Intan Liana Dapat Tawaran Model Muslimah

Hikmah di sebalik rasa simpati orang ramai terhadap masalah rumah tangga antara pemuzik bebas, Ude Wahid dan isteri pertamanya, Intan Liana telah membuka peluang pekerjaan kepada wanita itu.

Intan Liana Dapat Tawaran Model Muslimah

Intan atau nama sebenarnya Intan Liana Saleh, 33, berkata dia ada menerima beberapa tawaran menjadi model muslimah sejak berita perceraiannya hangat diperkatakan.

"Alhamdulillah, rezeki saya menerima beberapa tawaran menjadi model muslimah selepas apa yang berlaku.

"Saya tak sangka berita itu mendapat liputan yang luas. Apa-apa pun, saya nak mengucapkan terima kasih pada pihak yang sudi menawarkan saya kerja," kata Intan.

Intan ketika dihubungi memberitahu buat masa sekarang dia hanya menerima satu tawaran model tudung sahaja terlebih dahulu.

Memandangkan Intan tidak tahu selok belok bidang peragaan, dia meminta pertolongan kakak sulungnya untuk menguruskan perkara tersebut.

"Buat masa ini, saya hanya terima satu tawaran terlebih dahulu iaitu model untuk tudung. Selebihnya masih dalam perbincangan.

"Saya minta tolong kakak untuk uruskan perkara itu sebab ini kali pertama saya dapat tawaran tersebut. Saya tak tahu sangat mengenai bidang peragaan," ujarnya.

Menurut Intan lagi, jika ada rezeki dia akan meneruskan karier sebagai model muslimah namun selepas selesai urusan perceraiannya.

"Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan teruskan karier itu. Tapi tengok pada keadaan dan apa-apa pun biar urusan perceraian itu selesai dahulu.

"Selepas semuanya selesai, barulah saya boleh fikir tentang pekerjaan tetap atau secara bebas," kata Intan yang tidak mempunyai apa-apa pekerjaan.

Dalam pada itu, Intan bakal mengeluarkan produk gincu jenamanya iaitu Lawabybonda pada bulan Mac 2018 ini.

Kata Intan, produk tersebut masih dalam proses dan hanya akan dijual menerusi dalam talian sahaja. "Saya akan keluarkan produk gincu jenama saya sendiri. Insya-Allah akan siap pada bulan ini juga.

"Produk itu masih dalam proses nak siap dan hanya akan dijual menerusi talian sahaja. Nanti akan dimaklumkan menerusi Instagram saya," katanya.

Kehidupan Intan dan Ude menjadi sensasi apabila suaminya itu berhajat menceraikan dia pada 22 Mac 2018 depan.

Mereka berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak, Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

Manakala Ude dan pelakon Izreen Azminda telah berkahwin secara rahsia pada 8 Ogos tahun 2017 lalu. -mstar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon