Pelakon jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta tidak terasa hati dengan pelakon Sharifah Sakinah yang menyindir segelintir selebriti yang menjual produk kecantikan dengan cara memperdaya pelanggan.
Malah, pelakon yang mempunyai beberapa rangkaian produk termasuk produk pelangsingan bernama Qurus Che Ta itu menyokong kenyataan yang diluahkan Sakinah.
“Saya ada tengok video yang dikongsikan Sakinah itu dan sokong apa yang dikatakannya. Saya tahu dia tujukan sindiran tersebut kepada golongan artis yang jual produk kurus sedangkan diri itu memang kurus, masih belum berkahwin dan tidak mempunyai anak.
“Saya sendiri tidak pernah menipu pelanggan, malah mencuba produk keluaran saya dan ia memang berkesan.
"Bukan apa, selepas melahirkan anak ketiga, Aaisyah Dhia Rana, berat saya naik mendadak. Berat saya pernah mencecah 85 kilogram. Maka, dengan produk saya itu berat badan kembali menurun,” ujar pelakon berusia 45 tahun itu kepada Sensasi Bintang.
Sakinah sebelum itu menerusi beberapa video yang dimuat naik di Insta Stories miliknya menyindir segelintir artis yang memperdaya pelanggan atau peminat dengan menjual produk tanpa mengetahui keberkesanannya.
Lebih menyedihkan, apabila selebriti itu sendiri masih menggunakan produk jenama antarabangsa.
“Korang sudah putih buat produk pemutih kulit, lepas itu cakap korang putih sebab produk itu, ha tepuk!
“Tak diet, tak exercise, tapi kata kurus sebab ambil produk tersebut, ha tepuk!” perli Sakinah menerusi video terbabit.
Mengulas lanjut, kata Che Ta, sejujurnya dia mengakui tidak menggunakan produk antarabangsa dan baginya lebih afdal sekiranya dia menggunakan duitnya untuk membeli beg tangan.
“Saya memang tidak pakai produk kecantikan luar negara. Lebih baik duit yang ada digunakan untuk pergi bercuti ke luar negara atau membeli beg tangan,” ujarnya sambil ketawa manja.
Pada masa sama, Che Ta mengakui dia bukan seorang yang suka bersenam dan tidak mengamalkan pengambilan air putih.
“Kalau nak tahu, saya bukannya jenis pergi ke gimnasium atau mengamalkan sebarang diet. Saya tetap makan nasi dua kali sehari, bahkan suka minum air sirap dan Nescafe. Cuma, saya tidak makan makanan segera,” kongsinya yang hanya mengamalkan jus Qurus Che Ta.
Disoal tentang segelintir artis yang menipu tatkala menjual produk, ini jawapan pelakon drama Kak Marr itu.
“Berapa lama produk mereka boleh bertahan dengan menipu?” katanya.
Dalam perkembangan lain, walaupun menjalankan perniagaannya, Che Ta mengakui masih minat berlakon. Cuma, dia berharap memperoleh karakter yang dekat dengan dirinya seperti dalam drama Kak Marr dan Kiah Pekasam.
“Saya tidak kisah dilabelkan sebagai stereotaip. Sebabnya, lakonan bukan keutamaan dan minat. Ia sekadar untuk sumber pendapatan sahaja,” katanya. -kosmo
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon