50,000 Wanita Rohingya Mangsa Rogol Tentera Tatmadaw Bakal Bersalin

Lebih 50,000 gadis dan wanita masyarakat Rohingya yang hamil selepas menjadi mangsa rogol tentera Tatmadaw pada kemuncak keganasan terhadap etnik itu, Oktober tahun lalu, dijangka melahirkan bayi masing-masing pada bulan ini serta Ogos depan.

Anggaran itu dikeluarkan oleh pemerhati antarabangsa selepas mangsa siri operasi tentera di Maungdaw, Myanmar itu sarat mengandung dan sebahagiannya akan melahirkan bayi mereka pada bila-bila masa.

Duta Majlis Rohingya Eropah (ERC) Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi berkata, wanita berkenaan kini berlindung di beberapa kem sekitar sempadan Bangladesh-Myanmar di Teknaf, Bangladesh.

Menurutnya, perkara itu menjadi perbincangan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada etnik berkenaan sejak beberapa tahun lalu, namun sehingga kini mereka gagal mencapai sebarang jalan penyelesaian.

“Sekarang adalah waktu yang sangat kritikal di Bangladesh, ramai dalam kalangan mangsa perkosaan yang hamil akan melahirkan bayi mereka pada bila-bila masa saja.

“Mereka adalah mangsa perbuatan tidak berperikemanusiaan tentera Tatmadaw yang memuaskan nafsu ketika menjalankan operasi besar-besaran tahun lalu.

“Ramai yang terkorban akibat diseksa, tetapi ada juga yang berjaya melarikan diri dengan menyeberang ke sempadan untuk masuk ke Bangladesh.

"Mereka menjaga kandungan di sini dan sekarang sudah sampai masa untuk melahirkan kandungan,” katanya.

Beliau turut menceritakan mengenai pengalaman dikongsi seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dikenali sebagai Sharifa yang hamil selepas diperkosa lebih 20 tentera di Maungdaw tahun lalu.

Menurutnya, remaja itu kini trauma akibat diperkosa dan lebih menyedihkan ibu bapanya turut maut akibat diseksa oleh tentera.

“Sharifa juga buntu memikirkan bagaimana dia akan membesarkan bayinya nanti dalam usia yang begitu muda, malah dia kini bergelut untuk meneruskan kehidupan di kem ini.

“Apa yang menimpa Sharifa hanyalah satu contoh kerana di kem di sempadan Bangladesh ini ada puluhan ribu lagi kes sama,” katanya. -hmetro

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon