Shae Tidak Terkenal Di Negara Sendiri

Penyanyi yang popular menerusi lagu Sayang iaitu Shae tidak berasa malu untuk mengakui popularitinya di Indonesia tidak sehebat seperti mana di negara ini.

Shae

Shae atau nama sebenarnya Sheryl Gething, 20, berkata, dia juga tidak tertekan dengan hal itu kerana menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya.

"Nama saya masih belum kuat di negara saya sendiri tetapi ia tidak membuatkan saya tertekan.

"Saya sendiri tidak tahu mengapa… tetapi itu bukan kerja saya untuk menentukan tentang perkara itu kerana itu semua kerja tuhan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di pejabat Warner Music Malaysia di Mutiara Damansara di sini pada Selasa.

Shae hadir ke Malaysia bagi menerima penghargaan atas penjualan single Sayang yang terjual melebihi 1 juta unit secara digital.

Dalam pada itu, Shae bagaimanapun berkata, peminat di Indonesia semakin menyedari kehadirannya apabila lagunya itu semakin rancak dimainkan di radio.

Jelas Shae, sebagai penyanyi baharu dia perlu berusaha gigih untuk memastikan muziknya dapat diterima terutamanya di Indonesia.

"Belum popular bukan bererti ia penghujung kepada karier saya kerana itu tanda saya perlu lebih berusaha pada masa hadapan.

"Muzik dan nyanyian adalah cinta saya sejak kecil dan saya akan teruskan supaya dapat buat orang lain gembira dengan nyanyian saya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejayaan Sayang terjual melebihi 1 juta unit di Malaysia, Shae berkata, dia berasa terharu dengan penerimaan peminat di negara ini terhadapnya.

Tambahnya, kejayaan itu adalah luar biasa untuk pendatang baharu sepertinya dan amat menghargai sokongan peminat.

"Apabila saya dapat tahu lagu itu popular di Malaysia saya sudah cukup gembira apatah lagi diberitahu ia terjual lebih 1 juta. Ia luar biasa," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Shae berkata, dia bakal mengumumkan satu kejutan istimewa buat peminatnya di Malaysia pada November depan.

"Ia sesuatu yang cukup istimewa dan peminat pasti akan teruja," katanya.-mStar

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Apa kata anda komen sedikit..;) EmoticonEmoticon