PENERBITAN sudah bermula bagi sekuel kepada filem popular ‘Maleficent’, dengan Elle Fanning dan Angelina Jolie akan membawa semula watak mereka masing-masing sebagai Sleeping Beauty dan ibu tumpangnya yang bercelaru.
Menurut studio filem terbesar di dunia, Disney, dalam satu kenyataan, filem itu sedang dibuat di Pinewood Studios, dekat London dan di lokasi sekitar Britain.
“Ia adalah hari ‘bawa ibu anda ke tempat kerja’ di set Maleficent2,” kata Fanning,20 (‘Trumbo’, ‘The Beguiled’) sambil bergurau dalam paparan Instagram yang sudah dikongsikan sesuku juta kali dalam masa sejam.
Di sisi mesej itu, dia menunjukkan gambar dirinya di hadapan Jolie yang sedang ketawa, yang memakai tanduk terkenal ‘Maleficent’, selain sepasang kacamata hitam dan jubah mandi bertuala.
‘Maleficent’, versi moden mengenai kehidupan musuh utama Sleeping Beauty, memukau audiens dengan serta-merta pada 2014, dengan penampilan pertama di tempat teratas pecah panggung Amerika Utara dan seterusnya mengaut lebih AS$750 juta di seluruh dunia.
Menyertai Fanning dan Jolie untuk pengembaraan terbaharu adalah calon-calon bagi anugerah Oscar, Michelle Pfeiffer (‘Dangerous Liaisons’, ‘Ant-Man and the Wasp’) dan Chiwetel Ejiofor (‘12 Years a Slave’, ‘Doctor Strange’).
Disney turut mengesah-kan pelakon skrin dan pentas terkenal dari Britain, Robert Lindsay (‘Wimbledon’) adalah antara pendatang baharu, manakala Sam Riley, Imelda Staunton, Juno Temple dan Lesley Manville kembali dari filem asal.
Dalam sekuel berkenaan, yang diarah oleh Joachim Ronning (‘Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales’), penjahat Disney yang paling kejam terus menerokai hubungannya yang rumit dengan Puteri Aurora, yang bakal menjadi permaisuri tidak lama lagi, apabila mereka membentuk pakatan untuk menentang musuh baharu.
Reaksi peminat dalam media sosial kebanyakannya positif, dengan kebanyakan keterujaan yang tercetus berhubung penambahan legenda skrin, Pfeiffer, 60, ke dalam barisan pelakon.
Disney mula menyemak katalog lamanya pada tahun 1990an untuk filem animasi klasik yang boleh diubah dan dibuat semula dengan aksi hidup – satu strategi yang setakat ini sudah mengaut beberapa bilion dolar.
Filem arahan Tim Burton ‘Dumbo’, filem arahan Guy Ritchie ‘Aladdin’ dan filem arahan Jon Favreau ‘The Lion King’ dijadual dikeluarkan pada tahun depan, manakala ‘The Little Mermaid’ akan menyaksikan Lin-Manuel Miranda yang masyhur kerana ‘Hamilton’ menjalinkan kerjasama dengan komposer Disney yang legenda, Alan Menken.
Dua pembikinan semula bagi ‘Peter Pan’ sedang diusahakan selain versi baharu bagi ‘Fantasia’, ‘Pinocchio’, ‘Snow White and the Seven Dwarfs’ dan ‘The Sword in the Stone’.
—AFP
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon