Hafiz Cipta Lagu Khas Untuk Peminat

Penyanyi, Hafiz Suip, selangkah lebih maju apabila mula berjinak-jinak dengan dunia penciptaan lagu pada tahun ini.

Hafiz menjulang trofi Vokal Terbaik AJL27 menerusi lagu Ku Akui.

Menurut pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-27 ini, lagu ciptaannya itu sebagai hadiah buat peminatnya.

“Saya mencipta sebuah lagu untuk dimuatkan dalam album terbaru saya...dalam percubaan. Selama ini, saya belajar juga daripada otai.

“Tak adalah asyik menyanyi saja. Sekurang-kurangnya saya membuat sesuatu. Ini hadiah saya untuk peminat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, Hafiz masih berahsia tentang tajuk lagu ciptaannya itu.

Album ketiga penyanyi berusia 23 tahun ini menerima sentuhan beberapa komposer terkenal seperti Ajai, LY & Baiduri dan Kunci Demak.

Album ketiganya itu dijangka dilancarkan pada pertengahan April ini.

“Buat masa sekarang baru ada sembilan lagu. Insya-ALLAH lagi satu single saya akan rekod sebab bulan lepas saya demam. Jadi, semuanya 10 lagu.

“Semua lagu baru dan ada tiga lagu dari album Indonesia saya. Ada satu lagu itu saya kolaborasi dengan Kunci Demak. Saya lebih tertumpu pada lirik,” katanya yang melancarkan album kedua di Indonesia, tahun lalu.

Hafiz bakal tampil dengan sedikit kelainan melalui album ini dengan menggunakan elemen pop alternatif dan balada.

“Berbeza sedikit dari album sebelum ini. Dulu, saya lebih kepada balada yang lagunya mendayu-dayu. Kali ini, saya lebih kepada pop alternatif dan balada,” katanya.

Vokal penyanyi kelahiran Sarawak ini memang tidak dinafikan apabila sering memenangi anugerah vokal selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia pada tahun 2009.

Ketika ditanya sama ada terbeban untuk melakukan yang terbaik bagi mengekalkan kejuaraannya, Hafiz menyifatkan perkara itu sebagai cabaran.

“Saya tak mengambil perkara itu sebagai satu beban, saya ambil sebagai satu cabaran. Ini yang peminat mahu daripada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut memberitahu terpaksa menangguhkan pelajaran sehingga kini.

“Ilmu itu kalau boleh cari sampai ke negeri Cina, jadi, tak patut bila kita dah senang, ilmu itu kita tak pandang. Walaupun saya dalam bidang seni, saya belajar lagi.

“Saya ada rancangan untuk menyambung pengajian lagi tetapi keadaan tidak mengizinkan. Sekarang saya sedang tangguh pengajian saya dalam bidang Pengurusan Hotel dan Pelancongan,” katanya.

Menyentuh soal dunia lakonan, Hafiz lebih memilih untuk fokus pada nyanyian.

“Bukan saya kata tak nak berlakon tetapi saya mahu lebih fokus pada menyanyi. Saya berlakon dalam video muzik sendiri saja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hafiz bakal mengadakan konsert pertamanya pada bulan Jun ini.

“Insya-ALLAH, pada 3 Jun ini adalah konsert saya yang pertama, bertempat di Di Dewan Filharmonik Petronas. Konsepnya konsert solo, tetapi ada...rahsialah. tak boleh beritahu sekarang,” katanya yang teruja dengan konsert pertamanya itu.

-Sinarharian

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon