Ziana Zain Dan Armin Sah Bercerai Talak Satu

Penyanyi Ziana Zain tidak menyimpan dendam terhadap bekas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri sepanjang 20 tahun mereka berkongsi kasih sebagai suami-isteri.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 50, berkata, dia bukan seorang pendendam malah sudah lama memaafkan Armin sebelum mereka bercerai lagi.

“Sudah lama saya maafkan. Saya tidak berdendam dan saya bukannya orang yang begitu,” katanya.

Terdahulu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Armin, 53, melafazkan cerai talak satu terhadap Ziana pada pukul 2.45 petang.

Mengulas mengenai perceraiannya, Ziana berkata dia masih belum dapat mentafsirkan situasi itu namun bersyukur ia selesai dengan baik.

Ziana memberitahu dia berharap semua pihak dapat mendoakan segala urusannya dan bekas suami dipermudahkan walaupun mereka tidak lagi mempunyai ikatan suami-isteri.

“Saya sendiri tak tahu nak cakap apa atau mentafsirkan air mata saya namun Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

“Sekarang fokus saya hanyalah anak-anak dan perkara lain saya tidak mahu fikir buat masa ini,” ujarnya.

Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Perkahwinan mereka mencatat sejarah tersendiri kerana ia diadakan secara terbuka dengan kehadiran ribuan peminat yang ingin menyaksikan detik istimewa itu selain ia disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Ketika perkahwinan Armin ialah ketua pramugara, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) namun telah menamatkan jawatannya beberapa tahun lalu.

Kemelut rumah tangga mereka menjadi lebih besar selepas Armin dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan jenayah iaitu mencederakan seorang anaknya pada Mac lalu. -mstar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon