Sharifah Sakinah Bersalah, Maafkan Dia - Sharifah Shahirah

"Sudah-sudahlah tu, berdamailah." Itulah permintaan pelakon komedi terkenal, Sharifah Shahirah berhubung isu perang dingin antara adiknya, Sharifah Sakinah, 24, dan pelakon cantik, Julia Ziegler, 29.


Menurut Shahirah yang lebih mesra disapa Shiera ini, dia mengakui kesilapan adiknya itu dan berharap agar mereka tidak memperbesarkan hal tersebut lagi.

"Saya mohon maaf bagi pihak Sakinah. Saya tahu, Sakinah cuba untuk berbaik semula, namun dia tersilap langkah. Kenyataan Sakinah itu bukanlah untuk memburukkan Julia, namun berharap untuk menjernihkan hubungan tersebut.

"Saya tidak kata adik saya baik dan betul, sememangnya Sakinah bersalah daripada awal lagi. Namun, Julia harus bersikap profesional dan tidak menjadikan media sebagai platform untuk bercerita.

"Kenapa tidak menghubungi Sakinah sendiri untuk bertanya mengenai perkara itu.

"Lagipun, ia bukanlah masalah besar. Mereka hanya perlu berbincang untuk mencari kata putus," katanya yang turut menasihati Sakinah supaya tidak memberikan apa-apa kenyataan kepada media.

Pertelingkahan dua selebriti jelita ini berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Julia mendakwa Sakinah cuba memfitnahnya kepada pelakon, Gambit Saifullah.

Berharap agar pertelingkahan ini segera berakhir, Shiera memohon agar Julia dan Sakinah menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.

"Tidak salah kalau kita rendahkan diri untuk memaafkan orang lain. Malah, ia satu tindakan mulia sebagai orang Melayu dan Islam.

"Lagipun, pergaduhan ini tidak memberi apa-apa kebaikan, sebaliknya orang luar akan mentertawakan kita. Saya kenal Sakinah, dia bukanlah orang yang suka mencari musuh.

"Sejak kecil lagi, dia seorang yang disenangi, kelakar dan ramai kawan. Mungkin faktor usia dan desakan sekeliling membuatkan dia berkelakuan begitu," kata Shiera.

Pernah dimarahi Julia ketika menghadiri majlis persandingan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza, dua tahun lalu, Shiera mengakui sudah memaafkan pelakon itu.

Walaupun pada mulanya terasa hati dengan tindakan Julia yang memarahinya di khalayak ramai kerana kesalahan Sakinah, kata Shiera, dia tidak pula menyimpan dendam.

"Saya sudah memaafkannya. Namun, kenapa susah sangat dia nak maafkan kesalahan orang? Memang mulut saya agak celupar bila bercakap, namun saya tidak suka mencari musuh.

"Dia tuduh saya dan keluarga macam-macam. Dia tuduh saya tak pandai jaga adik. Kenapa hal itu dituding kepada saya?

"Anak saya pun kadang-kadang terlepas pantau, inikan pula adik. Lagipun, Sakinah masih muda. Sejak awal lagi, saya berpesan kepada Sakinah supaya berhati-hati bila bercakap.

"Namun, siapa saya untuk tentukan segala perkara yang dia lakukan?

"Walau bagaimana pun, saya sudah menasihati Sakinah supaya diam dan jangan cuba beri apa-apa penjelasan.

"Saya tidak mahu lagi perkara ini menjadi lebih serius dan teruk," kata Shiera yang berharap agar hubungan mereka kembali jernih.

-Sinarharian

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon