'Perang' Dengan Safiey, Manusia Ni Ada Kesabarannya...' - Sajat

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman menyangkal dakwaan netizen bahawa perang mulut di Instagram antara dirinya dengan Safiey Ilias hanyalah satu strategi pemasaran untuk melariskan produk mereka.

Malah, Sajat ketika dihubungi mStar Online berterus-terang mengakui posting 'panas' yang dimuat naik itu ditujukan khas buat Safiey yang didakwa suka membuat perbandingan dengan dirinya.

"Ya saya tujukan kepada Safiey sebab dia suka buat perbandingan. Saya rasa cukuplah jadi diri sendiri. Tak perlu mengaku lebih cantik atau lebih kecil berbanding orang lain.

"Manusia ni ada kesabarannya. Tapi kalau dah terlalu kurang ajar, saya pun balas. Cukup sekali je saya 'post', dia 'post' sampai tiga kali.

"Saya anggap masalah yang ditimbulkan Safiey ibarat kentut sahaja. Bau sekejap terus hilang. Saya pun sibuk dengan perniagaan, malas nak hiraukan dia," kata Sajat ketika dihubungi, Jumaat.

Menurut Sajat, dakwaan Safiey yang menyatakan dirinya raja bomoh merupakan satu kenyataan yang tidak berasas.

Malah, dia turut meminta Safiey menampilkan bukti atas segala dakwaan yang dilontarkan kepadanya menerusi beberapa siri posting di Instagram sejak beberapa hari lalu.

"Apa bukti saya jumpa bomoh? Dia juga tuduh produk bengkung saya berharga RM3. Ini semua merepek. Cuba dia pergi cari ada ke bengkung harga macam tu.

"Mungkin dia buat semua ni sebab dah tak popular, saya rasa dia mahukan perhatian netizen sahaja," Sajat memberikan pandangannya.

Sementara itu, Sajat turut menyelar usahawan itu yang didakwa tidak mempunyai pendirian dan sering menggunakan agama untuk tujuan melariskan jualan produk miliknya.

Jelas Sajat, dia pernah tumpang gembira apabila Safiey mengumumkan penghijrahannya untuk kembali menjadi lelaki sejati.

Namun, tindakannya yang tampil berpakaian wanita semula menyebabkan golongan minoriti seperti mak nyah dan pondan yang lain turut terkena tempias.

"Pendirian tak tetap, macam sesumpah. Sekejap jadi lelaki, sekejap jadi perempuan. Sebab dia, orang lain yang tak bersalah pun terkena tempias," katanya.

Safiey pada Rabu memuat naik satu posting menyindir di laman Instagram mengenai seorang individu yang digambarkan suka membuat video di dalam bilik mandi.

Menerusi dua posting berikutnya, dia turut membuka cerita mengenai seseorang yang digelar raja bomoh dan raja dadah.

Berdasarkan bayangan dalam kapsyen berkenaan, rata-rata netizen beranggapan bahawa ia ditujukan kepada Sajat.

Selain menerima ribuan komen daripada netizen, perang antara dua usahawan kosmetik itu turut ditularkan di laman Twitter dan Facebook.

Mengenai perkembangan semasa, Sajat berkata dia kini sibuk menguruskan perniagaan termasuklah cawangan kedua kedai emas miliknya yang bakal dibuka di Ampang Point pada September depan.

Dia juga dalam proses perbincangan untuk menghasilkan lagu baharu bersama pasangan duetnya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tidak lama lagi. -mstar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon