Naluri keibuan meredupkan semangat Syatilla Melvin untuk menghentikan aktivitinya sebagai pelakon, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.
Langkah itu diambil Syatilla supaya dia dapat memberi tumpuan penuh kepada anak yang baru dilahirkannya kira-kira 15 bulan lalu, Syeriv Samheizy.
Kata Syatilla dia tidak yakin untuk menyerahkan tugas menjaga Syeriv di tangan pengasuh semasa memenuhi jadual berlakon.
“Saya tidak percaya nak bagi anak pada pengasuh. Kalau anak jatuh buaian mana pengasuh yang nak mengaku? Bayi yang masih kecil tubuhnya fragile (rapuh),” katanya.
Mengakui geram dengan isu-isu malang membabitkan bayi yang dijaga pengasuh sehingga ada yang menyebabkan kematian, Syatilla berharap tiada sebarang perkara buruk terjadi kepada Syeriv.
Atas alasan itulah, kata Syatilla, dia sanggup berbuat apa saja demi Syeriv walaupun itu termasuk memperlahankan perjalanan kariernya.
“Kita hanya mampu tumpang sedih dan meminta ibu bapa mangsa untuk bersabar, tetapi itu sebenarnya tidak cukup buat mereka.
“Seboleh-bolehnya saya nak elak perkara begitu, jadi saya tak mahu berlakon dulu. Biarlah anak jadi keutamaan.
"Saya sanggup buat apa saja untuk dia,” kata isteri pelakon Shaheizy Sam itu.
Faham keadaan orang lain
Meskipun Shaheizy tidak pernah menghalang Syatilla, 27, untuk meneruskan aktiviti berlakon, jauh di sudut hati dia dapat memahami suaminya itu sebenarnya agak keberatan untuk merelakan perkara berkenaan berlaku.
“Memang Sam benarkan Tilla berlakon, tetapi mungkin mulut saja cakap OK.
"Sebagai seorang anak seni, untuk memberi jawaban tidak itu mungkin susah.
“Dia tidak mahu Tilla berasa jauh hati, dia faham bagaimana rindunya perasaan untuk seseorang anak seni kembali berlakon,” katanya yang merancang untuk kembali bekerja selepas usia Syeriv lebih dua tahun.
Memandangkan pemilik nama penuh Siti Nur Syatilla Amirol Melvin itu kini menjadi seorang suri rumah sepenuh masa, sebahagian besar keperluannya kini ditunaikan Shaheizy.
"Dia tahu Tilla tak ada pendapatan. Biasanya Sam bagi Tilla ambil saja. Kalau tak cukup, Tilla mintalah.
"Kira-kira kira macam dapat kunci la, Tilla nak apa Sam bagi,” katanya.
Pada masa sama Syatilla memahami tidak semua pasangan mampu hidup selesa dengan bergantung kepada pendapatan suami semata-mata.
Justeru, dia tidak menyalahkan mana-mana pasangan yang terpaksa mendapatkan bantuan pengasuh untuk menjaga anak masing-masing semasa mereka bekerja.
“Memang ada ibu bapa yang terpaksa menyerahkan anak mereka untuk dijaga pengasuh dan saya harap tak ada lagi kejadian malang seperti sebelum ini,” katanya. -malaysiakini
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon