“Dah Tabur Duit Pun Tak Bahagia” - Datuk Seri Vida

Setelah tiga kali melalui keruntuhan rumahtangga, Datuk Seri Vida (DSV) yang terkanal sebagai seorang yang gemar berbelanja mewah, merumuskan bahawa kebahagiaan tidak mempunyai tanda harga.

Datuk Seri Vida

Dalam satu temubual dengan sebuah akhbar tempatan, DSV memberikan pandangannya terhadap kemampuan wang dalam membeli kasih sayang.

“Pada saya boleh juga hendak beli. Tetapi bahagia yang subjektif. Bahagia rumah tangga, ada orang boleh beli, tabur duit jadi bahagia.

“Tetapi sekarang ni, kita tabur pun tak bahagia juga, macam mana tu?

“Cuma ia mengajar saya, lain kali carilah pasangan yang sekufu dengan kita, itu pengajaran buat saya,” katanya kepada akhbar tersebut.

Bagaimanapun, reality check ini tidak memutuskan semangat DSV untuk berikhtiar mencari jodoh yang baru.

Sementara itu, bagi mengubat rasa hati yang sedang bersedih ketika ini, DSV pastinya mahu melupakan seketika episod duka dalam hidupnya ini dengan terapi beli-belah, sudah pasti!

“Oho, sudah tentulah dengan membeli-belah. Lagi banyak beli, lagi sejuk hati tu. Tetapi yang lebih penting lagi, malam-malam saya akan bermunajat. Saya jenis tidur lewat. Tidur sekejap, bangun balik untuk bermunajat kepada Allah.

“Saya adu segala-galanya kepada Dia, kemudian saya akan tidur semula selepas subuh. Sehari saya cuma tidur lima jam sahaja.

"Tetapi peliknya, kalau orang lain tak tidur kurus, tetapi saya tetap macam ni….Hahaha!,” kongsinya lagi kepada akhbar tersebut. -M

Mel B Mengaku Sering Dibelasah Suami

Bekas anggota kumpulan Spice Girls iaitu Mel B memfailkan injuksi sementara bagi menghalang suaminya, Stephen Belafonte daripada mendekatinya.

Mel B

TMZ melaporkan dalam dokumen itu Mel B mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga selain dipukul dan diugut sepanjang 10 tahun berkahwin.

Juri program America's Got Talent dan X Factor itu berjaya dalam tuntutan itu dan Stephen, 41, diarahkan untuk meninggalkan rumah mereka di Los Angeles dan menjauhinya selain tiga anak mereka, Phoenix, 18, Angel, 10 dan Madison, 5 tahun.

Dalam pada itu, dalam dokumen kepada mahkamah, Mel B mendedahkan dia dicekik sebelum dihumban ke lantai oleh suaminya sebelum dia muncul pada peringat akhir program Dancing With the Stars pada 2007.

Pada Julai 2012 pula, Stephen menuduhnya bermain cinta dengan penyanyi Usher ketika dia merakamkan segmen untuk progam X-Factor.

Akibatnya, dia ditumbuk sehingga menyebabkan bibirnya mengalami luka dan lebam.

Keadaan Mel B ketika muncul pada program X-Factor ketika itu pernah menjadi bahan bualan namun dia menyangkal dipukul suaminya.

Sementara itu, Mel B mendakwa pada Ogos 2012, dia sekali lagi menjadi mangsa panas baran suaminya selepas dia bersama anggota Spice Girls selesai mengadakan persembahan pada majlis penutup Sukan Olimpik London.

Mel B memberitahu Stephen memaksanya untuk memuat naik status di Twitter dengan memberitahu kecederaan dialaminya kerana terjatuh akibat memakai kasut tumit tinggi jenama Christian Louboutin.

"Apabila sesuatu yang baik berlaku dalam hidup saya, dia akan menggunakan kekerasan bagi menunjukkan siapa yang berkuasa," tulisnya dalam dokumen itu.

Lebih mengejutkan Mel B mendedahkan mereka sering mengajak orang lain melakukan hubungan seks dan lelaki itu mengugut untuk menyebarkan rakaman aksi mereka bagi memusnahkan kariernya.

Stephen juga pernah menghamilkan pembantu rumah mereka dan mahu wanita itu melahirkan anak tersebut sebelum memaksanya mengugurkan kandungan menggunakan wangnya.

Pendedahan berlaku sejurus selepas seminggu Mel B memfailkan cerai terhadap Stephen selain memohon hak penjagaan sama rata terhadap anak mereka, Madison. -mstar

Kirsten Dunst Buka Mulut Isu Adegan Seks 'The Beguiled'

Jika menonton treler filem arahan Sofia Coppola iaitu The Beguiled, anda pasti menyedari mengenai adegan berahi antara Colin Farrell dan Kirsten Dunst.

The Beguiled

Bagi kedua-dua pelakon itu, mereka mempunyai pandangan peribadi mengenainya.

"Saya berada di atas lantai dan pakaian saya direntap," terang Dunst mengenai babak berkenaan.

Tegas aktres itu lagi dia sememangnya tidak selesa namun tetap profesional.

"Saya tidak suka... saya tidak suka.

"Secara jujur, saya seperti mahu habiskan babak tersebut secepat mungkin," katanya seperti yang dilaporkan E! News.

Tambah Dunst dia bertuah kerana pengarah filem itu memahami akan isu berkenaan.

"Menerusi filem-filem yang pernah saya lakukan sebelum ini, pengarah lelaki mahu merakamkan dari pelbagai sudut.

"Sekurang-kurangnya Sofia juga bersetuju supaya menyelesaikan adegan itu dengan segera," katanya.

Menerusi filem itu Farrell melakonkan watak seorang askar yang cedera dalam Perang Saudara dan kemudian dia dibawa sekolah berasrama perempuan di Virginia.

Pelajar perempuan di sekolah itu mula menyukai watak yang dilakonkan Farrell.

Pelakon lain yang terlibat ialah Elle Fanning dan Nicole Kidman.

Sementara itu bagi Farrell, dia bertindak profesional semasa melakonkan adegan seks.

"Sebenarnya ia lebih sukar bagi wanita. Dan sejak dahulu lagi wanita lebih dieksploitasi secara seksual.

"Oleh itu saya merasakan wanita perlu diberi keutamaan dan kebebasan untuk melakukannya dengan cara yang mereka selesa," katanya. -mstar

Penggambaran Sekuel Kabali Bakal Dibuat Di Malaysia

Demam filem ‘Kabali’ lakonan lagenda filem Tamil, Rajinikanth, melanda negara ini pada Julai tahun lalu selepas kejayaan pembikinan filem itu di beberapa lokasi di Malaysia.

Sekuel Kabali

Kabali, filem mob gengster arahan P. Ranjith itu, yang turut dibintangi oleh aktor popular Taiwan, Winston Chao, ditayangkan di pawangan seluruh dunia dengan mencatatkan kutipan lebih RM388 juta.

Filem Kabali menggamit perhatian rakyat Malaysia apabila ia juga menampilkan pelakon tempatan terkenal seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan Tony Kassim.

Selepas fenomena itu, kini ada ura-ura bahawa sekuel filem Kabali akan kembali semula di layar perak tidak lama lagi.

Penerbit bersama filem itu, Datuk Abdul Malik Dashtigeer memberitahu Bernama bahawa beliau bersedia bekerjasama untuk menjadikan realiti penggambaran sekuel filem Kabali itu dibuat di Malaysia seperti yang diidamkan ramai peminat Rajinikanth di sini.

Beliau berkata skrip sekuel filem itu kini dalam perbincangan dan berkemungkinan pengambaran filem itu akan dimulakan tahun ini.

“Kita sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pengarah Ranjith, termasuk menyediakan semua kemudahan untuk penggambaran sekuel filem Kabali,” katanya baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan rasmi ke India baru-baru ini telah bertemu Rajnikanth di Chennai pada 31 Mac lepas dan telah mempelawa bintang filem Tamil itu untuk membuat penggambaran sekuel filem Kabali di Malaysia.

Kabali, yang merupakan filem berbahasa Tamil, memaparkan kisah kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di Malaysia dan versi bahasa Malaysia filem itu turut ditayangkan di Malaysia pada tahun lepas.

Filem ke-159 lakonan ‘Superstar’ itu menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Carey, Banting serta Bangkok, Thailand dan Hong Kong, China.

Mengulas langkah kerajaan membuka pintu kepada industri perfileman India menjadikan Malaysia antara lokasi pembikinan filem dan siri drama televisyen, Abdul Malik berkata ia akan menggalakkan banyak penerbit dari negara itu untuk membuat penggambaran di negara ini.

India, yang menerima jolokan ‘Bollywood Kollywood’, merupakan pengeluar filem terbesar dunia de­ngan lebih 1,000 judul filem dihasilkan setiap tahun.

Selain itu, katanya, tawaran Malaysia itu akan menggalakan pelancong India serta negara lain untuk datang ke Malaysia, hasil pengaruh penggambaran filem Tamil di sini yang bukan sahaja ditayangkan di India tapi juga di seluruh dunia.

Najib semasa melawat Chennai, bandar raya di selatan India, turut mengumumkan Malaysia bersedia menawarkan insentif kepada penggiat industri hiburan India.

Abdul Malik, yang juga merupakan penerbit dan pengeluar beberapa filem Tamil, berkata setakat ini terdapat empat filem Tamil dari India akan menjalani sesi penggambaran di Malaysia pada tahun ini. -sh

Adi Putra Tak Hadir Sebutan Kes Cerai Di Mahkamah

Pelakon Adi Putra tidak hadir buat kali kedua semasa sebutan kes perceraiannya dengan isteri pertama, Zuhaidah Yusof di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat (7/4/2017).

Adi Putra

Zuhaidah atau lebih mesra disapa Aida pula hadir dan berada di dalam mahkamah seorang diri pada sekitar pukul 8.30 pagi sebelum meninggalkan kompleks itu pada pukul 9.15 pagi.

Menurut beberapa laporan, apabila ditanya tentang keberadaan Adi, Aida hanya menjawab ringkas bahawa pelakon itu tidak hadir.

Aida kemudiannya meminta diri dengan alasan perlu ke kaunter mahkamah untuk membuat pembayaran namun tidak menjelaskan apakah bayaran yang hendak dilakukan itu.

Bagaimanapun wanita berusia 42 tahun itu enggan menjawab pertanyaan lain dan memberitahu dia perlu ke kaunter mahkamah untuk membuat bayaran.

Namun, Aida sebenarnya turut meninggalkan mahkamah.

Sekadar mengimbas kembali, pada 31 Mac lalu di mahkamah yang sama, kes berkenaan sepatutnya didengar di hadapan Hakim Syarie, Izzat Syazli Mushid namun Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 36, turut tidak muncul.

Adi yang berasal dari Singapura berkahwin dengan Aida pada 14 April 2006 dan tidak dikurniakan cahaya mata sebaliknya mempunyai seorang anak angkat Zara Adelia yang kini berusia lima tahun.

Adi kemudiannya berpoligami selepas menikahi Norshahida Dzolkifly, 33, pada 20 Jun 2016. Aida pula sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Zul Handy Black. -m

Vanidah Imran Gagal Selesai Kes Saman

Kes saman pelakon Vanidah Imran terhadap syarikat pengeluar kosmetik Ronasutra atas dakwaan melanggar kontrak dan menggunakan imej pelakon itu secara salah, gagal diselesaikan secara mediasi.

Vanidah Imran

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli mewakili Vanidah kepada pemberita selepas mediasi kes saman di hadapan Pengarah Pusat Mediasi, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim di Pusat Mediasi.

Mohamad Saiful berkata kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat untuk penyelesaian kes dan ia akan diteruskan dengan perbicaraan selama tiga hari bermula 11 April.

Peguam itu berkata Vanidah selaku plaintif akan memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Roszianayati Ahmad.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Rina Chew mewakili Miliyasutra Industries Sdn. Bhd. selaku defendan. Bagaimanapun, Vanidah dan wakil daripada syarikat itu tidak hadir.

Vanidah yang turut dikenali sebagai Vee memfailkan saman pada 28 Oktober 2016 antara lainnya menuntut ganti rugi sebanyak RM765,000 atas dakwaan syarikat itu telah melanggar kontrak dan menggunakan imejnya secara salah.

Menurut pernyataan tuntutan, Vanidah mendakwa beliau telah menandatangani kontrak bernilai RM490,000 dengan Miliyasutra sekitar September 2012 bagi tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, pelakon utama filem ‘The Red Kebaya’ itu telah melunaskan tanggungjawabnya tanpa sebarang aduan daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, Vanidah mendakwa sehingga kontrak tersebut tamat pada September 2014, baki bayaran kontrak sebanyak RM265,000 masih belum diterima dan pada 6 April 2015, defendan mencadangkan bayaran sebanyak RM60,500 kepada pelakon itu sebagai penyelesaian penuh.

Pelakon itu mendakwa sekitar Julai 2016, beliau mendapati imejnya telah disalah guna oleh defendan dalam penjualan beberapa barang kosmetik jenama Ronasutra sedangkan pada ketika itu, kontraknya telah luput dan penggunaan gambarnya masih berlanjutan sehingga sekarang.

Oleh itu, Vanidah menuntut baki kontrak sebanyak RM265,000 dan RM500,000 sebagai ganti rugi bagi penggunaan imejnya tanpa kebenaran selain ganti rugi am, teladan dan teruk serta lain-lain kos dan relif yang sesuai. -bh

Risau Ibu Sedih, Aizat Tulis Lagu ‘Jangan Menangis’

Penyanyi Aizat Amdan dan Faizal Tahir telah berganding untuk mengeluarkan single berjudul Jangan Menangis, yang diilhamkan daripada pengalaman peribadi mereka berdua.

Aizat

Menerusi lagu tersebut, Aizat dan Faizal mahu menzahirkan pengalaman mereka menyertai ekspedisi 1Moment4them pada tahun 2013 lalu, dimana mereka telah melakukan kerja amal bagi mengumpulkan dana untuk pelarian Syria di Jordan.

Bagaimanapun, Aizat juga memberitahu bahawa ada ‘cerita lain’ mengapa dia menulis senikata lagu tersebut.

Menurut penyanyi lagu Sungai Lui itu, lagu itu juga hadir daripada keberatan hatinya untuk pindah keluar daripada rumah keluarga.

“Sebahagian daripada penceritaan lagu ini datang daripada perasaan saya semasa menyertai kerja amal tersebut di Jordan.

"Dan pada masa yang sama, semasa saya sedang menulis lagu ini, saya sedang dalam proses untuk meninggalkan rumah keluarga,” jelas Aizat.

Sebagai anak kelima daripada enam beradik, Aizat mendedahkan bahawa ibunya bersikap amat protective terhadap anak terunanya itu dan dia berasa amat sukar untuk memberitahu ibunya tentang perkara tersebut.

Oleh itu, Faizal menggalakkan Aizat untuk menulis lagu Jangan Menangis itu sebagai cara alternatif untuk menyampaikan ‘hint’ kepada ibunya.

Sejak berpindah keluar daripada rumah keluarganya di Ampang Ogos lalu, Aizat mengatakan bahawa perkara paling susah untuk dihadapinya sekarang adalah menggosok baju sendiri!

Mungkin selepas mempunyai rumah sendiri ini Aizat boleh lebih fokus terhadap perkembangan karier dan syarikat produksinya sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment.

Apatah lagi, Aizat kini mempunyai protege sendiri iaitu Fattah Amin selain sedang menyiapkan album terbarunya. -m

Datuk Vida Sah Bergelar Janda Buat Kali Ketiga

Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida hari ini sah bercerai talak satu dengan suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin.

Datuk Vida

Lafaz cerai tersebut dibuat oleh Fairuz sendiri di Mahkamah Syariah Ipoh, Perak, kira-kira jam 10 pagi Jumaat.

Diminta mengulas penceraiannya, pengasas produk Qu Puteh ini menyatakan sudah tiada kesepakatan antara mereka untuk bersama semula.

“Saya yakin ini adalah jalan yang terbaik bagi kami. Saya juga percaya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

“Perasaan saya bercampur baur dan sukar untuk saya gambarkan, tetapi saya bersyukur semua sudah berakhir,” katanya kepada BH Online.

Vida hadir ke mahkamah berpakaian serba hitam ditemani teman rapat dan pegawai peribadinya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Januari 2014 dan hasil perkahwinan itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Ini merupakan perkahwinan ketiga buat Vida. -m

Zahirah Macwilson Nafi Putus Dengan Zul Ariffin

Ini bukanlah pertama kali hubungan cinta aktor Zul Ariffin dan aktres Zahirah Macwilson diduga dengan khabar angin perpisahan.

Zahirah Macwilson

Mungkin jarang memuat naik gambar bersama membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai status terkini hubungan Zahirah dan Zul.

Berdasarkan pemerhatian mata kasar pun, sudah lama benar pasangan ini tidak kelihatan bersama di mana-mana majlis hiburan yang dibuat.

“Hubungan kami masih baik, cuma kami tidak mahu bercerita tentang perkara ini kepada umum. Cukuplah antara kami berdua sahaja yang tahu,” kata Zahirah kepada sebuah akhbar tempatan.

“Lagipun saya lebih selesa hubungan ini tidak diperkatakan umum. Saya tidak kisah apa andaian orang. Saya bahagia bersamanya meskipun jarang muncul bersama di mana-mana.”

Oleh kerana sudah lali dengan pertanyaan tentang percintaan mereka, Zahirah tidak lagi ambil tahu dengan gosip-gosip yang disebarkan orang ramai yang seakan-akan mahu melihat hubungannya dengan Zul kecundang di tengah jalan.

Bukan tiada lagi cinta, tetapi mereka berdua telah bersetuju dan lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka bercerita dan menjaja kisah cinta mereka kepada umum.

Zahirah dan Zul mahukan privasi untuk melindungi hubungan mereka, dan mengakui mereka masih bahagia bersama meskipun sering difitnah perkara yang tidak benar. -m

Pak Nil Ganti Najip Ali Selaku Juri Tetap MLM 2017

Persoalan siapakah yang bakal menggantikan kerusi kosong ditinggalkan oleh Najip Ali selaku juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) akhirnya terjawab.

Pak Nil Ganti Najip Ali

Pengacara No.1 negara, Datuk Aznil Nawawi disahkan telah pun dipilih secara rasmi bagi menggalas tugas berat tersebut mulai Jumaat ini.

Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Astro, Aznil atau lebih popular dikenali sebagai Pak Nil akan memulakan tugasnya bermula malam ini.

“Demi menghormati semua pihak dan terus memeriahkan Maharaja Lawak Mega untuk peminat, tenaga produksi telah mengambil keputusan untuk menggantikan Najip Ali dengan Datuk Aznil Nawawi sebagai juri tetap di dalam program ini,” menurut satu kenyataan.

Namun, wakil Astro tidak memberikan komen lanjut mengenai pemilihan tersebut, sebaliknya pihak syarikat penyiaran itu dijangka mengadakan satu sidang media pada malam ini.

Tempat Najip, 50, digantikan serta-merta ekoran keceluparannya mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sebuah rancangan hiburan terbitan stesen televisyen Singapura berjudul Ok Chope! pada 29 Mac lalu.

Dalam rancangan disiarkan di Channel 5 terbitan Mediacorp Singapura itu, peserta telah diarahkan untuk melengkapkan tajuk berita berkaitan Najib yang dikurangkan satu perkataan iaitu “Najib slams__________for threatening Malaysia’s progress.”

Perkataan asal yang tertinggal pada berita itu ialah ‘fake news’.

Bekas pengacara Asia Bagus itu kemudian menyambung ayat itu dengan kata-kata yang menghina dan merendah-rendahkan pemimpin negara. -m

Yana Samsudin Enggan Anak ‘Berlakon’ Pada Usia Muda

Pelakon Yana Samsudin memberitahu menerima banyak tawaran untuk anak lelakinya, Aisy Mateen walaupun dia baharu sahaja berusia lapan bulan.

Yana Samsudin

Bagaimanapun kata Yana buat masa ini dia menolak tawaran itu kerana tidak mahu Aisy bekerja memandangkan usianya masih kecil selain bimbang ia akan memberi kesan kepada tumbesarannya.

"Ada tawaran untuk anak saya tetapi kalau memerlukan dia berada dihadapan kamera rasanya mungkin tidak.

"Pada usianya sekarang apa yang dia tengok akan kekal dan saya tidak mahu ia memberi kesan kepada tumbesarannya," katanya kepada mStar Online.

Tambah Yana atau Norliana Samsudin, 33, dia mahu Aisy membesar seperti mana kanak-kanak lain dan menjalani kehidupan normal.

"Apa yang ditawarkan kepadanya memang rezeki dia tetapi biarlah dia membesar seperti kanak-kanak lain dan biar saya dan suami sahaja yang bekerja.

"Tetapi jika ada tawaran itu langsung tidak membebankan mungkin boleh dipertimbangkan tetapi itu pun suami yang akan buat keputusan," jelasnya.

Bercakap mengenai perkembangan karier seninya, Yana berkata, dia sudah kembali berlakon namun lebih banyak menerima watak pembantu berbanding utama.

Ini kerana kata Yana, dia tidak mahu berada di set penggambaran terlalu lama memandangkan Aisy adalah keutamaannya masa ini.

"Banyak tawaran berlakon tetapi saya selektif dan lebih tumpu kepada watak pembantu.

"Kalau ambil watak utama nanti masa di lokasi akan jadi panjang dan masa bersama anak akan jadi berkurangan tetapi Alhamdulillah rezeki berlakon itu masih ada," ujarnya. -mstar

Dazrin Kamarudin Nikah Ketua Pramugari 6 Mei 2017

Pelakon Dazrin Kamarudin bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya iaitu Nur Fazulin Razali pada 6 Mei depan.

Dazrin Kamarudin

Dazrin ketika dihubungi mStar Online berkata, pernikahannya akan berlangsung di Hotel Avillion Legacy Melaka manakala majlis persandingan dijangka diadakan pada Julai.

“Alhamdulillah jodoh saya sudah sampai dan Insya-Allah saya dan bakal isteri akan melangsungkan pernikahan pada 6 Mei.

“Kami akan bernikah terlebih dahulu sebelum mengadakan majlis persandingan pada Julai depan di Melaka juga,” katanya.
Bercakap mengenai Nur Fazulin atau Zulin, Dazrin berkata, dia berkenalan dengan bakal isterinya yang juga seorang Keua Pramugari sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi itu hampir dua tahun lalu.

Katanya, mereka mula berhubungan menerusi aplikasi Smule kerana masing-masing minat menyanyi sebelum hubungan itu bertambah akrab.

“Sebenarnya aplikasi Smule yang telah mempertemukan kami kerana minat kami terhadap nyanyian.

“Sejak itu hubungan bertambah akrab walaupun dia jarang berada di Kuala Lumpur kerana bekerja sebagai pramugari berpangkalan di Jeddah untuk menguruskan jemaah Haji dan Umrah,” jelasnya.

Kata Dazrin lagi, dia selesa dengan Zulin kerana wanita itu seorang yang sederhana dan mempunyai ciri-ciri idamannya.

“Zulin juga sangat bijak dalam mengatur jadual memandangkan kami masing-masing sibuk dengan tugas seharian.

“Pengalamannya sebagai pramugari membuatkan dia teliti berhubung jadual selain sikapnya yang sederhana menambat hati saya,” jelasnya.

Sementara itu, Dazrin berkata, dia tidak berniat untuk menyorokkan tentang kisah peribadinya sebaliknya enggan menghebohkan perkara yang belum pasti kepada umum.

“Saya bukan cuba merahsiakan mengenai hubungan dengannya tetapi rasanya tidak ada apa yang perlu digembar-gemburkan memandangkan masih belum ada ikatan sah dengannya.

“Sekarang sudah ada perancangan dan tarikh nikah bolehlah saya bercakap mengenainya secara terbuka,” ujarnya.

Tempoh sebulan sebelum bergelar suami, Dazrin memberitahu dia dan Zulin sedang giat membuat persiapan dan seperti pasangan lain, dia juga sudah mula merasai debaran sebelum disatukan sebagai suami-isteri.

“Alhamdulillah persiapan sedang dijalankan malah Zulin juga sudah mula bercuti untuk majlis kami itu nanti.

“Sudah tentu saya rasa berdebar dan semoga peminat mendoakan kebahagian buat kami berdua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dazrin berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Jangan Ikut Aku untuk siaran TV3. -mstar

Wow! Sharnaaz Bak ‘Prince Charming’ Di Singgahsana!

Majlis persandingan Sharnaaz Ahmad dan isteri, Noor Nabila Mohd Noor sudah selamat dilangsungkan di Hotel Royale Chulan, Damansara.

Sharnaaz

Dalam majlis bertemakan Inggeris itu, Sharnaaz kelihatan sangat segak dan bergaya persis prince charming dalam filem fantasi Disney.

Sut yang digayakan Sharnaaz merupakan hasil kerja tangan label popular, Cosry.

Nabila pula kelihatan sangat menawan dengan gaun putih rekaan pereka terkenal Radzuan Radziwill.

Pasangan secocok ini terlebih dahulu telah diijabkabulkan pada Jumaat (31 Mac) di lokasi yang sama.

Dengan sekali lafaz, Nabila yang merupakan kakak kepada pelakon dan hos popular, Neelofa selamat bergelar isteri kepada aktor kelahiran Pulau Pinang itu.

Di sini kami kongsikan kemeriahkan majlis persandingan ‘Putera’ Sharnaaz dan ‘Puteri’ Nabila di majlis raja sehari mereka. Enjoy! -M

Datuk Seri Vida Sahkan Sudah Bercerai

Pengasas produk kesihatan dan kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida akhirnya membuat pengakuan bahawa beliau sudah bercerai dengan suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin.

Datuk Seri Vida

Merasa terkesan dengan penceraian itu, Vida bagaimanapun mengunci mulut mengenai punca perpisahan mereka.

Memetik mStar, Vida berkata, “Ya. Hubungan kami ibarat sudah dihujung tanduk, terlalu rapuh.”

“Setakat ini, saya tak nak komen lebih-lebih nanti takut tersalah komen pula.

“”Sudah tentu terkesan juga. Kalau boleh kita nak hubungan itu kekal abadi, tapi kita hanya merancang, Allah adalah sebaik-baik perancang-Nya,” katanya.

Susulan itu, Vida kini dilaporkan sedang melakukan proses penceraian secara rasmi.

Vida berkahwin buat kali ketiga dengan Fairuz pada Januari 2014. -M

Datuk Seri Vida Bercerai Dengan Suami Ketiga?

Benarkah terdapat desas-desus mendakwa perkahwinan usahawan terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida dengan suami ketiganya, Fairuz Ahmad Zainuddin sudah pun runtuh baru-baru ini?

Datuk Seri Vida

Memetik laporan BH Online, Vida mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut mengenai kisah terbaharu yang mengaitkan dirinya itu.

Difahamkan Vida mengambil langkah sedemikian disebabkan atas beberapa alasan peribadi.

“Saya belum mahu membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu. Sampai masa nanti, saya akan maklumkan kepada semua.

“Syukur kerana saya bahagia bersama anak-anak dan sayang-sayang (peminat) saya yang sentiasa berada di sisi,” katanya.

Khabar mengenai keruntuhan rumah tangga pengasas produk Qu Puteh itu mula bertiup kencang sejak dua minggu lalu.

Menurut usahawan berusia 46 tahun itu, beliau enggan terlalu memikirkan tentang perkara itu (perpisahan) sebaliknya mahu terus memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan, termasuk perancangannya untuk memiliki saluran televisyen sendiri tidak lama lagi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, Vida turut meluahkan hasratnya untuk menghasilkan sebuah lagu nyanyiannya sendiri khas untuk peminat yang sentiasa menyokongnya.

Untuk rekod, Vida bernikah dengan Fairuz pada Januari 2014. -M