"Tuduhan Aeril Zafrel Dan Wawa Zainal Mengarut" - David Teo

Penerbit filem Metrowealth International Group (MIG) iaitu David Teo menyifatkan isu pihaknya tidak menjelaskan bayaran baki duit lakonan Aeril Zafrel dan isteri, Wawa Zainal termasuk duit duta produk yang bernilai puluhan ribu ringgit sebagai mengarut.

Aeril Zafrel dan Wawa Zainal

David berkata, memandangkan pasangan itu menamatkan kontrak lebih awal tanpa membuat perbincangan, mereka tidak layak bertanyakan sebarang bayaran yang tertunggak.

"Kedua-dua mereka tidak mengikut kontrak dan menamatkan perjanjian serta-merta tanpa sebarang perbincangan dengan MIG.

"Sedangkan pihak kami meminta mereka datang untuk berbincang perkara ini dengan lebih lanjut, tetapi baik Aeril mahupun Wawa, mereka buat tak endah sahaja," katanya kepada mStar Online.

David Teo diminta mengulas mengenai dakwaan Aeril menerusi laporan media mengatakan pihak MIG masih lagi berhutang dengannya dan isteri bernilai puluhan ribu ringgit.

Sebelum itu, timbul juga isu Aeril menerusi Instagram miliknya meminta agar pihak MIG memulangkan kembali pakaian serta dokumen penting mereka di dalam kenderaan jenis Suzuki Swift yang dilaporkan hilang setahun lalu.

Kereta itu difahamkan sudah ditemui semula oleh pihak MIG yang merupakan pemilik kereta terbabit.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 27, meninggalkan MIG pada akhir tahun 2012, diikuti pula dengan Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 23, yang keluar daripada syarikat pengurusan tersebut pada Oktober 2013.

Mereka membuat keputusan meninggalkan MIG sebelum tamat kontrak selepas kedua-duanya mengumumkan perkahwinan rahsia mereka.

Pasangan itu telah bernikah sebanyak dua kali masing-masing pada 25 Februari 2012 dan 4 Februari 2013 di Taman Datuk Harun, di sini.

Sementara itu, David berkata, dia tidak tahu apa-apa mengenai dokumen mahupun pakaian yang berada dalam kereta tersebut dan berasa pelik apabila Aeril masih lagi memperbesarkan isu kehilangan kereta itu dengan menuduh MIG menjadi puncanya sedangkan kenderaan berkenaan milik syarikat itu sepenuhnya.

Kata David, pihak MIG pada mulanya telah membelikan kereta itu untuk dipinjamkan kepada Wawa dengan konsep skim sewa beli, memandangkan pelakon itu tiada kenderaan.

Bagaimanapun disebabkan Wawa bukan lagi menjadi artis naungan MIG, maka pihak syarikat berhak mengambil semula kereta tersebut.

"Di MIG, saya mengamalkan konsep seperti pihak kerajaan buat bagi membantu golongan susah menerusi skim sewa beli di mana kami menyediakan rumah dan kereta buat para pelakon menerusi skim tersebut.

"Memandangkan Wawa tidak lagi membayar sewa kereta, maka kereta tersebut sudah semestinya dipulangkan kepada kami. Itu pun kami jumpa kereta itu selepas Wawa memberitahu tentang kehilangan kereta itu," ujarnya.

Sementara itu, David berkata, dia penat dengan sikap Aeril yang tidak sudah-sudah memfitnahnya. Perkara itu membuatkan pihaknya dinasihatkan oleh peguam untuk mengumpul segala bukti berkaitan isu-isu membabitkan Aeril dan Wawa.

Bagaimanapun, David belum terfikir lagi untuk membuat sebarang tindakan undang-undang terhadap pasangan itu.

"Walaupun macam-macam terjadi, saya masih lagi menganggap mereka sebagai anak-anak yang mahu membesar. Dan saya percaya setiap kesilapan yang dilakukan akan menjadi pengajaran. Begitu juga dengan mereka, yang masih lagi belajar tentang kehidupan," tuturnya.

Sumber: mStar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon