Khabar dukacita berkunjung ke pasangan Amy Search dan isterinya apabila hajat mereka untuk menimang cahaya mata baru tidak kesampaian.
Amy memaklumkan Norhasniza Hassan - atau Nourish - mengalami keguguran.
Kisah itu dimaklumkan penyanyi terbabit melalui Instagram berserta satu klip video memaparkan imbasan degupan jantung anak mereka.
Tidak dapat dipastikan usia sebenar janin berkenaan, namun kira-kira dua bulan lalu, Amy berkongsi berita gembira dia dan isteri bakal menimang anak keempat ketika usinya hampir mencecah 60 tahun.
Penyanyi Kau Pergi itu juga memuat naik ujian yang diambil isterinya bagi menunjukkan tanda positif sedang hamil.
Amy yang juga popular dengan lagu Pawana, Seroja dan Kejoraku Bersatu itu menyatakan dia menerima berita terkini berkenaan dengan tenang.
“Moga kami semua reda dengan dugaan yang tidak terpandang ini. Aku pasti dugaan itu bersama keindahan dan sabar itu sama seperti berbesar hati dengan dugaannya. Ameen ya rabbal alamin,” katanya.
Pada akhir statuts itu juga Amy turut menyelitkan beberapa rangkap lirik lagu berjudul Suralaya Dalam D'Major:
“Aku tersentak langsung tersedar
Cuaca dingin menanda hati yang kian rawan
Terbayang seribu kemungkinan
Sejenak ku mendakap
Kau pun hilang, dari pandangan”
Sepanjang mendirikan rumah tangga sejak 2003, Amy dan Nourish memiliki tiga anak hasil perkongsian hidup mereka iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9 tahun.
Amy juga dikurniakan dua anak melalui perkahwinannya sebelum ini iaitu Nabila Huda, 33, dan Irisha Myra, 20. -malaysiakini
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon