Fizo Omar Sebak Bergelar Suami

Aktor popular Fizo Omar akui sebak kerana arwah bapanya tidak sempat melihatnya mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Mawar Abdul Karim pada Ahad.


"Saya berasa sebak kerana saya rapat dengan bapa dan dia tidak sempat untuk melihat hari saya diijabkabulkan. Namun apa pun saya masih ada ibu dan saya harus gembirakan dia," ujar Fizo ketika ditemui baru-baru ini.

Malah pemilik nama Wan Hafizol Wan Omar ini memberitahu terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibunya, Hasnah Jidin, 53, dan berharap dapat membalas jasa wanita itu satu hari nanti.

Fizo dan Mawar selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di rumah pengantin perempuan di Country Heights, Kajang pada hari Ahad lalu.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Mohd Arif Abdul Samad.

Mawar telah menerima mas kahwin sebanyak RM506 dan Fizo turut menghadiahkan isterinya jongkong emas seberat 1.011 kilogram dengan ukiran 'Fizo Love Mawar' sebagai salah satu hantaran.

Fizo dan Mawar bakal ke Eropah pada Disember ini untuk berbulan madu dan dijangka berada di sana selama tiga minggu.

Pada Sabtu lalu, majlis pertunangan Fizo dan Mawar telah disiarkan secara langsung melalui program "Nasi Lemak Kopi O" (NLKO).

Majlis pertunangan tersebut diadakan di rumah pihak perempuan dan dihadiri oleh ibu Fizo dan ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Fizo yang ketika itu bertugas sebagai pengacara NLKO turut dikejutkan dengan kehadiran pelakon veteran Ruminah Sidek yang datang untuk memakai inai di jarinya sebagai tanda bergelar tunangan orang.

-Yahoo

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon