Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) terkilan dengan kenyataan dikeluarkan pengasas kosmetik Datuk Seri Vida yang mengatakan penajaan program Gegar Vaganza dibuat bagi menaikkan artis 'tidak laku' atau 'artis sendu'.
Presidennya Datuk Freddie Fernandez berkata kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan gara-gara perbalahan antara usahawan itu dengan Juara Gegar Vaganza 4 (GV4), Aishah.
“Individu seperti Datuk Seri Vida yang merupakan usahawan berjaya memang diperlukan oleh dunia hiburan bagi memberi sokongan modal melalui penganjuran acara ataupun rancangan.
“Namun bukan bermakna beliau boleh melakukan apa saja atau mengeluarkan kata-kata yang bersifat merendah-rendahkan martabat para artis tanah air sebagaimana yang dilafazkan baru-baru ini,” katanya.
Melalui sebuah portal, Vida mengaku tidak berniat untuk mempermainkan artis yang menyertai pertandingan nyanyian terbitan Astro itu.
Sebaliknya Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata beliau ingin membantu menaikkan martabat 'artis-artis sendu'.
Kenyataan Vida itu dikeluarkan selepas Aishah mempertikaikan hadiah barangan kemas diterimanya yang diuar-uarkan bernilai RM80,000, yang didakwa tidak tulen.
Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu melalui peguamnya Mohammad Izwan Azmi memberi tempoh tujuh hari bermula 5 Oktober lalu untuk Vida menggantikan hadiah rantai berlian asli yang mempunyai nilai setara RM80,000.
Selain itu, penyanyi Janji Manismu itu juga menuntut Vida membuat permohonan maaf berhubung isu terbabit secara terbuka.
Diselesaikan cara baik
Dalam pada itu, Freddie mengingatkan Vida, bahawa melalui pembabitannya dalam program televisyen seperti Gegar Vazanza membantu melariskan jualan produk-produknya.
Katanya, KARYAWAN amat mengharapkan agar isu terbabit dapat diselesaikan secara baik di antara mereka, malah persatuan itu bersedia menjadi orang tengah seandainya diperlukan.
Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya timbul kerana kedua-dua individu yang sedang berkonflik itu memiliki legasi tersendiri.
“Aishah merupakan senior industri yang mempunyai banyak jasanya serta amat dihormati manakala Datuk Seri Vida pula seorang hartawan dan usahawan yang berjaya.
“Alangkah indahnya jika isu yang timbul dapat diselesaikan secara kekeluargaan demi mengelakkan dari terkeluarnya pelbagai kenyataan kontroversi yang tidak bersesuaian dan beremosi.
“Perbalahan seperti ini akhirnya hanya mengguris hati pelbagai pihak, sekali gus memberi impak negatif kepada diri masing-masing,” katanya.
Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon