Doa Dan Harapan Mila Jirin Buat MH370

Nasib seramai 227 penumpang dan 12 anak kapal MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak pagi Sabtu lalu, masih misteri hingga kini.

Doa Dan Harapan Mila Jirin Buat MH370

Meskipun sudah masuk hari kelima, namun seluruh dunia tidak putus-putus mendoakan keselamatan mereka dengan harapan MH370 segera kembali ke tanah air.

Mengharapkan 'keajaiban' berlaku, golongan selebriti tanah air juga tidak terkecuali memanjatkan doa serta harapan ke atas pesawat malang itu menerusi laman sosial mereka.

Siapa sangka penyanyi genit Mila Jirin, mengenali secara rapat Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, yang merupakan juruterbang pesawat MH370 yang hilang secara misteri itu.

Ketika dihubungi, pelakon Kami Histeria itu meluahkan rasa terkejut dan sedih kerana sehingga kini nasib Zaharie dan seluruh anak kapal serta penumpang MH370 masih belum diketahui.

"Selepas mendapat tahu kejadian itu, saya cuba menghubunginya, namun gagal.

"Saya begitu sedih dengan apa yang menimpanya sekarang dan berharap dia dapat pulang semula ke tanah air dengan selamat," ujar Mila dengan nada sebak.

Menurut Mila, dia mengenali Zaharie dalam satu majlis Kelab Peminat Mila Jirin pada 2007 dan hubungan mereka semakin rapat setelah mengenali keluarga Zaharie.

"Mulanya kami tidak kenal secara rapat namun selepas pertemuan di Melaka, kami semakin rapat. Malah saya pernah mengunjungi kediamannya untuk bertemu isteri dan anak-anaknya," kata Mila yang turut memuat naik gambar dia bersama juruterbang itu di Instagram miliknya.

Mengulas mengenai beberapa pandangan negatif yang pernah dilemparkan kepada juruterbang malang itu, tegas Mila, masyarakat tidak harus membuat sebarang penilaian tanpa mengenalinya terlebih dahulu.

"Saya mengenali dia secara peribadi, Zaharie merupakan orang paling baik, humble dan penyayang," katanya.

Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam, turut meluahkan rasa sedih dan simpati dengan apa yang berlaku ke atas pesawat MH370.

Katanya, tanpa mengira apa jua bangsa dan negara, dia mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kesemua mangsa yang hilang secara misteri itu.

Tegas Izzue, dia juga berharap agar masyarakat lebih sensitif dan tidak menyebarkan khabar angin serta perkara negatif yang boleh mengganggu perasaan keluarga mangsa.

"Jangan sebarkan benda yang tidak betul atau sahih secara membuta tuli. Sebaliknya banyakkan berdoa agar pesawat MH370 segera ditemui," katanya.

Izzue juga berharap agar kaum keluarga mangsa terus bersabar dan bersedia terima apa sahaja kemungkinan kelak.

Sementara itu, ahli kumpulan Forteen, Muhammad Ridzuan Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai One melahirkan rasa kesal dengan komen-komen negatif mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 itu.

Katanya, walaupun tiada ahli keluarganya yang terlibat dengan kehilangan pesawat malang itu, namun dia tetap bersedih dengan apa yang menimpa pesawat milik tanah airnya ini.

"Saya sangat bersimpati dengan nasib kaum keluarga penumpang pesawat MAS itu.

"Namun perkara paling penting, masyarakat perlu mengelak daripada reka cerita palsu yang boleh mengguris hati keluarga mangsa.

"Jangan keruhkan lagi keadaan. Tunggu sajalah kesahihan daripada pihak berkuasa," kata One yang turut mengharapkan agar masyarakat terus mendoakan yang terbaik untuk MH370. -SH

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon