Shila Amzah Wakili Negara ke MIDEM di Cannes

Penyanyi popular, Shila Amzah bakal mewakili negara ke Marche International du Disque et de I'Edition Musicale (MIDEM) di Cannes, Perancis pada Februari 2014.


Tiga penyanyi tempatan lain seperti Azlan And The Typewriter, Goldkartz dan Thomas Jack turut akan ke MIDEM yang akan diketuai di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Menurut Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim menerusi kenyataan media, barisan penyanyi tersebut dipilih berdasarkan genre muzik yang dibawa dan mewakili pelbagai segmen Bahasa dan kaum di Malaysia.

"Faktor-faktor seperti kredibiliti dan pengiktirafan anugerah, memastikan bahawa mereka bersama-sama produk muzik yang dihasilkan telah siap sedia dieksport untuk dipersembahkan di hadapan penonton dan peminat muzik antarabangsa.

"Kolaborasi di antara pihak kerajaan dengan industri muzik ini merupakan satu galakan yang amat besar kepada penggiat muzik tempatan terutamanya jika diambil kira impak jangka panjang yang bakal diperolehi dan untuk menjana pulangan ekonomi yang lebih besar di dalam industri."

Inisiatif ini telah diambil oleh RIM untuk membawa dan seterusnya mempromosikan produk muzik dari Malaysia di MIDEM.

MIDEM adalah sebuah pasaran muzik global yang menerima penyertaan daripada kesemua perniagaan berkaitan dengan muzik dan merupakan platform yang ideal untuk mempromosikan atau melancarkan sebarang produk muzik tempatan di pentas antarabangsa.

MIDEM 2014 akan menyaksikan lebih 80 konsert persembahan akan berlangsung serta pameran muzik daripada serata dunia di mana persembahan penyanyi-penyanyi Malaysia dijadualkan akan membuat persembahan di bawah konsert "Malaysia Supernova" pada 3 Februari 2014.

Sementara itu, Norman berharap dengan penyertaan Malaysia dapat menghasilkan impak yang besar dan untuk membawa pulang hasil yang terbaik daripada acara ini sama ada daripada segi ekonomi atau kreativiti," ujarnya

MIDEM akan berlangsung selama empat hari bermula dari 1 hingga 4 Februari 2014.

-Tupai.com.my

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon