'Kalau Aku Kaya' bukan sindiran Bajet 2014

Jika di Indonesia kita tidak melihat kebanjiran penyanyi rap atau ‘rapper’ di sana, namun di Malaysia pula sebaliknya.

Kalau Aku Kaya

Memandangkan irama ‘hip-hop’ kini kembali menjadi pilihan utama pendengar, kebanyakan kumpulan rapper di Malaysia seperti Malique, Joe Flizzow, Altimet, Ahli Fiqir, Sleeq berlumba-lumba untuk menghasilkan lagu yang dapat memberi mesej kepada masyarakat.

Begitu juga dengan lagu ‘Kalau Aku Kaya’ nyanyian Awi Rafael, yang kini semakin popular di corong radio. Sarat dengan sindiran dan mesej, lagu ciptaan Altimet itu nyata berjaya memberi kelainan kepada peminat muzik di negara ini.

Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman, 35, berkata, bukan mudah untuk menghasilkan lagu tersebut. Katanya, untuk mendapatkan 'nilai' dalam lagu tersebut, dia telah membuat tinjauan terhadap lebih 40 responden sekiranya mereka diberi peluang menjadi jutawan.

Jelas Altimet lagi, lagu tersebut bukan sekadar rekaan semata-mata, sebaliknya ia merupakan 'suara rakyat' di negara ini.

“Ketika menulis lagu ini saya banyak bertanya kepada orang ramai tentang apa tafsiran mereka mengenai kaya dan apa yang mereka mahu lakukan sekiranya menjadi seorang jutawan.

“Saya telah mendengar dan menerima pelbagai jenis pandangan dari mereka. Ia adalah merupakan suara hati mereka dan mengenai impian sekiranya mereka menjadi kaya,” katanya ketika ditemui sebelum ini.

Bagaimanapun, Altimet menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan segelintir pihak bawa lagu tersebut dicipta sempena pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri, Najib Tun Razak, baru-baru ini.

"Lagu ini dah lama saya hasilkan dan ia memang tak ada kena-mengena langsung dengan pembentangan bajet 2014.

"Malah lagu ini juga bukan dicipta untuk menyindir sesiapa.

"Hayatilah lirik-lirik lagu ini, ia mempunyai pengertian dan mesej tersendiri," katanya.

Mengulas mengenai lagu tersebut, kata Altimet, Kalau Aku Kaya, pernah diberikan kepada sebuah kumpulan rap, namun ia di biar terperap begitu saja.

Akui terkilan dengan situasi itu, Altimet bagaimanapun mengambil semua lagu tersebut dan kini bersyukur kerana lagu ciptaannya bersama komposer Omar K, itu akhirnya menjadi hit dan menduduki carta tertinggi di semua stesen radio tempatan.

“Alhamdulillah, semua orang meminati lagu tersebut dan Insya-ALLAH, saya akan memperbanyakkan lagi karya-karya seperti ini," ujarnya.

Berkongsi di sebalik penggambaran muzik video lagu tersebut, Altimet memberitahu, dia sangat berpuas hati dengan hasil yang dilakukan oleh pengarah, Ravi. Menjalani penggambaran di Gerik, Perak, muzik video ini turut menggunakan peralatan dan prop yang mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

“Harapan saya dan Awi untuk menghasilkan video yang menunjukkan 'nilai harga' terhasil dan saya amat berpuas hati dengan video ini.

“Walaupun kita tidak mengeluarkan kos yang terlalu mahal, cukup sekadar apa yang kita terjemahkan berjaya disampaikan kepada orang yang menontonnya,” katanya yang tidak sabar menunggu sambutan dan pendapat orang ramai tentang video muzik tersebut.

Selain itu, Awi Rafael yang turut ditemui juga sangat teruja setelah lagu tersebut menjadi siulan malah penerimaan kanak- kanak juga begitu menggalakkan.

Katanya, lagu tersebut memberikan inspirasi dan mudah diterima oleh semua peringkat umur.

“Saya lihat ramai juga kanak-kanak sudah menghafal lagu ini.

“Saya berterima kasih kepada Altimet kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya menyanyikan lagu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Altimet, bakal muncul dengan dua buah album iaitu solo dan duet bersama DJ Fuzz dalam masa terdekat.

-Sinar Online

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon