Saksikan Gerhana Bulan Penuh Paling Lama Abad Ke-21 Pada 28 Julai

Rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh paling lama pada abad ke-21 pada 28 Julai ini, kata Agensi Angkasa Negara (Angkasa).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Samsuddin Omar berkata, fenomena kali ini adalah kedua berlaku tahun ini, dan akan kelihatan di Australia, Asia (termasuk Malaysia), Afrika, Eropah dan Amerika Selatan bermula 1.14 pagi dan berakhir 7.28 pagi.

“Fasa Gerhana Penuh akan berlangsung selama 1 jam 42 minit 57 saat dan tempoh ini menjadikannya fenomena paling lama bagi abad ke-21 (2001 hingga 2100).

“Tempoh paling lama bagi Gerhana Bulan Penuh boleh berlaku selama 1 jam 47 minit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayang umbra bumi.

Bulan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan sebelum kembali ke warna asal dalam tempoh lima jam.

Warna kemerahan akan dapat dilihat ketika fasa penuh pada 28 Julai.

Jelas kenyataan itu, rakyat di negara ini dapat melihat gerhana bulan itu dari mana-mana kawasan di negara ini bergantung keadaan cuaca setempat dan lokasi pencerapan paling baik adalah di lokasi yang berada paling barat.

“Bagaimanapun, tidak semua tempat di Malaysia akan dapat melihat keseluruhan tujuh fasa gerhana yang berlaku kerana bulan terbenam lebih awal sebelum fasa-fasa tertentu berakhir.

“Fasa-fasa gerhana bulan terlibat ialah Fasa Penumbra bermula, Fasa Separa bermula, Fasa Penuh bermula, Fasa Penuh maksimum, Fasa Penuh berakhir, Fasa Separa berakhir dan Fasa Penumbra berakhir,” kata kenyataan itu.

Beberapa bandar terpilih di Malaysia yang bakal menyaksikan bulan terbenam dan kenampakan gerhana itu ialah Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Langkawi.

Sehubungan itu, bagi memeriahkan lagi kehadiran fenomena berkenaan, Observatori Negara Langkawi Angkasa akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam bermula 10 malam, 27 Julai hingga 6.30 pagi keesokan hari, di Observatori Negara Langkawi dan Empangan Bukit Malut, Langkawi. - Bernama

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon