Penyanyi Tomok berazam akan lebih berhati-hati untuk menghasilkan gimik yang dikhuatiri boleh memberi pengaruh tidak sihat kepada penonton khususnya golongan lebih muda.
Malah kata Tomok, dia bukan sengaja tampil berpakaian menyerupai wanita dalam video muzik lagu terbarunya, Bekas Kekasih yang mengundang perhatian ramai termasuk golongan pendakwah baru-baru ini.
Menurut Tomok niatnya semata-mata untuk menyampaikan kesudahan yang baik pada penghujung jalan cerita lagu berkenaan.
“Tak boleh buat selalu (gimik) macam ni. Saya tak mahu jadi artis yang memberi pengaruh tak baik kepada budak-budak yang turut tonton video muzik tu kerana kehidupan seorang mak nyah tidak elok.
“Apa saya nak sampaikan mereka kena lihat pada pengakhiran cerita tu, justeru, ambil yang baik saja, yang tak baik jangan ambil dalam video tu,” katanya semasa ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Duo Tomok dan Black di Kuala Lumpur.
Tomok, 34, sebelum ini menyambut baik teguran daripada beberapa pendakwah yang lahir daripada program realiti seperti Pencetus Ummah (PU) Amin dan PU Syed yang menyatakan rasa kurang senang mereka dengan perkongsiannya dalam video berkenaan.
Selain Tomok, aktor Beto Kusyairi juga berlakon dalam video berkenaan selain turut memaparkan dirinya menyerupai seorang wanita.
Video berkenaan meraih kedudukan keenam di carta popular YouTube selain mendapat lebih 700,000 tontonan sejak dimuat naik 7 November lalu.
Terima kecaman
Bekas Kekasih adalah ciptaan komposer dan penyanyi Aizat Amdan dan Mel Ramlan.
Berkongsi lanjut, pemilik nama asal Shah Indrawan Ismail itu menganggap ini adalah kali pertama usahanya menghasilkan muzik video yang menerima pulangan berbaloi.
“Pertama kali video muzik jadi trending, sebelum ni dah buat beberapa lagu macam tu je la hasil, inilah perjalanan seorang anak seni, ada naik dan turun.
“Saja jentik sikit, dan hasilnya video itu berada pada kedudukan teratas selama lebih seminggu,” katanya.
Meskipun Bekas Kekasih menerima kecaman pada awal, Tomok berkata, video berkenaan tetap menerima sambutan positif daripada kebanyakan pendengar.
Katanya, seorang peminat lelaki misalnya mengaku lagu berkenaan meninggalkan kesan buatnya yang pernah memilih jalan songsang sebelum ini.
“Apabila ada lelaki yang mengaku terkesan dengan lagu dan video itu, ia satu komen yang positif kerana bagi saya jangan anggap golongan mak nyah sebagai orang yang jahat.
“Mereka ini sentiasa perlukan sokongan kerana akhirnya mereka boleh berubah jadi lebih baik dari kita,” katanya. -malaysiakini
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon