'Skrip Drama Macam Sampah' - Aiman Hakim

TEMPOH selama enam tahun menjadi anak seni disifatkan pelakon Girlfriend Dari Neraka, Aiman Hakim Ridza, 29, sebagai sudah cukup untuk membuka matanya tentang tahap tinggi rendah dunia hiburan tanah air.

Berdasarkan pemerhatiannya, banyak skrip drama ketika ini disifatkan teruk selain dilihat tidak memberi inspirasi kepada penonton.

Sejujurnya, kata pelakon drama Isteri Separuh Masa itu, dia pernah menyuarakan perkara berkenaan, namun tidak boleh mengubah apa-apa.

“Saya sudah berada dalam industri sejak enam tahun lalu dan menerusi pemerhatian saya, banyak skrip drama yang dihasilkan masa kini boleh dikategorikan sebagai teruk, sambil lewa dan disifatkan seperti membunuh industri seni, malah masih berada pada takuk lama.

“Tidak cukup dengan itu, penulis skrip juga sepatutnya berusaha mengubah keadaan itu kerana sudah sampai masanya industri ini berubah,” jelasnya baru-baru ini.

Aiman juga mengakui tidak takut sekiranya disenarai hitam oleh mana-mana pihak berikutan kelantangannya yang mendakwa banyak skrip drama tidak berkualiti.

Kongsinya, jika perlu dia sendiri sedia untuk bersemuka dengan penulis skrip untuk berbincang berhubung isu tersebut.

“Jika dilihat skrip yang dihasilkan pada masa kini boleh dikatakan kesemuanya lebih kurang sama sahaja.

"Apabila khalayak melabelkan seseorang pelakon itu kayu, sepatutnya penulis skrip dan pengarah yang perlu dilabel begitu kerana mereka pembikin cerita tersebut.

“Atas sebab itu juga, saya jarang muncul di kaca televisyen ketika ini. Saya bosan untuk ke lokasi penggambaran sekiranya memperoleh skrip sampah dan membunuh jiwa,” ujarnya.

Jaga kualiti

Kata Aiman, penulis perlu bercerita menerusi skrip dan bukan hanya menulis apa yang dimahukan.

Hal ini kerana, skrip yang dihasilkan ketika ini hanya meninggalkan perkataan untuk dilontarkan di hadapan kamera tanpa memberi impak kepada penonton.

“Sepatutnya kita perlu mengkaji dari segi semula jadi. Jika seseorang pelakon itu tidak diberi peluang untuk berfikir bagi menterjemahkan apa yang ada dalam skrip, ia akan membunuh idea kritis mereka.

“Malah, watak sampingan pun tidak dikembangkan dengan baik dalam skrip yang dihasilkan.

"Semuanya bertumpu kepada hero dan heroin sahaja,” jelasnya sambil memberitahu, banyak perubahan telah dilakukan bagi setiap drama lakonannya.

Selain itu, Aiman juga memilih untuk menolak banyak tawaran lakonan yang datang kepadanya kerana merasakan skrip yang dihasilkan tiada kelainan.

Pelakon drama Diandra itu akan meneliti sesebuah skrip dan tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju menerima skrip yang ditawarkan.

“Kebiasaannya, saya akan berbincang dengan penulis skrip apabila menerima tawaran lakonan dan meminta mereka mengubah skrip tersebut demi menjaga kualiti drama yang dihasilkan.

“Saya percaya isu ini bukan dialami oleh saya sahaja kerana rata-rata pelakon lain pasti berdepan isu sama.

"Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan kerana lakonan merupakan punca rezeki,” kongsinya lagi.

Akuinya, isu sebegitu juga yang membuatkan dirinya sering berasa serba salah setiap kali menerima bayaran kerana tidak puas dalam lakonan.

Baginya, setiap penggambaran yang melibatkan seseorang pelakon menjadi ruang kepada mereka untuk mempelajari perkara baharu.

Dia turut berpendapat, produk di kaca televisyen juga perlu bersaing menerusi platform digital.

“Tidak boleh bersaing dengan sesama stesen televisyen sahaja. Sekarang zaman internet, jadi setiap produk seni perlu bersaing menerusi platform digital.

“Sayang sekiranya penat lelah kami sebagai pelakon disia-siakan begitu sahaja,” katanya.

Jodoh

Bercerita tentang perkembangan seninya, Aiman baru tampil bergandingan bersama Hannah Delisha memegang peranan sebagai pasangan kekasih menerusi drama berjudul Cruise Cinta Lebaran yang bersiaran pada Aidilfitri lalu.

Mereka juga akan bergandingan sekali lagi menerusi drama adaptasi dari Korea Selatan, Full House yang akan ditayangkan pada September depan.

“Saya juga bakal berlakon dalam sebuah telefilem aksi thriller bersama anak kepada aktor, Wan Hanafi Su iaitu Budi Citawan.

“Sejujurnya saya teruja untuk berlakon dalam telefilem tersebut kerana mempunyai pengarah dan produksi yang bagus,” katanya yang turut terlibat dalam sebuah drama berjudul Pelangi Cinta.

Berkongsi perihal jodoh, Aiman mengakui masih belum bertemu pengganti selepas ikatan cintanya bersama pelakon jelita, Nur Fathia Latiff terlerai sekitar tiga tahun lalu.

Baginya, saat ini bukan masa yang terbaik buatnya bagi mencari pengganti selain belum terfikir untuk kembali bercinta.

“Kehidupan saya berjalan seperti biasa dan saya tidak kecewa dengan apa yang berlaku.

"Buat masa ini, saya malas memikirkan soal cinta kerana menumpukan perhatian terhadap karier.

“Saya akui kami masih berkawan dan saling berhubung tetapi hubungan kami tidak lebih daripada teman biasa,” tutupnya.

Pelakon Aiman Hakim Ridza kini cukup sedar tentang apa yang dikehendaki daripada industri seni.

Dia mengakui kecewa dengan penghasilan dan penulisan skrip drama pada masa kini dan mahu perubahan dilakukan agar industri seni tidak terbunuh. -kosmo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon