Showing posts with label Tular. Show all posts
Showing posts with label Tular. Show all posts

Bangunan Ada Lambang Salib Besar Di Pulau Pinang, Mufti Gesa Ubah Kedudukan Lampu

Keresahan umat Islam terutama warganet ekoran kewujudan sebuah bangunan kediaman di Jelutong di sini yang memparkan lambang salib mendapat perhatian daripada Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Wan Salim secara berhemah meminta pihak berkuasa negeri ini agar segera mengarahkan pihak pemaju projek berkenaan untuk mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan itu supaya tidak kelihatan seperti lambang salib.

Selain itu, Wan Salim juga mahu pihak berkuasa menyelidik terlebih dahulu adakah kejadian itu sengaja dilakukan atau hanya secara kebetulan sahaja.

"Saya dengan penuh harapan meminta kerajaan negeri menerusi Pejabat Timbalan Ketua Menteri Satu dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan seberapa segera perlu mengarahkan pihak pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan tersebut supaya tidak kelihatan seperti lambang salib yang tidak disenangi pihak tertentu.

"Perlembagaan Persekutuan juga melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain dalam kalangan masyarakat yang beragama Islam," katanya menerusi akaun Facebook Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Sebelum ini gambar bangunan tersebut yang memaparkan lambang salib pada waktu malam tular di laman sosial sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Menurut laman web pemaju berkenaan, bangunan setinggi 44 tingkat itu mengandungi kira-kira 378 unit rumah kediaman seluas lebih 1,000 kaki persegi siap dibina pada 2016 dan telah dibuka untuk jualan. -utusan

Harga Menu KFC Naik Ekoran Kos Pengeluaran

Peningkatan harga jualan bagi set menu tertentu di rangkaian restoran makanan segera KFC berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dalam perniagaan francais popular itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjelasan mengenai perkara itu diberikan oleh syarikat operator rangkaian makanan segera, QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Jelasnya, QSR merupakan pemegang francais jenama antarabangsa dan mereka terikat dengan syarat yang dimeterai.

“Sebagai contoh, bahan-bahan yang digunakan juga tertakluk kepada perjanjian francais dan mereka disyaratkan untuk membeli daripada pembekal yang telah ditetapkan.

“Perjanjian francais itu kononnya untuk menjaga keseragaman rasa dengan penggunaan rempah ratus yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 KPDNHEP di Perbadanan Putrajaya.

Dalam majlis itu, seramai 306 pegawai KPDNHEP terpilih untuk menerima penghargaan atas perkhidmatan cemerlang mereka.

Peningkatan itu berlaku ekoran pelarasan margin ke atas harga produk ditawarkan, sekali gus membolehkan mereka terus menawarkan kualiti terbaik kepada pengguna.

Mengulas lanjut, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan dan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan terhadap QSR.

Ujarnya, tindakan itu dijalankan selepas masyarakat mengeluh di media sosial dan akhbar apabila berlaku peningkatan harga makanan tersebut.

“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan McDonald’s petang ini untuk membincangkan mengenai perkara sama,” katanya. -kosmo

Kadir Jasin Tegur Waytha Moorthy Dan Dr Maszlee Demi Perpaduan Kaum Di Malaysia

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin menasihatkan P. Waytha Moorthy dan Dr Maszlee Malik agar mendengar nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Wartawan veteran itu mendakwa tindak-tanduk Waytha Moorthy dalam peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya beberapa hari lalu tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

"Perdana Menteri sudah menasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar.

"Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah “gung-ho” dan selesa sangat dengan kedudukan beliau," katanya merujuk peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights di Subang Jaya yang tercetus awal pagi Isnin.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu itu juga menasihatkan Waytha Moorthy agar tidak memalukan Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri.

"Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.

"Tolonglah jangan malukan Raja kita dan Perdana Menteri kita," katanya lagi.

Selain Waytha Moorthy, Kadir turut menasihatkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar mengembalikan sekolah kebangsaan kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

Menurut Kadir, menteri pendidikan itu baru saja 'dikuliahkan' oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya setujulah dengan Perdana Menteri bahawa kita sudah ada banyak sekolah agama – sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz – jadi tak perlulah nak “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan," tegur Kadir.

Beliau juga mengingatkan Maszlee bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Di pihak lain pula makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya," ujarnya.

Di akhir tulisannya, Kadir turut mengingatkan menteri-menteri lain agar tidak menganggap mereka sudah berjaya hanya kerana beliau menegur dua menteri sahaja.

"Saya sebut dua nama saja. Ini tidak bermakna menteri-menteri lain sudah berjaya. Cuma kali ini bukan giliran anda.

"Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka," tulis beliau. -astroawani

'Terima Kasih Malaysia' - Ucap mangsa kemalangan mesin pengisar sampah di Korea Selatan

"Assalamualaikum semua. InsyaAllah, saya akan balik Malaysia secepat mungkin.”

Begitu kata Daniel Arif Ahmad Fuad, 21, kepada rakyat Malaysia melalui satu rakaman video selepas mengetahui tragedi yang menimpanya mendapat perhatian meluas.

Rakaman itu dibuat oleh bapanya, Ahmad Fuad Yun, 52, ketika tiba di hospital Hospital Suwon Ajudae pada Jumaat.

Daniel Arif yang mesra disapa Danny itu kini sudah sedar selepas dua hari dalam keadaan koma akibat kemalangan di tempat kerja.

Rakan baiknya yang hanya ingin dikenali sebagai Shahir, 28, berkata, Daniel Arif kini berada di wad trauma dan pelawat dibenarkan menemani mangsa pada waktu lawatan sahaja.

Kata Shahir, jelas terpancar kegembiraan di wajah Daniel Arif selepas melihat kehadiran kedua ibu bapanya di hospital tersebut.

“Dia sangat teruja dan bertanya, "macam mana ayah datang sini, tidur dekat mana?" seolah-olah dia sakit biasa-biasa sahaja.

“Kemudian, ayahnya yang terlalu gembira dapat melihat Danny terus merakam video itu semalam (Jumaat),” kata Shahir pada Sabtu.

Sebelum ini, pada Khamis akhbar melaporkan tentang seorang rakyat Malaysia nyaris maut selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang kitar semula di Korea Selatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin itu, Daniel Arif kehilangan hampir separuh anggota tubuhnya selepas 'ditelan' sebuah mesin pengisar sampah di kilang yang terletak di Samseong, Seoul.

Menurut bapa mangsa, anak sulungnya yang baru dua bulan bekerja di negara tersebut berada dalam keadaan tidak stabil dan terpaksa diberikan ubat tidur oleh pihak hospital yang merawat anaknya.

Selepas sedar daripada koma, Daniel Arif meluahkan hajat kepada ibu angkatnya yang merupakan warga Korea untuk menikmati makanan kegemarannya, iaitu piza.

“Ibu angkat Danny yang dipanggil ‘Omma’ merupakan orang pertama yang dia jumpa selepas sedar.

“Omma memberitahu saya yang Danny bertanya di mana semua orang dan meyakinkan wanita itu bahawa dia seorang yang kuat.

“Omma meminta Danny agar banyak bersabar dan berjanji akan membawa makanan kegemarannya apabila dia sudah sembuh nanti,” ujar Shahir.

Menurut bekas rakan sekerja Daniel Arif itu, pemuda yang sudah dianggap seperti adik lelakinya itu bukan sahaja terpaksa menjalani pembedahan buat kali kedua, malahan pembedahan ketiga mungkin terpaksa dilakukan pada minggu depan sekiranya jangkitan kuman masih merebak. -mstar

China Jatuhkan Hukuman Mati Kerana Tunai Haji

XINJIANG - CHINA. Pihak berkuasa rejim komunis China di barat laut Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan yang juga dermawan etnik minoriti Uyghur terkenal, Abdughapar Abdurusul, kerana mengerjakan haji di Arab Saudi.

Menurut abang mangsa, Abdusattar Abdurusul, Abdughapar yang berasal dari daerah Bakyol di Ili Kazakh ditangkap pada Julai atau Ogos lalu.

“Yang terbaru saya dengar, adik saya dijatuhi hukuman mati dan dia kini sedang menunggu pelaksanaannya.

Alasannya ialah dia pergi ke Arab Saudi untuk melaksanakan haji secara persendirian, tanpa menggunakan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Katanya, Abdughapar tidak dibenar melantik peguam ketika perbicaraan, sekali gus menunjukkan bahawa dia telah dihukum secara haram.

Walaupun semua hukuman mati perlu dikaji semula oleh Mahkamah Agung China di Beijing, tetapi dalam kes Abdughapar, tidak dapat dipastikan sama ada kes itu telah disiasat dengan adil.

Beliau berkata, Abdughapar bapa kepada empat anak memiliki beberapa rangkaian kedai dan perniagaan, dan telah menggunakan wang sendiri untuk membina sebuah masjid.

Selain itu, katanya, Abdughapar juga telah menjual sebuah rumah lama milik keluarga sekitar 1 juta yuan (AS$144,000) pada April atau Mei, sebelum ditangkap, sementara semua aset keluarganya berjumlah kira-kira 100 juta yuan (US$14.4 juta) dirampas.

“Abdughapar seorang dermawan yang suka membantu masyarakat (tetapi) sekarang kerajaan telah mengambil segala-galanya dan memusnahkan sepenuhnya kehidupan keluarga itu,” kata Abdusattar.

Sebelum ini, anak lelaki sulung Abdughapar, Awzer, ditahan pada 2017 selepas pulang dari belajar di Turki, dan isterinya, Merhaba Hajim ditahan pada April tahun ini, katanya.

Abdusattar berkata, kakaknya Sayipjamal juga sudah hilang untuk tempoh masa yang lama dan dianggap telah ditahan, sementara beberapa kawannya dijatuhi hukuman penjara lebih daripada 18 tahun.

Kakitangan Biro Keselamatan Awam Wilayah Ili Kazakh di bandar Ghulja, enggan menjawab pertanyaan serta menutup telefon apabila dihubungi Radio Free Asia (RFA), mengenai kes Abdughapar.

Menurut agensi itu, seorang rakan lama yang enggan mendedahkan identiti memberitahu dia juga pernah mendengar desas-desus hukuman mati ke atas rakannya itu.

“Seorang kawan saya memanggil saya, mengatakan bahawa Abdughapar telah dijatuhi hukuman mati. Saya juga mendengar bahawa isterinya telah meninggal dalam penjara,” katanya. - Ismaweb

Watson Nyambek kata 'Jangan percaya!' Selepas Dikatakan Jutawan Bitcoin

Bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek menafikan laporan yang dikatakan berita dan dikongsi menerusi laman sosial mendakwa beliau jutawan siling digital, Bitcoin.

Bekas pemegang rekod 100 meter kebangsaan itu berkata laporan tersebut adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat untuk menipu mereka yang mudah percaya dengan skim cepat kaya.

"Ya, saya tahu tentang laporan berita yang tular menerusi Facebook dan itu adalah satu penipuan, jangan percaya," katanya kepada Bernama.

Watson, 42, turut menafikan pernah ditemu bual dalam rancangan bual bicara yang dihoskan oleh pelawak terkenal Harith Iskandar bagi membincangkan tentang pelaburan bitcoin seperti yang didakwa dalam laporan itu.

Katanya beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis dan juga kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung berita palsu tersebut memandangkan ia melibatkan reputasinya.

"Buat masa ini saya belum putuskan bila akan buat laporan itu kerana saya faham bukan mudah untuk kesan dalang di sebalik penipuan ini," katanya.

Berita palsu berbahasa Inggeris yang disiarkan menerusi https://localdaily-cc.com/effective-ways-for-avoiding-bankruptcy/ mendakwa Watson bebas daripada muflis dan menjadi jutawan segera selepas terlibat dalam perdagangan bitcoin automatik menerusi platform yang dikenali sebagai 'Bitcoin Revolution'.

Laporan itu mendakwa Watson turut membuat demonstrasi pelaburan bitcoin menerusi rancangan bual bicara Harith dengan mendepositkan wang Harith sebanyak RM1,050 melalui platform tersebut dan dalam tempoh tiga minit pelawak berkenaan menerima keuntungan berjumlah RM2,012.

Berita palsu itu yang turut memaparkan foto Watson selain gambar Harith ketika mengacarakan program tersebut, mendakwa pelawak berkenaan membuat keuntungan tambahan sebanyak RM1,659.06 dalam tempoh lapan minit.

AUKU Akan Dimansuh Menjelang Tahun 2020 - Dr Maszlee

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengulangi komitmen kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, di mana ia akan menjadi kenyataan dalam tahun 2020.

Kata Maszlee, sebagaimana telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, AUKU tetap dimansuhkan, malah ia merupakan agenda utama beliau di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Perkara ini telah banyak kali saya tekankan dan jelaskan sebelum ini," kata beliau hari ini.

Maszlee berkata langkah ke arah memansuhkan AUKU sedang diambil dan akan dilaksanakan secara berperingkat, termasuklah membatalkan Seksyen 15 AUKU terlebih dahulu.

Beliau menarik perhatian mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 November lalu juga telah memberi kelulusan bagi membolehkan pembatalan Seksyen 15 ke atas AUKU dilakukan sebelum ia dimansuhkan.

"Saya ingin menjelaskan bahawa aspek yang rumit adalah isu berkaitan dengan urus tadbir baik dan autonomi kewangan universiti-universiti awam.

"Pasukan undang-undang KPM sedang meneliti perkara ini dalam pelbagai sudut. Saya yakin proses memansuhkan AUKU akan selesai pada tahun 2020," kata beliau.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, pembentangan pembatalan Seksyen 15 ke atas AUKU, dijadual awal bulan depan, merupakan langkah pertama dalam mentransformasi pendidikan tinggi agar seiring dengan kemajuan teknologi dan informasi, selain hasrat KPM yang menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020.

Katanya, pemansuhan AUKU turut akan melibatkan pembatalan Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang terpakai kepada semua Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Institut Perguruan.

Jelas beliau, pembatalan beberapa seksyen dalam akta berkaitan ini sebenarnya selari dengan transformasi politik yang dibawa oleh kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi, terutamanya dalam memberi lebih ruang kepada penuntut universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik di kampus selain menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa.

"Sebagaimana telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, AUKU tetap dimansuhkan," kata beliau.

"Ingin saya menegaskan di sini, semangat untuk membawa pembaharuan dalam sektor pendidikan di Malaysia masih kental dalam jiwa saya, dan usaha ke arah itu sedang dilakukan," kata beliau. -astroawani

Doktor Gatal Ditamatkan Perkhidmatan!

Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Sungai Buloh yang sebelum ini digantung tugas berhubung salah laku seksual, ditamatkan perkhidmatannya, Rabu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata surat penamatan perkhidmatan itu telah disampaikan kepada ketua jabatan berkenaan semalam.

"Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk menamatkan perkhidmatan ketua jabatan berkenaan berkuat kuasa pada 14 November 2018," katanya.

Menurutnya, keputusan itu dicapai hasil perbincangan di antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Peguam Negara, diangkat untuk mendapat perkenan Agong setelah mendapat nasihat daripada pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly mendedahkan sekurang-kurangnya 38 individu yang bekerja di hospital itu menjadi mangsa gangguan seksual.

Doktor yang berkhidmat di hospital berkenaan sejak 2009, digantung tugas selama dua bulan bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadapnya. -mstar

Guru 'Lelong' Enam Anak Kecewa Gagal Pertukaran!

Pastinya berita gembira buat para guru yang berjauhan dari keluarga setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (PM) meluluskan sebanyak 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019.

Bagaimanapun, perkhabaran gembira yang dimaklumkan oleh kementerian tidak sedikit pun memberi kecerian buat guru kepada enam cahaya mata ini.

Memetik Facebook Cikgu Izzat, dia terpaksa memuatnaik status seorang guru wanita yang kecewa keputusan permohonan pertukaran sekolah tidak diluluskan.

Lebih memilukan, guru berkenaan terpaksa menjaga enam orang anaknya sendirian hingga memaksa dirinya menyerahkan kesemua anaknya kepada sesiapa sahaja.

Kenyataan kecewa itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan kerana boleh mengundang kepada penyakit kemurungan.

"Kalau sudah sampai nak serah anak-anak kepada sesiapapun dan sampai kemurungan, apa yang KPM boleh buat?
"Menteri? Menteri mana ada amik kisah langsung hal pertukaran guru," katanya.

Beliau juga mempersoalkan pihak berkaitan tidak peka kepada masalah para guru sehinggakan pada satu tahap telah membuat permohonan selama 13 tahun tetapi permohonan ditolak.

Sedangkan graduan baharu ditempatkan di kampung halaman namun perkara itu tidak berlaku kepada guru yang berkhidmat lebih 10 tahun.

"Wahai YAB Dr Wan Azizah Wan Ismail , tolonglah cikgu ini. Beliau dah kecewa sampai nak serah sahaja anak-anak seramai enam orang kepada sesiapa.

"Mahukah lihat anak-anak dipisahkan? Cukuplah cikgu ini terpaksa hidup bersendirian, sekarang masih lagi nak dibiarkan berpisah dengan anak-anak?," katanya.

Katanya turut memetik nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membantu guru berkenaan dan mengutamakan kebajikan para guru.

Menerusi perkongsian di Facebook, status luahan guru wanita berkenaan mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dalam permohonan pertukaran guru pada 2019.

Katanya, dia telah berada selama 13 tahun di Johor ditemani enam orang anaknya kerana telah bercerai.

Kini, rumahnya telah dijual dan perlu mencari rumah sewa malah menyindir pegawai KPM agar menjaga anak-anaknya, sementara proses permohonan pertukaran guru diluluskan.

Guru berkenaan juga mengakui mengalami kemurungan dan menyatakan anak-anaknya berusia dua, tiga, tujuh, lapan, sembilan dan 14 tahun.

Sekiranya ada berminat kepada anak-anaknya boleh mesejnya di Facebook.

Status itu juga tular dan mendapat lebih 2,000 perkongsian dari netizen. -sinar online

Kejutan Kek Hari Jadi Musnah, Kisah Benar Pemuda Menangis Dicurangi Kekasih

Hari ulang tahun kekasih tersayang pastinya menjadi saat yang dinanti-nantikan untuk si dia diraikan dengan penuh kejutan.

Begitu juga dengan seorang pemuda yang begitu teruja untuk menyambut hari jadi kekasihnya, namun hasratnya itu tidak kesampaian selepas mendapati teman wanitanya curang bersama lelaki lain.

“Rakan semangat beli kek mahal-mahal nak buat kejutan hari ulang tahun kekasih dia.

“Bergegas habis peperiksaan, terus ke bandar dengan aku naik motor petang tadi. Dalam perjalanan balik, dia ternampak makwe (kekasih) dia gelak sakan dengan lelaki lain dalam kereta kat (persimpangan) lampu isyarat,” tulis seorang pemuda menerusi laman sosial Twitter @ismihaqeem pada Sabtu malam.

Posting itu tular dan setakat ini diulang kicau hampir 30,000 kali.

Luqman Hakkim Abd Razak, 23, yang menulis mengenai insiden tersebut di Twitter memberitahu, 'adegan' itu berlaku kepada teman rapat juga rakan sekolejnya yang hanya mahu dikenali sebagai Pesa.

Namun pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKMSAS) di Tanjung Rambutan, Perak ini menjelaskan bahawa insiden rakannya yang berusia 22 tahun dicurangi kekasihnya itu berlaku sekitar awal tahun ini.

“Memang saya temankan dia beli kek hari jadi pada Sabtu, tapi kek dalam gambar tu untuk sambut birthday rakan sebilik Pesa, semalam (Ahad).

“Pesa pun teringatlah insiden nak bagi kek surpise buat kekasih dia, yang kemudian 'kantoi' bermesra dengan lelaki lain.

"Sebenarnya, tempat ‘kantoi’ tu kat persimpangan lampu isyarat yang sama dan dia pun masa tu naik motor juga.

"Sebab tu dia teringat dan sedih,” katanya.

Luqman Hakkim yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan paramedik ini berkata, duit untuk membeli kek buat rakan sebilik Pesa adalah hasil perkongsian teman-teman kolej.

Secara kebetulan, kek yang dibeli mereka pada Sabtu itu daripada jenama yang sama, berharga lebih RM100, sama seperti yang sepatutnya diberikan kepada kekasih Pesa ketika itu.

“Banyak kebetulan yang sama, memanglah teringat. Jadi, saya tak sampai hati bila tengok dia sedih dan ambil keputusan untuk singgah di sebuah gerai dalam perjalanan pulang ke kolej, untuk tenangkan dia.

“Ikutkan Pesa ni seorang yang ceria dan ‘happy go lucky’ tapi dia ni suka sangat pendam perasaan. Bila dah tak tahan, tu yang menangis betul, terlalu emosi,” katanya sambil menambah bahawa rakannya itu pernah berkongsi kisahnya yang putus cinta kerana dicurangi kekasih sebelum ini.

Luqman Hakkim yang juga seorang jurugambar sambilan memberitahu, dia cuba untuk menenangkan rakannya itu kerana tidak mahu menjejaskan semangatnya yang sedang menduduki peperiksaan ketika ini.

“Kami menduduki peperiksaan pada minggu lepas dan minggu ini. Jadi, saya tak mahu dia terganggu hanya kerana teringatkan bekas kekasih. Ada lagi beberapa ‘paper’ (kertas peperiksaan) lagi.

“Saya beritahu dia yang benda (putus cinta) dah lepas, jadi buka buku baharu. Benda tu sekadar ujian untuk kita. Setiap orang ada lain-lain ujian.

"Jadi, kena bersabar hadapi ujian itu,” katanya mengenai Pesa yang merupakan anak bongsu.

Tambah Luqman Hakkim, dia berharap teman rapatnya itu menjadikan kisah putus cintanya sebagai pengajaran untuk melangkah ke hadapan dan berfikiran positif.

“Kami ni masih lagi belajar, jadikan pendidikan sebagai komitmen dan tanggungjawab dalam hidup. Buatkan ibu bapa gembira dengan kejayaan kita.

“Saya pun pernah bercinta dan gagal dalam perhubungan. Semua tak boleh lari (daripada bercinta) cuma biarlah berpada-pada supaya tak terlalu kecewa di kemudian hari.

"Kalau putus cinta, insyaAllah ada peluang untuk bercinta lagi dan jumpa pasangan yang lebih sesuai. Yang penting kita ‘move on’ (bangkit) dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya. -mstar