Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

14 Peratus Penduduk Pahang Hidap Diabetes

Kira-kira 14.8 peratus daripada penduduk Pahang yang berusia 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata apa yang membimbangkan ialah lebih separuh daripada mereka tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit itu.

"Kebanyakan mereka hanya mengetahui status diabetes apabila mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang dibuat saringan di luar atau menerusi program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen).

"...itu pun tindakan untuk menjalani saringan dilakukan selepas merasakan ada tanda gejala diabetis," katanya pada Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Pahang 2018 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Mohamed Sapian juga memuji peranan Kospen dilihat aktif membantu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan kepada komuniti.

Katanya, sehingga kini terdapat 277 lokaliti Kospen di seluruh Pahang melibatkan penduduk di kawasan taman perumahan dan kampung tradisional di negeri ini.

"Anggota Kospen terdiri daripada komuniti setempat yang diberikan latihan mengendalikan pemeriksaan saringan kesihatan komuniti mereka bagi penyakit diabetes, darah tinggi, obesiti dan menangani stres.

"Kampung atau kawasan perumahan yang terlibat dengan Kospen juga mempunyai kawasan berjalan kaki 10,000 langkah yang ditempatkan dengan papan tanda kerana ia sukan yang mudah dilakukan," katanya. --BERNAMA

Ketahui Bahaya Kesan Seks Pada Usia Remaja

Tidak dinafikan berkahwin pada usia muda dapat mengelak daripada perkara-perkara maksiat.

Namun, ramai daripada masyarakat kita yang terlepas pandang soal usia yang sesuai untuk mendirikan rumahtangga mengikut amalan perubatan.

Ini kerana hubungan kelamin pada usia awal menjadi antara faktor wanita diserang kanser servik.

Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, sistem pertahanan badan atau sistem imuniti pada pangkal rahim remaja belasan tahun belum lagi matang serta tidak mampu melawan jangkitan.

Jika terdapat jangkitan kuman khususnya jangkitan Human Papillomavirus (HPV) pada lokasi transformation zone (pangkal rahim) akan menyebabkan sistem badan seseorang remaja tidak berupaya menangkis serangan jangkitan.

Jika hal ini berlaku secara berterusan di mana virus itu menyerang individu terbabit, ia akan menyebabkan sel-sel yang normal pada pangkal rahim berubah menjadi sel tidak normal, sekaligus akan menjurus kepada pembentukan kanser servik," katanya.

Bagaimanapun Dr Muhammad Izzat berkata, kanser servik boleh dicegah jika seseorang wanita itu menjalani kehidupan sihat dan tidak terjebak dengan aktiviti sosial seperti pengambilan minuman keras, merokok atau memulakan aktiviti seksual pada usia terlalu muda.

Selain itu katanya, penjagaan kebersihan alat sulit juga boleh mencegah jangkitan kuman yang akhirnya boleh terdedah kepada masalah kanser servik.

Justeru, golongan wanita digalakkan untuk menjalani ujian pap smear secara berkala bagi membantu mengesan tanda-tanda awal kanser servik!

Jumpa Pakar Psikiatri Bukan Bermakna Gila

Berjumpa pakar psikiatri bukan sesuatu yang memalukan. Itu nasihat bekas pesakit yang mahu masyarakat mengubah stigma terhadap penjagaan kesihatan mental.

Seperti mana penyakit fizikal, masalah kesihatan mental perlu dikesan awal, seterusnya diberi perhatian dan rawatan sewajarnya.

Nur Zaimah (bukan nama sebenar) baru berusia 21 tahun ketika didiagnosis mengalami masalah mental.

Selain faktor keturunan, tekanan yang dihadapi semasa belajar juga menjadi antara penyebab kepada perubahan personaliti dan pemikirannya ketika itu.

"Saya disahkan mengalami masalah mental pada tahun 2009, ketika sedang menuntut di sebuah universiti swasta.

"Apa yang berlaku ketika itu, daripada segi perwatakan saya boleh rasa diri saya berbeza daripada sebelumnya.

"Saya juga bermasalah untuk tidur, malah pernah tidak tidur selama berhari-hari.

"Sampai ke satu tahap, saya ada terfikir untuk bunuh diri. Ini pemikiran biasa bagi mereka yang mengalami masalah mental.

"Dari situ saya sedar, saya perlu dapatkan bantuan," katanya yang kini berkhidmat sebagai sukarelawan Mental Illness Awareness and Support Association (MIASA).

Enam tahun lamanya dia perlu mengambil ubat-ubatan yang membantu mengawal emosi, sehingga kini Nur Zaimah menyifatkan dirinya sebagai pesakit yang masih dalam proses penyembuhan.

"Stigma masyarakat, jumpa pakar psikiatri itu gila. Ia tanggapan yang salah tetapi dalam masa yang sama kita tidak perlu malu kerana apa yang kita lakukan adalah berusaha untuk kembali sihat dan menjalankan tanggungjawab kita.

"Abaikan kata-kata orang," tambahnya yang mengakui sudah semakin tenang menjalani kehidupan.

Hidup bebas tekanan itu mustahil, namun wanita berusia 30 tahun ini ada nasihat untuk menangani tekanan dengan baik.

"Kalau kita asyik fikir apa yang orang cakap, memang kita akan sentiasa tertekan. Apa yang penting, kita tahu apa siapa kita dan peranan kita.

"Fokus kepada kehidupan bertuhan. Itulah sebenarnya kunci kepada kesihatan, bukan sahaja mental, tetapi fizikal juga," ujarnya. -astroawani

14 Produk Kosmetik Dikesan Ada Racun Berjadual

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan 14 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Antara produk tersebut ialah Diamond Gold Skin Care (Day/Night Cream), Alora Night Glowing Cream, Karisma Nightcream Kunyit, Seputih Melati Night Cream Whitening, Majaja Serum Channtiq, SYMA Magical Serum, Khumaera Moistskin Cleanser dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream.

"Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, Selasa (9/10/2018).

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi atau depigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," kata beliau.

Beliau berkata produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan kedutan.

Penggunaan tanpa pengawasan di bahagian kulit yang disapu akan menyebabkan kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Beberapa produk kosmetik dicampur palsu dengan diphenhydramine bertujuan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.

Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk.

Manakala bagi produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri pula, beliau berkata ia boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

Penggunaan produk yang mengandungi merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my. -bernama

HFMD Tiada Vaksin, Perlu Kawal Penularan - Pegawai Kesihatan

Tiada vaksin untuk mengubati penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), namun ibu bapa dan penjaga boleh mengawal risiko penularan virus berkenaan dengan mengambil langkah pencegahan termasuk sentiasa mengoptimumkan tahap kebersihan anak-anak.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu Dr. Jiloris @ Julian Frederick Dony berkata ibu bapa dan penjaga perlu peka terhadap kebersihan dengan memastikan anak-anak mereka bersin dan batuk dengan cara betul supaya lelehan atau cecair keluar daripada tubuh badan tidak menjangkiti individu lain.

"Ibu bapa dan penjaga perlu melaksanakan 'gatekeeping' kepada anak-anak bermula dari rumah. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak membasuh tangan mengikut teknik yang sempurna supaya tangan sentiasa bersih terutama ketika makan.

"HFMD ini boleh menjangkiti orang dewasa, namun, kanak-kanak berumur antara 10 tahun ke bawah berisiko tinggi dijangkiti virus ini kerana mereka belum mempunyai sistem imuniti yang kuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pendidikan Kesihatan Kanak-Kanak, di sini pada Rabu.

Jiloris turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengasingkan anak-anak jika mengesan terdapat simptom virus itu pada mereka sekali gus memaklumkan perkara tersebut kepada pejabat kesihatan berhampiran untuk tindakan kawalan selanjutnya.

Pengendali pusat penjagaan kanak-kanak juga diingatkan agar meningkatkan tahap kebersihan kawasan premis dengan lebih kerap membersihkan kawasan sekitar serta alat dan barangan permainan kanak-kanak bagi mengelak risiko penularan virus tersebut, katanya.

Pada Selasa, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata jumlah kes HFMD di negeri ini dilaporkan meningkat sebanyak enam kes kepada 2,611 daripada 2,605 kes dicatatkan pada 27 Julai lepas.

Antara daerah mencatat kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (564); diikuti Beaufort (393); Penampang (258); dan Sandakan (221); selain sebanyak 24 sekolah dan Taska di seluruh Sabah masih ditutup berikutan penemuan kes HFMD di sekolah-sekolah berkenaan. -BERNAMA

'Perubatan Tradisional, Moden Jamin Tahap Terbaik Kesihatan Rakyat' - Dr Dzulkefly

Pengamal perubatan tradisional dan moden perlu bekerjasama untuk mencorak strategi penambahbaikan tahap kesihatan masyarakat negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia sekali gus tanggungjawab pengamal perubatan untuk mengambil berat rawatan serta kawalan penyakit sebelum sampai ke tahap yang lebih teruk.

Sebagai contoh jelasnya, perubatan fungsian ( functional medicine ) merangkumi penelitian ke atas penyakit serta pemulihan dan langkah penjimatan perbelanjaan Kerajaan.

"Ia adalah bidang kesihatan yang memberikan tumpuan terhadap keseimbangan pemakanan, nutrisi, hormon, pembuangan toksin, kesihatan mental dan rohani serta gaya hidup untuk mencapai kesihatan yang cemerlang.

"Perkara-perkara ini adalah penting yang belum lagi diberikan perhatian sepenuhnya oleh pengamal-pengamal perubatan konvensional," katanya.

Kenyataan Dr Dzulkefly itu dikeluarkan sempena majlis perasmian Persidangan dan Bengkel Fungsi Perubatan Herba ke dalam Perubatan Arus Perubatan Moden di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail dan Presiden Dewan Perniagaan Perubatan Tradisional Malaysia (DPPTM), Datuk Dr Zam@Ab Razak Zamri.

Dalam pada itu jelas Dr Dzulkefly, PERDIM, DPPTM dan International Anti Aging and Integrative Medicine (iAIM) mempunyai visi untuk menjadi peneraju dalam bidang amalam perubatan integrasi negara.

"Ia dalam misi untuk menjadi pusat pelatihan dan pendidikan perubatan fungsian dan integratif di rantau Asia dan menjadikan negara sebagai hab pendidikan untuk tujuan tersebut.

"Rancangan ini bukan sahaja menjadikan maasyarakat kita lebih berilmu dan lebih sihat malah dapat memberikan peluang pekerjaan dan berpotensi meningkatkan tahap ekonomi masyarakat," katanya.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan juga sentiasa prihatin terhadap keperluan penjagaan kesihatan yang saksama dan berkualiti.

Katanya, ia sekali gus sistem mampu milik untuk rakyat selain giat mengumpul idea untuk merancang strategi pemulihan dan penambahbaikan jaringan sistem kesihatan negara. -astroawani

Rawatan Cacar Air

Cacar air atau ‘chickenpox’ antara jangkitan yang merisaukan ibu bapa sekiranya menjangkiti anak kecil.

Kanak-kanak bukan saja kurang selesa dan sakit, malah lebih membimbangkan risiko penularan jangkitan cacar air daripada kanak-kanak lain yang mengalaminya.

Oleh itu, pengetahuan pengesanan awal, pengurusan pesakit dan rawatan berkesan perlu diambil berat khususnya oleh ibu bapa.

Cacar air dan virus varicella zoster

Cacar air disebabkan jangkitan kali pertama virus varicella zoster kepada manusia yang berisiko.

Kebiasaannya, golongan pada peringkat usia kanak-kanak, remaja dan awal dewasa lebih mudah mendapat cacar air daripada jangkitan itu.

Virus varicella zoster boleh menjangkiti melalui sama ada sentuhan secara langsung kepada lepuh air yang pecah ataupun melalui cecair pernafasan.

Selepas jangkitan pertama, virus varicella zoster berubah menjadi tidak aktif atau pendam dalam sistem saraf hos yang dijangkiti.

Ia boleh menjadi aktif semula bertahun-tahun selepas itu dan menyebabkan jangkitan lain iaitu kayap (herpes zoster), terutamanya pada usia lebih dewasa.

Simptom biasa cacar air adalah ruam pada tubuh. Satu hingga dua hari sebelum ruam pada tubuh muncul, individu mengalami cacar air akan berasa lemah badan, sakit kepala, kurang selera makan dan demam.

Ruam muncul di sekitar muka, dada dan belakang tubuh pada awal jangkitan. Ia juga boleh merebak ke seluruh tubuh termasuk dalam mulut, kelopak mata dan kawasan sulit.

Ruam berubah menjadi lepuh berisi cecair yang menyebabkan rasa gatal.

Lepuh akan pecah dan akhirnya mengering.

Kebiasaannya, seminggu diperlukan untuk semua lepuh menjadi kering.

Dalam beberapa kes yang jarang-jarang berlaku, virus varicella zoster juga menyebabkan komplikasi kepada organ tertentu seperti keradangan hati (hepatitis), keradangan paru-paru (pneumonitis) dan keradangan pada selaput otak (ensefalitis).

Keadaan ini boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.

Rawatan cacar air

Cacar air biasanya akan sembuh sendiri. Bagaimanapun, simptom tertentu boleh dirawat menggunakan ubat am yang boleh dibeli di farmasi atau sesetengah ubat yang memerlukan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi.

a. Ubat demam

Individu mendapat cacar air biasanya mula mengalami demam lebih awal daripada simptom lain.

Suhu badan yang tinggi boleh dikurangkan dengan menggunakan ubat demam, contohnya paracetamol.

b. Ubat ruam

Ruam dan lepuh yang muncul pada tubuh akan menyebabkan rasa kurang selesa dan kegatalan. Bagi mengurangkan keadaan ini, produk topikal yang mengandungi ‘calamine’ boleh digunakan.

Losyen ini menyejukkan kulit yang menghilangkan sedikit rasa gatal dan kurang selesa.

c. Ubat tahan gatal

Selain menggunakan produk topikal, ubat tahan gatal daripada kumpulan antihistamin dalam sediaan biji atau sirap juga mungkin digunakan.

Bagaimanapun, pesakit hendaklah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan produk antihistamin.

Terdapat antihistamin menyebabkan kesan me­ngantuk dan tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun.

d. Ubat antiviral

Cacar air biasanya tidak berbahaya, hanya memerlukan rawatan secara simptomatik. Dalam sesetengah keadaan, ubat antiviral diperlukan bagi mengurangkan jangkitan dialami dan risiko komplikasi.

Antara kumpulan perlu dimulakan dengan terapi antiviral individu menghidap penyakit paru-paru atau kulit yang kronik, wanita mengandung dan mereka yang menjalani terapi steroid.

Antiviral paling kerap digunakan bagi rawatan cacar air ialah acyclovir. Ia ubat terkawal yang hanya boleh dimulakan oleh doktor.

Tablet acyclovir perlu diambil dengan kekerapan ditetapkan manakala sediaan suntikan acyclovir perlu dimulakan bagi pesakit yang lebih serius dalam wad.

Selain rawatan simptomatik dan antiviral, panduan berikut boleh diamalkan dalam pengurusan individu yang mengalami cacar air:

• Elak menggaru badan yang gatal dengan tangan. Pastikan kuku jari anak dipendekkan atau memakai sarung tangan bagi mengelakkan kesan garuan pada kawasan ruam dan lepuh.

• Kenakan pakaian longgar dan mempunyai pengudaraan yang baik. Haba dan perpeluhan menambah rasa kurang selesa dan kegatalan.

• Pastikan pesakit minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi.

• Cacar air mudah berjangkit. Oleh sebab itu, individu dijangkiti hendaklah menjauhkan diri daripada kawasan umum yang menjadi tumpuan orang ramai sehingga keadaan sembuh.

Cacar air secara umumnya jangkitan yang tidak serius. Rawatan secara simptomatik sudah mencukupi untuk merawat demam, rasa kurang selesa dan kegatalan.

Pengesanan awal serta pemeriksaan dan diagnosis oleh doktor akan memudahkan pengurusan dan rawatan cacar air dengan lebih berkesan.

Sekiranya perlu, rawatan dengan antiviral akan dimulakan bagi mengelakkan komplikasi dan mempercepatkan penyembuhan. -hmetro

Kongsi Maskara Undang Jangkitan Kuman

SEBAHAGIAN besar wanita sangat mementingkan kejelitaan wajah terutamanya ketika berada di luar rumah.

Salah satu usaha yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kecantikan wajah adalah dengan menggunakan produk kosmetik.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya ada wanita yang sanggup menghabiskan masa selama berjam-jam di depan cermin untuk bersolek.

Salah satu bahagian penting pada wajah adalah di sekitar kelopak mata. Bagi menambah serinya, kaum hawa menggunakan riasan seperti maskara, pelentik bulu mata dan pewarna kelopak mata.

Bagaimanapun, ramai tidak sedar produk-produk berkenaan boleh menjadi penyebab kerengsaan akibat jangkitan kuman pada kelopak mata.

Hakikatnya, produk riasan di sekitar mata dalam pasaran adalah selamat, namun cara penggunaan yang salah menjadi punca kepada jangkitan kuman.

Kajian Akademi Oftalmologi Amerika Syarikat (EyeSmart) menunjukkan produk kosmetik melebihi tiga bulan boleh bertukar menjadi sarang bakteria.

Bakteria tersebut wujud hasil pemindahan daripada mata melalui berus maskara dan peralatan lain yang digunakan.

Ini kerana secara semula jadi bulu mata mempunyai bakteria. Apabila berus maskara digunakan secara berulang kali bakteria akan berpindah masuk ke dalam bekas maskara.

Kuman berkenaan akan bertindak balas dengan bahan kimia maskara tadi dan menjadi sangat bahaya.

Tambahan pula, kuman boleh membiak lebih cepat dalam cecair kosmetik sekali gus meningkatkan kesan konjunktivitis.

Menurut Mayo Clinic, reaksi alahan sangat tidak menyenangkan sekali gus boleh mewujudkan blefaritis dan kerosakan kornea.

Gejala blefaritis akan menyebabkan gatal-gatal, bintik merah, lebam, lecet dan kepekaan terhadap cahaya meningkat.

“Ramai wanita mengalami jangkitan pada mata akibat penggunaan kosmetik seperti maskara.

“Dalam kes-kes tertentu, maskara menyebabkan mata menjadi buta untuk tempoh sementara mahupun kekal,” ujar kenyataan Mayo Clinic.

Memburukkan lagi keadaan, ramai pengguna maskara tidak mengambil peduli tarikh luput.

Maskara pertama kali digunakan oleh masyarakat Mesir kuno lebih 4,000 tahun lalu.

Ketika itu ia diperbuat daripada campuran arang atau jelaga yang dihancurkan bersama najis buaya, madu serta air.

Kini, maskara dihasilkan dalam persekitaran yang lebih bersih, tetapi ramuannya masih sama.

Kajian oleh Kolej Optometris mendapati zarah-zarah jelaga dalam maskara boleh memasuki serta menyekat liang pori kelenjar meibomian.

Liang pori tersebut berfungsi menghasilkan cecair yang diperlukan bagi mengelakkan mata mudah pedih.

Penyekatan liang-liang pori tersebut menyebabkan tindak balas keradangan kronik pada kelopak mata yang dikenali sebagai meibomitis posterios.

Selain itu, perkongsian maskara, pelentik bulu mata, pewarna kelopak mata boleh menjadi punca jangkitan kuman kepada deria penglihatan.

Pakar Mata di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr. Muiz Mahyudin berkata, peralatan kosmetik seperti maskara menjadi agen pemindahan kuman daripada seorang ke seorang yang lain.

Jelasnya, jangkitan tersebut akan membuatkan mata menjadi merah dan berair serta ada sesetengah kes ia membengkak serta berair.

“Saya pernah menerima seorang pesakit yang mengalami masalah jangkitan kuman akibat perkongsian riasan kelopak mata.

“Pesakit itu terpaksa menahan kesakitan kerana matanya membengkak untuk tempoh lebih seminggu sebelum kembali pulih selepas menjalani rawatan,” katanya.

Justeru, Muiz menyarankan supaya golongan wanita lebih berhati-hati sewaktu menggunakan produk riasan di sekitar mata.

Beliau memberitahu, pengguna disaran menggunakan produk kosmetik yang berkualiti tinggi dan sentiasa menukarnya setiap tiga atau empat bulan.

Tambahnya, pengguna juga perlu pastikan semua riasan pada kelopak mata dibasuh terlebih dahulu sebelum tidur.

“Jangan disebabkan untuk kelihatan cantik, kita sanggup merisikokan salah satu kurniaan Tuhan paling bermakna kepada manusia,” katanya. -kosmo