Che Ta Terpaksa Sewa Kondo Khas Untuk Simpan Baju

Tidak dinafikan sebagai selebriti terkenal, mereka perlu menjaga setiap penampilan agar tampil menarik di kaca televisyen dan di hadapan peminat.


Maka tidak hairanlah, ramai selebriti yang mempunyai bilik khas untuk menyimpan koleksi pakaian kan?

Namun, lain pula kaedah yang digunakan pelakon jelita Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta yang mendedahkan terpaksa menyewa sebuah kondomium khas untuk menempatkan koleksi pakaiannya yang terlalu banyak. Haa, terkejut bukan?

“Saya terpaksa sewa sebuah kondo lain untuk tempatkan baju-baju kami sekeluarga memandangkan tiada ruang untuk menyimpan koleksi pakaian yang ada. Maklumlah saya sudah berada di dalam industri hiburan agak lama.

“Bukan tidak mahu menjual atau lelong baju-baju itu tetapi agak susah sebab ada peminat yang pernah beli beritahu saiz baju terlalu kecil. Kondo yang saya sewa itu terletak dekat sahaja dengan rumah saya. Hanya beberapa kilometer,” katanya kepada Tonton Extra.

Menurut isteri kepada Zain Saidin ini, anaknya Aaisyah Dhia Rana yang kini sudah berusia lapan bulan turut mempunyai koleksi baju yang banyak sehinggakan kini sudah memerlukan empat pintu almari.

“Baju Aaisyah sahaja sudah memerlukan empat pintu almari untuk menyimpannya. Apa tidaknya, selain saya dan Zain yang belikan baju-baju Aaisyah, dia juga dapat banyak tajaan daripada pelbagai jenama pakaian.

“Tidak cukup dengan itu, peminat-peminat juga ramai yang hantarkan hadiah. Sebab terlalu banyak, ada baju yang tidak sempat diulang pakai. Pakai sekali sahaja,” jelas Che Ta.

Sebelum ini, Che Ta memaklumkan telah menempah 60 pasang baju buat keluarganya bagi sambutan Aidilfitri kali ini.

Alahai, bertuah sungguh keluarga selebriti ini yang tidak putus-putus dikurniakan rezeki. -Mynewshub

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon