"Kehidupan Peribadi Kami Adalah Hak Mutlak Kami" - Ramli MS

Cerita cinta antara penyanyi terkenal, Alyah dan komposer ternama, Datuk Ramli MS, bukanlah kisah baharu kerana sejak 2012, pasangan ini dilaporkan mempunyai hubungan istimewa.

Ramli MS dan Alyah

Namun, pada pertengahan tahun lalu, timbul desas-desus mengatakan mereka berkahwin secara rahsia. Difahamkan, perkara ini didedahkan sendiri oleh rakan terdekat komposer berkenaan.

Ketika itu, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan, 33, baharu sahaja pulang dari mengerjakan umrah dan turut mengenakan imej Muslimah selepas itu.

Pun begitu, Ramli bermati-matian menafikan perkara ini sehingga menimbulkan ketegangan antara penyanyi terkenal, Alyah dan pengamal media.

Setelah sedaya upaya cuba menyembunyikan status mereka, akhirnya serbuan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di kediaman komposer ternama ini pada Rabu lalu, menamatkan teka-teki selama ini.

'Kehidupan peribadi, hak mutlak kami'

Serbuan Jais di kediaman Ramli yang terletak di Bandar Kinrara, itu sekali gus menamatkan spekulasi yang terus menjadi tanda tanya lebih setahun.

Jika diteliti desas-desus yang timbul sebelum ini, terselit kebenaran yang selama ini dinafikan.

Namun, berita perkahwinan itu membuatkan komposer ini 'mengamuk' dan menegaskan bahawa tiada sebarang majlis perkahwinan yang berlangsung antara mereka.

Menyelak kembali kenyataan Ramli, dia sekerasnya menyangkal spekulasi itu dan menganggap jodoh adalah ketentuan Tuhan.

"Ada sesiapa yang tahu bila tarikh kami bernikah? Jika benar sekalipun, mengapa perlu kami buat secara senyap-senyap dan sembunyikan dari keluarga masing-masing?

"Ingin saya tegaskan, kehidupan peribadi kami adalah hak mutlak kami. Saya kasihankan Alyah, dia ada ibu bapa dan saya tidak tahu apa agaknya jawapan beliau kepada mereka untuk menepis gosip ini,” kata pemilik nama Ramli Mohamed Salleh, sebelum ini.

Pun begitu, Alyah pernah mengeluarkan kenyataan untuk mendedahkan status hubungannya bersama Ramli selepas Aidilfitri.

"Saya tak pernah secara spesifik cakap akan umumkan semua ini selepas raya. Ia boleh jadi hujung tahun atau awal tahun.

"Orang meletakkan fokus pada saya sedangkan orang tak berani nak tanya pihak satu lagi. Nampak macam saya yang terhegeh-hegeh," jelas Alyah.

Jais terima aduan awam

Dalam pada itu, menerusi kenyataan media, Jais turut mengesahkan siasatan perkahwinan ke atas pasangan ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ahmad Zaharin Mohd Saad, Bahagian Penguatkuasaan telah menjalankan siasatan ke kediaman komposer berkenaan di Puchong, berdasarkan aduan awam yang dibuat.

"Bahagian Penguatkuasaan Jais berjaya diyakinkan bahawa pernikahan Ramli dan pasangan telah dilakukan di Batam, Indonesia.

"Dokumen asal perkahwinan yang didakwa mereka akan diserahkan kepada Jais pada 2 September ini (Selasa), untuk penelitian, semakan dan siasatan lanjut dari sudut undang-undang dan hukum syarak, " katanya.

Difahamkan, ketika siasatan dijalankan, Alyah juga turut berada di kediaman berkenaan.-Sinar Online

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon