PELAKON Ashraf Muslim mengakui berita-berita negatif yang dilapor media mengenai sikap pengasuh membuatkan dia tidak memberi kepercayaan kepada orang luar untuk menjaga anak-anaknya.
Ashraf, 36, berkata, dia bersyukur kedua-dua isterinya mampu menjaga tiga cahaya mata mereka sendiri tanpa menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain.
"Rasa geram dan marah apabila baca berita-berita bayi didera pengasuh, mujur anak-anak saya dijaga sendiri oleh isteri-isteri.
"Selain itu, keluarga mertua dan ahli keluarga banyak membantu jika kami ada urusan. Saya tidak percaya dan takut untuk hantar anak kepada pengasuh terutama yang tidak kenal.
"Tapi saya faham ada pasangan yang bekerja dan tiada pilihan lain," ujarnya.
Ashraf diminta mengulas tentang berita kematian tragis bayi lima bulan, Adam Rayqal yang sebelum itu didakwa hilang kononnya diambil seorang lelaki menyamar sebagai bapanya ketika berada di rumah pengasuh di Gombak, Selangor.
Namun bayi malang itu ditemui mati dalam keadaan di letakkan pada bahagian tempat pembeku peti sejuk dua pintu di rumah pengasuhnya.
Ashraf mempunyai dua isteri iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.
Pelakon itu mempunyai tiga cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Sarah Ashraf, Anas Ashraf dan Adam Ashraf.
Dalam pada itu, Ashraf berkata, ibu-bapa seharusnya mengkaji terlebih dahulu latar belakang pengasuh sebelum menyerahkan anak mereka untuk dijaga.
Katanya, mereka seharusnya memantau pergerakan anak ketika di bawah jagaan orang lain dalam tempoh beberapa bulan pertama.
"Sepatutnya ada tempoh tertentu untuk mereka pantau pengasuh tersebut sehingga benar-benar yakin.
"Namun, itulah ia mungkin sudah sampai ajal dan tertulis," ujarnya.
Sementara itu, Ashraf berkata, dia bakal menimang cahaya mata keempat pada September depan.
Katanya, ia merupakan anugerah terindah buat dirinya dalam menjalani kehidupan sebagai seorang bapa.
"Alhamdulillah, kehidupan semakin bahagia dan Insya-Allah saya bakal dikurniakan cahaya mata tidak lama lagi sekarang tengah buat persiapan menyambut kehadiran anak keempat," ujarnya. -mstar
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon