Buah Pinggang Dayangku Intan Lulus Untuk Dipindahkan Pada Suami

PENYANYI era 1990an, Dayangku Intan lega apabila buah pinggangnya didapati sesuai untuk didermakan kepada suami, Rosman Yahil yang kini menghadapi masalah itu.

Dayang yang terkenal dengan lagu Berpaut Di Dahan Cinta ini berkata, dia kini hanya perlu menjalani proses terakhir iaitu bertemu pakar psikiatri sebelum menjalani pemindahan organ tersebut.

"Alhamdulillah selepas beberapa proses dilalui, tahap kesihatan saya adalah baik dan bebas daripada sebarang penyakit. Ia melayakkan sebelah buah pinggang saya untuk diberikan kepada suami.

"Insya-Allah pembedahan mungkin pada September nanti. Doakan semua berjalan lancar,” ujarnya.

Dayang ditemui pada rakaman program Dimensi Legenda yang diadakan di Angkasapuri pada Khamis.

Rosman, 56, yang mengalami masalah pada kedua-dua belah buah pinggangnya kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas dipindahkan dari Hospital Serdang pada 17 Jun lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga 34 tahun lalu dan dikurniakan empat cahaya mata.

Dalam pada itu, Dayang berkata, pembedahan yang sepatutnya berlangsung pada Ogos depan ditangguhkan kerana suaminya didapati mengalami masalah pada jantung.

"Keadaan kesihatan dia tidak mengizinkan untuk menjalani pembedahan pada bulan ini. Ada masalah sedikit dan Insya-Allah bulan depan akan dibedah,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai isteri dia mahu melihat suaminya kembali sihat seperti biasa biarpun terpaksa memberikan sebelah buah pinggangnya.

Katanya, dia juga melihat beberapa wanita yang sudah melakukan perkara yang sama tidak mempunyai masalah untuk menjalani kehidupan mereka seperti biasa.

"Saya sudah jumpa dengan wanita lain yang menderma sebelah buah pinggang mereka dan boleh hidup seperti biasa.

"Kita boleh hidup normal dengan sebelah buah pinggang sahaja. Cuma penerima yang perlu diberi perhatian sama ada sesuai atau tidak untuk menerima buah pinggang baru,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dayang berharap ada persatuan yang prihatin dalam menghulurkan bantuan tanpa syarat yang sukar.

Katanya, beberapa rakan ada membantu dia untuk mendapatkan bantuan daripada persatuan, namun terlalu banyak syarat membuatkan dia sukar untuk menerima bantuan tersebut.

"Sepatutnya bantuan atau derma memudahkan kita yang dalam kesukaran, tapi kalau bantuan yang ingin diberi itu mempunyai banyak pula persoalan dan syarat lebih baik tidak usah bantu,” ujarnya. -mstar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon