Siti Nurhaliza Pernah Padam Foto Aafiyah di IG

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan pernah memadam foto anaknya, Siti Aafiyah yang telah dimuat naik di akaun Instagram (IG) selepas suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa merasakan ia tidak sesuai untuk dikongsikan.

Menurut Siti, dia perlu meminta pandangan dan izin suaminya terlebih dahulu sebelum berkongsi foto atau video Aafiyah di laman sosial.

“Sebenarnya, dulu pernahlah sekali saya padam gambar yang dah dikongsikan di Instagram kerana suami kata tak berapa sesuai untuk dikongsi.

“Jadi sebelum kongsi foto atau video Aafiyah, saya akan tunjuk pada Datuk K dahulu dan minta pandangannya, sama ada sesuai atau tidak.

“Kalau Datuk K rasa tak sesuai, dia akan beritahu dan tidak mengizinkannya untuk dimuat naik,” katanya kepada Gempak.

Siti ditemui ketika pelancaran SimplySiti Di Hati 2018 yang diadakan di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pelantun lagu Anta Permana itu berkata, dia dan suami tidak mahu Aafiyah terlalu diketengahkan dan didedahkan kepada umum.

“Saya dan suami tidak pernah terfikir untuk mengetengahkan Aafiyah kepada umum kerana dia pun masih kecil lagi.

“Sebab itu, buat masa ini tiada lagi akaun Instagram peribadi untuknya.

“Setakat ini, kami rasa tak perlu, tapi saya tak berani nak kata akan datang bagaimana,” katanya lagi.

Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac lalu selepas pasangan itu menanti 11 tahun untuk menimang cahaya mata. -astroawani

Kadir Jasin Tegur Waytha Moorthy Dan Dr Maszlee Demi Perpaduan Kaum Di Malaysia

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin menasihatkan P. Waytha Moorthy dan Dr Maszlee Malik agar mendengar nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Wartawan veteran itu mendakwa tindak-tanduk Waytha Moorthy dalam peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya beberapa hari lalu tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

"Perdana Menteri sudah menasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar.

"Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah “gung-ho” dan selesa sangat dengan kedudukan beliau," katanya merujuk peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights di Subang Jaya yang tercetus awal pagi Isnin.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu itu juga menasihatkan Waytha Moorthy agar tidak memalukan Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri.

"Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.

"Tolonglah jangan malukan Raja kita dan Perdana Menteri kita," katanya lagi.

Selain Waytha Moorthy, Kadir turut menasihatkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar mengembalikan sekolah kebangsaan kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

Menurut Kadir, menteri pendidikan itu baru saja 'dikuliahkan' oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya setujulah dengan Perdana Menteri bahawa kita sudah ada banyak sekolah agama – sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz – jadi tak perlulah nak “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan," tegur Kadir.

Beliau juga mengingatkan Maszlee bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Di pihak lain pula makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya," ujarnya.

Di akhir tulisannya, Kadir turut mengingatkan menteri-menteri lain agar tidak menganggap mereka sudah berjaya hanya kerana beliau menegur dua menteri sahaja.

"Saya sebut dua nama saja. Ini tidak bermakna menteri-menteri lain sudah berjaya. Cuma kali ini bukan giliran anda.

"Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka," tulis beliau. -astroawani

5 Hari Tayang, Polis Evo 2 Kutip Lebih RM10 Juta

Filem aksi terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM TBK, Polis Evo 2 terus melakar sejarah apabila mencatat lebih RM10 juta selepas lima hari ditayangkan di 146 buah pawagam seluruh negara dan Brunei.

Sekali gus kutipan berkenaan meletakkan filem lakonan gandingan Shaheizy Sam dan Zizan Razak selaku teraju utama menduduki tangga teratas carta naskhah pecah panggung di pawagam tempatan ketika ini.

Polis Evo 2 turut dibintangi barisan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Hasnul Rahmat, Hairul Azreen, Sofi Jikan dan aktres Indonesia, Raline Shah.

Selain Brunei, Polis Evo 2 turut menembusi pawagam negara Singapura dengan tayangan awal pada 23, 24 dan 25 November lalu sebelum diluncurkan secara rasmi pada 29 November ini.

Terdahulu, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM 3.5 juta pada hari pembukaannya pada 22 November lalu.

Ia sekali gus memadam rekod kutipan tertinggi pada tayangan hari pembukaan yang dipegang filem seram arahan Syamsul Yusof, Munafik 2 yang mengutip sebanyak RM2.05 juta. -kosmo

Video Ucapan Arwah Bapa Undang Sebak Majlis Persandingan Kedua Fazley Dan Isteri

Video ucapan arwah bapa mengundang sebak kepada hadirin yang hadir ke majlis persandingan kali kedua cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob dan isteri, Datin Azrene Ahmad yang berlangsung di Lanai Tamu Event Hall, Damansara Perdana.

Video itu merupakan ucapan arwah Datuk Yaakob Muhammad ketika majlis persandingan Fazley dan Azrene yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2005.

Kata Fazley, ucapan tersebut menjadi penanda kepada beliau dan isteri serta keluarga untuk melupakan segala kisah sedih yang berlaku 13 tahun lalu.

“Kami bersyukur kerana berjaya merealisasikan amanat arwah bapa supaya kami bersanding semula jika tiba masanya.

“Jadi pada malam ini saya mohon kepada semua termasuk rakan media untuk sama-sama melupakan segala kisah sedih 13 tahun lalu.

“Semua orang tahu apa yang telah kami lalui dahulu. Jadi pada malam ini, kami mahu buku baharu dan menjalani kehidupan sekarang sebaik-baiknya,” kata Fazley sebak ketika memberi ucapan.

Majlis yang dihadiri seramai 350 tetamu itu juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 7 November 2005.

Sepanjang 13 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz, 7, dan Alayna Selma yang kini berusia setahun. -kosmo

Bella Hadid Muat Naik Foto Yaya Zahir di IG

Pelakon dan pengacara program HLive, Yaya Zahir berkongsi apabila supermodel terkenal, Bella Hadid memuat naik foto mereka bersama di akaun media sosial miliknya.

Perkongsian itu dibuat menerusi sebuah entri di Instastory akaun Instagram (IG) peribadinya.

"First she liked my photo then she posted this on her story???

"Omg how am I going to sleep like this???
"God bless you @bellahadid," tulis Yaya.

Bella Hadid telah membuat penampilan pertama di Malaysia selepas dua tahun menjadi duta syarikat jam tangan, Tag Heuer.

Selain Yaya, majlis makan malam eksklusif bersama Bella turut dihadiri Scha Alyahya, Neelofa, Puteri Iman, Puteri Aishah, Ezzrin Loy dan ramai lagi yang diadakan di The St. Regis Kuala Lumpur. -astroawani

Gambar Kahwin YDPA Sultan Muhammad V Dengan Ratu Cantik Rusia

23 November lalu, telah tersebar gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang dilaporkan telah berkahwin dengan seorang wanita dipercayai warganegara Rusia, dipercayai merupakan bekas ratu cantik Moscow.

Wanita tersebut dipercayai merupakan bekas ratu cantik Moscow yang dikenali sebagai Oksana Voevodina.

Seperti yang dilaporkan www.islamnews.ru, majlis perkahwinan yang berkonsepkan gabungan tradisi Melayu dan Rusia itu telah diadakan di Dewan Barvikha di Moscow.

Dalam majlis itu, Sultan Muhammad V mengenakan serba lengkap persalinan baju Melayu sementara wanita terbabit memakai sepersalinan gaun pengantin berwarna biru muda.

Dilaporkan, tetamu yang hadir dijamu dengan pelbagai hidangan istimewa tanpa minuman beralkohol.

'Terima Kasih Malaysia' - Ucap mangsa kemalangan mesin pengisar sampah di Korea Selatan

"Assalamualaikum semua. InsyaAllah, saya akan balik Malaysia secepat mungkin.”

Begitu kata Daniel Arif Ahmad Fuad, 21, kepada rakyat Malaysia melalui satu rakaman video selepas mengetahui tragedi yang menimpanya mendapat perhatian meluas.

Rakaman itu dibuat oleh bapanya, Ahmad Fuad Yun, 52, ketika tiba di hospital Hospital Suwon Ajudae pada Jumaat.

Daniel Arif yang mesra disapa Danny itu kini sudah sedar selepas dua hari dalam keadaan koma akibat kemalangan di tempat kerja.

Rakan baiknya yang hanya ingin dikenali sebagai Shahir, 28, berkata, Daniel Arif kini berada di wad trauma dan pelawat dibenarkan menemani mangsa pada waktu lawatan sahaja.

Kata Shahir, jelas terpancar kegembiraan di wajah Daniel Arif selepas melihat kehadiran kedua ibu bapanya di hospital tersebut.

“Dia sangat teruja dan bertanya, "macam mana ayah datang sini, tidur dekat mana?" seolah-olah dia sakit biasa-biasa sahaja.

“Kemudian, ayahnya yang terlalu gembira dapat melihat Danny terus merakam video itu semalam (Jumaat),” kata Shahir pada Sabtu.

Sebelum ini, pada Khamis akhbar melaporkan tentang seorang rakyat Malaysia nyaris maut selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin itu, Daniel Arif kehilangan hampir separuh anggota tubuhnya selepas 'ditelan' sebuah mesin pengisar sampah di kilang yang terletak di Samseong, Seoul.

Menurut bapa mangsa, anak sulungnya yang baru dua bulan bekerja di negara tersebut berada dalam keadaan tidak stabil dan terpaksa diberikan ubat tidur oleh pihak hospital yang merawat anaknya.

Selepas sedar daripada koma, Daniel Arif meluahkan hajat kepada ibu angkatnya yang merupakan warga Korea untuk menikmati makanan kegemarannya, iaitu piza.

“Ibu angkat Danny yang dipanggil ‘Omma’ merupakan orang pertama yang dia jumpa selepas sedar.

“Omma memberitahu saya yang Danny bertanya di mana semua orang dan meyakinkan wanita itu bahawa dia seorang yang kuat.

“Omma meminta Danny agar banyak bersabar dan berjanji akan membawa makanan kegemarannya apabila dia sudah sembuh nanti,” ujar Shahir.

Menurut bekas rakan sekerja Daniel Arif itu, pemuda yang sudah dianggap seperti adik lelakinya itu bukan sahaja terpaksa menjalani pembedahan buat kali kedua, malahan pembedahan ketiga mungkin terpaksa dilakukan pada minggu depan sekiranya jangkitan kuman masih merebak. -mstar

Apakah Sajat Mahu Mencabar ALLAH?

PENDAKWAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin, sekali lagi tampil menegur dengan panjang lebar ke atas usahawan Sajat, baru-baru ini.

Menurut PU Amin, Sajat berkelakukan tidak senonoh ketika umat Islam sedang meraikan hari lahir Baginda Nabi Muhammad SAW dengan memuat naik video bergelek berdurasi 35 saat.

"Apakah Sajat mahu mencabar ALLAH? Aku hanya mampu menulis, kalau aku buat video netizen kata aku dakwah kasar tak macam Nabi SAW.

"Kurang ajar dengan ustaz boleh terima. Tapi kau kurang ajar dengan ALLAH. Aku tak faham kenapa ramai lagi yang sokong, yang beli produk dia ni. Satu persatu azab diperlihatkan tapi masih berdegil dan angkuh.

"Ya Rabb! Kami dah berusaha, kami dah cuba menasihati, kami dah cuba membenci, pelihara kami wahai Tuhan dari azab dan seksa. Jangan kau azab dan laknat kepada kami yang tidak bersalah.

"Kami takut Ya ALLAH dengan kemarahan mu Ya ALLAH. Lindungi kami Ya ALLAH!!" tulis PU Amin di Instagramnya dengan tanda pagar konfem kena block. -sinar online

China Jatuhkan Hukuman Mati Kerana Tunai Haji

XINJIANG - CHINA. Pihak berkuasa rejim komunis China di barat laut Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan yang juga dermawan etnik minoriti Uyghur terkenal, Abdughapar Abdurusul, kerana mengerjakan haji di Arab Saudi.

Menurut abang mangsa, Abdusattar Abdurusul, Abdughapar yang berasal dari daerah Bakyol di Ili Kazakh ditangkap pada Julai atau Ogos lalu.

“Yang terbaru saya dengar, adik saya dijatuhi hukuman mati dan dia kini sedang menunggu pelaksanaannya.

Alasannya ialah dia pergi ke Arab Saudi untuk melaksanakan haji secara persendirian, tanpa menggunakan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Katanya, Abdughapar tidak dibenar melantik peguam ketika perbicaraan, sekali gus menunjukkan bahawa dia telah dihukum secara haram.

Walaupun semua hukuman mati perlu dikaji semula oleh Mahkamah Agung China di Beijing, tetapi dalam kes Abdughapar, tidak dapat dipastikan sama ada kes itu telah disiasat dengan adil.

Beliau berkata, Abdughapar bapa kepada empat anak memiliki beberapa rangkaian kedai dan perniagaan, dan telah menggunakan wang sendiri untuk membina sebuah masjid.

Selain itu, katanya, Abdughapar juga telah menjual sebuah rumah lama milik keluarga sekitar 1 juta yuan (AS$144,000) pada April atau Mei, sebelum ditangkap, sementara semua aset keluarganya berjumlah kira-kira 100 juta yuan (US$14.4 juta) dirampas.

“Abdughapar seorang dermawan yang suka membantu masyarakat (tetapi) sekarang kerajaan telah mengambil segala-galanya dan memusnahkan sepenuhnya kehidupan keluarga itu,” kata Abdusattar.

Sebelum ini, anak lelaki sulung Abdughapar, Awzer, ditahan pada 2017 selepas pulang dari belajar di Turki, dan isterinya, Merhaba Hajim ditahan pada April tahun ini, katanya.

Abdusattar berkata, kakaknya Sayipjamal juga sudah hilang untuk tempoh masa yang lama dan dianggap telah ditahan, sementara beberapa kawannya dijatuhi hukuman penjara lebih daripada 18 tahun.

Kakitangan Biro Keselamatan Awam Wilayah Ili Kazakh di bandar Ghulja, enggan menjawab pertanyaan serta menutup telefon apabila dihubungi Radio Free Asia (RFA), mengenai kes Abdughapar.

Menurut agensi itu, seorang rakan lama yang enggan mendedahkan identiti memberitahu dia juga pernah mendengar desas-desus hukuman mati ke atas rakannya itu.

“Seorang kawan saya memanggil saya, mengatakan bahawa Abdughapar telah dijatuhi hukuman mati. Saya juga mendengar bahawa isterinya telah meninggal dalam penjara,” katanya. - Ismaweb

Zahirah Macwilson Digelar Angelina Jolie Malaysia?

PELAKON, Zahirah Macwilcon memberitahu akhirnya dia berjaya keluar dari zon drama apabila mendapat tawaran berlakon filem.

Menurut anak kepada pelakon terkenal Zainol Macwilson, dia bakal muncul menerusi filem aksi komedi arahan pengarah Ghaz Abu Bakar tahun hadapan.

Pelakon berusia 23 tahun itu berharap agar lakonannya itu nanti diterima baik oleh penonton.

"Hari pertama, babak pertama, filem aksi pertama. Terima kasih kerana percayakan saya untuk memainkan peranan watak yang saya impikan. Perkenalkan, Bulan.

"InsyaALLAH harap segalanya berjalan dengan lancar. Tak sabar nak buat babak berlawan! Saya harap anda semua akan terhibur dengan kemunculan aksi komedi itu nanti!," coretnya di Instagram.

Menariknya di ruang komen, selain dibanjiri dengan ucapan tahniah ada juga warganet turut menyamakannya seperti pelakon antarabangsa, iaitu Angelina Jolie menerusi filem Lara Croft: Tomb Raider. -sinar online

Ziana Zain Didapati Bersalah Hina Mahkamah

Penyanyi dan pelakon terkenal Ziana Zain didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menghina mahkamah berkaitan prosiding pendakwaan bekas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, di luar mahkamah, Jun lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin turut memberikan amaran pertama kepada Ziana Zain atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50.

Noor Adila memutuskan demikian selepas mendapati pihak pemohon, Armin Zaharin yang diwakili peguam, Mohd. Amir Farid Mohd. Nawawi berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

"Penghina yang dicadangkan (Ziana Zain) telah memohon maaf secara sukarela, jadi lepaskan dengan satu amaran.

"Justeru, diingatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sepanjang kes perbicaraan berjalan," katanya dalam penghakimannya.

Berdasarkan pemohonan yang dilakukan Julai lalu, Armin Zaharin sebagai pemohon meminta permohonan maaf daripada responden, Ziana Zain atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50,susulan mengeluarkan kenyatan dalam beberapa sidang akhbar dan temubual dikeluarkan oleh Majalah InTrend keluaran Jun lalu berhubung kes pendakwaan Armin terhadap anak lelaki mereka.

Terdahulu, dalam prosiding tersebut, Ziana Zain yang hadir memakai kemaja labuh berwarna biru dan berseluar hitam membuat permohonan maaf dalam galeri mahkamah.

"Saya memohon maaf kerana tiada niat menghina mahkamah. Ini lebih kepada masalah peribadi dan memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi lagi," katanya.

Ziana Zain diwakili peguamnya, Luqman Mazlan manakala Armin Zaharin didapati tidak hadir pada prosiding tersebut. -kosmo

Selama Ini Alyah Pura-pura Bahagia Disamping Ramli MS!?

PENYANYI Alyah terus menimbulkan tanda tanya berhubung situasi rumah tangganya dengan pengarah muzik, Datuk Ramli MS yang seolah-olah sedang bergolak apabila dia dilihat meninggalkan komen di laman sosial suaminya.

Alyah menerusi ruang komen menyindir Ramli yang memuat naik video memperlihatkan pengacara Jihan Muse dan Nabil Ahmad membuat ucapan hari jadi kepadanya.

Penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa itu memberitahu sambutan hari jadi seperti itu digemari suaminya berbanding bacaan al-Quran yang dibuat untuknya di rumah.

Antara komen Alyah di Instagram Ramli.
"Macam ni la yang dia suka. Sambutan birthday macam ni la yang dia nak. Kalau kita buat bacaan al-Quran kat rumah dia panas duduk kejap je, terus nak keluar main snuker," tulisnya.

Bagaimanapun komen tersebut mendapat perhatian pengikut Ramli yang menyifatkan ia sebagai tidak patut dilakukan seorang isteri kepada suaminya.

Malah ada menyifatkan tindakan Alyah menyindir Ramli sebagai tiada adab, tidak menghormati dan membuka aib suaminya sendiri kepada khalayak.

Pun begitu, Alyah yang membalas komen tersebut meminta pihak luar tidak masuk campur dalam urusannya.

"Tak payah busybody la sebab I tak text nama you kat sini. So shut up!

"Aku doakan semoga kau duduk kat tempat aku hanya sehari dan kau boleh tahu kenapa aku macam ni. Tak payah tunjuk hero untuk masalah orang lain," tulisnya.

Perbalahan itu tidak berakhir di situ apabila ada netizen yang ingin mencarikan wanita lain untuk Ramli bagi menggantikan Alyah.

"Kau pergi la kahwin dengan dia. Baru kau tahu dan kau telan balik ayat-ayat puji kau tu mangkuk!

Status Alyah yang menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.

"Dan untuk pengetahuan kau, semua ayat aku text ni aku belajar dari @tokram_ramlims," balasnya.

Terdahulu Alyah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila memuat naik beberapa luahan berbaur kecewa di Instagram miliknya.

Alyah dalam salah satu status yang dikongsinya mengakui dirinya sedang beremosi dan memohon pihak luar tidak menasihatinya kerana mereka tidak merasai apa yang sedang dilaluinya.

Dalam satu status berbeza Alyah turut memberitahu dia berasa penat apabila perlu berpura-pura bahagia dan kenyataan itu menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung rumah tanggannya dengan pengarah muzik, Datuk Ramli MS.

"Pura-pura bahagia itu penat. Ya, aku sedang beremosi sekarang ini, tak payahlah nak nasihatkan aku dengan jalan hidup yang kau tak pernah lalui,” tulisnya.

Dalam pada itu, Alyah turut memuat naik gambar Allahyarham bapanya, Abu Hasan dan memberitahu sekiranya bapanya masih hidup pasti tiada siapa yang berani mempermainkannya.

"Sekiranya Apak (Bapa) masih hidup sudah tentu tak akan ada orang yang akan mempermain-mainkan aku," katanya.

Alyah dan Ramli berkahwin poada 18 Mac 2013 di Indonesia secara rahsia. -mstar

Syafinaz Beri Amaran Kepada Lazarul

MENGAKUI bertuah terpilih sebagai protege kepada penyanyi dan pensyarah vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat, peserta Mentor 7, Lazarul tekad untuk beraksi sebaik yang mungkin agar tidak mengecewakan mentornya.

Mengulas tentang status dirinya yang telah bergelar suami dan bapa kepada seorang anak, Lazarul tidak pernah melihat ia sebagai satu halangan untuknya terus mengejar misinya dalam program ini.

“Saya tidak pernah meletakkan kebimbangan tentang status saya untuk sama-sama bersaing dalam program ini kerana saya percaya zaman sekarang orang lebih realistik dan tahu bezakan antara kerjaya dan personal.

“Datuk Syafinaz juga tidak melihat kepada status saya, kerana percaya bakat mengatasi segala-galanya.

“Namun dia ada beri amaran, malah sering mengingatkan saya agar sentiasa jaga tingkah laku dan status sebagai seorang yang telah bergelar suami dan bapa,” akuinya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Lazarul dan Syafinaz pernah bekerjasama ketika bergelar ahli Koir Kebangsaan Malaysia (KKM) selama hampir 10 tahun sebelum mengundurkan diri tiga tahun lalu. -sinar online

Watson Nyambek kata 'Jangan percaya!' Selepas Dikatakan Jutawan Bitcoin

Bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek menafikan laporan yang dikatakan berita dan dikongsi menerusi laman sosial mendakwa beliau jutawan siling digital, Bitcoin.

Bekas pemegang rekod 100 meter kebangsaan itu berkata laporan tersebut adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat untuk menipu mereka yang mudah percaya dengan skim cepat kaya.

"Ya, saya tahu tentang laporan berita yang tular menerusi Facebook dan itu adalah satu penipuan, jangan percaya," katanya kepada Bernama.

Watson, 42, turut menafikan pernah ditemu bual dalam rancangan bual bicara yang dihoskan oleh pelawak terkenal Harith Iskandar bagi membincangkan tentang pelaburan bitcoin seperti yang didakwa dalam laporan itu.

Katanya beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis dan juga kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung berita palsu tersebut memandangkan ia melibatkan reputasinya.

"Buat masa ini saya belum putuskan bila akan buat laporan itu kerana saya faham bukan mudah untuk kesan dalang di sebalik penipuan ini," katanya.

Berita palsu berbahasa Inggeris yang disiarkan menerusi https://localdaily-cc.com/effective-ways-for-avoiding-bankruptcy/ mendakwa Watson bebas daripada muflis dan menjadi jutawan segera selepas terlibat dalam perdagangan bitcoin automatik menerusi platform yang dikenali sebagai 'Bitcoin Revolution'.

Laporan itu mendakwa Watson turut membuat demonstrasi pelaburan bitcoin menerusi rancangan bual bicara Harith dengan mendepositkan wang Harith sebanyak RM1,050 melalui platform tersebut dan dalam tempoh tiga minit pelawak berkenaan menerima keuntungan berjumlah RM2,012.

Berita palsu itu yang turut memaparkan foto Watson selain gambar Harith ketika mengacarakan program tersebut, mendakwa pelawak berkenaan membuat keuntungan tambahan sebanyak RM1,659.06 dalam tempoh lapan minit.

Amelina Kecil Hati Hinaan Pereka Fesyen

PENYANYI Amelina berkecil hati apabila membaca kenyataan negatif yang dikeluarkan pereka fesyen Razman Razmi selain menyifatkan ia sebagai satu penghinaan terhadap dirinya.

Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin, 44, berkata, dia tidak kisah jika pereka fesyen berkenaan hanya menyentuh mengenai isu baju, namun dia terkilan apabila soal peribadi turut dikait sama.

"Sejujurnya, saya tak kisah kalau dia cakap tentang isu baju tapi jangan hina personal keadaan hidup saya, kalau 'sentap' bab baju, janganlah sampai keluar cerita bukan-bukan kata saya dulu 'sendu' (tiada tawaran) dan sebagainya.

"Sebabkan salah sikit sahaja, dia keluar kenyataan menghina saya dan pengurusan. Kecil hati saya bila dia cakap fasal peribadi dan kata sendu itu," ujarnya.

Amelina ditemui sejurus Konsert Akhir Gegar Vaganza kelima (GV5) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini malam Ahad.

Penyanyi lagu Semakin Rindu Semakin Asyik meraih tempat keempat dalam pertandingan nyanyian itu, membolehkan dia memperoleh wang tunai RM20,000.

Untuk pentas akhir GV5, Amelina menggayakan pakaian rekaan pereka fesyen Jimmy Couture.

Sementara itu, Amelina berkata isu yang terjadi itu adalah kerana salah faham dan pihak pengurusannya akan menjelaskan mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Sebenarnya semua salah faham antara kami, dia merajuk secara tiba-tiba dan keluarkan kenyataan.

"Saya tak tahu apa cerita padahal salah sikit saja, nanti kita akan jelaskan apa berlaku tak lama lagi.

"Bukan diamkan diri, cumanya saya sibuk dengan GV, jadi kita fokus dengan pertandingan ini dulu, lepas program ini nanti saya dan pihak pengurusan akan selesaikan mengikut cara yang sesuai," katanya.

12 November lalu, pereka fesyen Razman Razmi kesal dengan pihak Amelina yang enggan memakai busana yang telah direka untuknya bagi menyertai separuh akhir GV5.

Razman berkata, dia amat kesal kerana Amelina dan pihak pengurusan artis berkenaan sebenarnya telah meminta dia menghasilkan sepasang busana dan telah bertungkus lumus membuatnya namun pada saat-saat akhir, mereka memilih pakaian daripada pereka fesyen lain.

Dia turut memuat naik status di Instagram mengkritik pihak Amelina dan pengurusan artis itu kerana tidak memberi kerjasama yang baik dalam urusan penyediaan pakaian dalam pertandingan berkenaan.

Razman Razmi Kuala Lumpur merupakan butik yang menaja pakaian penyanyi dangdut itu dari awal promosi sehingga minggu kelima konsert GV5. -mstar

Ziana Zain Mohon Naaf Hina Mahkamah

Penyanyi Ziana Zain memohon maaf kepada Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah menghina mahkamah (contempt of court) ekoran mengeluarkan kenyataan berhubung kes penderaan anaknya melibatkan bekas suami, Armin Zaharin kepada media.

Ziana dalam permohonan maafnya memberitahu dia tidak berniat untuk menghina mahkamah selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Terima kasih atas peluang diberikan kepada saya. Saya tidak berniat untuk menghina mahkamah dan kenyataan dikeluarkan lebih kepada personal matter (hal peribadi) saya. Saya memohon maaf kepada mahkamah.

“Saya juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, yang ditemani adiknya, penyanyi Anuar Zain membuat permohonan maaf itu di hadapan Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Raja Noor Adilla dalam keputusannya menerima permohonan dibuat pihak pemohon iaitu Armin terhadap penghina (Ziana) selepas mendapati wujud keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan menerima permohonan maaf dibuat penghina dengan satu amaran selain tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes yang sedang berlangsung.

Ziana diwakili peguam Lokman Mazlan manakala Armin diwakili oleh Mohd Amir Farid Mohd Nawawi. Bagaimanapun Armin tidak hadir pada sebutan kes itu.

Menurut fakta kes, Ziana didakwa mengeluarkan kenyataan menerusi beberapa sidang media selain temu bual dalam majalah Intrend keluaran Jun 2018 berhubung pendakwaan kes dera terhadap Armin yang sedang berlangsung di mahkamah.

Penyanyi lagu Anggapanmu itu didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis kerana menyentuh perwatakan subjek dalam pendakwaan yang boleh mencemarkan nama pemohon.

Armin menerusi peguamnya membuat permohonan itu pada Julai 2018.

Sebelum ini Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk pengurusan kes.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana dan Armin berkahwin pada 9 Mei 1998 namun mereka bercerai pada 12 Julai lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. -mstar

Nabil Tuntut Hutang Dari Datuk Vida Melalui IG

DI SEBALIK kehangatan malam kemuncak Gegar Vaganza (GV) musim kelima yang melabuhkan tirainya, kontroversi demi kontroversi terus tercetus sehingga mengheret perhatian netizen untuk terus memperkatakan tentang program ini.

Terbaharu, bekas penaja GV empat musim terdahulu, Datuk Seri Vida, telah meluahkan kekesalannya berhubung layanan yang diterimanya ketika menghadiri malam final GV5 yang didakwa seperti tetamu tidak diundang.

Selain luahan rasa tidak puas hati terhadap produksi GV, Vida turut berkongsi perasaan sedihnya apabila tidak dipedulikan pengacara GV, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

“Nabil Jihan tiga kali lalu depan saya, usahkan tegur pandang pun tak. Ya ALLAH. Begini rupanya ya, nasib penaja,” luahnya.

Status tersebut telah menarik perhatian ramai pengikut Vida yang rata-ratanya bersimpati atas apa yang berlaku kepadanya.

Tidak kurang yang mula mengecam Nabil dan Jihan yang disifatkan tidak sepatutnya bersikap seperti itu terhadap Vida yang telah empat musim bersama GV.

Bagaimanapun Nabil yang membaca status tersebut, membalas balik kenyataan Vida yang disifatkannya sebagai satu fitnah terhadapnya.

Lebih mengejutkan, Nabil membangkitkan soal hutangnya yang belum dilunaskan usahawan kosmetik itu.

“Kalau nak fitnah pun agak-agak laa. Kalau cakap kami tak tegur, ramai kat depan itu yang nampak kami panggil.

"Tetapi takpelah, kalau dah fitnah, kami OK saja. Nak risau buat apa, kan ALLAH lebih mengetahui.

“Apa pun, hutang saya bila nak bayar yaa? Dah dua tahun lebih tunggu. Kalau ada apa-apa masalah boleh whatsapp yaa. Tak payah guna IG atau FB nak aib dan fitnah orang,” balas Nabil di ruangan komen status tesrebut.

Hutang apa yang dimaksudkan Nabil tidak dapat dipastikan, apatah lagi Vida juga memberi reaksi terkejut dengan kenyataan pengacara itu.

“Tiba-tiba pula ada hutang,” balasnya.

Apa pun yang berlaku, semoga segala masalah dan salah faham dapat diselesaikan dengan sebaiknya oleh kedua-dua pihak dan di dikongsikan secara terbuka di laman sosial yang tentunya mengundang kecaman netizen. -sinar online

Julia Farhana Hormati Privasi Keluarga

PELAKON, Julia Farhana mengakui dia tidak begitu terbuka untuk berkongsi atau mendedahkan mengenai ahli keluarganya di media sosial.

Menurut Julia Farhana Marin, 24, dia menghormati privasi keluarganya agar tidak diganggu oleh orang awam mahupun netizen.

"Pernah ada sekali kejadian di mana adik perempuan saya ditahan apabila mengetahui kakak dia seorang pelakon, jadi dia rasa agak menjengkelkan.

"Bila kami keluar bersama pun, hanya ke lokasi yang private sahaja sebab mereka tak suka jadi perhatian ramai ataupun diganggu," ujarnya.

Mengenai perkembangan kerjaya, saksikan Julia selaku watak utama menerusi drama Petua Nenek di slot Dahlia setiap hari Sabtu dan Ahad jam 6.58 petang bermula 22 Disember depan. -sinar online

Zamani Nak Kahwin Tapi..

PENYANYI terkenal, Zamani mengakui menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang sudah dikenali sejak lebih lima tahun lalu.

Bagaimanapun, dia tidak menetapkan sebarang tarikh mahupun merancang hari bahagianya itu kerana mahu memberi tumpuan terhadap rawatan sakit belakang yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu.

Ujar figura berusia 47 tahun ini, doktor mengesahkan dia menghidapi penyakit Skoliosis, yang mengakibatkan tulang belakang membengkok. Kebiasaannya tulang belakang pesakit penyakit ini akan membengkok kepada huruf ‘S’ atau pun ‘C’.

"Selepas berakhirnya Gegar Vaganza (GV), Insya-Allah saya akan teruskan karier seperti biasa. Alhamdulillah impak dari program ini juga sudah dirasai.

"Namun saya juga akan rehat seminggu dua untuk teruskan rawatan sakit belakang. Jika perlu, mungkin saya kena rehat lebih lama lagi.

"Sejak menghidapi penyakit ini, saya tidak boleh berdiri lama ketika buat persembahan dan nak tarik suara pun susah. Adakalanya memang mengganggu juga.

"Doktor pun ada cadangkan untuk menjalani pembedahan, memandangkan makin banyak tulang yang bengkok. Tapi bila diterangkan kesan iaitu saya mungkin lumpuh, jadi saya tak mahu lakukan.

"Jadi sebab itu saya mahu memberi tumpuan untuk baikkan dulu tulang belakang dan selepas itu barulah fikirkan untuk mendirikan rumah tangga," katanya yang mengesan penyakitnya itu sejak menyertai Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).

Tambah Zamani, selain bergantung dengan ubat tahan sakit, mendapatkan rawatan dari doktor, dia juga merancang untuk menjalani rawatan alternatif iaitu akupunktur.

"Sebenarnya pihak Pengasih ada bawa saya untuk jalani rawatan alternatif menerusi akupunktur dan satu lagi rawatan tapi saya tak ingat namanya.

"Namun silap saya kerana tidak follow up balik kerana sibuk.

"Insya-ALLAH kita tengoklah selepas ini, mungkin saya akan cuba," katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang identiti wanita yang berjaya bertakhta di hatinya, Zamani berkata, sikap wanita tersebut yang memahami dan banyak membantunya telah membuatkan dia selesa berkawan dengan wanita terbabit.

Bagaimanapun dia belum bersedia berkongsi gerangan wanita tersebut, bagi mengelakkan malu sekiranya apa yang dirancang tidak berlaku.

"Bagi saya dia seorang wanita yang baik, dia boleh terima saya seadaanya, banyak membantu saya, faham saya.

"Sekarang ini bagi saya di bahagian saya tidak ada masalah, cuma saya risau keluarga tak boleh terima.

"Tapi kalau saya ke peringkat seterusnya saya akan maklumkan pada semua. Siapa yang tak nak kahwin kan. Lebih-lebih saya yang dah berumur," katanya. -sinar online

'Jangan Layan Saya Macam Budak Sekolah' - Aliff Syukri

PENAJA utama Gegar Vaganza musim kelima, Datuk Seri Aliff Syukri sebentar tadi meluahkan perasaan kecewa di Instagramnya.

"Sukar saya ungkapkan perasaan terhina. Kalau saya tahu macam ini tak payah nyanyi lagu #biarapaorgkata lagi bagus. Jangan layan saya macam budak sekolah, saya bayar berjuta-juta kot?" tulisnya pada status pertama.

Kemudian pada status kedua pula, Aliff turut memohon maaf kepada rakan-rakan jemputannya.

"Saya mohon maaf pada @datoserivida, @datosrisalmahismail @zoeyrahman dan @kakgirlsebenar yang datang jauh-jauh.

"Tadi sepatutnya mereka join sekali menari tapi berlaku perkara yang saya tak rancang dan tak tahu apa motif mereka nak aibkan saya? Saya rasa macam mereka buat saya macam budak sekolah," tambahnya.

Dalam program GV5 Akhir yang berlangsung itu, Aliff membuat persembahan dengan menyampaikan lagu terbaharunya, Biar Apa Orang Kata. -sinar online

AUKU Akan Dimansuh Menjelang Tahun 2020 - Dr Maszlee

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengulangi komitmen kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, di mana ia akan menjadi kenyataan dalam tahun 2020.

Kata Maszlee, sebagaimana telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, AUKU tetap dimansuhkan, malah ia merupakan agenda utama beliau di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Perkara ini telah banyak kali saya tekankan dan jelaskan sebelum ini," kata beliau hari ini.

Maszlee berkata langkah ke arah memansuhkan AUKU sedang diambil dan akan dilaksanakan secara berperingkat, termasuklah membatalkan Seksyen 15 AUKU terlebih dahulu.

Beliau menarik perhatian mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 November lalu juga telah memberi kelulusan bagi membolehkan pembatalan Seksyen 15 ke atas AUKU dilakukan sebelum ia dimansuhkan.

"Saya ingin menjelaskan bahawa aspek yang rumit adalah isu berkaitan dengan urus tadbir baik dan autonomi kewangan universiti-universiti awam.

"Pasukan undang-undang KPM sedang meneliti perkara ini dalam pelbagai sudut. Saya yakin proses memansuhkan AUKU akan selesai pada tahun 2020," kata beliau.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, pembentangan pembatalan Seksyen 15 ke atas AUKU, dijadual awal bulan depan, merupakan langkah pertama dalam mentransformasi pendidikan tinggi agar seiring dengan kemajuan teknologi dan informasi, selain hasrat KPM yang menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020.

Katanya, pemansuhan AUKU turut akan melibatkan pembatalan Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang terpakai kepada semua Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Institut Perguruan.

Jelas beliau, pembatalan beberapa seksyen dalam akta berkaitan ini sebenarnya selari dengan transformasi politik yang dibawa oleh kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi, terutamanya dalam memberi lebih ruang kepada penuntut universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik di kampus selain menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa.

"Sebagaimana telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, AUKU tetap dimansuhkan," kata beliau.

"Ingin saya menegaskan di sini, semangat untuk membawa pembaharuan dalam sektor pendidikan di Malaysia masih kental dalam jiwa saya, dan usaha ke arah itu sedang dilakukan," kata beliau. -astroawani

Bintang Bollywood Kongsi Gambar Kahwin, IG Ditonton 5 Juta Peminat

BINTANG popular Bollywood, Deepika Padukone dan Ranveer Singh akhirnya berkongsi gambar perkahwinan mereka kepada umum.

Menerusi entri di Instagram (IG), Deepika Padukone dan Ranveer Singh, masing-masing mendapat pujian daripada peminat selepas berkongsi gambar bahagia mereka bersama.

Gambar perkahwinan mereka amat dinantikan oleh orang ramai kerana difahamkan tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan mereka dilarang mengambil sebarang foto ketika majlis berlangsung.

Malah IG milik pelakon tersebut telah mendapat lebih 5 juta tontonan setakat ini, dan rata-rata mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut.

Menerusi laporan Tims Of India, Deepika Padukone mengenakan gaun pernikahan hasil rekaan Sabyasachi Mukherjee dengan mengetengahkan warna merah tua dengan sulam benang emas.

Gaun yang digayakan oleh Deepika terlihat sangat mewah dan dilengkapi dengan perhiasan yang cantik pada tubuhnya.

Deepika Padukone dan Ranveer Singh selamat mendirikan rumah tangga pada 14 November lalu pada sebuah majlis yang berlangsung secara sederhana di Lake Como, Italy.

Majlis pernikahan mereka dilaporkan berlangsung selama empat jam dan dihadiri oleh 40 orang tetamu yang diterdiri daripada saudara serta rakan terdekat mereka. -sinar online

Aziz M Osman, Nor Aliah Lee Dapat Cucu

TIADA apa yang lebih menggembirakan bagi mana-mana ibu dan bapa apabila anaknya dulunya ditatang bagai minyak yang penuh, kini sudah melangkah setapak lagi dalam kehidupan dengan menjadi ibu dan ayah juga.

Begitulah kegembiraan yang dirasai oleh sutradara terkenal, Aziz M Osman dan bekas isterinya, Nor Aliah Lee apabila anak mereka selamat melahirkan cahaya mata.

Tidak berkongsi butiran lanjut mengenai cucu baharu itu, rata-rata pengikut Instagram Aziz turut mengucapkan tahniah dengan status 'Datuk' yang disandang.

Aziz dan Nor Aliah pernah berkahwin pada 19 Januari 1992 dan sah bercerai pada 2007 selepas 15 tahun hidup bersama.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Puteri Nur Asyiqin, 25, Putera Nur Iman, 23, Puteri Nur Aisya, 19, dan Puteri Nur Ain, 14.

Aziz juga mempunyai seorang anak perempuan, Puteri Nurul Fatehah hasil perkahwinan pertama.

Kini Aziz bahagia bersama isterinya, Puteri Lily Lokman dan sepasang cahaya mata iaitu Puteri Nur Azzahra atau lebih mesra disapa Ara Aziz, 6 tahun dan Putera Muhamad Aryan Aziz, tiga bulan.

Nor Aliah pula bertemu jodoh dengan Datuk Mohamad Zekri Ibrahim. -sinar online

Tomok Tidak Mahu Jadi Artis Bawa Pengaruh Tak Baik

Penyanyi Tomok berazam akan lebih berhati-hati untuk menghasilkan gimik yang dikhuatiri boleh memberi pengaruh tidak sihat kepada penonton khususnya golongan lebih muda.

Malah kata Tomok, dia bukan sengaja tampil berpakaian menyerupai wanita dalam video muzik lagu terbarunya, Bekas Kekasih yang mengundang perhatian ramai termasuk golongan pendakwah baru-baru ini.

Menurut Tomok niatnya semata-mata untuk menyampaikan kesudahan yang baik pada penghujung jalan cerita lagu berkenaan.

“Tak boleh buat selalu (gimik) macam ni. Saya tak mahu jadi artis yang memberi pengaruh tak baik kepada budak-budak yang turut tonton video muzik tu kerana kehidupan seorang mak nyah tidak elok.

“Apa saya nak sampaikan mereka kena lihat pada pengakhiran cerita tu, justeru, ambil yang baik saja, yang tak baik jangan ambil dalam video tu,” katanya semasa ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Duo Tomok dan Black di Kuala Lumpur.

Tomok, 34, sebelum ini menyambut baik teguran daripada beberapa pendakwah yang lahir daripada program realiti seperti Pencetus Ummah (PU) Amin dan PU Syed yang menyatakan rasa kurang senang mereka dengan perkongsiannya dalam video berkenaan.

Selain Tomok, aktor Beto Kusyairi juga berlakon dalam video berkenaan selain turut memaparkan dirinya menyerupai seorang wanita.

Video berkenaan meraih kedudukan keenam di carta popular YouTube selain mendapat lebih 700,000 tontonan sejak dimuat naik 7 November lalu.

Terima kecaman

Bekas Kekasih adalah ciptaan komposer dan penyanyi Aizat Amdan dan Mel Ramlan.

Berkongsi lanjut, pemilik nama asal Shah Indrawan Ismail itu menganggap ini adalah kali pertama usahanya menghasilkan muzik video yang menerima pulangan berbaloi.

“Pertama kali video muzik jadi trending, sebelum ni dah buat beberapa lagu macam tu je la hasil, inilah perjalanan seorang anak seni, ada naik dan turun.

“Saja jentik sikit, dan hasilnya video itu berada pada kedudukan teratas selama lebih seminggu,” katanya.

Meskipun Bekas Kekasih menerima kecaman pada awal, Tomok berkata, video berkenaan tetap menerima sambutan positif daripada kebanyakan pendengar.

Katanya, seorang peminat lelaki misalnya mengaku lagu berkenaan meninggalkan kesan buatnya yang pernah memilih jalan songsang sebelum ini.

“Apabila ada lelaki yang mengaku terkesan dengan lagu dan video itu, ia satu komen yang positif kerana bagi saya jangan anggap golongan mak nyah sebagai orang yang jahat.

“Mereka ini sentiasa perlukan sokongan kerana akhirnya mereka boleh berubah jadi lebih baik dari kita,” katanya. -malaysiakini

Mustahil Mampu Bayar RM100k Gara-gara Sebar Video Munafik 2

Individu yang dikehendaki membayar tuntutan saman berjumlah RM100,000 kerana memuat naik dan menyebar filem Munafik 2 meluahkan rasa kesal atas perbuatannya.

Muhammad Izwan Shah Kamal Shah membuat kenyataan itu di Facebook selepas mahkamah memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Skop Productions Sdn Bhd yang nilainya terlalu besar.

“Saya yang bernama Muhammad Izwan Shah ingin memohon maaf kepada pihak Skop Productions terutamanya kepada Datuk Yusof Haslam dan anaknya Syamsul Yusof kerana telah menyusahkan dalam beberapa bulan ini dengan mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka.

“Saya amat menyesal dengan kesalahan yang telah saya lakukan, tindakan mahkamah mengeluarkan perintah supaya membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada pihak Skop betul-betul membuatkan saya tersentak,” katanya dalam satu kenyataan terbuka di Facebook miliknya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Izwan, nilai RM100,000 sangat besar dan memerlukannya bekerja keras sepanjang hayat bagi membayar ganti rugi tersebut kepada Skop Productions.

“Mustahil untuk mendapatkan jumlah tersebut walau saya dapat hidup 100 tahun sekalipun,” katanya yang turut berjanji untuk melangsaikan jumlah itu walaupun dengan membayar sedikit demi sedikit kepada Skop Productions.

Sebelum ini media melaporkan Penerbit Yusof Haslam dan anaknya Syamsul Yusof mengambil tindakan ke atas seorang kakitangan rekaan grafik atas kesalahan melanggar hak cipta filem Munafik 2.

Pada 13 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Taiping, Asmadi Hussin, memerintahkan Izwan yang menggunakan nama profil Sasuke Kun untuk membayar RM100,000 kepada Skop Production.

Bagaimanapun, Izwan tetap menyatakan rasa bersyukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara di atas kesalahan yang dilakukannya.

Izwan juga tidak kisah sekiranya tidak sempat mengecapi alam perkahwinan semata-mata perlu bekerja keras sepanjang hayat bagi membayar jumlah terbabit kerana yang penting baginya, dia masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada kedua orang tuanya.

“Saya sangat bersyukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara.

“Saya tak kisah saya tak ada kereta, tak ada rumah sendiri, walau tak ada jodoh sekurang-kurangnya saya masih berkesempatan untuk menjaga kedua ibu bapa saya yang kian meningkat usia,” katanya.

Izwan berharap nasib yang menimpa dirinya tidak berlaku kepada individu lain malah menggesa mereka yang masih meneruskan aktiviti melanggar hak cipta untuk segera menghentikan perbuatan itu.

“Tolong hentikan kerana negara kita ada undang-undang.

"Jangan anggap benda ni mudah dan ringan kerana saya pun macam tu juga permulaannya tapi tengoklah sekarang, kesan dan implikasi yang sedang saya hadapi,” katanya. -malaysiakini

Doktor Gatal Ditamatkan Perkhidmatan!

Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Sungai Buloh yang sebelum ini digantung tugas berhubung salah laku seksual, ditamatkan perkhidmatannya, Rabu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata surat penamatan perkhidmatan itu telah disampaikan kepada ketua jabatan berkenaan semalam.

"Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk menamatkan perkhidmatan ketua jabatan berkenaan berkuat kuasa pada 14 November 2018," katanya.

Menurutnya, keputusan itu dicapai hasil perbincangan di antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Peguam Negara, diangkat untuk mendapat perkenan Agong setelah mendapat nasihat daripada pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly mendedahkan sekurang-kurangnya 38 individu yang bekerja di hospital itu menjadi mangsa gangguan seksual.

Doktor yang berkhidmat di hospital berkenaan sejak 2009, digantung tugas selama dua bulan bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadapnya. -mstar

Polis Evo 2 Dilabel 'Filem Sampah'

PELAKON utama filem Polis Evo 2, Zizan Razak meminta orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan awal mengenai naskhah berkenaan hanya berdasarkan trailer.

Menurut Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, filem berkenaan mempunyai mesej tersendiri untuk dijadikan teladan.

"Orang yang dah tonton tak beri apa-apa komen, jadi saya nasihatkan supaya orang ramai tengok dulu filem ini.

"Penonton kena faham bahawa trailer mungkin memberi gambaran berbeza. Jangan sebab itu kita buat andaian salah dan sebarkan sesuatu yang tak baik," katanya.

Petikan komen netizen yang kurang senang dengan trailer Polis Evo 2, Penyanyi lagu Kau Takkan Tahu ini ditemui semasa malam gala filem Polis Evo 2 yang berlangsung pada Rabu.

Sejak beberapa hari lalu, filem yang bakal ditayangkan pada 22 November ini menjadi kontroversi susulan gerakan di media sosial yang mendesak penonton memboikot filem Polis Evo 2 kerana didakwa menampilkan imej umat Islam sebagai pengganas.

Salah satu adegan dalam Polis Evo 2
Bagaimanapun Lembaga Penapis Filem (LPF) menerusi kenyataan mengesahkan bahawa filem berkenaan tidak mengandungi elemen yang boleh ditafsirkan sebagai memberi imej buruk terhadap agama Islam.

Ia juga didapati tidak bercanggah dengan peruntukan Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Filem berkenaan diberi keputusan Lulus Bersih (LB) dengan klasifikasi P13 untuk tayangan pawagam. -mstar

Guru 'Lelong' Enam Anak Kecewa Gagal Pertukaran!

Pastinya berita gembira buat para guru yang berjauhan dari keluarga setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (PM) meluluskan sebanyak 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019.

Bagaimanapun, perkhabaran gembira yang dimaklumkan oleh kementerian tidak sedikit pun memberi kecerian buat guru kepada enam cahaya mata ini.

Memetik Facebook Cikgu Izzat, dia terpaksa memuatnaik status seorang guru wanita yang kecewa keputusan permohonan pertukaran sekolah tidak diluluskan.

Lebih memilukan, guru berkenaan terpaksa menjaga enam orang anaknya sendirian hingga memaksa dirinya menyerahkan kesemua anaknya kepada sesiapa sahaja.

Kenyataan kecewa itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan kerana boleh mengundang kepada penyakit kemurungan.

"Kalau sudah sampai nak serah anak-anak kepada sesiapapun dan sampai kemurungan, apa yang KPM boleh buat?
"Menteri? Menteri mana ada amik kisah langsung hal pertukaran guru," katanya.

Beliau juga mempersoalkan pihak berkaitan tidak peka kepada masalah para guru sehinggakan pada satu tahap telah membuat permohonan selama 13 tahun tetapi permohonan ditolak.

Sedangkan graduan baharu ditempatkan di kampung halaman namun perkara itu tidak berlaku kepada guru yang berkhidmat lebih 10 tahun.

"Wahai YAB Dr Wan Azizah Wan Ismail , tolonglah cikgu ini. Beliau dah kecewa sampai nak serah sahaja anak-anak seramai enam orang kepada sesiapa.

"Mahukah lihat anak-anak dipisahkan? Cukuplah cikgu ini terpaksa hidup bersendirian, sekarang masih lagi nak dibiarkan berpisah dengan anak-anak?," katanya.

Katanya turut memetik nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membantu guru berkenaan dan mengutamakan kebajikan para guru.

Menerusi perkongsian di Facebook, status luahan guru wanita berkenaan mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dalam permohonan pertukaran guru pada 2019.

Katanya, dia telah berada selama 13 tahun di Johor ditemani enam orang anaknya kerana telah bercerai.

Kini, rumahnya telah dijual dan perlu mencari rumah sewa malah menyindir pegawai KPM agar menjaga anak-anaknya, sementara proses permohonan pertukaran guru diluluskan.

Guru berkenaan juga mengakui mengalami kemurungan dan menyatakan anak-anaknya berusia dua, tiga, tujuh, lapan, sembilan dan 14 tahun.

Sekiranya ada berminat kepada anak-anaknya boleh mesejnya di Facebook.

Status itu juga tular dan mendapat lebih 2,000 perkongsian dari netizen. -sinar online

Zaibo Meninggal Dunia

PELAKON veteran dan pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau lebih dikenali sebagai Zaibo, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.30 tengah hari tadi di rumahnya.

Menerusi perkongsian beberapa ahli keluarga Allahyarham, Zaibo, 62, akan dikebumikan selepas solat Isyak di Batu Pahat, Johor Bharu.

"Assalamualaikum, saya Hafiz. Mewakili pihak keluarga Zainal Ariffin Abd Hamid @ Zaibo ingin memaklumkan bahawa ayah saya telah pergi dijemput Illahi pada jam 1.30 tengah hari tadi.

"Jenazah akan dikebumikan selepas solat Isyak. Mohon doa semua agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan insan terpilih... Amin," tulisnya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Malaysia (YKAT), Datuk DJ Dave turut mengesahkan berita pemergian Zaibo selepas diberitahu isteri Zaibo, Siti Hawa Sawal, 52 tahun.

"Saya baru sahaja diberitahu oleh isteri beliau sendiri, mengenai berita sedih ini," katanya kepada Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Zaibo yang terkenal dengan watak Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya bertarung dengan kanser esofagus sejak September lalu.

Selain popular dengan Spanar Jaya, Allahyarham juga pernah membintangi filem seperti Magika fantasi 2010 dan Awan Dania The Movie pada tahun 2013.

Dia juga memainkan peranan kecil pada tahun 1999 Filem Hollywood Anna and the King. -sinar harian

Al-Fatihah.

Bekas Menantu Chef Wan Bebas Tuduhan Khalwat

MAHKAMAH Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling, membebaskan bekas suami Serina Redzuawan, Gavin Edward O’Luanaigh daripada pertuduhan khalwat dengan seorang wanita, Julai lalu.

Hakim Syarie Siti Aminah Kamil membuat keputusan itu terhadap O’Luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, O’Luanaigh dan Kiranjit Sidhu @ Kiran Manjit Singh Sidhu didakwa atas pertuduhan percubaan khalwat.

Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Petaling Jaya, pada 10 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 52(1) dan Seksyen 29(1)(b)(b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, peguam syarie Raihan Mustafa Kamal yang mewakili O’Luanaigh dan Kiran ketika memaklumkan keputusan itu berkata, pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap kedua-dua anak guamnya.

Pendakwaan dijalankan oleh pendakwa syarie Khafizah Ahmat Khairi.
Berdasarkan kenyataan diperolehi daripada Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir, O’Luanaigh mendakwa beliau adalah seorang beragama Islam dan sentiasa cuba mengamalkan agama Islam.

Malah, dia mendakwa memujuk Kiran untuk memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengannya.

O’Luanaigh memeluk agama Islam pada 20 November 2006, manakala Kiran memeluk Islam pada 20 November tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan O’Luanaigh dan Serina bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 1 Ogos tahun lalu, selepas tujuh tahun berkahwin.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Tristan Tareef dan Isabella Saffiya. -hmetro

‘No More’ Amelina!

PEREKA fesyen Razman Razmi kesal dengan pihak Amelina yang enggan memakai busana yang telah direka untuknya bagi menyertai separuh akhir Gegar Vaganza kelima (GV5).

Razman berkata, dia amat kesal kerana Amelina dan pihak pengurusan artis berkenaan sebenarnya telah meminta dia menghasilkan sepasang busana dan telah bertungkus lumus membuatnya namun pada saat-saat akhir, mereka memilih pakaian daripada pereka fesyen lain.

"Saya setuju nak buat baju Amelina untuk minggu ketujuh disebabkan ada kenalan rapat yang minta tolong walaupun sebenarnya saya dah menarik diri daripada menaja pakaian peserta GV5.

"Tapi apabila baju dah siap dan pihak pengurusan Amelina minta saya datang bawa baju untuk fitting, mereka kata tak nak pula sebab nak pakai baju pereka fesyen lain.

"Niat saya nak menolong tapi mereka buat macam ni pula. Kalau dah ada baju, buat apa minta tolong saya lagi," katanya ketika dihubungi.

Dia diminta mengulas mengenai status panasnya yang mengkritik pihak Amelina dan pengurusan artis itu kerana tidak memberi kerjasama yang baik dalam urusan penyediaan pakaian dalam pertandingan berkenaan.

Razman Razmi menaja pakaian Amelina sejak awal promosi sehingga minggu kelima konsert GV5.

Razman Razmi Kuala Lumpur merupakan butik yang menaja pakaian penyanyi dangdut itu dari awal promosi sehingga minggu kelima konsert GV5.

Dalam pada itu, Razman berkata, dia sudah serik untuk berurusan dengan artis berkenaan selepas kejadian berkenaan termasuklah pihak produksi rancangan tersebut kerana mendakwa mendapat layanan buruk.

"Selepas ini memang pihak saya dah serik dan tak nak bekerjasama dengan mereka lagi.

"Walaupun saya baik dengan salah seorang daripada pengurusan itu, tapi saya hanya akan tolong dia sahaja tapi bukan mereka," ujarnya. -mstar

Zamani Mengaku Malu, Terima Pemilihan Ke Final GV5 Dipersoalkan

PENYANYI Zamani memberitahu dia hampir berputus asa dan berasa malu apabila persembahannya menerusi lagu Dekat Padamu nyanyian asal Yusry Abdul Halim pada peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim kelima bermasalah.

Zamani memberitahu dia sedar akan ada pihak yang mempertikaikan pemilihannya ke peringkat final kerana kegagalannya mengadakan persembahan dengan baik namun akan menerima semua pendapat berhubung perkara itu.

"Ketika persembahan itu, ear piece saya tidak berfungsi dengan baik dan apabila lagu mula saya tidak boleh agak untuk mula menyanyi kerana tidak dapat mendengar.

"Jujurnya lepas lagu pertama itu saya dah putus asa, berasa malu. Saya sudah menjangkakan tidak akan masuk ke final tetapi rezeki saya dapat ke peringkat seterusnya.

Antara komen netizen di Twitter.
"Kalau ada pihak yang ingin persoalkan, memang patut pun dan saya sedia terima semua pendapat tetapi gunakanlah saluran yang betul dan hormat keputusan juri," katanya.

Keputusan juri profesional memilih Zamani ke peringkat akhir mendapat reaksi bercampur-baur daripada peminat program popular itu.

Ramai di antara mereka merasakan vokalis kumpulan Slam itu tidak layak ke final kerana Zamani gagal menyampaikan lagu tersebut dengan baik.

Rata-rata merasakan nyanyiannya pada malam itu kedengaran sumbang selain Zamani banyak lupa lirik yang mencacatkan persembahannya.

Malah Datuk Ramli MS juga dilihat kecewa dan enggan memberikan sebarang komen selepas Zamani selesai membuat persembahan.

"Adakah saya satu-satunya yang merasakan Zamani tidak layak untuk ke final? Forteen lebih baik daripadanya hari ini. Ini bukan sebab anda seorang lagenda, ini adalah pertandingan. Zamani tidak mengadakan persembahan yang baik malam ini.

"Zamani nampak keliru di ataa pentas ketika menyanyikan Dekat Padamu. Persembahan itu bukanlah terlalu teruk (lagu kedua lebih baik). Tapi saya rasa ia tidak adil Tok Ram enggan memberikan sebarang komen.

"Lagu pertama off key , lupa lirik. Lagu kedua best. Tapi masih masuk final juga. Markah lagu kedua 100 peratus barangkali," antara komen peminat program itu di Twitter.

Bagaimanapun ramai turut merasakan Zamani tetap layak ke final kerana persembahan keduanya menerusi lagu Di Matamu (Sufian Suhaimi) telah menebus kesilapannya pada lagu pertama.

Malah persembahan kedua itu turut mendapat pujian juri profesional yang mengadilinya pada pertandingan itu.

"Zamani sudah melakukan yang terbaik buat lagu kedua. Jangan bimbang Zamani kami tetap akan menyokong anda. Legend tu!

"Saya rasa Zamani telah menebus kesilapannya. Dia menyanyikan Di Matamu dengan perasaan dan dari hati, saya dah single lapan tahun ni pun rasa macam ditinggalkan oleh kekasih yang tidak wujud! Zamani menyanyikan dengan baik sekali," tulisnya netizen lagi.

Impian penyanyi Hetty Sarlene dan kumpulan Forteen untuk mara ke final terhenti apabila mereka diumumkan peserta tersingkir pada peringkat separuh akhir program itu yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Selain Zamani, lima lagi peserta yang mara ke peringkat akhir adalah Amelina, Maya Ruslee, Dia Fadilla, Noryn Aziz dan duo berkumpulan Billy Zulkarnain.

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi. -mstar

'Saya Tidak Akan Pijak Orang Yang Dah Jatuh' - Ramli MS

Juri Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Datuk Ramli MS menjelaskan beliau enggan memberi komen persembahan pertama Zamani pada peringkat separuh akhir program itu pada malam Ahad kerana berpegang kepada prinsip.

Ramli berkata, beliau tidak mahu melemahkan semangat Zamani memandangkan penyanyi itu sendiri sudah cukup tertekan dengan persembahannya yang bermasalah.

"Untuk lagu pertama saya tidak mahu komen sebab prinsip saya tidak akan pijak orang yang dah jatuh tapi dia bangkit untuk lagu kedua.

"Semua juri memberi markah hampir maksimum. Malam separuh akhir ini penjurian berdasarkan dua lagu bertanding. Bertenang okay," tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, Ramli memberitahu beliau terkejut apabila Zamani tidak dapat mencari nada lagu Dekat Padamu nyanyian asal Yusry Abdul Halim itu ketika memulakan persembahan pertamanya.

Kata Ramli, atas kesilapan itu dia tidak bersikap berat sebelah dan mendedahkan tidak memberi markah kepada Zamani namun memuji keberaniannya memperbetulkan kesalahan tersebut.

"Saya terkejut apabila dia tak dapat cari key lagu (bukan silap lirik), saya bagi dia kosong markah.

"Tapi selepas separuh lagi dia dapat balik key lagu itu. Saya patut bagi dia markah sebab dia tak berganjak dari kesilapan dia," katanya.

Selain Ramli, juri profesional yang mengadili semua peserta adalah Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Yusof Haslam.

Ramli menjelaskan tindakannya enggan memberi komen persembahan Zamani di Instagram.

Hetty Sarlene dan kumpulan Forteen gagal menempatkan diri ke final selepas diumumkan tersingkir pada pertandingan minggu ketujuh itu.

Sementara itu, Zamani berkata, dia tidak berkecil hati apabila Ramli enggan memberi komen persembahannya malah memahami mengapa pengarah muzik itu enggan berbuat demikian.

Kata Zamani, dia sedar Ramli meletakkan harapan tinggi kepada semua peserta malah beliau sentiasa berada dengan peserta pada sesi latihan.

"Saya faham, latihan sudah buat banyak kali tiba-tiba jadi begitu. Beliau pun malas nak komen, saya faham begitu.

"Harapan orang sangat tinggi pada kita apabila jadi begitu saya sendiri pun berasa kecewa.

"Alhamdulillah lagu kedua dapat buat dengan baik jadi terubat sedikit rasa kecewa," katanya.

Selain Zamani, peringkat akhir GV5 turut memperlihatkan lima lagi peserta mara iaitu Amelina, Noryn Aziz, Dia Fadilla, Maya Ruslee dan duo berkumpulan Billy Zulkarnain. -mstar

Kejutan Kek Hari Jadi Musnah, Kisah Benar Pemuda Menangis Dicurangi Kekasih

Hari ulang tahun kekasih tersayang pastinya menjadi saat yang dinanti-nantikan untuk si dia diraikan dengan penuh kejutan.

Begitu juga dengan seorang pemuda yang begitu teruja untuk menyambut hari jadi kekasihnya, namun hasratnya itu tidak kesampaian selepas mendapati teman wanitanya curang bersama lelaki lain.

“Rakan semangat beli kek mahal-mahal nak buat kejutan hari ulang tahun kekasih dia.

“Bergegas habis peperiksaan, terus ke bandar dengan aku naik motor petang tadi. Dalam perjalanan balik, dia ternampak makwe (kekasih) dia gelak sakan dengan lelaki lain dalam kereta kat (persimpangan) lampu isyarat,” tulis seorang pemuda menerusi laman sosial Twitter @ismihaqeem pada Sabtu malam.

Posting itu tular dan setakat ini diulang kicau hampir 30,000 kali.

Luqman Hakkim Abd Razak, 23, yang menulis mengenai insiden tersebut di Twitter memberitahu, 'adegan' itu berlaku kepada teman rapat juga rakan sekolejnya yang hanya mahu dikenali sebagai Pesa.

Namun pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKMSAS) di Tanjung Rambutan, Perak ini menjelaskan bahawa insiden rakannya yang berusia 22 tahun dicurangi kekasihnya itu berlaku sekitar awal tahun ini.

“Memang saya temankan dia beli kek hari jadi pada Sabtu, tapi kek dalam gambar tu untuk sambut birthday rakan sebilik Pesa, semalam (Ahad).

“Pesa pun teringatlah insiden nak bagi kek surpise buat kekasih dia, yang kemudian 'kantoi' bermesra dengan lelaki lain.

"Sebenarnya, tempat ‘kantoi’ tu kat persimpangan lampu isyarat yang sama dan dia pun masa tu naik motor juga.

"Sebab tu dia teringat dan sedih,” katanya.

Luqman Hakkim yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan paramedik ini berkata, duit untuk membeli kek buat rakan sebilik Pesa adalah hasil perkongsian teman-teman kolej.

Secara kebetulan, kek yang dibeli mereka pada Sabtu itu daripada jenama yang sama, berharga lebih RM100, sama seperti yang sepatutnya diberikan kepada kekasih Pesa ketika itu.

“Banyak kebetulan yang sama, memanglah teringat. Jadi, saya tak sampai hati bila tengok dia sedih dan ambil keputusan untuk singgah di sebuah gerai dalam perjalanan pulang ke kolej, untuk tenangkan dia.

“Ikutkan Pesa ni seorang yang ceria dan ‘happy go lucky’ tapi dia ni suka sangat pendam perasaan. Bila dah tak tahan, tu yang menangis betul, terlalu emosi,” katanya sambil menambah bahawa rakannya itu pernah berkongsi kisahnya yang putus cinta kerana dicurangi kekasih sebelum ini.

Luqman Hakkim yang juga seorang jurugambar sambilan memberitahu, dia cuba untuk menenangkan rakannya itu kerana tidak mahu menjejaskan semangatnya yang sedang menduduki peperiksaan ketika ini.

“Kami menduduki peperiksaan pada minggu lepas dan minggu ini. Jadi, saya tak mahu dia terganggu hanya kerana teringatkan bekas kekasih. Ada lagi beberapa ‘paper’ (kertas peperiksaan) lagi.

“Saya beritahu dia yang benda (putus cinta) dah lepas, jadi buka buku baharu. Benda tu sekadar ujian untuk kita. Setiap orang ada lain-lain ujian.

"Jadi, kena bersabar hadapi ujian itu,” katanya mengenai Pesa yang merupakan anak bongsu.

Tambah Luqman Hakkim, dia berharap teman rapatnya itu menjadikan kisah putus cintanya sebagai pengajaran untuk melangkah ke hadapan dan berfikiran positif.

“Kami ni masih lagi belajar, jadikan pendidikan sebagai komitmen dan tanggungjawab dalam hidup. Buatkan ibu bapa gembira dengan kejayaan kita.

“Saya pun pernah bercinta dan gagal dalam perhubungan. Semua tak boleh lari (daripada bercinta) cuma biarlah berpada-pada supaya tak terlalu kecewa di kemudian hari.

"Kalau putus cinta, insyaAllah ada peluang untuk bercinta lagi dan jumpa pasangan yang lebih sesuai. Yang penting kita ‘move on’ (bangkit) dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya. -mstar

Mia Ahmad Tekad Pertahankan Rumah Tangga

MESKI sedang berdepan kemelut rumah tangga yang kini sedang hangat diperkatakan, pelakon Mia Ahmad bertegas untuk terus mempertahankan ikatan perkahwinan yang dibina bersama penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

Menerusi Insta Storynya beberapa hari lalu, Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, 30, menyatakan dia akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan rumah tangganya.

“Anda boleh cakap apa saja dan saya tahu apa yang saya lakukan serta akibatnya.

"Hanya ALLAH, saya, suami dan dia (wanita yang dikaitkan dengan suami) tahu kebenarannya.

"Saya akan buat apa sahaja untuk menyelamatkan rumah tangga saya," luahnya.

Dalam pada itu, pelakon Hati Perempuan ini juga enggan mengambil peduli tentang kata-kata orang di luar sana terhadap kemelut rumah tangganya itu.

“Orang tidak tahu apa yang saya lalui. Mereka tidak rasa apa yang saya rasakan.
"Apa pun saya juga berterima kasih kepada media sosial kerana memudahkan semua ini (pastinya ada baik dan buruk). Jadi, apa pula seterusnya?” tambahnya.

Terdahulu, Mia mengundang tanya tanya ramai apabila memadamkan semua gambar suaminya di laman Instagram, selain memuat naik status yang memberi gambaran seolah-olah rumah tangganya sedang bergolak.

Biarpun seuaminya Izham tampil membuat penjelasan dan menepis segala spekulasi berhubung pergolakan rumah tangga mereka, namun ia terus diperkatakan ramai sehingga hari ini.

Mia dan Izham mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Sayf Issa pada 28 September lalu.

Jenazah Pramugari Lion Air, Mery Yulyanda Dikebumikan

SALAH seorang pramugari mangsa korban pesawat Lion Air JT 610, Mery Yulyanda telah selamat dikebumikan.

Menerusi laporan Tribunnews, kesedihan itu terus menyelubungi keluarga Mery Yulyanda, juga tidak terkecuali kekasih pramugari Lion Air JT 610 itu, Husni Fadhil.

Jenazah Mery Yulyanda dikebumikan sebaik berjaya dikenal pasti pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), Jakarta Timur.

Melalui akaun Instagram (IG) @apryfadhil, Fadhil pun turut memuat momen pengebumian sang kekasih.

Sambil memegang potret Mery yang tersenyum manis, Fadhil kelihatan tak mampu menahan kesedihannya.

Matanya terus menatap pusara sang kekasih yang dipenuhi bunga-bunga cantik.

"Selamat Jalan Sayang, ALLAH Bersamamu," tulis Fadhil pada captionnya.

Malah menerusi IGnya juga, dia memuat naik lagu bertajuk D.I.A bagi melahirkan rasa cintanya kepada kekasihnya itu buat netizen terharu.

"Sabar kak (abang) @apryfadhil.. terus berdoa untuk Kakak Mery... semoga Kakak Mery tenang di sana... ikut sedih," tulis sutinahwarohma.

"Sabar ya, abang doakan yang terbaik buat kakak Merry. Sungguh sedih," tulis sindiquartie93.

"Sabar abang. InsyaAllah, kakak Mery bahagia di syurgaNYA ALLAH," tulis nurahmadaani.

"Al- Fatihah sabar ya, ini semua kuasa ALLAH," tulis nursyahirah428.

"Sabar ya, rencana ALLAH pasti yang terbaik buat @apryfadhil_ dan untuk kakak @merryyulyanda dan semoga kakak Merry tenang disana dan bahagia di syurga-NYA ALLAH, amin," tulis melindashinta_23. -astroawani

Cahaya Mata ketiga, Diana Amir Dapat ‘Baby Boy’

PELAKON dan pengacara, Diana Amir selamat melahirkan cahaya mata ketiga, seorang bayi lelaki seberat 3.12kg di Hospital Umra, Shah Alam.

Berita gembira itu dikongsikan Diana menerusi laman Instagram miliknya beberapa jam tadi, sebagai tanda terima kasihnya kepada peminat dan rakan-rakan yang mendoakan kesejahteraannya dan keluarga.

“SubhanAllah Alhamdulillah. Diana terharu dengan doa-doa daripada semua, daripada awal pregnancy sampailah selamat melahirkan pagi tadi.

"Terima kasih banyak-banyak, semoga Allah pulangkan kebaikan kepada awak-awak semua.

“Ikutkan due date hari Isnin tapi Allah nak bagi anugerah awal and actually, memang Diana doa untuk sakit contraction yang amat sangat, then akan cepat je dapat lahirkan baby.

"After 5 minutes masuk labour room, baby dah keluar. Thanks sayang bekerjasama dengan mummy tadi.

“Thanks juga kat doktor-doktor and nurses yang comel-comel dan baik-baik kat @hospitalumra.

"My 3rd baby kat Hospital Umra dan sentiasa boleh bergantung pada professionalism and friendliness mereka,” luahnya.

Dalam pada itu, Diana turut mendoakan agar mereka yang belum dikurniakan zuriat dipermudahkan rezeki, selain menitipkan nasihat kepada ibu-ibu yang bakap melahirkan.

“Diana doakan yang belum dikurniakan zuriat, akan memperoleh rezeki yang terbaik dariNya, pengikat kasih sayang suami isteri dan mampu menjadi saham di akhirat kelak, Amin!

“Kepada yang bakal melahirkan, u can do it! Pasti Allah tidak sia-siakan kesabaran menanggung kesakitan.

"Syukur diberi peluang untuk menghapus dosa-dosa dengan cara yang indah.

“Doakan baby boy Diana sihat, soleh, handsome, disayangi @khawlah_khadija. Diorang belum jumpa lagi adik diorg ni hahahaaa! #mummynervous . Yayy!! Alhamdulillah part paling scary (bersalin) dah settle, now panda eye and pantang mode on,” tulisnya sebagai kapsyen pada gambar pertama bayi lelakinya itu.

Diana mendirikan rumah tangga bersama suami, Mohd Habibbullah A.Rahman pada 25 Oktober 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Khawlah Al Azwar, 3, dan Khadija Azzehra, 1. -sinar online

Surat Terbuka Mufti Tegur Drama 'Isteri Untuk Disewa'

DRAMA Isteri Untuk Disewa gandingan pelakon popular Fattah Amin dan Tiz Zaqyah yang kini sedang ditayangkan di saluran Astro Ria telah mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Berikut, merupakan surat terbuka dari mufti untuk pengarah drama ini, Osman Ali, yang memperkatakan mengenai dua isu iaitu yang pertama mengenai tajuk drama dan yang kedua implikasi hukum.

Zulkifli menegaskan bahawa tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah.

Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

"Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai.

"Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19.

"Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada hukum syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat," tulisnya.

Mengenai implikasi hukum pula, tambah Zulkifli, dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan.

Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

"Isteri adalah amanah ALLAH kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.

"Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang d iluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam," katanya lagi.

Berikut merupakan keseluruhan surat terbuka yang dipetik dari Muftiwp.gov.my

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafa’kan segala kesyukuran kepada Allah atas pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada kita termasuklah negara yang aman dan makmur.

Kami mengambil prihatin dan cakna akan lambakan drama yang berkonsepkan santai, isu-isu kekeluargaan dan percintaan mutakhir ini.

Secara umumnya sebagai penonton, kita harapkan drama atau filem yang berkualiti dan sarat dengan mesej, setanding dengan hasil seni peringkat antarabangsa.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa kami memilih “Isteri Untuk Disewa” dan bukan drama-drama lain?

Ada beberapa sebab mengapa kami memilih drama ini:

Persoalan daripada mustafti berhubung tajuk drama ini.
Isu fiqh perkahwinan yang wujud dalam drama ini.

Secara umumnya, kami rasakan drama ini baik kerana mengenengahkan satu unsur baru dalam plot yang keluar daripada kebiasaan drama-drama lain yang bertemakan konflik keluarga dan percintaan.

Kami sama sekali tidak mempunyai sikap prejudis terhadap seni dan juga anak-anak seni.

Ulasan kami ini adalah berdasarkan kepada beberapa babak yang ditayangkan dan menilainya semula dari sudut hukum-hakam.

Pertama: Tentang tajuk

Kami nyatakan sepertimana berikut:
Tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah.

Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia samada Islam mahupun bukan Islam.

Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai.

Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19.

Firman Allah SWT,

ﻭَﻋَﺎﺷِﺮُﻭﻫُﻦَّ ﺑِﺎﻟْﻤَﻌْﺮُﻭﻑِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan bahawa ayat ini memerintahkan untuk memperperhaluskan kata-kata dan memperindahkan perilaku dan sikap, sebagaimana yang kita kehendaki daripada seorang isteri.

Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada Hukum Syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat.

Kedua: Implikasi Hukum

Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.

Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang diluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam.

Ini sebagaimana kata Imam al-Nawawi berkata: "Nikah mut'ah tidak dibolehkan, kerana pernikahan itu pada dasarnya suatu akad yang bersifat mutlak.

Maka tidak sah apabila dibataskan dengan masa." (Lihat al-Majmu, 17/356).

Antara contoh bentuk nikah mut’ah adalah perkahwinan yang dihadkan tempohnya.

Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama seminggu." Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima."

Penutup

Syabas dan tahniah diucapkan kepada wargakerja drama Isteri Untuk Disewa atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.

Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel.

Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya.

Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita.

Sepertimana yang telah kami nyatakan di hadapan para artis dan selebriti tanahair dalam program “A Night With Mufti” di Istana Budaya pada Ramadhan lalu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa membuka pintu dan ruang kerjasama dalam memartabatkan industri seni tanahair.

“Dinding” antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.

Kami amat yakin bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Lembaga Penapis Filem (LPF) sentiasa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan drama dan filem yang disiarkan, mencapai standard kualiti dan moral yang terbaik.

Kami mengambil kesempatan memohon maaf atas kenyataan terbuka ini. Maaf sekiranya kenyataan ini mengguris hati mana-mana pihak. Tidak ada langsung secebis rasa benci dan marah melainkan kasih semata-mata.

Kami bacakan firman Allah SWT:

ﺇِﻥْ ﺃُﺭِﻳﺪُ ﺇِﻟَّﺎ ﺍﻟْﺈِﺻْﻠَﺎﺡَ ﻣَﺎ ﺍﺳْﺘَﻄَﻌْﺖُ ۚ ﻭَﻣَﺎ ﺗَﻮْﻓِﻴﻘِﻲ ﺇِﻟَّﺎ ﺑِﺎﻟﻠَّـﻪِ ۚ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﺗَﻮَﻛَّﻠْﺖُ ﻭَﺇِﻟَﻴْﻪِ ﺃُﻧِﻴﺐُ

Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Surah Hud: 88)

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,
Khamis 8 November 2018.