Angelina Jolie Lawat Pelarian Syria Di Iraq

DOMIZ CAMP, Iraq – Duta khas bagi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie melawat kem Syria di utara negara ini bagi memberi sokongan terhadap mangsa yang terpaksa melarikan diri akibat perang saudara sejak tujuh tahun lau.

Aktres Hollywood itu meninjau kem Domiz yang kini dihuni oleh kira-kira 33,000 pelarian dari Syria.

Jolie tiba pada pagi semalam dan menemui beberapa keluarga di kem itu, kata pegawai PBB.

Sehari sebelum itu, beliau melawat Mosul iaitu bandar utama di utara Iraq yang kini telah dirampas semula oleh tentera kerajaan daripada militan Daesh.

Militan menguasai bandar tersebut selama tiga tahun dalam kempen membentuk sebuah kerajaan ‘khalifah’ di Iraq dan Syria sekali gus menyaksikan hampir 900,000 penduduk melarikan diri ke tempat lain.

Rakaman video dan gambar oleh Pesuruhjaya Tinggi Bagi Pelarian PBB (UNHCR) menunjukkan Jolie menemui keluarga dari barat Mosul serta berjalan di kawasan yang penuh dengan kesan letupan bom.

“Keadaan di sini merupakan yang paling teruk pernah saya lihat selama bekerja dengan UNHCR.

Penduduk di sini kehilangan segala-galanya.

“Kehidupan mereka amat daif, mereka tiada ubat untuk anak-anak dan kebanyakan tidak mempunyai bekalan air atau kemudahan asas.

Saya berharap akan ada komitmen berterusan bagi memulih dan membangunkan semula bandar ini.

Saya meminta komuniti antarabangsa agar tidak melupakan Mosul,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBB. –Reuters

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon