Rita Rudaini Nafi Bercinta Dengan Remy Ishak

Dramatis jelita Rita Rudaini menyangkal dakwaan kononnya dia kini menjalin hubungan dengan aktor kacak Remy Ishak dan berkata dakwaan tersebut tidak berasas serta mengarut.

Rita Rudaini

"Sebelum ini dah pernah kena gosip dengan Nomad, sekarang dengan Remy Ishak pula. Saya tak suka dan tak seronoklah bila digosipkan macam ini. Saya rasa tak cukup sedap orang komen buruk macam-macam hanya kerana saya janda.

"Sudahlah kes mahkamah saya masih berjalan, timbul pula benda-benda macam ini lagi memburukkan keadaan. Saya bukannya budak remaja nak dikaitkan dengan gosip-gosip macam ini lagi," katanya kepada Harian Metro.

Rita berkata, gosip dengan Remy adalah perkara paling mengarut kerana timbul secara tiba-tiba tanpa sebab logik.

"Saya sudah kenal Remy dan pernah berlakon bersama beberapa kali sebelum ini tapi tak ada pun orang nak gosipkan?

"Hanya kerana saya kebetulan bergambar dengan anak buahnya di lokasi tiba-tiba orang tuduh kami bercinta? Kelakarlah dan memang tidak masuk akal."

Tambah aktres berusia 38 tahun itu lagi, dia kesal dan kecewa apabila status dirinya menjadi bahan fitnah sesuka hati.

Dalam pada itu, Rita berkata ketika ini hatinya tertutup untuk mana-mana lelaki.

"Kalau betul-betul ada lelaki yang dapat buka hati saya semula, saya sendiri akan berkongsi dengan semua."

Sementara itu, Rita berharap selepas ini tiada lagi gosip yang mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki yang akan timbul kerana ia bukan perkara positif untuk diketahui oleh dua anaknya yang semakin membesar.

Sumber: Yahoo! Malaysia

Jaclyn Victor Berpisah Dengan Suami

Penyanyi popular, Jaclyn Victor memberitahu mustahil dia tidak menyimpan impian untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat memandangkan usianya bakal menginjak ke 40 tahun dalam masa empat tahun lagi.

Jaclyn Victor Berpisah Dengan Suami

Bagaimanapuan, dia enggan terlalu tertekan mengenai isu tersebut sebaliknya menyerahkan segalanya kepada rezeki dia dan suaminya.

“Tipulah jika saya cakap tak nak anak, tapi saya enggan terlalu berharap kerana semuanya adalah kuasa Tuhan.

"Saya redha saja jika ada rezeki maka adalah. Malah suami saya juga baru pulang ke Los Angeles dan kami sedang menyesuaikan diri dengan hubungan jarak jauh yang mana beza masa kami adalah 15 jam.

"Namun bagi saya itu bukanlah masalah kerana kami saling memahami kesibukan kerjaya satu sama lain.

"Malah saya juga jenis yang tidur lewat manakala suami saya pula merupakan seorang yang suka bangun awal pagi,” ujar Jac kepada GUA ketika ditemui di sesi wawancara di Hotel Tune Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa.

Juara program realiti Malaysian Idol musim pertama itu turut berkongsi yang kehidupannya selepas berkahwin dengan Shawn Rivera yang merupakan vokalis kumpulan berentak R&B, Az Yet tidak memberikan impak yang drastik kepada Jac sebaliknya menjadikan dirinya menjadi seorang yang lebih matang.

“Saya tidak merasakan perubahan drastik pada diri saya selepas berkahwin. Tapi saya menjadi semakin matang kerana bakal mencapai usia 40 tahun dalam masa empat tahun lagi.

"Saya menjadi lebih menepati masa serta lebih bertanggungjawab setelah berkahwin yang mana menjadikan saya seorang yang lebih baik,” ujar Jac lagi.

Dalam perkembangan terkini, Jac bakal melancarkan album Bahasa Inggerisnya pada bulan hadapan yang memuatkan lima buah lagu serta sebuah lagu bonus.

Album berjudul Unleashed menampilkan keunikkan kerana Jac menulis sendiri lirik lagu dalam album tersebut.

“Ramai yang mempersoalkan langkah berani yang diambil kerana menghasilkan album penuh Bahasa Inggeris.

"Namun jika peminat-peminat boleh menerima lagu luar negara jadi mengapa tidak boleh menerima lagu Inggeris yang dinyanyikan oleh artis tempatan kan?

"Saya juga turut mendapat keyakinan untuk menghasilkan lirik untuk kebanyakan lagu dalam album ini.

"Ia juga boleh dianggap sebagai langkah yang diambil dalam perjalanan kerjaya seni saya untuk ke peringkat seterusnya,” ujar Jac lagi.

Selain single pertama berjudul Remedy, album Unleashed turut memuatkan lagu-lagu seperti Over And Over, Delirious, Pinnacle, Sweeter Than A Dream dan Magical Moment.

Album ini merupakan kerjasama antara Edry Abdul Halim dan Jac sendiri yang menghasilkan lagu-lagu yang dijangka mampu menjadi hit.

Sumber: Yahoo! Malaysia

Jennifer Lawrence, Chris Martin Berpisah?

Beberapa bulan ini, kisah cinta Jennifer Larence dan Chris Martin sering menjadi berita hangat.

Chris Martin dan Jennifer Lawrence

Bagaimanapun, menurut laporan Dailymail, selepas menjalinkan hubungan selama empat bulan, mereka membuat keputusan untuk mengakhiri percintaan masing-masing.

"Keputusan itu dibuat sendiri oleh Jennifer. Mereka saling mencintai namun kedua-duanya sukar untuk berjumpa kerana kesibukan kerja selain banyak perkara yang rumit terjadi dalam perhubungan tersebut," kata sumber.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas Chris dilihat menikmati makan malam bersama bekas isterinya, Gwyneth Paltrow serta anak-anak mereka.

Malah mereka dilihat cukup mesra seolah-olah mereka masih lagi sebagai pasangan suami-isteri.-mStar

Orlando Bloom Dan Selena Gomez Bercinta?

Sejak putus dengan Justin Bieber, aktres Selena Gomez kembali menghabiskan masanya bersama bekas suami Miranda Ker iaitu Orlando Bloom.

Orlando Bloom Dan Selena Gomez Bercinta

Menurut laporan Dailymail, Selena dan Orlando dilihat berdua-duaan berada di bandar Los Angeles baru-baru ini.

Bagaimanapun, Orlando menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan pertemuan itu tiada yang istimewa seperti yang disangka.

"Kami hanya menghadiri sebuah majlis yang di panggil 'We Day' bersama kerana menjadi tetamu undangan pada majlis tersebut. Tidak lebih daripada itu," tegasnya.

Terdahulu, sebelum Selena kembali bersama Justin, penyanyi muda itu pernah dilihat bermesra dengan bintang filem Lord Of The Ring itu.-mStar

Siti Nurhaliza Kesal Peniaga Produk Guna Gambarnya

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menasihati penjual produk kecantikan di negara ini agar tidak menipu pelanggan dengan menggunakan gambar wajah-wajah artis untuk melarikan perniagaan mereka.

Siti Nurhaliza

Siti, 35, yang turut dieksploitasi apabila wajahnya digunakan bagi tujuan berkenaan berkata, ia adalah tidak wajar kerana langkah itu pasti akan memberi kesan langsung kepada orang ramai.

"Saya memang agak terkilan apabila ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan nama dan gambar saya untuk tujuan-tujuan tertentu dalam melariskan barangan yang dijual.

"Jika tujuan mereka menggunakan artis supaya orang percaya dengan keberkesanan produk berkenaan tetapi adalah tidak adil jika memaparkan gambar artis yang tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang mereka jual. Bila peminat atau pengguna percaya, mereka akan membelinya," kata Siti yang dihubungi pada Rabu.

Siti berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pengusaha produk kecantikan yang telah memaparkan gambar wajah beliau bagi tujuan promosi di laman sosial Facebook kononnya produk berkenaan terbukti berkesan selepas beliau menggunakannya.

Sementara itu Siti berkata, ini bukan kali pertama gambar wajahnya digunakan tanpa kebenaran, malah banyak produk lain yang turut mempromosikan barangan mereka dengan cara meletakkan beberapa tulisan berbentuk testimoni menceritakan kebaikan produk tersebut.

Keadaan itu turut merisaukan Siti kerana namanya sebagai seorang artis turut terjejas sekiranya produk itu mendatangkan risiko kepada pengguna.

"Sikap saya berdiam diri membuatkan mereka cuba untuk mengambil kesempatan. Saya harap mereka dapat memadam gambar saya yang tidak berkenaan dengan segera.

"Jika kita jujur sebagai peniaga dan barangan kita bagus, pelanggan tetap membelinya walaupun tidak melibatkan nama artis.

"Saya pun mempunyai produk iaitu SimplySiti dan tentunya saya juga menjaga kepentingan produk saya.

"Saya tidak pernah mahu menyekat orang mencari rezeki tetapi gunalah cara yang betul dan tidak menipu dengan mengiklankan artis tanpa kebenaran," ujarnya.-mStar

Bienda Selamat Lahirkan Anak Kedua

Tahniah! Kami ucapkan atas kelahiran cahaya mata kedua ini.

Bienda Lahir Anak Kedua

Penyanyi Bienda atau nama penuhnya Nor Razlinda Razli telah selamat melahirkan bayi perempuan pada khamis lalu.

Perkara ini disahkan menerusi laman sosial penyanyi cantik ini apabila Bienda sendiri memuat naik foto bayi perempuan ketika dia masih di hospital.

Bienda Lahir Anak Kedua [2]

Anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda itu melahirkan rasa kesyukuran atas kurniaan cahaya mata kedua ini dan meluahkan perasaan bahagianya.

Namun dengarnya, Bienda mengalami sedikit kesulitan dan tidak dapat bersalin secara normal gara-gara demam panas yang dialami.

Bagaimanapun, Bienda dan anak yang dikandung akhirnya selamat juga dilahirkan. Alhamdulillah...

Bienda Lahir Anak Kedua [3]

Cahaya mata pertama Bienda dan pasangannya, Kamarul Zariman Abd Rahman juga merupakan seorang perempuan yang diberi nama, Lavienda Namiraz.-Mynewshub.cc

Zul Ariffin Ditaja Kekasih?

Pelakon Zul Ariffin menyangkal dakwaan kononnya hidupnya ditaja oleh kekasihnya, penerbit Gayatri Su-Lin Pillai agar dapat menikmati kehidupan mewah termasuk memiliki kereta jenis Maserati.

Zul Ariffin

Zul, 28, bagaimanapun tidak terkilan dengan tuduhan berkenaan kerana menganggap ia perkara biasa yang terpaksa dilalui oleh anak seni sepertinya.

"Semua yang saya miliki sekarang adalah hasil titik peluh saya malah pakaian untuk penggambaran pun saya beli sendiri dan isu ditaja oleh Gayatri tidak timbul kerana saya tidak pernah mengharapkan sebarang 'tajaan' daripada sesiapa pun.

"Kereta Maserati yang didakwa dia belikan untuk saya tidak benar dan lebih baik dia beli untuk dirinya sendiri sebab dia yang minat kereta itu," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Zul tidak menafikan dia ada membeli sebuah kereta baharu jenis Audi beberapa minggu lalu dan kekeliruan timbul apabila Gayatri memuat naik gambar kereta Maserati di Instagram miliknya sehingga menyebabkan salah faham sesetengah pihak.

Gayatri
Teman wanita Zul, Gayatri.

Jelas Zul, dia terpaksa menjual motosikal berkuasa tinggi dan sebuah trak miliknya untuk membeli kereta tersebut dan bukannya atas bantuan kekasihnya itu.

"Selepas Gayatri memuat naik gambar kereta berkenaan di Instagram kakak saya memuat naik gambar kereta saya dan kekeliruan timbul sebab kereta berkenaan kelihatan sama.

"Orang mungkin tidak tahu bagaimana cara saya hendak beli kereta idaman saya itu dan terus membuat spekulasi apabila melihat gambar di Instagram," katanya.

Tambah Zul, biarpun sudah mempunyai kereta baharu namun dia tetap menggunakan kereta MyVi untuk ke lokasi penggambaran kerana ia lebih fleksible dan menjimatkan.

Dalam perkembangan lain, Zul kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri berjudul Istikarah Cinta begandingan bersama pelakon baru Faey Khusyairy.

Selain itu, Zul juga bakal bertindak sebagai pengacara bersama Anugerah Skrin 2014 yang akan diadakan pada 7 November depan.-mStar

Sharifah Sakinah Bakal Nikah 28 Mac 2015

Pelakon Sharifah Sakinah, 25, mengikat tali pertunangan dengan juruterbang Aliff Adha Jamil, 26, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman keluarganya di Taman Melawati pada malam Sabtu.

Sharifah Sakinah Bertunang

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diiringi dengan ucapan perbincangan oleh bapa Aliff yang mewakili pihak lelaki, Datuk Wira Jamil Osman.

Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sirih, sirih junjung, sepasang kain, kain telekung dan kek.

Manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada jambangan sirih junjung, cincin, sepasang kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan.

Majlis kemudiannya disusuli dengan adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Aliff, Rodzi Abdullah.

Pada majlis tersebut, Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar tampil anggun dalam persalinan pereka fesyen terkenal Cosry berserta pelamin bertemakan taman.


Sementara itu, Sakinah yang ditemui selepas majlis selesai bersyukur dan lega apabila majlis itu berjalan dengan lancar.

Biarpun membina hubungan istimewa dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Sakinah yakin lelaki tersebut adalah pilihan yang tepat buat dirinya.

Tunang Sharifah Sakinah
Sakinah bersama tunangnya, Alliff.

"Alhamdulillah, segala perjalanan majlis pertunangan ini dilalui dengan sempurna.

"Walaupun tempoh perkenalan kami hanya lapan bulan, kami sudah serasi bersama. Saya kenal dia pun ketika menjadi jurulatihnya. Tidak sangka kami akan mengakhiri perhubungan ini sebagai suami isteri tidak lama lagi," katanya kepada mStar Online, pada malam Sabtu.

Kedua-dua pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 28 Mac 2015.

Turut hadir pada majlis tersebut beberapa rakan artis seperti Marsha Milan Londoh, Michael Ang, Nad Zainal, Siti Saleha, Liyana Jasmay dan Jihan Muse.-mStar

Zul Ariffin Dedah Siapa Wanita Seksi Yang Dipeluknya

Akhirnya Zul Ariffin membuka mulut tentang isu kontroversi gambarnya yang tersebar sedang berpelukan erat bersama seorang wanita.

Zul Ariffin

Selama ini, ramai peminat sememangnya tertanya-tanya siapakah gerangan wanita seksi berbaju hitam yang dipeluk mesra oleh Zul Ariffin tersebut.

Lebih-lebih lagi, pelakon Rindu Awak 200 Peratus ini sememangnya sedang digilai ramai wanita selepas lakonannya dalam drama tersebut mendapat perhatian.

Memetik laporan mStar Online, Zul mengakui bahawa dia sememangnya ada mengambil gambar bersama wanita tersebut ketika menjalani sesi penggambaran di Langkawi, baru-baru ini.

Bagaimana pun dia menafikan mengenali wanita tersebut.

“Ketika kejadian saya sedang menonton persembahan live band di sebuah kelab dan disapa oleh wanita berkenaan untuk mengambil gambar dan saya sekadar memenuhi permintaannya.

“Selepas gambar itu tersebar saya sedar ia satu kesilapan besar kerana cara itu agak berlebihan sehingga menimbulkan salah faham di kalangan peminat,” katanya.

Zul memberitahu perkara ini menjadi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati untuk bergambar bersama peminat wanitanya selepas ini.

Bagaimana pun dia sudah terlebih dahulu menjelaskan perkara ini kepada kekasihnya, Gayatri dan ibunya.

Pada masa sama, Zul menafikan dia berada dalam keadaan mabuk ketika itu.

Baguslah Zul berani berterus terang, cuma harap-harap imej bersih terus dikekalkan.

Maklumlah, mujur saja aksinya dalam gambar itu tidak terlalu hangat dipertikaikan hingga mencemar nama yang sedang melonjak naik.

Kalau tidak, sayang sahaja populariti yang baru hendak mengangkat namanya sebagai hero idaman Malaya masa kini.-Mynewshub.cc

Elfira Roy Berpacaran Dengan Artis Seberang?

Media Indonesia melaporkan artis kita, Elfira Roy kini berpacaran dengan artis mereka, Baim Wong, memetik laporan Rotikaya.

Elfira Roy

Pasangan itu yang pernah berlakon bersama di telemovie ‘Untuk Terakhir Kali’ dikatakan memang hangat bercinta, berdasarkan pengakuan Baim sendiri.

Ketika ditemui media Indonesia, pasangan Baim Wong,33, dan Elfira Loy,20, hadir ke majlis perkahwinan pasangan Raffi Ahmad dan Nagita Slavina di The Ritz Carlton, Jakarta hujung minggu lalu namun media di sana tidak sempat merakam gambar pasangan ini bersama.

Wartawan tabloid NOVA bertemu Baim Wong di tempat letak kereta valet dan sempat bertanyakan tentang gadis yang dibawa bersama ke majlis perkahwinan itu.

“Ada (pacar), dia orang Malaysia. Sudah kenal lama kok, empat tahun yang lalu. Namanya Elfira Loy. Dia di atas, lagi makan. Aku ke bawah cuma mau ketemuan sama orang kok, untuk kasih barang,”ujar Baim Wong seperti dilaporkan media Indonesia.

Sekitar Jun 2013 yang lalu, menerusi program TV Meletop, pasangan ini tampil seakan sepasang kekasih mesra di kaca televisyen selain aksi Baim Wong sendiri yang secara spontan dan berseloroh mengatakan sedang bercinta dengan Elfira Loy.

Ketika itu Baim Wong hadir ke Malaysia untuk mempromosikan telemovie bersama Elfira Loy ‘Untuk Terakhir Kali’.

Hari ini juga, Elfira Loy mengirimkan sekeping gambar mereka yang berjalan di sekitar Jakarta sempena perlantikan Presiden Indonesia yang baru, Joko Widodo.

Dikatakan juga, Elfira Roy sudah bertemu dengan ahli keluarga Baim Wong dan disukai oleh ahli keluarganya.

Kalau dah begitu, bila lagi nak naik pelamin ini? Tak sabar nak tengok.-Mynewshub.cc

Kesetiaan Farhan Pikat Hati Suami

Suami kepada penyanyi Farhan Azizan iaitu Ahmad Rashadan Suhaimi mendedahkan kesetian isterinya itu sepanjang lapan tahun perkenalan mereka membuatkan dia yakin bahawa wanita berkenaan adalah cinta sejatinya.

Kesetiaan Farhan Pikat Hati Suami

Ahmad Rashadan, 30, berkata, sepanjang tempoh itu, hubungan mereka paling hebat diuji ketika dia melanjutkan pelajaran di United Kingdom sekitar tahun 2008 selama tiga tahun dan Farhan sentiasa setia menunggunya kembali ke tanah air.

Kesetiaannya kepada saya membuatkan saya terpaut hati dan yakin dia adalah wanita untuk menemani saya sehingga akhir hayat.

"Biarpun diduga dengan pelbagai dugaan dia tetap setia di sisi saya dan saya seorang lelaki bertuah pada hari ini," katanya.

Farhan, 30, dan Ahmad Rashadan sah bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis yang diadakan di Masjid Al Hasanah Bangi di sini kira-kira pukul 10.15 pagi, Jumaat lalu.

Ahamd Rashadan yang bertugas sebagai Pengarah Pengurusan Perniagaan di sebuah syarikat swasta turut memberikan RM300 sebagai mas kahwin selain tujuh dulang hantaran kepada pengantin perempuan.

Farhan yang tampil dengan busana rekaan Calvin Thoo pada majlis pernikahan tersebut membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Dalam pada itu, Farhan berkata, persefahaman di antara mereka juga menjadi faktor utama hubungan cinta selama lapan tahun itu bertahan sehingga ikatan perkahwinan.

Tambah Farhan, sikap suaminya yang sangat tenang dalam menangani masalah selain sikap ambil berat membuatkan dia selesa bersama lelaki itu.

"Rasanya kalau tiada persefahaman yang kuat di antara kami mungkin kami tidak berada di sini sekarang dan faktor itu penguat sepanjang lapan tahun mengharungi tempoh percintaan.

"Saya sebak selepas kami disahkan sebagai suami isteri kerana terkenangkan pelbagai perkara yang kami lalui bersama sepanjang tempoh itu dan rasa seperti tidak percaya kami kini sudah berkahwin," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Rashadan berkata, sebagai suami dia akan sentiasa menyokong kerjaya isterinya dan tidak akan menghalang Farhan untuk terus menyanyi.

Dia juga yakin Farhan tahu batasannya sebagai seorang isteri dan mampu menjaga diri dengan baik.

Ditanya soal anak, pasangan itu berharap segera dikurniakan cahaya mata agar dapat menyerikan lagi rumah tangga mereka.

"Kami pun bukannya muda lagi dan sudah tentu mahukan cahaya mata namun menyerahkan soal itu kepada rezeki," kata Farhan.

Tambah Ahmad Rashadan, mereka memilih Pulau Maldives sebagai lokasi berbulan madu namun masih belum menetapkan tarikh untuk ke sana.

Pasangan ini terdahulu mengikat tali pertunangan pada Februari 2012.-mStar

Almy Nadia Terkejut Dituduh Sombong

Pelakon Almy Nadia terkejut dituduh salah seorang pengikut Instagram kononnya dia bersikap sombong ketika berada di sebuah kedai makan baru-baru ini.

Almy Nadia

Almy atau nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, sepatutnya dia tidak dituduh sebegitu memandangkan dia tidak mengenali individu berkenaan apatah lagi dia bersama suaminya, Fizz Fairuz ketika itu sedang menikmati makan malam bersama.

"Terkejut dibuatnya apabila individu berkenaan mengambil gambar kami di kedai makan itu, kemudian memuat naik di Instagram dan menuduh kami sombong.

"Bila masa pula saya berlagak? Takkan saya sesuka hati nak menegur orang yang tidak dikenali di situ," katanya kepada mStar Online.

Sabtu lalu, Almy telah memuat naik semula foto daripada Instagram pengikut yang menuduh dia dan suaminya sombong di akaun miliknya pula dengan menjelaskan dia tiada niat mahu bersikap sombong dengan sesiapa pun dan dan menganggap tuduhan mengatakan dia dan suaminya berlagak agak keterlaluan.

Almy Nadia [2]

"Assalammualaikum .. minta maaf awal2 yer.. bukan nak burukkan sesiapa tapi dia dah burukkan nama saya dan suami..Nak tumpang tanya adik yang bernama @fatensahaja ..Bila saya berlagak? Sy dtg kedai makan untuk isi perut.

"Jadi mana salahnya? Saya tahu saya artis tapi takkan lah nak sapa semua orang kat kedai makan tu nanti orang kata gila pulak,betul?? Apa sebab awak kata saya berlagak yer??? Saya tak kenal awak langsung dan tak ingat pun kat mana awak duduk?? Motif keluar dalam Instagram kata saya berlagak? Nak glamor ker??," kata Almy di Instagram miliknya.

Sementara itu, Almy juga terkilan apabila individu berkenaan mengambil fotonya bersama Fizz tanpa meminta izin kerana ia sedikit sebanyak telah mengganggu privasi mereka.

Bagaimanapun pelakon itu enggan memanjangkan isu tersebut kerana menganggap ia hanyalah sebuah isu yang remeh.

"Biarlah dengan mereka, saya pun tak mahu komen panjang tentang perkara ini," ujarnya.-mStar

"Anak Saya Tak Pernah Ke Kelab Malam" - Rozita Che Wan

Rozita Che Wan kecewa apabila dipersalahkan dan dituduh tidak pandai menjaga anak gara-gara kenyataan suaminya Zain Saidin yang mengizinkan anak pelakon wanita itu iaitu Ammar Effendy, 18, keluar ke kelab malam di sebuah laman blog.

Rozita Che Wan

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 41, berkata, kenyataan tersebut telah dimanipulasi sehingga memperlihatkan dirinya sebagai gagal memberi didikan sempurna kepada anak-anaknya.

"Saya marah apabila orang menuduh dan salahkan saya tidak pandai jaga anak, padahal mereka tidak tahu susah senang saya sebagai ibu tunggal membesarkan anak-anak sendiri.

"Saya sudah beri didikan yang sebaik mungkin hingga dia berjaya mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan menjadi pelajar terbaik di sekolah," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Rozita berkata demikian ketika diminta mengulas luahan rasa kecewanya yang dimuat naik di laman sosial Instagram pada Ahad lalu tentang tanggapan segelintir masyarakat terhadapnya.

Dia juga kecewa apabila ada pihak membandingkan anaknya dengan seorang remaja Ahmad Ammar yang mati syahid di Turki akhir tahun lalu.

Tegas Rozita, sebagai ibu kandung sudah tentu dia lebih mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anaknya berbanding suaminya yang juga bapa tiri kepada anak lelakinya itu.

"Mereka sepatutnya tanya saya kerana saya ibu dia jadi saya lebih tahu kemana anak-anak saya pergi. Namun itu tidak bermakna dia tidak mengambil tahu dan peduli tentang mereka," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang isu membenarkan anak ke kelab malam, Rozita sekali lagi menyangkal dakwaan tersebut, malah anak sulungnya itu tidak pernah pergi ke pusat-pusat hiburan tersebut.

"Anak saya Ammar Effendy tidak pernah ke kelab malam, tentang keizinan itu memang dia sentiasa meminta izin untuk keluar termasuk pada waktu malam, itu pun kalau dia ingin lepak dan jumpa kawan-kawannya sahaja.

"Cuma selepas dia minta izin saya sudah tidak boleh pantau lagi dia pergi mana, namun saya harap kebebasan yang saya beri tidak disalahgunakan," ujarnya.

Selain Ammar Effendy, Rozita turut mempunyai seorang lagi anak lelaki hasil perkahwinannya terdahulu iaitu Aniq Ezzra, 16.-mStar

Pendapatan Adele RM400,000 Sehari

Penyanyi lagu tema filem James Bond, Skyfall, Adele kali terakhir menghasilkan album penuh ialah empat tahun yang lalu tetapi itu tidak sedikit pun menjejaskan pendapatannya kerana setiap hari dia memperolehi sekurang-kurangnya £80,000 (RM400,000).

Adele

Sejak kelahiran anaknya Angelo, dua tahun yang lalu, Adele boleh dikatakan telah mendedikasikan masa untuk membesarkan anaknya itu dengan mengurangkan aktiviti seni.

Tetapi walaupun tanpa aktiviti seni, pendapatannya tetap stabil melalui dividen yang diperolehi menerusi syarikat perniagaannya.

Akhbar Britain, The Sun, pada Ahad melaporkan dua buah syarikat milik Adele, memperolehi pendapatan sehingga £54 juta (RM270 juta) dalam tempoh 22 bulan sehingga 31 Disember 2013 manakala syarikat terbesarnya Melted Stone, memperolehi pendapatan sehingga £30.4 juta (lebih RM150 juta) dalam tempoh 14 bulan sehingga April 2013 dan kemudian tambahan £8 juta (RM40 juta) lagi sehingga ke penghujung tahun berkenaan.

Menurut akhbar itu, Adele membayar dividen untuk dirinya sebanyak £5.25 juta (RM26.25 juta) pada separuh penggal kedua kewangan yang berakhir bagi tahun 2013.

Awal minggu ini, yahoo.com melaporkan yang album 21 Adele bakal mencecah jualan 11 juta unit di Amerika Syarikat sahaja.

Berita tersebut muncul pada ketika legenda Soul, Aretha Franklin, 72, memilih lagu Adele Rolling In The Deep untuk dipersembahkan pada program bual bicara popular Amerika, The Late Show With David Letterman.-mStar

Vokal Mariah Carey Dikritik Peminat!

Peminat melahirkan rasa tidak puas hati terhadap konsert penyanyi terkenal Mariah Carey yang diadakan di Tokyo, Jepun pada 4 Oktober lalu.

Vokal Mariah Carey Dikritik Peminat!

Huffington Post melaporkan peminat diva itu mendakwa vokal Mariah, 45, berada dalam keadaan teruk dan gagal menyampaikan lagu bernada tinggi yang menjadi kebiasaan penyanyi itu.

Malah video bukti penyanyi itu bergelut ketika mengadakan persembahan di Makuhari Messe Tokyo turut menjadi viral di laman sosial dan menjadi perdebatan hebat peminatnya.

Ada mendakwa zaman kegemilangan Mariah sudah berakhir dan sebagai legenda dia sepatutnya bersara daripada memalukan diri sendiri dalam sebuah konsert berskala besar.

"Jelas Mariah tidak lagi boleh menyanyi dan konsert pertama itu adalah satu bencana," kata salah seorang peminat yang hadir ke persembahan tersebut.

Mariah sedang dalam siri konsert jelajah dunia iaitu The Elusive Chanteuse Show dan penyanyi bersuara emas itu bakal mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.

Dalam pada itu, masalah rumah tangga yang sedang dihadapi Mariah dengan suaminya, Nick Cannon turut dikatakan sebagai punca penyanyi itu gagal memberikan persembahan terbaik.

"Jelas kelihatan diwajahnya seperti ada sesuatu yang menggangunya dan mungkin ia disebabkan masalah dihadapi dengan Nick ketika ini," kata salah seorang peminat di laman sosial.

Sementara itu, disebalik kekecohan itu, ramai yang turut mempertahankan diva itu dengan memberitahu masalah dihadapi Mariah bukan sepanjang dua jam konsert berlangsung.

"Mariah telah menyanyi hampir 25 tahun dan sudah tentu pada usianya sekarang ia memberi kesan kepada vokalnya namun secara keseluruhan konsert itu berjaya dan dia masih memukau seperti dahulu.

"Ia juga bukti Mariah menyanyi secara langsung dan bukannya 'miming'," kata seorang peminat lain.

Bagaimanapun, vokal Mariah kembali memukau pada konsert kedua yang diadakan di Yokohama pada malam Isnin dan turut mendapat pujian pengkritik dan peminat.-mStar

Emma Maembong Berpurdah?

Aktres jelita Emma Maembong menafikan imej berpurdah di khalayak ramai adalah kerana mahu mengelak daripada diserbu peminat.

Emma Maembong Berpurdah

Dipetik daripada laporan mStar, Emma menjelaskan dia hanya memakai purdah pada masa tertentu sahaja mengikut keselesaannya selepas dia dikatakan kerap berpakaian seperti itu di tempat awam.

"Memang ada masanya saya berpurdah. Saja seronok nak cuba dan ia terpulang pada mood ketika itu.

"Saya tahu ada yang kata saya berpurdah kerana mahu elak daripada dikenali peminat. Taklah, mana ada. Memandangkan saya baru sahaja bertudung, jadi saya seronok mencuba pelbagai fesyen tudung untuk melihat kesesuaian," katanya.

Malah pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail ini berkata, walaupun berpurdah, masih ada peminat yang mengenalinya dan mahu bergambar bersama.

"Terkejut juga peminat datang menyapa, 'Emma Maembong kan? Nak ambil gambar boleh?'. Kata mereka, saya boleh dikenali menerusi mata sahaja walaupun berpurdah," kata aktres berusia 22 tahun ini lagi.

Dalam perkembangan lain, kekasih pelawak Zizan Razak ini memberitahu dia masih menerima tawaran lakonan seperti biasa walaupun mula bertudung sejak dua bulan lalu.

Selain daripada itu, jenama tudungnya, Hijab by Emma Maembong turut mendapat sambutan peminat dan dia turut merancang untuk memperluaskan lagi perniagaan tersebut.

[Sumber]

Bintang Realiti Big Brother Mengaku Dijangkiti HIV

Bintang realiti Big Brother Dick Donato mengaku dijangkiti virus HIV selepas tidur dengan seorang penari bogel.

Big Brother Dick Donato

Insiden tersebut berlaku di Las Vegas apabila dia melakukan hubungan seks ketika wanita tersebut berada dalam keadaan haid.

Dick disahkan menjangkiti penyakit HIV pada tahun 2011 selepas melakukan ujian darah di sebuah acara Big Brother.

Dia kemudian meninggalkan acara tersebut untuk memberitahu kepada ibunya dan bekas kekasihnya tentang perkara tersebut.

"Mereka beritahu ada yang salah tentang ujian darah tersebut, namun saya sudah menjalani dua kali ujian darah dan hasilnya sama.

"Ketika menerima berita tersebut saya rasa kaku dan pihak pengurusan terus membawa saya pulang ke rumah ibu," ujarnya seperti dipetik TMZ, Jumaat.-mStar

Justin Bieber Bermesra Dengan Wanita Lain

Baru saja menjalinkan semula hubungan cinta dengan Selena Gomez, Justin Bieber dikatakan beralih arah kepada wanita lain pula.

Justin Bieber Bermesra Dengan Wanita Lain

Menurut laporan Dailymail, Justin telah menghabiskan masa dengan seorang wanita yang tidak dikenali identitinya di sebuah kelab di Paris Khamis lalu.

Meskipun pihak media tidak sempat merakam foto mereka, Justin dilihat begitu mesra dan romantis dengan wanita tersebut.

Bagaimanapun kedua-dua mereka berjalan berasingan apabila keluar dari kelab tersebut.

Sehingga kini, tiada sebarang pengesahan mengenai identiti wanita itu serta kebenaran berkenaan dengan hubungan yang dijalinkan itu.-mStar

Julien Kang Mohon Maaf Insiden Separuh Bogel

Pelakon dan model Julien Kang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada para peminatnya selepas insiden dia ditahan pihak polis dalam keadaan mabuk dan hanya memakai pakaian dalam di Gangnam pada pertengahan bulan lalu.

Julien Kang

Portal Soompi melaporkan, Julien yang berdarah kacukan Korea dan Perancis itu berjanji tidak akan mengulangi kejadian disifatkan sebagai memalukan.

"Saya mohon maaf atas tindakan yang memalukan itu sehingga dikritik oleh banyak pihak dan saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan tidak akan melakukan kesalahan sama," katanya.

Ketika ditahan pihak berkuasa, polis turut membuat ujian air kencing terhadap Julien untuk memastikan dia bebas daripada penggunaan dadah dan mereka mengesahkan pelakon drama bersiri To The Beautiful You itu tidak mengambil sebarang benda terlarang.

Julien Kang [2]
Julien ditahan pihak berkuasa.

Julien ditemui oleh orang ramai yang melalui tempat dia dilihat terbaring dalam keadaan mabuk selain hanya memakai pakaian dalam sebelum mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, syarikat pengurusan selebriti itu enggan mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan dan menganggap ia sudah selesai.

[Sumber]

Usia Tidak Halang Cinta Sherry Dan Fattah

Pelakon Sherry Ibrahim tidak melihat jarak usia sebanyak tujuh tahun dengan teman lelakinya, aktor Abdul Fattah Amin, 24, sebagai satu halangan untuk kedua-duanya meneruskan hubungan.

Sherry  Fatah

Sherry, 31, berkata, kematangan Fattah membuatkan dia serasi dengan pemuda itu namun mengakui percintaan mereka masih di peringkat awal.

"Soal hati dan perasaan bukan boleh diukur dengan usia malah saya sendiri tidak pernah menjangkakan akan mengenali lelaki yang jauh lebih muda.

"Saya selesa berkawan dengan Fattah kerana dia seorang yang matang membuatkan hati saya terbuka untuk menerimanya," katanya kepada mStar Online.

Sherry ditemui pada majlis Kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' di Kelab DiRaja Selangor Bukit Kiara di sini pada Khamis.

Dua lagi selebriti yang turut terlibat pada kempen yang dirasmikan oleh Pengurus Besar Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan itu adalah Anzalna Nasir dan Doris Hor.

Pada majlis berkenaan seramai 1,000 peserta menyertai program itu dengan melepaskan belon ke udara tanda sokongan kempen berkenaan.

Dalam pada itu, Sherry berkata, dia mengenali Fattah sejak Jun lalu ketika bersama-sama menjayakan drama bersiri Cinta Ibadah.

Bagaimanapun kata Sherry, sepanjang berada di lokasi mereka tidak pernah bertegur sapa dan hanya mula rapat pada penghujung penggambaran.

"Ini bukan cinta lokasi kerana kami tidak pernah bertegur sapa kecuali ketika latihan dan apabila ada adegan bersama.

"Namun kami saling berkenalan ketika penggambaran hampir selesai dan ia semakin rapat sejak itu," katanya.

Tambah Sherry lagi, biarpun dia berterus terang tentang hubungan mereka namun dia enggan mengulas lanjut mengenai hubungan itu kerana ia masih baharu.

"Sekiranya ada jodoh saya terima tetapi sebagai pihak wanita saya tidak boleh bercakap lanjut mengenai perkara itu memandangkan hubungan kami juga masih baru," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sherry berkata, dia akan terus terlibat dalam beberapa siri kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' yang akan menjelajah ke beberapa buah negeri dengan pelbagai program menarik.

"Saya berbesar hati dapat menyertai kempen ini yang membawa mesej kesedaran tentang keyakinan dalam diri wanita.

"Pelbagai program telah diatur dan saya cukup teruja untuk bersama-sama menjayakan kempen ini," katanya.

Sementara itu, Sherry berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Keluarga Karaoke sebanyak 60 episod untuk siaran Astro Mustika HD.

Drama itu turut dijayakan oleh Raja Ema, Elyana, Elfaeza Ul-Haq dan Dazrin Kamarudin.

[Sumber]

Drama Lakonan Anzalna Bakal Disiarkan Luar Negara

Impian pelakon Anzalna Nasir untuk mengembangkan kerjaya seninya di peringkat antarabangsa bakal tercapai apabila drama lakonannya berjudul A Love To Remember bakal disiarkan di beberapa negara luar.

Anzalna Nasir

Anzalna, 26, berkata, lebih membanggakan drama adaptasi daripada telenovela popular Mexico itu akan disiarkan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia selain penggambaran turut diadakan di negara ini.

"Alhamdulillah salah satu cita-cita saya bakal tercapai kerana drama terbaharu saya akan disiarkan di seluruh dunia.

"Saya sangat teruja dan gementar apabila memikirkan penerimaan penonton nanti dan ini adalah satu peluang keemasan untuk saya mencipta nama di peringkat antarabangsa," katanya kepada mStar Online.

Anzalna ditemui pada majlis Kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' di Kelab DiRaja Selangor, Bukit Kiara di sini pada Khamis.

Dua lagi selebriti yang turut terlibat pada kempen yang dirasmikan oleh Pengurus Besar, Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan itu adalah Sherry Ibrahim dan Doris Hor.

Pada majlis berkenaan seramai 1,000 peserta menyertai program itu dengan melepaskan belon ke udara tanda sokongan kempen berkenaan.

Dalam pada itu, Anzalna berkata, penggambaran drama bersiri tersebut yang baharu sahaja dilakukan iaitu sejak dua minggu lalu dan dijangka akan berlanjutan selama setahun.

Jelas Anzalna, bagi memberikan komitmen penuh terhadap projek tersebut dia terpaksa menolak tawaran lain yang datang kerana jadual penggambaran yang padat.

"Secara keseluruhannya A Love To Remember mempunyai 148 episod dan demi memberikan tumpuan sepenuhnya saya menolak tawaran lain untuk jangka masa setahun.

"Bukan berlagak tetapi tidak mahu bersikap tamal yang akhirnya saya tahu akan memakan diri sendiri," ujarnya.

Tambah Anzalna drama berkenaan adalah terbitan kerjasama di antara Global Station Sdn Bhd, Astro dan TV Asteca yang berpangkalan di Mexico.

Selain Anzalna, drama itu turut diterajui oleh Hisyam Hamid, Liza Abdullah, Diana Rossa dan Afiq Muiz.

Sementara itu, Anzalna berkata, sebagai persediaan dia turut menonton drama asal bagi menjiwai wataknya sebagai Suraya.

"Ini peluang saya dan tekanan itu memang ada kerana ia bakal ditayangkan di seluruh dunia dan sebagai persediaan saya sudah menonton drama asal malah saya sudah pun masuk ke set penggambaran untuk blok pertama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anzalna berkata, penglibatannya dalam kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' akan lebih kepada memberi kesedaran tentang keyakinan dalam diri wanita menggunakan laman sosial.

Katanya, sebagai selebriti dia akan menggunakan pengaruh yang ada bagi meningkatkan keyakinan dalam diri wanita menerusi rangkaian produk Nivea.

"Ini adalah sebuah kempen yang bagus kerana ramai wanita yang tidak mempunyai keyakinan dalam diri mereka.

"Saya akan gunakan medium sosial untuk berinteraksi secara langsung selain memberikan tips untuk tampil yakin kepada mereka," ujarnya.

[Sumber]

Rihanna Bakal Muncul Dalam Filem James Bond

Perjalanan kerjaya penyanyi Rihanna di pentas perfileman Hollywood terus berkembang.

Rihanna Bakal Muncul Dalam Filem James Bond

Selepas berlakon dalam filem Battleship dan This Is The End, penyanyi lagu We Found Love itu dikhabarkan bakal muncul dalam filem bersiri popular iaitu James Bond.

Filem siri Bond 24 itu dilaporkan menampilkan Rihanna untuk memainkan salah satu watak perempuan Bond seperti dalam filem sebelum ini.

"Rihanna begitu menyukai filem-filem James Bond dan teruja apabila mendapat tawaran tersebut," ujar sumber seperti dipetik daripada Aceshowbiz, pada Khamis.

Filem tersebut dijadualkan ditayangkan pada 6 November 2015 dengan diarahkan oleh pengarah filem James Bond sebelum ini iaitu Sam Mendes.

Selain itu, pelakon asal seperti Daniel Craig, Ben Whishaw dan Ralph Fiennes masih dikekalkan menerajui filem perisik rahsia ini.

[Sumber]

Isteri Man Bai Kantoi Curang Di Facebook!

Penyanyi Man Bai atau Abdul Rahman Osman, 47, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki warga Singapura yang dipercayai mempunyai skandal dengan isterinya di laman sosial Facebook (FB) baru-baru ini.

Man Bai skandal

Man Bai berkata, dia sudah tidak boleh bertolak-ansur dengan perbuatan tidak bermoral individu berusia 44 tahun itu lagi kerana dia pernah memberikan amaran sebelum ini, namun keadaan masih tidak berubah.

Saya pernah beri amaran kepada dia sebelum ini, tapi nampaknya dia benar-benar mahu mencabar saya! Semua bukti saya sudah kumpul dan saya akan bawa ke pihak berkuasa dalam sehari dua.

Lelaki itu pernah memikat dan menjalin hubungan dengan isteri saya di FB sekitar 2008 hingga 2012. Apabila saya dapat hidu perbuatan mereka berserta bukti pada 2012, saya beri amaran kepada lelaki itu dan isteri untuk menghentikannya.

Selepas itu, keadaan 'okey' tapi pada minggu lalu saya dapat kesan lelaki yang sama muncul semula di FB dan menjalin hubungan dengan isteri saya. Cuma kali ini dia guna identiti palsu untuk mengaburi mata saya. Saya tak bodoh dan akhirnya dapat juga kesan dia lelaki yang sama.

Keadaan semakin melampau dan saya tak akan berlembut lagi kali ini. Saya sudah ada semua bukti dan akan bawa perkara ini ke tengah,” katanya ketika dihubungi.

[Sumber]

Aliff Aziz Nafi Terlibat Curi Telefon Bimbit

Penyanyi Aliff Aziz menafikan dia telah mencuri dua buah telefon bimbit namun mengakui ditahan pihak berkuasa Singapura bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Aliff Aziz Nafi Terlibat Curi Telefon Bimbit

Aliff, 22, memberitahu, ketika kejadian dia berada di tempat yang salah dan menjadi polisi biasa pihak berkuasa di Singapura untuk menahan semua suspek yang berada di lokasi serbuan bagi menjalankan siasatan.

"Saya mengaku ditahan oleh pihak berkuasa ekoran kes kecurian telefon bimbit seperti mana didakwa tetapi saya tidak melakukan kesalahan itu.

"Saya berada pada waktu dan tempat yang salah ketika kejadian itu dan saya telah memberikan kerjasama kepada polis untuk mereka menjalankan siasatan sepanjang kes itu," katanya ketika menghubungi mStar Online di sini.

Akhbar Berita Harian Singapura pada Selasa melaporkan Aliff dikenakan denda sebanyak $2,000 dolar Singapura (RM5,138) pada Jumaat lalu atas kesalahan mencuri dua buah telefon bimbit dan boleh dipenjarakan selama 20 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Menurut laporan itu lagi, Aliff melakukan kesalahan itu pada Mei lalu apabila dia dan seorang lagi rakannya dikatakan mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza.

Aliff dilaporkan telah didakwa pada 16 Ogos lalu atas kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Aliff berkata, akibat kejadian itu pasport perjalanan antarabangsanya dirampas pihak berkuasa Singapura sejak tiga bulan lalu namun ia akan dikembalikan dalam masa seminggu lagi.

"Akibat kes tersebut saya terpaksa dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan dan memberi keterangan di mahkamah namun Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

"Orang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan telah pun menerima akibatnya dan pasport saya bakal dipulangkan dalam masa seminggu lagi," katanya.

Sementara itu, Aliff berkata, kejadian itu juga adalah antara sebab dia menghilangkan diri selama beberapa bulan kerana dia tidak dibenarkan meninggalkan negaranya selagi kes berkenaan tidak selesai.

Jelas Aliff, dalam tempoh itu juga dia banyak bermuhasabah diri tentang pelbagai perkara termasuk pergaulannya dengan rakan-rakan yang memberikan impak negatif kepadanya.

"Bukan saya ingin salahkan kawan-kawan dengan apa yang terjadi tetapi sudah tiba masanya saya menjauhi mereka yang mampu memberi impak negatif kepada saya.

"Kejadian tersebut banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan," jelasnya.

Aliff menjelaskan dia bakal kembali ke Malaysia selepas sambutan Hari Raya Aidiladha untuk menyiapkan proses rakaman album terbaharunya yang kini dalam proses akhir.

"Sudah tiba masanya saya kembali fokuskan kepada kerjaya nyanyian tambahan pula album terbaharu akan keluar tidak lama lagi.

"Saya kini sudah bebas dan akan kembali ke Kuala Lumpur dalam masa dua minggu lagi," katanya.

[Sumber]

Gosip Bakal Cerai Buat Vanidah Bengang

Pelakon Vanidah Imran terkilan apabila isu rumah tangganya dengan aktor Rashidi Ishak menjadi perhatian ramai selepas terdapat laporan mengatakah mereka bakal bercerai.

Gosip Bakal Cerai Buat Vanidah Bengang

Vanidah, 41, berkata, dia dan suaminya sehingga kini masih bahagia dan mana-mana pihak tidak sepatutnya menyebarkan gosip isu yang tidak benar itu.

"Sampai sekarang saya tidak tahu daripada mana datangnya gosip itu dan ia membuatkan saya cukup bengang.

"Tambah pula terdapat laporan di media yang membuat andaian kronologi mengenai 'keretakan' rumah tangga kami, ia sangat mengarut," katanya kepada mStar Online.

Vanidah dan Rashidi sebelum ini pernah digosipkan kononnya sedang mempunyai krisis rumah tangga apabila pasangan itu dilihat hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur difahamkan bagi memfailkan cerai pada Januari 2011.

Bagaimanapun Vanidah telah menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan perkahwinan mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

Terbaharu, nama pasangan itu sekali lagi menjadi bualan apabila dikatakan sudah berpisah lebih-lebih lagi mereka tidak lagi dilihat muncul bersama dalam beberapa majlis yang membabitkan pasangan suami isteri itu.

Sementara itu Vanidah mengakui ada majlis-majlis tertentu dia dan suami tidak boleh hadir bersama kerana salah seorang daripada mereka perlu menjaga anak-anak.

"Kalau orang nampak saya seorang di mana-mana majlis, ertinya, suami jaga anak di rumah, dan begitu juga jika ada yang melihat suami tidak berteman di majlis, bermakna saya pula menjaga anak-anak.

"Rasanya perkara seperti ini tidak perlu dibuat penjelasan kerana mana-mana ibu-bapa yang tidak mempunyai pembantu rumah akan melakukan perkara sama seperti kami.

"Takkanlah, setiap malam saya perlu memuat naik foto kami di Instagram untuk membuktikan kami masih sebumbung?," soalnya.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Mikail Aimran dan Mariyam Rashika yang masing-masing berusia 11 dan 10 tahun.

[Sumber]