Adam AF Dan Fiza Nikah Khamis Ini!

Pelakon Fiza Abd. Halim, 32, bakal bergelar isteri kepada penyanyi Adam AF atau Mohd Aizam Mat Saman, 30, pada 26 September ini.

Adam AF Dan Fiza

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim bakal bernikah buat kali kedua di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam, pada pukul 10 pagi.

Menurut Fiza yang pernah menganggotai kumpulan Elite itu, mereka berdua telah menjalani kursus perkahwinan di Medan MARA, Kuala Lumpur pada 18 dan 19 September lalu.

"Sebenarnya, saya pun tidak percaya akan bernikah dengan Adam kerana semuanya berlaku begitu pantas. Kami hanya bertukar-tukar nombor telefon pada bulan puasa lalu.

"Bertanya khabar macam rakan artis lain dan baru-baru ini sahaja semakin rapat sebab sering menjayakan persembahan bersama. Sebenarnya masa raya hari itu, saya dan anak-anak ada pergi beraya di rumah Adam di Sabah," ceritanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Tambah Fiza, apa yang membuatkan hatinya terbuka untuk menerima Adam adalah kerana penyanyi itu bijak mengambil hati anak-anaknya, Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, yang memanggil penyanyi itu dengan panggilan Abie.

"Saya boleh terima Adam pun sebab anak-anak selesa dengan dia, itu faktor utamanya. Bagi saya, yang sudah pernah melalui kehidupan rumah tangga, harap kali ini akan berkekalan hingga akhir hayat. Mungkin ini takdir saya, sebab soal jodoh itu urusan Allah," katanya yang telah bercerai dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 33, pada 4 November 2010.

Menurutnya, majlis perkahwinan mungkin hanya akan dibuat di sebelah pihak Adam sahaja kerana pihaknya setakat ini tidak bercadang untuk mengadakan majlis berkenaan.

Sumber: Utusan Online

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon