Hanez Suraya Akur Isteri Kekasih Enggan Mohon Maaf

Pelakon Hanez Suraya akur untuk tidak mengambil tindakan terhadap Nurliyana Abd Manan, wanita yang juga isteri kepada teman lelakinya kerana enggan memohon maaf selepas menuduh dia sebagai perosak rumah tangga mereka.


Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 29, juga enggan mengulas mengenai insiden itu lagi kerana bimbang perkara berkenaan akan menjadi bertambah besar dan disalahtafsirkan oleh pelbagai pihak.

"Terpulang kepada dia (Nurliyana) sama ada ingin memohon maaf atau pun tidak dan saya juga tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadapnya," katanya ringkas kepada mStar Online.

Hanez ditemui pada sidang media teater Projek Kahwin di Dewan N'Dah Shah Alam di sini, Khamis.

Pelakon drama I Love You Mr. Arrogant itu mengulas kenyataan balas wanita berkenaan yang enggan memohon maaf seperti diminta Hanez dalam satu sidang media khas yang diadakan pada Rabu lalu.

Kontroversi mula tercetus selepas Hanez membuat pengakuan dia bakal berkahwin dengan seorang lelaki kononnya berstatus duda yang dikenali sebagai Mr.R atau nama sebenarnya Romie Razin Adilha, 34, sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.

Situasi bertambah tegang apabila isteri Romie membuat kenyataan dalam rancangan Melodi terbitan TV3 dan sebuah akhbar pada Ahad lalu yang menuduh Hanez sebagai punca pergolakan rumah tangganya.

Pada sidang media itu dia menafikan sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.

Dalam pada itu, Hanez berkata, dia sentiasa terbuka untuk menyelesaikan kemelut tersebut tanpa melibatkan media selain bersedia bertemu dengan isteri kekasihnya supaya salah faham berkenaan dapat diselesaikan.

"Pada tahap ini saya rasa tidak perlu menggunakan media untuk membuka aib dan ia patut diselesaikan secara tertutup.

"Saya bersedia untuk berjumpa dengan wanita berkenaan bagi menjelaskan situasi sebenar namun saya tidak boleh masuk campur tentang urusan rumah tangga mereka berdua," katanya.

Sementara itu, Hanez berkata, dia ada membaca komen daripada masyarakat selepas dia memberi kenyataan pada sidang akhbar yang diadakan.

Hanez berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang melemparkan kata-kata negatif kepadanya dan memaafkan sesiapa sahaja yang berbuat demikian.

"Saya tidak tertekan cuma sedih kerana orang yang tidak tahu situasi sebenar terus menghukum saya dengan kata-kata kurang enak.

"Tetapi saya tidak kisah dengan pandangan itu kerana mungkin mereka masih belum memahami apa yang cuba saya sampaikan dan memaafkan mereka kerana menuduh saya dengan pelbagai perkataan negatif," ujarnya. -mStar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon