PENCERAMAH bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih popular dengan panggilan Ustaz Kazim hanya berlapang dada dengan segala tohmahan terhadap dirinya yang tular di media sosial susulan tindakannya ingin menjual Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya.
Terbaharu terdapat individu yang mendakwa tindakan penceramah itu hanya ingin meminta simpati untuk mendapatkan kewangan dan mengetahui status sebenar akaun simpanan peribadi Ustaz Kazim.
Individu berkenaan mendakwa mengetahui status kewangan milik Ustaz Kazim yang diperiksa melalui peguamnya dan akan mengambil tindakan saman bagi menuntut ganti rugi membabitkan anaknya yang didakwa mengalami trauma akibat dicabul ketika belajar di pusat berkenaan.
Ustaz Kazim berkata, beliau percaya perkara itu ada kaitan dengan kes pencabulan yang dihadapi pusat tahfiznya kira-kira dua tahun lalu dan menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada polis.
"Dalam keadaan ini (tohmahan) saya boleh membuat laporan polis dan jika ingin saman pun boleh kerana individu itu mengeluarkan kenyataan sudah menceroboh akaun bank peribadi saya.
“Kes ini (cabul) dah serah kepada polis sama ada kes itu berlaku atau tidak kita serahkan kepada polis dan saya juga masih menunggu laporan penuh berhubung kes berkenaan.
"Biar polis yang keluarkan kenyataan sama ada pencabulan itu berlaku atau sebaliknya dan kita janganlah keluarkan sebarang kenyataan," katanya ditemui media selepas menyampaikan ceramah perdana sempena Karnival Keusahawanan di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau (SKKK) di Parit Buntar, malam tadi.
Katanya, dakwaan cabul itu sudah dua tahun berlaku dan jika ada kes berlaku sudah pasti dia akan didakwa.
"Saya serahkan kepada polis sepenuhnya dan tidak perlulah kita buat cerita yang bukan-bukan, jadi saya sentiasa berlapang dada dan sedia memaafkan individu yang membuat tohmahan berkenaan.
"Di Malaysia kita ada undang-undang, jika dia rasa ada hak untuk saman, samanlah dan saya sentiasa ada di sekolah dan mudah dihubungi pada bila-bila masa atau berjumpa saya secara berhadapan.
"Berhati-hatilah dalam percakapan, kita ada akhirat dan disana nanti kita akan disoal,” katanya.
Pada Ogos 2016, Ustaz Kazim membuat laporan polis berhubung penularan dakwaan kes pencabulan seksual dan seks luar tabii di pusat tahfiz miliknya yang dibuat oleh ibu kepada seorang pelajar pusat tahfiz berkenaan.
Sementara itu, mengenai perkembangan lanjut isu masalah kewangan dihadapi Pusat Pendidikan Al Barakah, Ustaz Kazim memaklumkan sudah berhubung dengan pihak Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan dijangka akan membuat pertemuan serta perbincangan selewat-lewatnya minggu hadapan. -hmetro
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon