Iqram Dinzly Diisytihar Muflis Selepas Gagal Bayar Cukai Pendapatan

AKIBAT gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM77,000, pelakon kontroversi, Iqram Dinzly telah diisytiharkan muflis.

Menurut Iqram atau nama lengkapnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 38, berita tersebut dimaklumkan oleh peguam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Majistret, Ipoh pada Isnin.

“Saya sampai lambat, jadi peguam LHDN hanya serahkan keputusan mahkamah. Saya tak tahu nak cakap apa. Mahkamah sudah putuskan, jadi saya kena terima.

“Lagi pula saya memang tak mampu nak bayar dan tak boleh nak buat apa-apa. Cuma sekarang, saya kena cari jalan macam mana nak selamatkan aset yang ada seperti rumah dan kereta. Ini saja yang tinggal.

“Diakui apa yang berlaku atas silap sendiri, tetapi jujur saya katakan selama ini memang tidak tahu prosedur pembayaran. Saya hanya tahu kumpul resit saja,” katanya sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar.

Menurut Iqram lagi, notis pemberitahuan tentang bayaran cukai pendapatan yang berjumlah RM200,000 diterima sejak tiga tahun lalu di mana jumlah tersebut dikira berdasarkan tempoh 10 tahun pembabitannya dalam bidang seni.

Bagaimanapun kata Iqram, selepas namanya disenarai hitam, dia telah mendapatkan khidmat ejen untuk berurusan dengan pihak LHDN dan jumlah tersebut dapat dikurangkan sehingga RM67,000.

Namun jumlah itu kembali meningkat kepada RM77,000 selepas Iqram gagal membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan yang ditetapkan.

“Dua minggu lalu, saya pergi ke pejabat LHDN di Jalan Duta bagi berbincang sekali lagi. Hasil perbincangan negatif. Mereka cakap saya tiada inisiatif untuk membayar.

“Disebabkan itu, jumlah meningkat semula kepada RM77,000 dan saya diberi tempoh 10 hari untuk menjelaskannya. Jika gagal, saya diisytihar muflis,” katanya lagi. -sinar online

Siti Nurhaliza Bertuah Jadi Saksi Pemasyhuran Sultan Pahang ke-6

Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menyaksikan seorang putera raja yang dikenalinya sejak beliau dibangku sekolah kini bergelar Sultan.

Siti Nurhaliza berkata, beliau mula mengenali Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda yang semasa itu bergelar Tengku Mahkota Pahang menyaksikannya menyanyi pada majlis anjuran sekolah semasa di sekolah rendah.

Beliau berkata, sebelum dan di awal penglibatannya dalam bidang nyanyian, beliau juga sering diundang untuk menyerikan majlis anjuran kerajaan Pahang yang ada di antaranya dihadiri Sultan Abdullah atau ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

"Dan sebenarnya baginda (Sultan Abdullah) juga berkebolehan menyanyi. Kami pernah berduet bersama dan lagu-lagu pilihan baginda adalah lagu balada. Antara lagu kesukaan baginda ialah 'Sampai Hati' (nyanyian kumpulan Spring)," katanya.

Siti Nurhaliza berkata demikian semasa ditemui selepas Istiadat Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar di Pekan pada Selasa.

Siti Nurhaliza yang hadir ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengakui, beliau juga mengagumi keperibadian Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang disifatkan begitu berkebolehan.

"Tunku Azizah bukan hanya berkebolehan dalam bidang masakan, tetapi juga handal mengait, mengemas dan amat meminati seni tenun Pahang selain dikenali dengan sikap penyayang.

"Saya menyanjungi keperibadian baginda (Tunku Azizah) dan rasa bertuah apabila menjadi salah seorang pemilik buku resepi baginda," katanya.

Sebagai anak jati Pahang, pelantun lagu Anta Permana itu berkata, rakyat negeri ini bertuah kerana memiliki Sultan yang dikenali dengan sikap adil, prihatin dan mewarisi legasi ayahanda baginda yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau gembira dengan pemasyhuran itu dan terharu apabila menerima titah Sultan Abdullah untuk menghadiri istiadat tersebut.

"Saya mengenali tuanku sejak 30 tahun lalu dan pernah bermain badminton bersama-sama... moga hubungan itu terus kekal dan saya yakin peribadi baginda yang muda, bertenaga dan sentiasa mendampingi rakyat menjadi kelebihan buat rakyat Pahang," katanya.

Mohamed Azmin menambah kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan juga sentiasa memelihara dan menjalin kerjasama erat dengan pentadbiran kerajaan Pahang walaupun berbeza ideologi politik.

Katanya, ketetapan itu juga selari dengan titah Sultan Abdullah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, atas kapasiti sebagai Pemangku Raja Pahang yang mahu supaya hubungan baik itu terjalin demi kesejahteraan rakyat.

Anggota Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah pula berkata, pemasyhuran Sultan Abdullah sudah pasti mempunyai penanda aras yang cukup tinggi dalam menjaga kebajikan rakyat memandangkan sikap sama telah dilaksanakan ayahanda baginda.

"Baginda sudah pasti mahu melakukan lebih baik daripada apa yang telah dilaksanakan ayahanda baginda, apatah lagi dengan pengalaman baginda sebagai Pemangku Raja Pahang sebanyak dua kali sebelum ini.

"Saya juga melihat Sultan Abdullah sebagai seorang Sultan yang memang dinanti-nantikan oleh generasi muda kerana sudah terkenal dalam bidang sukan khususnya bola sepak.

"Baginda juga senang menyantuni rakyat tanpa terikat dengan protokol dan sangat mudah melayani permintaan mereka yang ingin berswafoto menjadikan baginda antara figura yang popular dalam media sosial milik remaja," katanya. - BERNAMA

Isteri Tauke Jambu Mohon Maaf Terlalu Ikut Perasaan

SETELAH lebih seminggu rumah tangga pelawak Tauke Jambu menjadi perhatian umum akibat kontroversi melanda, akhirnya isteri pelawak tersebut, Nadia Affendi tampil membuat permohonan maaf.

Nadia menerusi status yang dimuat naik di InstaStory miliknya mengakui apa yang berlaku sebelum ini adalah berpunca daripada dirinya yang terlalu mengikut perasaan marah sehingga mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Di sini saya ingin memohon maaf kepada @taukejambu. Ya betul saya yang salah dalam semua hal. Dia tak salah dan apa yang dikatakan itu semua betul.

“Kenyataan saya yang silap sebelum ini gara-gara terlalu ikutkan hati baran semua,” tulis Nadia.

Dalam pada itu, Nadia turut memohon agar netizen berhenti mengecam suaminya itu dan mengakui kesilapan yang dilakukan.

“Kamu semua berhenti kecam dia OK. Dia tak salah. Sekali lagi saya mohon maaf,” katanya yang turut tag status tersebut kepada Tauke.

Terdahulu sebelum itu Nadia telah mengeluarkan kenyataan tentang status rumah tangga yang dikatakan sedang bermasalah kerana kehadiran orang ketiga dan kemudian mendedahkan dirinya telah diceraikan pelawak tersebut menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun Tauke selepas itu menafikan perkara tersebut dan mengatakan kenyataan itu dikeluarkan dalam emosi isterinya yang kurang stabil.

Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 9 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Zamatul Khayla Aydina, 3 bulan.

Senarai Konsert Yang Pernah Diadakan Siti Nurhaliza

"KAN ku kejar pelangi, walau hadir sementara.."

Itu antara bait lirik lagu Engkau Bagai Permata yang menjadi lagu pembukaan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk konsert Live Bersama Siti Nurhaliza pada tahun 1999.

Ini merupakan konsert solonya yang pertama selepas berjaya menjuarai Bintang HMI empat tahun sebelum itu.

Konsert tersebut telah berlangsung dengan jayanya dan diterima dengan baik oleh pengkritik serta beliau dipuji kerana vokal dan persembahannya yang mantap.

Sempena ulang tahun kelahiran ke-40 penyanyi kesayangan ramai itu dan juga konsert jelajah beliau yang akan bermula bulan depan, kami kongsikan senarai konsert yang pernah diadakan biduanita kesayangan ramai ini:

Bapa Setubuhi Anak Disangka Isteri Baharu

Seorang lelaki mengaku tidak sengaja merogol anak perempuannya sendiri selepas mabuk dan keletihan pada majlis resepsi perkahwinannya.

Dalam kejadian di Kolding, selatan Denmark pada Ogos tahun lepas, anak perempuannya yang berusia 20 tahun itu mabuk teruk dan tidak mampu pulang ke kediaman sementaranya yang terletak berdekatan.

Lelaki berusia 50 tahun itu kemudian membawa anaknya ke bilik dan membaringkannya di atas katil pengantin.

Tidak lama kemudian, pasangan pengantin itu kembali ke bilik dengan si bapa tidur di tengah-tengah antara anak dan isteri baharunya.

Dalam penghakiman kes baru-baru ini, tertuduh berkata dia tidak sengaja merogol anak perempuannya kerana menyangkakan mangsa ialah isteri baharunya.

Anaknya bagaimanapun berkata, ayahnya sengaja melakukan perbuatan terkutuk itu walaupun dia merayu agar tidak diperlakukan sedemikian dalam kejadian sekitar jam 4 dan 4.45 pagi itu.

Mangsa dipercayai tidak dapat melawan disebabkan mabuk teruk.

Tertuduh yang didapati bersalah dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan. -astroawani

Pelukis Grafiti Malaysia Reka 'Cover' Single Terbaharu Chris Brown!

Pelukis seni grafiti, Katun atau nama sebenarnya, Abdul Hafiz Ab. Rahman memulakan tahun baharu dengan satu pencapaian yang membanggakan!

Menerusi laman Instagramnya, Katun mendedahkan hasil karya grafiti terbaharunya yang dilukis untuk single terbaharu penyanyi Chris Brown, Undecided.

“Saya mulakan 2019 dengan karya kolabrasi untuk single terbaharu Chris Brown, Undecided,” tulis Katun dalam kapsyennya.

"Saya sedang makan dengan rakan-rakan saya apabila saya menerima e-mel daripada pengarah kreatif Chris Brown.

"Ia adalah satu kejutan yang tidak dijangka, saya juga tertanya-tanya jika ia adalah sah.

"Saya masih tidak percaya bahawa saya mendapat peluang untuk melakukan karya seni untuk single Chris Brown!" kata Katun seperti dipetik portal The Star Online.

"Saya diberikan 100% kebebasan untuk mencipta karya seni itu. Pada asasnya, saya diberitahu bahawa Chris Brown mahu 'sesuatu yang misteri, sesuatu yang menonjol', jadi saya menghantar beberapa sketsa yang boleh mereka pilih.

"Dia memilih karya seni yang memaparkan seorang kanak-kanak bersama 'fortune guardian'."

Undecided dilancarkan pada 4 Januari lalu dan disenaraikan sebagai single pertama Chris untuk album keempatnya, Indigo.

Katun merupakan seorang pelukis seni grafiti terkenal Malaysia - dengan pelbagai rekaan untuk jenama komersil dan mural berskala besar. -astroawani

Farid Kamil Dikenakan Waran Tangkap Selepas Gagal Hadir Ke Mahkamah

PELAKON Farid Kamil Zahari dikenakan waran tangkap apabila gagal hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada hari keempat perbicaraan kes urin yang dihadapinya hari ini.

Waran itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran membuat permohonan tersebut susulan kegagalan Farid dan penjaminnya hadir selain tiada sebarang laporan atau sijil cuti sakit dikemukakan kepada mahkamah.

Menurut Nor Ariffin, waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebaran alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh.

Peguam yang memwakili Farid, Megat Syazlee Mokhtarom memohon untuk membatalkan pengeluaran waran itu sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada Isnin depan.

Mahkamah bagaimana pun tetap mengeluarkan perintah waran tangkap itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Megat Syazlee memaklumkan anak guamnya itu kini berada di Johor.

“Saya sudah maklumkan kepada Farid malam semalam namun dia beritahu tidak sempat datang kerana sedang menjalani penggambaran.

“Dalam prosiding tadi juga saya sudah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ketidakhadirannya adalah bukannya sesuatu yang disengajakan, sebaliknya dia keliru kerana banyak tarikh ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, pada 25 Januari 2018, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistreet di sini kerana menggunakan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya jam 4:30 petang, 11 Januari tahun lalu.

Farid dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -astroawani

Bangunan Ada Lambang Salib Besar Di Pulau Pinang, Mufti Gesa Ubah Kedudukan Lampu

Keresahan umat Islam terutama warganet ekoran kewujudan sebuah bangunan kediaman di Jelutong di sini yang memparkan lambang salib mendapat perhatian daripada Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Wan Salim secara berhemah meminta pihak berkuasa negeri ini agar segera mengarahkan pihak pemaju projek berkenaan untuk mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan itu supaya tidak kelihatan seperti lambang salib.

Selain itu, Wan Salim juga mahu pihak berkuasa menyelidik terlebih dahulu adakah kejadian itu sengaja dilakukan atau hanya secara kebetulan sahaja.

"Saya dengan penuh harapan meminta kerajaan negeri menerusi Pejabat Timbalan Ketua Menteri Satu dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan seberapa segera perlu mengarahkan pihak pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan tersebut supaya tidak kelihatan seperti lambang salib yang tidak disenangi pihak tertentu.

"Perlembagaan Persekutuan juga melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain dalam kalangan masyarakat yang beragama Islam," katanya menerusi akaun Facebook Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Sebelum ini gambar bangunan tersebut yang memaparkan lambang salib pada waktu malam tular di laman sosial sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Menurut laman web pemaju berkenaan, bangunan setinggi 44 tingkat itu mengandungi kira-kira 378 unit rumah kediaman seluas lebih 1,000 kaki persegi siap dibina pada 2016 dan telah dibuka untuk jualan. -utusan

Selamat Ulang tahun ke-40 Buat Siti Nurhaliza!

Ratu Pop Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan menyambut hari jadinya yang ke-40.

Penyanyi pop yang menerima pelbagai anugerah itu merupakan penyanyi Malaysia yang paling berjaya, menerima lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa dan membuat persembahan dalam lebih 50 konsert sepanjang penglibatan beliau selama 23 tahun dalam industri muzik.

Pada masa ini, beliau tersenarai sebagai salah seorang artis Malaysia yang terkaya, paling berpengaruh, menerima paling banyak anugerah dan menghasilkan paling banyak single.

Siti Nurhaliza juga ialah salah seorang artis Malaysia yang laris. Jualan album beliau sahaja menyumbang kepada 10 peratus jumlah jualan album di Malaysia pada 2001.

Setakat ini jualan album beliau mencecah lebih enam juta unit.

Biarpun mencapai banyak kejayaan, penyanyi "Anta Permana" itu berkata tiada apa lagi yang dihajatkan beliau selain daripada kesihatan yang baik dan mampu untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

"Lagipun, saya sudah menerima hadiah yang paling berharga, anak perempuan saya, Siti Aafiyah," katanya sebagaimana dipetik dalam satu laporan akhbar baru-baru ini.

Siti Nurhaliza dan ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menikah pada 21 Ogos, 2006 dan Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac tahun lepas.

Selepas lebih setahun berehat untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, Siti Nurhaliza akan kembali beraksi untuk peminatnya pada tahun ini.

Ikon muzik itu akan mengadakan persembahan di empat negara - Indonesia (21 Feb), Singapura (2 Mac), Malaysia (16 Mac) dan England (22 April).

Penyanyi sensasi itu akan membuat persembahan di Royal Albert Hall yang ternama di London pada 22 April nanti, yang merupakan persembahan kedua beliau di venue yang tersohor itu.

Kali pertama Siti Nurhaliza membuat persembahan di London ialah pada 2005 sempena ulang tahun sedekad penglibatan beliau dalam industri muzik, menjadikan beliau artis ketiga Asia yang menghiburkan peminat di Royal Albert Hall.

"Konsert ini akan memberikan kelainan, terima kasih kepada peminat setia, 'Sitizoners' dan peminat yang menanti saya kembali," kata beliau dalam satu sidang media baru-baru ini untuk mengumumkan konsert jelajah beliau, "Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour'.

Bersempena konsert jelajah itu, satu dokumentari berjudul "They Call Me Siti: One Woman, Two Decades of Music, Ten Thousand Miles" akan ditayangkan di layar perak.

Penerbit Eksekutif Shiraz Project, Shirazdeen Karim yang akan mempromosikan Siti Nurhaliza sebagai Ratu Muzik telah memperuntukkan lebih RM10 juta bagi tujuan itu, menjadikannya mungkin konsert jelajah yang mempunyai belanjawan tertinggi bagi mana-mana penyanyi Malaysia.

Tiket untuk konsert di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini berharga RM1,295 (termasuk berjumpa dan beramah mesra), RM495, RM355, RM255, RM155 dan RM105 boleh didapati di myticket.asia.

Azlan The Typewriter Halalkan RM90,000

VOKALIS kumpulan Azlan & The Typewriter, Azlan menjelaskan sudah menghalalkan tunggakan bayaran yang masih belum diterima daripada penganjur Konsert High Note, DME Entertainment.

Menurut Azlan, tunggakan bayaran yang masih belum diterima sehingga hari ini berjumlah RM90,000.

"Saya tidak mahu meneruskan tindakan saman keatas pihak penganjur kerana simpati terhadap anak-anaknya yang akan terkesan nanti.

"Jadi saya ambil keputusan untuk menghalalkan sahaja baki bayaran tersebut kerana mungkin ada hikmah disebalik apa yang terjadi.

"Namun saya tidak tahu tentang artis lain sama ada mereka mahu terus mengambil tindakan kepada pihak penganjur atau tidak.

"Tetapi saya sudah halalkan hutang penganjur berkenaan kerana anak-anaknya dan saya anggap ini adalah pengajaran dalam hidup saya," katanya.

Azlan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran air minuman Turbo 3 dan single terbaru Azlan, berjudul Kukuh di Wow KL, pada Rabu.

Terdahulu, penyanyi Ziana Zain dan Jaclyn Victor telah menyatakan hasrat mereka untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak penganjur konsert terbabit.

Saat Terbahagia Izreen Azminda

Awan mendung yang berarak dalam kehidupan pelakon Izreen Azminda nampaknya kini telah diganti dengan pelangi apabila dia disahkan hamil buah cinta pertamanya bersama suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, yang dikahwini pada 8 Ogos 2017.

Menyifatkan ia sebagai kurniaan terindah dalam perkahwinannya, Izreen yang kini hamil tiga bulan bersyukur kerana berpeluang kembali melalui pengalaman hamil selepas kali terakhir mengalaminya enam tahun lalu.

“Sebaik disahkan usia kehamilan mencecah sebulan pada November lalu, saya terkejut dan amat gembira. Hal ini adalah kerana saya sememangnya memasang impian untuk memiliki anak lagi.

“Suami dan anak-anak juga gembira. Kehamilan ini merupakan hadiah paling istimewa bukan sahaja untuk saya, tetapi seluruh keluarga,” kata Izreen membuka bicara ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun begitu kehamilannya kali ini amat berbeza dengan yang pertama dahulu. Menurut wanita berusia 34 tahun itu, kali ini, tahap kesihatannya merosot dan kerap mengalami pendarahan.

“Kehamilan pertama dahulu saya masih boleh bekerja sehingga kandungan mencecah empat bulan. Kehamilan kali ini berbeza kerana saya cepat berasa penat dan tidak boleh berdiri terlalu lama.

“Saya juga kerap alami pendarahan, rasa mual yang melampau dan pening kepala. Sebab itu, saya lebih banyak berehat di rumah dan tidak akan keluar rumah jika tiada urusan penting,” kongsi Izreen.

Tanpa berselindung Izreen mengakui, dia mengidam mendapat anak perempuan kerana sudah memiliki seorang anak lelaki, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia enam tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin.

Sementara, suami Izreen, Ude, 31, juga telah memiliki dua orang anak lelaki iaitu Arish Muqri, empat tahun dan Ariq Muqri, dua tahun, hasil perkahwinan terdahulunya dengan Intan Liana Saleh.

“Buat masa ini, saya masih belum mengetahui jantina bayi, tetapi kalau boleh mahu menimang anak perempuan pula selepas memiliki anak lelaki.

"Namun, jika Allah kurniakan anak lelaki juga saya tidak kisah, memadai anak yang bakal lahir kelak sihat dan sempurna,” ungkap Izreen.

Rezeki

Sejak mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu dan menjadi bahan kontroversi sehingga menjadi antara pelakon wanita yang paling dibenci khalayak, Izreen ‘direhatkan’ daripada muncul di televisyen.

Bagaimanapun sebaik disahkan hamil, tawaran lakonan kembali datang mencurah-curah seperti dahulu.

Namun, demi kesihatan dan keselamatan kandungan, Izreen terpaksa menolak kesemua tawaran tersebut.

“Saya mengaku sebelum ini memang saya direhatkan oleh stesen televisyen kerana terpalit dengan kontroversi

"Mungkin rezeki anak, tawaran lakonan mula datang kembali sejak Oktober tahun lalu.

“Malangnya semua tawaran tersebut adalah untuk membintangi drama rantaian yang memerlukan komitmen tinggi.

"Saya terpaksa menolak kesemua tawaran berkenaan kerana tahap kesihatan yang tidak berapa baik.

“Saya juga tidak mahu menyusahkan pihak produksi dan orang lain andai menerima tawaran tersebut. Jika ada rezeki selepas bersalin, saya akan kembali berlakon semula,” tutur Izreen.

Tambah pelakon drama Tanggang Ayu itu, dia mahu membintangi sebuah karya yang memberi impak jika membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan selepas bersalin pada Julai depan.

“Saya mahu sebuah karya yang benar-benar memberi impak kerana sudah lama tidak berlakon. Oleh itu, saya mahu karya yang bukan sahaja memberi impak kepada penonton, tetapi turut mencabar saya sebagai pelakon,” kata penerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013.

Cinta

Ditebak soalan, kemungkinan timbul sebarang penyesalan di hatinya apabila karier lakonan yang dibina selama 12 tahun terhenti begitu sahaja demi sebuah perkahwinan.

Tanpa berfikir panjang, Izreen segera menjawab, dia sesekali tidak pernah menyesal dengan jalan hidup yang dipilihnya ketika ini kerana dia berasa cukup bahagia.

Andai boleh diundurkan waktu, Izreen akan tetap memilih jalan dan lelaki yang sama untuk menjadi suaminya.

“Tipulah jika saya kata tidak terkilan. Saya sayang dengan karier lakonan yang dibina selama 12 tahun.

"Saya menjadikan lakonan sebagai karier bukan untuk kejar glamor, sebaliknya demi kelangsungan hidup.

"Saya bermula daripada bawah sebagai pelakon tambahan.

“Namun, saya sanggup melepaskan karier seni untuk berkahwin kerana benar-benar mencintai suami. Mungkin dia orang biasa dan tidak kaya, tetapi saya tidak pernah menyesal.

“Saya bersyukur apabila ditimpa kontroversi, sebagai suami dia tidak pernah lari atau menyalahkan saya atas apa yang berlaku.

"Sebaliknya, kami melalui semua dugaan dan cabaran bersama. Dia juga tidak menyesal berkahwin dengan saya meskipun dihina satu Malaysia, daripada situ saya melihat keikhlasannya,” ujar Izreen.

Biarpun perkahwinannya bersama Ude menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, Izreen yakin aturan Allah tidak pernah salah. Baginya, setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah.

Allah memberi bahagia yang dicarinya selama ini, tetapi dalam masa sama menarik rezekinya sebagai pelakon buat sementara waktu.

Melihat dengan jelas apa yang berlaku dalam kehidupannya, tegas Izreen, mungkin itu merupakan ‘bayaran’ yang perlu ditanggung atas kekilafannya dahulu.

“Saya sentiasa berdoa agar diberi kebahagiaan. Allah mendengar doa saya dan beri bahagia yang dipinta, tetapi menarik karier seni. Mungkin ini merupakan cara Allah untuk membawa saya kembali dekat dengan-Nya.

“Sebelum ini kerana terlalu sibuk bekerja saya terlupa dan tiada masa untuk dekat dengan Allah.

"Saya memandang positif semua yang berlaku, walaupun perit, tetapi ia menjadikan saya manusia yang lebih baik,” luah Izreen.

Sebelum mengakhiri bicara, Izreen mengharapkan kehadiran tahun 2019 akan memberi lebih kemanisan dalam kehidupan keluarganya.

"Selain itu, dia juga berharap khalayak menutup buku tentang semua kisah silamnya.

“Saya harapkan sempena tahun baru ini, semua orang boleh tutup buku lama, tidak perlu diungkit kisah lalu.

"Jika ada kesalahan yang saya lakukan jangan mengambil kerja Allah dengan menjatuhkan hukum.

"Biarlah Allah yang tentukan kerana terdapat hikmah sebalik apa yang berlaku,” katanya menutup bicara.

Pelakon Izreen Azminda kini berada dalam fasa terbahagia kehidupannya apabila hamil tiga bulan selepas setahun lebih mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid. -kosmo

Harga Menu KFC Naik Ekoran Kos Pengeluaran

Peningkatan harga jualan bagi set menu tertentu di rangkaian restoran makanan segera KFC berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dalam perniagaan francais popular itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjelasan mengenai perkara itu diberikan oleh syarikat operator rangkaian makanan segera, QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Jelasnya, QSR merupakan pemegang francais jenama antarabangsa dan mereka terikat dengan syarat yang dimeterai.

“Sebagai contoh, bahan-bahan yang digunakan juga tertakluk kepada perjanjian francais dan mereka disyaratkan untuk membeli daripada pembekal yang telah ditetapkan.

“Perjanjian francais itu kononnya untuk menjaga keseragaman rasa dengan penggunaan rempah ratus yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 KPDNHEP di Perbadanan Putrajaya.

Dalam majlis itu, seramai 306 pegawai KPDNHEP terpilih untuk menerima penghargaan atas perkhidmatan cemerlang mereka.

Peningkatan itu berlaku ekoran pelarasan margin ke atas harga produk ditawarkan, sekali gus membolehkan mereka terus menawarkan kualiti terbaik kepada pengguna.

Mengulas lanjut, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan dan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan terhadap QSR.

Ujarnya, tindakan itu dijalankan selepas masyarakat mengeluh di media sosial dan akhbar apabila berlaku peningkatan harga makanan tersebut.

“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan McDonald’s petang ini untuk membincangkan mengenai perkara sama,” katanya. -kosmo

A Star Is Born Gagal Ungguli Golden Globe

DIjulang harapan melangit untuk mendominasi acara berprestij, Golden Globe Awards ke-76, karyawan filem sensasi A Star Is Born sekadar mampu tersenyum nipis apabila hanya mampu pulang dengan sebuah trofi.

Dicalonkan dalam beberapa kategori utama iaitu Filem Terbaik - Drama, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem – Drama (Lady Gaga), dan Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem - Drama (Bradley Cooper), Gaga bagaimanapun mencuri tumpuan apabila menang Lagu Original Terbaik menerusi lagu Shallow.

Namun, Gaga kalah dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik kepada aktres terbilang, Glenn Close hasil lakonannya dalam filem The Wife.

“Saya sangat gembira untuk kemenangan Glenn Close. Dia sememangnya seorang legenda dan layak menang,” tulis Gaga melalui laman Twitter miliknya.

Mencipta kejutan, filem biografi kumpulan rock British, Queen berjudul Bohemian Rhapsody diangkat sebagai filem Filem Terbaik - Drama.

Kemenangan tersebut sekali gus mengenepikan saingan naskhah hebat lain termasuk Black Panther, BlacKkKlansman, If Beale Street Could Talk dan A Star Is Born.

Bukan itu sahaja, pelakon utama filem berkenaan yang menterjemah peranan sebagai vokalis legenda Queen, Freddie Mercury iaitu Rami Malek membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem - Drama.

“Terima kasih kepada Freddie Mercury kerana memberikan kebahagiaan ini kepada saya untuk dikenang sepanjang hayat. Saya sayang kamu, lelaki kacak. Kemenangan ini untuk dan kerana kamu,” ujar Malek ringkas ketika memberi ucapan saat menerima anugerah.

Ketika bertemu media usai menerima trofi berkenaan, Malek dengan rendah diri meluahkan, dia hanya sebahagian kecil daripada kisah Queen yang sudah terbuku dalam lipatan sejarah.

“Saya hanyalah bahagian kecil untuk menceritakan kisah ini. Bagaimanapun, ditemani Bryan May dan Roger Taylor pada malam ini membuatkan saya berasa sedikit besar. Ini adalah segala-galanya buat saya.

“Terima Kasih Freddie Mercury dan trofi ini saya akan ‘melekat’ dalam genggaman saya untuk tempoh yang lama demi melihat masa depan lebih cerah,” ujar Malek yang sebelum ini cukup dikenali menerusi siri Netflix, Mr. Robot.

Tumpuan

Selain Bohemian Rhapsody yang pulang bergaya menerusi dua anugerah, filem drama komedi, Green Book menang tiga trofi menerusi anugerah Filem Komedi atau Muzikal Terbaik, Pelakon Filem Pembantu Lelaki Terbaik (Mahershala Ali) dan Lakon Layar Terbaik.

Sementara itu, filem Roma pulang dengan dua trofi; Filem Bahasa Asing Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik (Alfonso Cuarón). Drama televisyen, The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story pula cemerlang dengan dua kemenangan iaitu Drama Siri Televisyen Terbaik dan Pelakon Lelaki Drama Siri Televisyen Terbaik (Darren Chris).

Antara momen yang paling mencuri tumpuan semestinya sewaktu Lady Gaga yang disebut-sebut bakal menang trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik terpaksa berputih mata apabila kemenangan berpihak kepada pelakon veteran, Glenn Close.

Cemerlang membawa watak Joan Castleman dalam filem The Wife, Close ternyata terkejut saat namanya diumumkan sebagai pemenang.

Ketika berjalan menuju ke pentas utama untuk menerima trofi, wanita itu sempat berhenti untuk memeluk Gaga dan seperti membisikkan sesuatu terhadap pelantun lagu Bad Romance itu.

“Saya rasa sudah melalui banyak perkara yang memberi pengalaman. Sebagai wanita, kita mempunyai anak-anak, suami jika kita cukup bertuah dan orang penting lain.

“Kita juga perlu mencari kepuasan peribadi. Kita harus mengikut haluan mimpi-mimpi kita,” ujar Close ketika memberi ucapan.

Bagi kategori lelaki pula, seperti diduga kemenangan berpihak kepada pelakon hebat, Christian Bale menerusi lakonan dan ‘transformasi fizikal’ mengagumkannya dalam filem Vice. -kosmo

Remy Dan Mira Masih Canggung Sebagai 'Suami Isteri'

PERSIS pasangan suami isteri, demikian gelagat Mira Filzah dan Remy Ishak ketika menidurkan 'cahaya mata' mereka, Ayden Mikael yang berusia lapan bulan di set penggambaran Pujaan Hati Kand a (PHK).

Ayden Mikael merupakan pelakon paling junior yang membawa watak sebagai Rizqy iaitu anak jagaan kepada Megat Danish (Remy) dan Tiara (Mira) dalam drama PHK.

Tangisan kecil Ayden telah membuatkan Mira dan Remy tidak senang duduk tatkala kru produksi mempersiapkan set penggambaran untuk episod terakhir drama berkenaan.

Sesekali kedengaran suara Remy mengalunkan selawat sambil mendakap erat Ayden pada dada bidangnya, manakala Mira kelihatan mengibas Ayden supaya lena seketika.

Bergandingan buat kali kedua selepas drama Lelaki Kiriman Tuhan, Mira dan Remy kembali disatukan dalam drama 28 episod berjudul PHK di slot Akasia , TV3.

Kemesraan dan keserasian antara mereka jelas kelihatan, tidak dibuat-buat hanya untuk menjayakan watak dalam drama PHK.

Mungkin kerana itu drama yang diadaptasi daripada novel judul sama nukilan Aulia Iman telah mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton.

Mesra memanggil Remy sebagai abang, Mira terlebih dahulu membuka sisi berbeza Remy sepanjang tiga bulan mereka berkampung di set penggambaran drama berkenaan di sekitar Lembah Klang dan Perak.

“Abang (panggilan untuk Remy) mesra dengan kanak-kanak. Ayden pun suka kalau bersama dia, malah pada awal penggambaran, Ayden lebih rapat dengan abang.

“Saya pula sedikit canggung dengan kanak-kanak,” dedahnya sambil diselangi gelak manja.

Cabaran

Menjayakan watak sebagai Tiara iaitu seorang pelajar universiti yang akhirnya bekerja sebagai pengasuh akibat kekangan kewangan dalam drama berkenaan memberi pengalaman baharu buat Mira.

Tanpa berselindung, Mira memberitahu, cabaran utama baginya adalah menjalinkan hubungan mesra dengan Ayden supaya dapat menzahirkan watak ibu dan pengasuh yang sempurna di layar skrin.

“Ayden dalam drama ini membawa watak sebagai Rizqy. Dia merupakan penggerak plot PHK, selain konflik antara Tiara dan Megat Danish.

“Saya perlu mengendalikan bayi di depan kamera dengan baik supaya penonton percaya bahawa saya seorang pengasuh. Saya tidak mahu hasil lakonan kelihatan pelik,” terangnya.

Kembali bekerjasama sebagai heroin di sisi Remy, Mira semakin selesa untuk bekerjasama dengan lelaki berkulit sawo matang itu.

Mira juga menyifatkan Remy sebagai pelakon senior yang bertoleransi dan mempunyai pendirian diri yang utuh.

“Saya selesa bekerja dengan Remy. Dia tahu apa yang diinginkan dan sampaikan dengan cara tersendiri.

"Kadangkala terdapat beberapa babak yang dia sendiri minta untuk dilakonkan semula selagi tidak mencapai kualiti yang diinginkan,” kongsinya.

Drama terbitan produksi Mache All Star United Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Eoon Shuhaini itu mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Kajian

Mengulas mengenai jangkaan peminat dan kehendak novel tersebut secara umum, Remy yang merupakan penerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017, menyifatkan karakter Megat Danish perlu digarap dengan cara tersendiri.

Menurut Remy, sebelum bersetuju untuk membawa watak Megat Danish, dia terlebih dahulu membaca keseluruhan novel berkenaan dengan teliti.

“Sebelum menerima tanggungjawab, saya telah membaca novel tersebut.

"Selepas habis membaca, saya tidak sabar mahu menghidupkan watak Megat Danish.

“Saya berbincang dengan penerbit dan pengarah tentang pembawaan watak yang diinginkan.

"Alhamdulillah, mereka memberi kebebasan kepada saya untuk mencorakkan watak Megat Danish dengan cara sendiri,” jelasnya.

Mengharapkan lakonannya memuaskan hati penggemar novel PHK , Remy berkata, sebahagian daripada identiti watak berkenaan dizahirkan atas kapasiti berkarya.

Kebebasan yang diberikan pengarah digunakan sebaiknya untuk berimaginasi memainkan watak utama dalam drama tersebut.

“Saya gemar berimaginasi. Oleh kerana itu, saya tertarik untuk melakonkan watak Megat Danish. Saya ingin memastikan Megat Danish mempunyai identiti yang tersendiri,” ujarnya.

Beraksi di samping Mira yang merupakan seorang wanita berhijab, Remy sedar terdapat batasan yang perlu dijaga meskipun atas tiket lakonan.

Biarpun begitu, pelakon filem Rise: Ini Kalilah itu tidak menganggap pelakon wanita berhijab sebagai satu beban dan halangan untuk berkarya.

“Saya faham pendirian Mira dan kita sentiasa berbincang. Bagaimanapun, terdapat beberapa babak yang memerlukan kita bersentuhan, tetapi ada kaedahnya.

“Sebagai contoh, untuk menjayakan babak seorang suami yang sedang memujuk isteri, saya tidak boleh memujuk dengan tangan berada di dalam poket.

"Mungkin kita boleh pegang pada bahagian berlapik dengan keizinan pelakon berkenaan,” jelasnya.

Selesai berbicara tentang drama PHK, kedua-dua pelakon tersebut disoal pula tentang perancangan karier pada 2019.

Selepas muncul dengan karya Pulang pada tahun lalu, Remy kembali ke layar perak pada 2019 menerusi filem The Legend Of Pontianak bersama dengan aktres Fazura. Selain itu, Remy juga telah selesai menjalani penggambaran sebuah filem bersama Zul Ariffin.

“Tahun ini saya bakal muncul dengan filem The Legend Of Pontianak , kemudian disusuli filem kedua bersama Zul Ariffin,” katanya.

Selepas tayangan kedua-dua filem berkenaan Remy mendedahkan dia mahu berehat seketika daripada karier lakonan.

Sementara itu, kalendar seni Mira pada tahun ini akan dipenuhi dengan penggambaran drama termasuklah slot mega drama yang akan ditayangkan di Astro.

Ketika suasana tanah air dipanaskan oleh warkah ‘kekanda adinda’ dari Cordova nukilan Datuk Seri Dr. Mujahid khas untuk Nurul Izzah Anwar yang melarat bagaikan epidemik, drama Pujaan Hati Kanda gandingan ‘kekanda’ Remy Ishak dan ‘adinda’ Mira Filzah pantas meraih sambutan. -kosmo

Elfira Loy Diijabkabul Pagi 1 Januari 2019

PELAKON terkenal, Elfira Loy dan pasangannya, Khairol Faris Anuar selamat diijabkabulkan di pagi hari pertama tahun baharu 2019.

Pasangan merpati dua sejoli itu bergelar suami isteri selepas mengikat tali pertunangan pada September lalu.

Dalam entri terbaharu di laman Instagram peribadinya sekitar setengah jam lalu, Elfira memuat naik foto beserta kapsyen bertulis 'Álhamdulillah'.

Tiada sebarang info lanjut mengenai majlis pernikahan itu yang dikongsi dengan peminat-peminatnya.

Entri Elfira mengenai majlis akad nikahnya itu turut menarik perhatian sebilangan selebriti yang mengambil kesempatan mengucapkan tahniah pada pelakon itu dan suaminya.

Antaranya pelakon dan penerbit Datuk Ziela Jalil yang mengucapkan tahniah kepada Elfira.

Tidak ketinggalan turut berkongsi kegembiraan itu ialah pelakon Sherry Ibrahim, Izzue Islam, Nabila Razali dan ramai lagi.

Difahamkan, selain majlis akad nikah yang berlangsung pagi tadi, pasangan itu juga bakal melangsungkan lima resepsi sepanjang bulan Januari.

Selain nikah, majlis resepsi pasangan itu akan dilangsungkan pada setiap hujung minggu bermula minggu ini.

Elfira juga memilih busana perkahwinan daripada beberapa pereka terkenal tempatan yang pernah berkerjasama dengannya sebelum ini.

Selain Rizman Ruzaini, beberapa pereka fesyen lain yang dimaksudkan pernah menghasilkan gaun perkahwinan selebriti tempatan terkenal sebelum ini seperti Anzalna Nasir, Sharnaaz Ahmad dan Stacy.

Tahniah buat Elfira dan suami.