Penggambaran Sekuel Kabali Bakal Dibuat Di Malaysia

Demam filem ‘Kabali’ lakonan lagenda filem Tamil, Rajinikanth, melanda negara ini pada Julai tahun lalu selepas kejayaan pembikinan filem itu di beberapa lokasi di Malaysia.

Sekuel Kabali

Kabali, filem mob gengster arahan P. Ranjith itu, yang turut dibintangi oleh aktor popular Taiwan, Winston Chao, ditayangkan di pawangan seluruh dunia dengan mencatatkan kutipan lebih RM388 juta.

Filem Kabali menggamit perhatian rakyat Malaysia apabila ia juga menampilkan pelakon tempatan terkenal seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan Tony Kassim.

Selepas fenomena itu, kini ada ura-ura bahawa sekuel filem Kabali akan kembali semula di layar perak tidak lama lagi.

Penerbit bersama filem itu, Datuk Abdul Malik Dashtigeer memberitahu Bernama bahawa beliau bersedia bekerjasama untuk menjadikan realiti penggambaran sekuel filem Kabali itu dibuat di Malaysia seperti yang diidamkan ramai peminat Rajinikanth di sini.

Beliau berkata skrip sekuel filem itu kini dalam perbincangan dan berkemungkinan pengambaran filem itu akan dimulakan tahun ini.

“Kita sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pengarah Ranjith, termasuk menyediakan semua kemudahan untuk penggambaran sekuel filem Kabali,” katanya baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan rasmi ke India baru-baru ini telah bertemu Rajnikanth di Chennai pada 31 Mac lepas dan telah mempelawa bintang filem Tamil itu untuk membuat penggambaran sekuel filem Kabali di Malaysia.

Kabali, yang merupakan filem berbahasa Tamil, memaparkan kisah kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di Malaysia dan versi bahasa Malaysia filem itu turut ditayangkan di Malaysia pada tahun lepas.

Filem ke-159 lakonan ‘Superstar’ itu menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Carey, Banting serta Bangkok, Thailand dan Hong Kong, China.

Mengulas langkah kerajaan membuka pintu kepada industri perfileman India menjadikan Malaysia antara lokasi pembikinan filem dan siri drama televisyen, Abdul Malik berkata ia akan menggalakkan banyak penerbit dari negara itu untuk membuat penggambaran di negara ini.

India, yang menerima jolokan ‘Bollywood Kollywood’, merupakan pengeluar filem terbesar dunia de­ngan lebih 1,000 judul filem dihasilkan setiap tahun.

Selain itu, katanya, tawaran Malaysia itu akan menggalakan pelancong India serta negara lain untuk datang ke Malaysia, hasil pengaruh penggambaran filem Tamil di sini yang bukan sahaja ditayangkan di India tapi juga di seluruh dunia.

Najib semasa melawat Chennai, bandar raya di selatan India, turut mengumumkan Malaysia bersedia menawarkan insentif kepada penggiat industri hiburan India.

Abdul Malik, yang juga merupakan penerbit dan pengeluar beberapa filem Tamil, berkata setakat ini terdapat empat filem Tamil dari India akan menjalani sesi penggambaran di Malaysia pada tahun ini. -sh

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon