Penyakit Kuku Dan Mulut Terkawal, Tiada Kematian Dilaporkan Setakat Ini

Sebanyak 381 pusat jagaan di seluruh negara ditutup sejak Januari sehingga 14 Julai lepas berikutan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Beliau berkata pusat jagaan yang ditutup itu terdiri daripada 179 taska, tadika pra-sekolah (181) dan sekolah (21).

"Kita bersyukur kerana mengambil langkah pencegahan segera dan setakat ini tiada kematian dilaporkan. Penyakit ini endemik dan ia sedia ada, namun ia berada pada tahap terkawal," katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, beliau berkata 31,087 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 14 Julai lepas berbanding hanya 21,841 kes dalam tempoh sama pada 2017.
Katanya bilangan kes itu mengalami peningkatan 42.3 peratus.

"Berdasarkan analisis yang dijalankan mendapati kecuali Sabah dan Sarawak tidak mengalami peningkatan bilangan kes.

"Kita bimbang dan mengawasi dengan teliti menerusi Jabatan Kesihatan negeri dan setiap kes yang dilaporkan, pasukan kita akan turun padang menemuramah pesakit serta keluarga mereka.

"Dalam kes yang serius, kita mengarahkan nurseri, tadika, taska atau pusat asuhan supaya ditutup.

"Kita mengambil tindakan ini kerana virus penyakit ini merebak dengan cepat melalui sentuhan," katanya.

Justeru, katanya orang ramai khususnya pengusaha pusat jagaan digesa agar sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan digunakan kanak-kanak serta membuat saringan di premis masing-masing bagi mengelak mereka yang dijangkiti hadir ke nurseri, tadika, taska atau pusat asuhan dan sekolah.

Katanya ibu bapa kanak-kanak yang mempunyai gejala HFMD juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam atau membenarkan mereka ke pusat-pusat jagaan itu selain memastikan kebersihan semua peralatan dan alat permainan dengan bahan cucian yang sesuai.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Dr Azman berkata 'community empowerment' perlu ditingkatkan untuk memastikan masyarakat mempunyai pemahaman yang jelas mengenai peranan mereka dalam menjaga kesihatan dengan baik.

"Daripada pemerhatian kita, cabaran untuk kesihatan awam sangat melibatkan sikap komuniti itu sendiri.

"Oleh itu, kita harus dekati komuniti untuk memastikan suara dan pandangan mereka didengar terutama dalam perancangan aktiviti yang melibatkan komuniti.

"Perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat adalah salah satu elemen penting dalam memastikan semua dasar kesihatan dilaksanakan dengan berkesan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Persidangan dua tahun sekali anjuran bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) itu disertai lebih 700 peserta terdiri daripada pakar perubatan kesihatan, ahli akademik dalam kesihatan awam serta pegawai perubatan dan pergigian.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali dan Naib Presiden PPPKAM Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Al-Junid. -BERNAMA

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon