.

Mengenai perkembangan kerjaya, saksikan Julia selaku watak utama menerusi drama Petua Nenek di slot Dahlia setiap hari Sabtu dan Ahad jam 6.58 petang bermula 22 Disember depan. -sinar online

Zamani Mengaku Malu, Terima Pemilihan Ke Final GV5 Dipersoalkan

PENYANYI Zamani memberitahu dia hampir berputus asa dan berasa malu apabila persembahannya menerusi lagu Dekat Padamu nyanyian asal Yusry Abdul Halim pada peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim kelima bermasalah.

Zamani memberitahu dia sedar akan ada pihak yang mempertikaikan pemilihannya ke peringkat final kerana kegagalannya mengadakan persembahan dengan baik namun akan menerima semua pendapat berhubung perkara itu.

"Ketika persembahan itu, ear piece saya tidak berfungsi dengan baik dan apabila lagu mula saya tidak boleh agak untuk mula menyanyi kerana tidak dapat mendengar.

"Jujurnya lepas lagu pertama itu saya dah putus asa, berasa malu. Saya sudah menjangkakan tidak akan masuk ke final tetapi rezeki saya dapat ke peringkat seterusnya.

Antara komen netizen di Twitter.
"Kalau ada pihak yang ingin persoalkan, memang patut pun dan saya sedia terima semua pendapat tetapi gunakanlah saluran yang betul dan hormat keputusan juri," katanya.

Keputusan juri profesional memilih Zamani ke peringkat akhir mendapat reaksi bercampur-baur daripada peminat program popular itu.

Ramai di antara mereka merasakan vokalis kumpulan Slam itu tidak layak ke final kerana Zamani gagal menyampaikan lagu tersebut dengan baik.

Rata-rata merasakan nyanyiannya pada malam itu kedengaran sumbang selain Zamani banyak lupa lirik yang mencacatkan persembahannya.

Malah Datuk Ramli MS juga dilihat kecewa dan enggan memberikan sebarang komen selepas Zamani selesai membuat persembahan.

"Adakah saya satu-satunya yang merasakan Zamani tidak layak untuk ke final? Forteen lebih baik daripadanya hari ini. Ini bukan sebab anda seorang lagenda, ini adalah pertandingan. Zamani tidak mengadakan persembahan yang baik malam ini.

"Zamani nampak keliru di ataa pentas ketika menyanyikan Dekat Padamu. Persembahan itu bukanlah terlalu teruk (lagu kedua lebih baik). Tapi saya rasa ia tidak adil Tok Ram enggan memberikan sebarang komen.

"Lagu pertama off key , lupa lirik. Lagu kedua best. Tapi masih masuk final juga. Markah lagu kedua 100 peratus barangkali," antara komen peminat program itu di Twitter.

Bagaimanapun ramai turut merasakan Zamani tetap layak ke final kerana persembahan keduanya menerusi lagu Di Matamu (Sufian Suhaimi) telah menebus kesilapannya pada lagu pertama.

Malah persembahan kedua itu turut mendapat pujian juri profesional yang mengadilinya pada pertandingan itu.

"Zamani sudah melakukan yang terbaik buat lagu kedua. Jangan bimbang Zamani kami tetap akan menyokong anda. Legend tu!

"Saya rasa Zamani telah menebus kesilapannya. Dia menyanyikan Di Matamu dengan perasaan dan dari hati, saya dah single lapan tahun ni pun rasa macam ditinggalkan oleh kekasih yang tidak wujud! Zamani menyanyikan dengan baik sekali," tulisnya netizen lagi.

Impian penyanyi Hetty Sarlene dan kumpulan Forteen untuk mara ke final terhenti apabila mereka diumumkan peserta tersingkir pada peringkat separuh akhir program itu yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Selain Zamani, lima lagi peserta yang mara ke peringkat akhir adalah Amelina, Maya Ruslee, Dia Fadilla, Noryn Aziz dan duo berkumpulan Billy Zulkarnain.

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi. -mstar

Aznil Terkejut Dilamar Pasangan Suami Isteri!

PENGACARA Datuk Aznil Hj Nawawi atau Pak Nil mendedahkan dia telah dilamar oleh seorang wanita menerusi sepucuk surat yang diberikan oleh seorang lelaki.

Pak Nil menerusi akaun Instagram (IG) peribadinya memuat naik sebuah video beserta kapsyen buat tatapan umum.

Dalam video terbabit, Pak Nil menceritakan dia menerima sebiji kek sempena hari ulang tahun kelahirannya daripada pasangan tersebut.

Pak Nil turut mendedahkan dia juga menerima sepucuk surat yang menyatakan ingin melamar dirinya untuk menjadi suami kepada wanita itu.

Menurut Pak Nil, perkara seperti itu pernah terjadi semasa dia memberi 'talk' di Johor Bahru baru-baru ini.

Pak Nil membuat keputusan untuk memeriksa status pasangan itu di laman Facebook dan menemui jawapan mereka adalah pasangan suami isteri.

Pasangan tersebut juga sudah mempunyai enam orang cahaya mata.
Tambah Pak Nil, dia akan melakukan laporan polis jika perlu kerana ini melibatkan reputasi dirinya.

Pak Nil turut memberi amaran kepada pasangan itu supaya menghentikan perkara yang sedang dilakukan sekarang jika tidak ingin melibatkan pihak berkuasa.

Rata-rata netizen menasihati Pak Nil supaya tidak makan atau menjamah kek pemberian pasangan itu untuk langkah berjaga-jaga. -astroawani