Kongsi Maskara Undang Jangkitan Kuman

SEBAHAGIAN besar wanita sangat mementingkan kejelitaan wajah terutamanya ketika berada di luar rumah.

Salah satu usaha yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kecantikan wajah adalah dengan menggunakan produk kosmetik.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya ada wanita yang sanggup menghabiskan masa selama berjam-jam di depan cermin untuk bersolek.

Salah satu bahagian penting pada wajah adalah di sekitar kelopak mata. Bagi menambah serinya, kaum hawa menggunakan riasan seperti maskara, pelentik bulu mata dan pewarna kelopak mata.

Bagaimanapun, ramai tidak sedar produk-produk berkenaan boleh menjadi penyebab kerengsaan akibat jangkitan kuman pada kelopak mata.

Hakikatnya, produk riasan di sekitar mata dalam pasaran adalah selamat, namun cara penggunaan yang salah menjadi punca kepada jangkitan kuman.

Kajian Akademi Oftalmologi Amerika Syarikat (EyeSmart) menunjukkan produk kosmetik melebihi tiga bulan boleh bertukar menjadi sarang bakteria.

Bakteria tersebut wujud hasil pemindahan daripada mata melalui berus maskara dan peralatan lain yang digunakan.

Ini kerana secara semula jadi bulu mata mempunyai bakteria. Apabila berus maskara digunakan secara berulang kali bakteria akan berpindah masuk ke dalam bekas maskara.

Kuman berkenaan akan bertindak balas dengan bahan kimia maskara tadi dan menjadi sangat bahaya.

Tambahan pula, kuman boleh membiak lebih cepat dalam cecair kosmetik sekali gus meningkatkan kesan konjunktivitis.

Menurut Mayo Clinic, reaksi alahan sangat tidak menyenangkan sekali gus boleh mewujudkan blefaritis dan kerosakan kornea.

Gejala blefaritis akan menyebabkan gatal-gatal, bintik merah, lebam, lecet dan kepekaan terhadap cahaya meningkat.

“Ramai wanita mengalami jangkitan pada mata akibat penggunaan kosmetik seperti maskara.

“Dalam kes-kes tertentu, maskara menyebabkan mata menjadi buta untuk tempoh sementara mahupun kekal,” ujar kenyataan Mayo Clinic.

Memburukkan lagi keadaan, ramai pengguna maskara tidak mengambil peduli tarikh luput.

Maskara pertama kali digunakan oleh masyarakat Mesir kuno lebih 4,000 tahun lalu.

Ketika itu ia diperbuat daripada campuran arang atau jelaga yang dihancurkan bersama najis buaya, madu serta air.

Kini, maskara dihasilkan dalam persekitaran yang lebih bersih, tetapi ramuannya masih sama.

Kajian oleh Kolej Optometris mendapati zarah-zarah jelaga dalam maskara boleh memasuki serta menyekat liang pori kelenjar meibomian.

Liang pori tersebut berfungsi menghasilkan cecair yang diperlukan bagi mengelakkan mata mudah pedih.

Penyekatan liang-liang pori tersebut menyebabkan tindak balas keradangan kronik pada kelopak mata yang dikenali sebagai meibomitis posterios.

Selain itu, perkongsian maskara, pelentik bulu mata, pewarna kelopak mata boleh menjadi punca jangkitan kuman kepada deria penglihatan.

Pakar Mata di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr. Muiz Mahyudin berkata, peralatan kosmetik seperti maskara menjadi agen pemindahan kuman daripada seorang ke seorang yang lain.

Jelasnya, jangkitan tersebut akan membuatkan mata menjadi merah dan berair serta ada sesetengah kes ia membengkak serta berair.

“Saya pernah menerima seorang pesakit yang mengalami masalah jangkitan kuman akibat perkongsian riasan kelopak mata.

“Pesakit itu terpaksa menahan kesakitan kerana matanya membengkak untuk tempoh lebih seminggu sebelum kembali pulih selepas menjalani rawatan,” katanya.

Justeru, Muiz menyarankan supaya golongan wanita lebih berhati-hati sewaktu menggunakan produk riasan di sekitar mata.

Beliau memberitahu, pengguna disaran menggunakan produk kosmetik yang berkualiti tinggi dan sentiasa menukarnya setiap tiga atau empat bulan.

Tambahnya, pengguna juga perlu pastikan semua riasan pada kelopak mata dibasuh terlebih dahulu sebelum tidur.

“Jangan disebabkan untuk kelihatan cantik, kita sanggup merisikokan salah satu kurniaan Tuhan paling bermakna kepada manusia,” katanya. -kosmo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon