Linda Rafar Ambil Masa 4 Tahun Reda Kematian Anak

Pelakon dan penyanyi Linda Rafar mengambil masa selama empat tahun untuk mengumpul kekuatan bagi menghasilkan lagu berjudul Satu Lagi untuk Allahyarham anaknya iaitu Memen atau Rezaimin Keifli yang meninggal dunia pada 5 Julai 2014.

Linda Rafar Ambil Masa 4 Tahun Reda Kematian Anak

Linda atau Azlinda Rafar, 40, berkata, idea menghasilkan lagu itu sudah lama namun ia ditangguhkan kerana masih belum boleh menerima kematian anaknya itu akibat ketumbuhan kronik dalam perut.

"Saya mahu buat sesuatu sebagai mengingati anak saya dan sebab itu saya mahu menghasilkan sebuah lagu untuknya.

"Bagaimanapun saya langsung tiada kekuatan kerana masih belum boleh menerima hakikat sepenuhnya bahawa dia sudah tiada.

"Selepas empat tahun barulah saya tergerak hati untuk merialisasikan impian itu dan Alhamdulillah akhirnya terhasilnya Satu Lagi," katanya.

Lagu tersebut adalah ciptaan Edry Abdul Halim dan hasil kerjasama di antara syarikat milik Linda, Double Channel Sdn Bhd dengan KRU Music.

Dalam pada itu, Linda berkata, idea menghasilkan Satu Lagi bukan sahaja untuk memperingati Memen sebaliknya dia mahu lagu itu dapat didengari oleh sesiapa yang mengalami nasib sama sepertinya.

Kata Linda, mesej dalam lirik lagu tersebut adalah bersifat universal malah memilih untuk tampil dengan muzik 'catchy' agar boleh didengar semua golongan.

"Hasil perbincangan dengan Edry, kami sepakat untuk menjadikan lagu ini bersifat universal dan mesej yang boleh dirasai oleh sesiapa sahaja yang pernah mengalami kehilangan orang tersayang.

"Ia bukan sahaja mengenai kisah saya tetapi mesej di dalamnya boleh digunakan oleh semua yang mendengar," ujarnya.

Sementara itu, Linda berkata, dia juga bakal melancarkan novel keduanya berjudul Menunggumu Di Pintu Syurga 2 selepas buku pertama tulisannya pada tahun lalu mendapat sambutan luar biasa dan terjual lebih 150,000 unit.

Tambah Linda, dia juga bercadang untuk mendermakan sebahagian hasil penjualan novel itu nanti bagi membantu golongan memerlukan terutamanya kanak-kanak yang mengalami penyakit kronik.

"Saya tampil dengan novel kedua ini selepas ramai bertanya kepada saya jika ada kesinambungan daripada novel terdahulu.

"Novel kedua ini sudah pun siap dan sedang dalam proses mencetak dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Kali ini saya berkongsi tentang kehidupan arwah selain pengalaman saya mendapat tanda-tanda pemergiannya selain beberapa perkara lain yang tidak pernah saya ceritakan sebelum ini," ujarnya.

Untuk rekod, Memen ialah anak hasil perkahwinan pertama Linda dengan bekas pelumba kereta, Keifli Othman. -mstar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon