'Isu Tudung Superman Bukan Syok Sendiri' - Fizo Omar

PELAKON Fizo Omar mengakui terdapat komen-komen negatif dilemparkan selepas dia dan isteri, Mawar Karim melancarkan koleksi tudung bertatahkan logo Superman, Batman dan Wonder Woman.

Jelas Fizo, dia bagaimanapun tidak boleh memaksa pengguna dan pembeli untuk menggemari koleksi itu memandangkan setiap individu mempunyai citarasa berbeza.

"Kami bukan syok sendiri nak letak logo sesuka hati. Tetapi Fareeda ditawarkan untuk berkolaborasi dengan DC Comics sejak tahun lalu lagi.

"Hasilnya koleksi DC Comics Super Heroes yang menggunakan logo Batman, Superman dan Wonder Woman dikeluarkan untuk ketiga-tiga rekaan baharu itu.

"Bagi penggemar karakter berkenaan memang komen yang diterima semuanya positif, tetapi tidak dinafikan ada juga respon yang kurang sedap didengar.

"Setiap bisnes mengikut demand semasa dan kami ada target audien sendiri. Kalau tak mahu pakai tak apa, Fareeda ada pilihan tudung lain yang kosong tanpa logo.

"Sama seperti pilihan harian kita, kalau tak suka nasi pedas kenapa order nasi pedas? Kalau tak suka nasi boleh makan kuih," kata Fizo.

Fizo ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang di Restoran Fizo Mawar, Bandar Baru Bangi.

Sementara itu, tambah Fizo koleksi tudung DC Comics Super Heroes itu akan dipasarkan di semua butik DC Comics di Malaysia, Singapura dan beberapa negara Timur Tengah.

"Saya berbangga menjadi syarikat sulung bumiputera berkolaborasi dengan DC Comics dan ia antara kejayaan terbesar Fareeda.

"Insya-Allah selepas ini akan ada kolaborasi bersama DC Comics untuk menghasilkan jubah dan pakaian lelaki," katanya.

Fizo sebelum ini pernah dilantik menjadi duta produk karakter Superman dari tahun 2011 hingga 2013. -astroawani

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon