BERMULA dengan menyanyikan semula lagu kerohanian penyanyi lain, siapa sangka ia mengangkat kumpulan dari Indonesia, Sabyan Gambus ke persada seni suara.
Tidak hanya mencipta fenomena di Indonesia, kumpulan yang dianggotai enam anak muda itu turut menjadi sebutan di Malaysia. Malah, mereka juga bakal melangsungkan konsert di Stadium Malawati, Shah Alam, Januari tahun 2019 depan.
Sabyan Gambus yang dianggotai Nissa, Anisa, Tubagus Syaifullah, Kamal, Sofwan Yusuf dan Ahmad Fairuz mengakui teruja menantikan detik itu.
Ahmad Fairuz berkata, konsert yang bakal diadakan itu bukan sekadar dijadikan landasan untuk terus melebarkan sayap di negara lain, tetapi juga peluang bertemu peminat, sekali gus mengeratkan silaturahim dengan mereka.
“Kami membawa harapan besar dengan adanya konsert itu mampu mengukuhkan lagi nama Sabyan Gambus tidak hanya di negara sendiri, tetapi juga mencipta nama di negara Asia lain.
“Kami juga ingin menjadikan kesempatan itu untuk menjalinkan silaturahim dengan peminat di Malaysia.
"Kami sangat teruja dan bangga dapat menghiburkan peminat dengan lagu berunsurkan ketuhanan,” katanya.
Tampil dengan single pertama berjudul Ya Maulana pada Mei lalu, Sabyan Gambus tidak menjangkakan lagu berkenaan mendapat 18 juta tontonan di YouTube kerana bersaing dengan genre muzik lain bukanlah mudah.
Bagaimanapun, melihat maklum balas positif itu, mereka semakin yakin lagu berunsurkan ketuhanan tetap mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik.
“Kami tidak pernah terfikir bakal dikenali dan cubaan menyanyikan lagu berunsurkan ketuhanan mampu menarik perhatian ramai.
"Sejak 2015, kami banyak nyanyikan semula lagu popular seperti Deen As Salam, Qolbi dan Rohman Ya Rohman.
“Ada banyak lagi kumpulan dan penyanyi lain yang memperjuangkan genre seperti kami tetapi tidak sangka Sabyan Gambus yang baru mula bertapak sudah dikenali.
“Mungkin ini adalah rezeki kami. Tampil dengan single pertama, tidak sangka dia mendapat sambutan positif.
"Kami berharap lagu kedua nanti akan mendapat maklum balas sama,” katanya. -hmetro
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon